BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 7
Sudah dua hari tidak kelihatan Faduli di sekolah. Kebetulan pula selepas kelas mengaji di rumah Ustaz Azudin, Mak Cik Vijaya meminta Leman lekas pulang untuk membantu menyiapkan kek-kek dan biskut yang ditempah oleh Cina pekan Mentakab. Kedudukan Pasir Rawa yang betul-betul bersebelahan dengan pekan Mentakab menjadikan perkampungan ini dan pekan di sebelahnya satu kejiranan yang super unik. Ada sahaja parti dan keraian yang menjadikan dua-dua selisih bangsa ini semakin utuh dan rapat.

Jika sudah dekat dengan Tahun Baru Cina, maka saling memberi buah limau berkotak-kotak. Jika pula sudah datang Raya Puasa, maka berkunjunglah Cina pekan ke kampung Pasir Rawa untuk menjamu juadah raya. Senang sekali melihat mereka merasai juadah-juadah seperti rendang.

Mak, lepas buat ni boleh tak nak ke rumah Duli Dah dua hari dia tak datang sekolah mak.

Ha Tak ada pula mak dengar Mak Cik Cah cakap apa-apa. Wajah Mak Cik Vijaya juga kelihatan runsing. Apalah yang jadi dengan Faduli anak kesayangan Mak Cik Cah. Mungkin sudah berjangkit dengan demam sekitar kampung agaknya. Pergilah, nanti balik cerita pada mak.

Baik! Terima kasih mak!

***

Leman memberi salam dan kemudiannya Mak Cik Cah membuka pintu. Lalu Leman diajak masuk dan bertemulah kembali empat biji mata yang sudah lebih dua malam tidak berjumpa.

Faduli terbaring di tengah rumah, tidak berbaju, berseluar pendek dan terdapat beberapa bekas minyak dan air di sekelilingnya.

Kau kenapa bisik Leman.

Aku Aa....

Dia curi mempelam Tok Penghulu! Mak cik tak habis marah lagi dengan dia! Tok Penghulu ingat kera yang mencuri, dibalingnya dengan batu. Jatuhlah Duli ni ke tanah, tu ha tengoklah patah kaki!

Belum sempat Faduli menjawab, Mak Cik Cah sudah menyergah panjang. Leman hanya diam mendengar.

Kenakalan Faduli memang bukan baru sekarang. Pantang melihat ada buah-buah yang berjuntaian di mana-mana. Senang sahaja dia mengambil tanpa ada perasaan serba salah. Kadang-kadang betik yang masih belum kuning sepenuhnya juga diambil dan diratah begitu sahaja. Bahari antara yang akan berundur dan takut ditangkap kerana mencuri. Tetapi Faduli tetap bertenang dan sentiasa nampak bersahaja.

Pernah dulu Leman, Faduli dan Bahari menyusuri lorong kecil tepian Sungai Semantan. Sampai sahaja di belakang rumah Mak Lang, Faduli terliur melihat belimbing buluh yang penuh di batang pokok. Bahari beberapa kali mengingatkan buah itu masam tidak terkata, tetapi tidak diendahkan Faduli.

Lantas dimasukkan sebiji ke dalam mulut dan terus wajahnya kemerahan dan langsung terjun ke sungai mencari air. Masam! Bahari dan Leman ketawa besar.

Rupanya kali ini Faduli teringin mendapatkan buah mempelam di halaman rumah besar Tok Penghulu. Rumah lama yang dicat dengan warna biru muda dan dilalukan dengan elemen biru tua di sisi palang dan tiang memang mengindahkan kediaman tersebut. Terdapat satu pangkin lengkap beratap nipah di sebelah kanan rumah. Dengan batu-batu bulat kecil yang disusun rapi sebagai mengelak dari memijak rumput yang dibeli dari pekan Mentakab menjadikan vila ini kegilaan orang kampung untuk menjenguk dan memandang lama.

Hari itu, Faduli memanjat seorang diri. Saat Tok Penghulu sudah balik ke rumah, dia lihat beberapa buah muda sudah pun jatuh ke tanah. Di balingnya beberapa biji batu merah secara rawak dan tup! Tepat kena dahi Faduli.

Saat dia jatuh, Tok Penghulu pula pengsan. Disangkanya kera yang datang dari hutan belakang kampung, rupanya manusia. Leman dan Faduli ketawa kecil mengingati peristiwa itu yang diceritakan Faduli secara berbisik-bisik. Entah ya entah tidak. Entah-entah kerana takut dikejar Tok Penghulu, Faduli mereka cerita begitu. Leman ketawa dan berjaya menyejukkan Mak Cik Cah dengan ziarah kali ini.

Mak cik tak tahulah berapa lama lagi baru dia boleh ke sekolah. Nak sekolah macam mana kalau kaki macam tu, baring sahajalah.

Taklah mak... Boleh ni. Mak yang risau. Tengok ni Duli boleh duduk.

Mak Cik Cah memandang ke luar. Meluat melihat anak kesayangannya ini semakin lama semakin degil.

Apa kata aku yang bawa kau ke sekolah Leman mencadang.

Jangan nak merepek Leman! jawab Mak Cik Cah.

Ala Mak cik, basikal abah saya muat dua orang. Leman boleh duduk di palang depan, Duli di belakang. Lagipun nak ke sekolah bukan jauh mana pun mak cik, kan

Mak Cik Cah mendengus panjang. Suka kaulah Leman, mak cik malas dah nak fikir.

Kehidupan Mak Cik Cah agak berubah sejak suaminya menjadi pemandu lori. Kadang-kadang hingga empat lima hari baru pulang ke rumah. Mak Cik Cah pula mengambil upah menjaga cucu-cucu Tok Penghulu yang masih kecil. Susah untuk menghantar dan mengambil Faduli pada awal pagi dan waktu tengah hari.

Bermula hari itu, Cikgu Muhammad membawa dua orang anak. Sesekali hingga terlewat ke sekolah akibat Faduli lambat bersiap. Hubungan Faduli dan Leman semakin akrab. Sudah semakin menjadi-jadi hingga masing-masing mempunyai kesukaan dan kegembiraan yang sama. Cikgu Muhammad, Mak Cik Vijaya dan Mak Cik Cah juga bergembira bersama melihat anak-anak mereka sudah pandai berkawan. Dari persahabatan anak-anak, Mak Cik Vijaya dan Mak Cik Cah juga semakin rapat.

Kadang-kadang bertukar mangkuk tingkat, kadang-kadang saling memberi kain pasang dan kain batik. Sesekali, mereka ke pasar bersama dan ada kala ke surau juga bersama. Apa sahaja yang Faduli lakukan, Mak Cik Vijaya akan tahu. Apa sahaja yang Leman buat, Mak Cik Cah juga tahu.

Leman dan Faduli perlu peduli tentang hal ini. Bimbang viral seluruh kampung jika ada berbuat perkara nakal.

Lama-kelamaan kaki Faduli beransur pulih. Dari tidak dapat memijak ke tanah langsung, sudah boleh berjengket-jengket. Kemudian bertongkat sebelah dan mula berjalan bersama Leman di sekitar kampung. Tak padan dengan kaki yang masih berbalut, Faduli senang sekali mengikut ke mana Leman pergi. Memancing, melepak di Cilawagi dan rumah Bahari. Semua dibuat tanpa ada kesusahan.