MOLOTOV KOKTEL - 7
Tidak boleh tidak, kita harus akur dan berlapang dada dengan kenyataan dewasa ini, gerakan mahasiswa sudahpun mencapai ke suatu tahap berlainan jika dibandingkan siri-siri dan episod gerakan terdahulu.

Benar, pada satu segi, jika mahu dibandingkan dengan gerakan era 1960-an atau 1970-an, ia seolah-olah membandingkan Tun Abdullah Badawi dengan Datuk Seri Najib Razak - masing-masing berdiri dalam kelas berlainan walaupun dari parti dan posisi yang sama. Walau bagaimana cara sekalipun digunakan untuk membuat perbandingan, akhirnya kita sedar keduaduanya tidak boleh disamakan mahupun dibezakan.

Gerakan terdahulu, pada segi kekuatan dan penglibatan pelajar, jauh lebih cemerlang jika dibandingkan gerakan hari ini. Gerakan hari ini lebih kecil, sedikit eksklusif, namun punyai kekuatannya tersendiri.

Impak gerakan hari ini terhadap masyarakat lebih bersifat rekonstruksi idea dan cara berfikir berbanding improvisasi terhadap masyarakat. Dalam bahasa mudah, gerakan terdahulu bersifat fasilitator kepada masyarakat manakala hari ini ia bersifat cabaran dan pendidikan kepada masyarakat.

Sedarlah, idea menggabungkan masyarakat dengan mahasiswa seperti waktu dahulu mungkin memakan masa lebih lama. Terdapat jurang besar antara cara berfikir mahasiswa dengan masyarakat hari ini. Ini kenyataan.

Baru-baru ini, bertiup ura-ura mahasiswa mahu bertanding dalam pilihan raya akan datang. Berpunca daripada beberapa kenyataan dalam laman sosial, akhirnya ia dijadikan satu lagi isu yang dibincang mahupun diperdebat oleh ramai pihak.

Setakat kini, belum kedengaran lagi apa-apa respon daripada kerajaan. Mungkin belajar dari kesilapan - mereka berdiam diri sahaja. Tidak ada untung buat kerajaan.

Respon lebih penting ialah dalam kalangan penyokong gerakan mahasiswa itu sendiri, selain parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), individu bukan kerajaan (NGI) dan tentu sekali badan-badan mahasiswa.

Respon yang diterima pelbagai.

Sejak dari ura-ura kecil tersebut kedengaran, respon daripada orang-orang yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman mula dikumpul. Boleh dirumus secara ringkas - tetap berbelah bahagi.

Parti politik kelihatan senang hati dengan idea tersebut. Tertanya-tanya juga, apa sebabnya mereka bersetuju Andai kata parti politik menyokong dalam erti kata lain - mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai isu lain yang bakal berbangkit menjelang pilihan raya nanti.

Antaranya termasuklah pertembungan tiga penjuru (seperti yang berlaku pada PRU 2008), ataupun ahli parti yang berniat untuk bertanding terpaksa melupakan niat jika mahasiswa mahu bertanding di kawasan mereka.

Pertembungan tiga penjuru tidak menguntungkan mereka manakala mencantas peluang calon parti bagi memberi laluan kepada mahasiswa pula hanya menimbulkan perbalahan antara satu sama lain.

Pada pihak selain parti politik pula, respon mereka lebih tegas dan menimbulkan perdebatan. Beberapa rakan dari tidak senang dengan idea tersebut. Hujahnya; gerakan mahasiswa sepatutnya menjadi kumpulan pendesak yang bebas mengkritik dan menghentam dari luar.

Bukannya menjadi sebahagian daripada orang yang mereka hentam selama ini. Malah, dengan meletakkan calon bertanding menentang parti politik; hanya akan menjejaskan kredibiliti dan reputasi yang dibina selama ini.

Kritikan yang lebih mendalam lagi ialah berkenaan dasar dan aliran gerakan mahasiswa sendiri. Gerakan mahasiswa walaupun kelihatannya seperti berada di atas landasan politik, namun tidak pernah dibina untuk menjadi organisasi politik.

Ini membuatkan idea menyertai pilihan raya dilihat tidak relevan dan merugikan gerakan.

Secara peribadi, saya lebih terbuka dengan isu dan perdebatan mengenai idea mahasiswa menyertai pilihan raya. Saya tidak condong mengatakan mahasiswa wajar ikut serta; tidak juga condong untuk menghalang niat tersebut.

Jika menyertai pilihan raya mampu memberi impak dalam menggerakkan perubahan yang lebih besar dalam negara, idea tersebut boleh dipertimbang. Jika citacita mahasiswa itu untuk menjadi Ahli Parlimen atau ADUN, apa salahnya

Namun, hal ini perlu difikir lebih mendalam. Menyertai pilihan raya bukan idea yang kompleks - cari duit, cari calon yang sesuai, cari kawasan yang bagus, berkempen, dan akhirnya bertanding.

Prosesnya jelas.

Walaupun secara teknikal, proses ini sangat mencabar terutama dalam menggerakkan jentera dan mencari dana mencukupi, mahasiswa yang komited mampu sekurang-kurangnya menyertai pilihan raya, memastikan nama mereka tercalon, dan memberi cabaran kepada lawan serta tidak mustahil, menang.

Tetapi, yang menjadi kegusaran ialah isu pokok dalam politik pilihan raya itu sendiri iaitu ideologi politik.

Apakah bentuk ideologi yang mahu dipertaruh jika mahasiswa turut serta dalam pilihan raya Seperti yang diingatkan ramai pihak yang prihatin - gerakan mahasiswa bukan parti politik. Malah, dalam gerakan sendiri - selain mengkritik dasar kerajaan, mahasiswa sebenarnya kurang memperdebat idea-idea politik yang lebih bersifat ilmiah.

Sains politik tidak diamal dalam gerakan mahasiswa. Gerakan hari ini lebih bersifat aktivisme, bukan atas ideologi politik. Ini sama sekali berbeza dengan gerakan terdahulu yang fikrah politik penggeraknya lebih jelas. Gerakan hari ini tidak dibina atas prinsip ideologi politik seperti gerakan 1960-an atau 1970-an yang disertai mahasiswa dari kelab dan persatuan seperti Kelab Sosialis, Persatuan Bahasa Melayu dan sebagainya.

Gerakan hari ini lebih selesa dilihat sebagai bebas, bercita-cita tinggi, dan properubahan. Tiada ideologi yang dipertaruh (ironinya, parti politik hari ini juga berhadapan sentimen sama). Atas sebab ini, asas untuk mahasiswa bertaruh dalam pilihan raya politik tampak goyah.

Jika gerakan mahasiswa dibina atas dasar dan idea politik berlandas ideologi dan teori politik, pertikaian mengenai relevan mahasiswa bertanding sedikit terhakis. Namun sayangnya, ia tidak wujud. Asas politik sangat penting, supaya akhirnya - jika mereka berjaya dan berada dalam parlimen - mereka faham fungsi mereka sebagai orang yang menang pilihan raya politik.

Ada juga pandangan mengatakan, relevannya mahasiswa ikut serta dalam pilihan raya bukan untuk menjadi YB atau sebagainya, sebaliknya tanda protes kepada pihak yang tidak pernah mendengar tuntutan mahasiswa. Pandangan lain pula ialah untuk memberi pendidikan politik dan kesedaran hak kepada masyarakat.

Mahasiswa menyertai pilihan raya adalah manifestasi jelas untuk membuktikan kitaran kuasa politik tidak hanya berlegar dalam kalangan elit politik. Orang biasa daripada peringkat bawahan juga mampu memimpin masyarakat.

Kenyataan dan pandangan ini ada benar dan logiknya. Kuasa-kuasa politik selama ini hanya berlegar dalam kalangan orang-orang sama dan saling berkaitan. Maka yang demikian, sangat perlu bagi kuasa lain memecahkan monopoli kuasa itu.

Kita boleh bersetuju dengan pandangan ini tetapi ia perlu datang daripada hasrat untuk memecah dominasi lama, selain berniat jujur serta wajib mempunyai ilmu politik yang tinggi. Andai kata pemikiran sebegini diamal tanpa hatihati, takut pula mereka hanya memecah dominasi tetapi tidak pula menambah baik sistem sedia ada.

Perdebatan dan sudut pandang berbeza sangat perlu jika idea menyertai pilihan raya mahu dirai.

Cita-cita mahasiswa yang mempertahan idea menyertai (dan memenangi pilihan raya) untuk memastikan suara mahasiswa didengari di peringkat lebih tinggi, selain membuktikan mahasiswa mampu menjadi ancaman sebenar kepada orang-orang politik adalah cita-cita yang perlu dihormati dan dipandang tinggi. Namun, kejujuran dalam memperjuang citacita tersebut juga perlu. Figura-figura mahasiswa mungkin sangat popular dalam kalangan orang yang gemarkan politik, namun ia tidak mencukupi. Takut-takut akhirnya apabila meletakkan mahasiswa dalam pilihan raya umpama meletakkan selebriti filem untuk menjadi calon bagi memenangi undi.

Apa sekalipun, masih ada masa untuk kita fikirkan dengan lebih mendalam mengenai idea ini. Masyarakat belum habis menilai kemampuan mahasiswa. Dan tentu sekali, tarikh pilihan raya pun tidak ditetapkan.Jika bersungguh-sungguh mahu jatuhkan rejim, tanpa pilihan raya pun kita mampu lakukan!