Sesungguhnya dia hairan. Terlalu. Bukan apa, dia seperti tidak percaya yang masih ada warga kota batu ini setia pada agama. Ya, bukankah Krismas itu gunanya untuk menyambut kelahiran
Jesus. Setahunya peratus manusia yang pedulikan agama di Manhattan ini amat menyedihkan. Dia pun begitu. Dan bila difikir-fikirkan lagi sungguh-sungguh dia hairan. Orang masih menyambut Krismas
Salji tidak turun. Namun matahari juga tidak timbul. Malu menyorok entah di sudut mana! Dingin usah dikata. Melampaulampau. Sampai sepuluh di bawah paras beku. Melampaulampau! Dalam cuaca yang sebegitu buruk pun manusia tidak endah. Jalan raya tetap kandas. Pusat membeli-belah tetap penuh dan orang makin ramai. Dia pun seperti orang-orang lain. Tidak peduli pada cuaca yang melampau-lampau untuk memenuhkan jalan raya dan pusat membeli-belah!
Langkah kakinya teratur meskipun pantas gerakannya. Dia menunduk sahaja seraya berjalan pantas-pantas. Bukan apa, tahi anjing ditimbus salji malam semalam dan dilenyek-lenyek oleh sepatu yang beratus ribu, eiii, menjijikkan. Hati-hati dia hati-hati. Dia tidak kuasa membersihkan sepatu itu nanti. Novel Rabbit Is Rich karya John Updike disimpannya di dalam beg sandang. Elok-elok. Dia penat memegang buku itu. Ada beg tidak digunakan, dia merungut-rungut sendiri. Sesekali dia mendongak memerhati langit yang muram sahaja. Dia pula menjadi muram.
Tembok-tembok batu kotor terconteng. Sakit hatinya bukan kepalang. Dia juga sempat menjilat beberapa ayat yang tertulis. Sakit hatinya meletup-letup. Dia menjilat lagi dengan matanya.
Lorice Washington sundal!
Gay binatang...
Geram. Makin dibaca makin geram. Dia melangkah lebih laju.
Kali ini dia tidak tunduk memerhati jalan lagi. Ada tahi yang dipijak juga. Mujur dia orang yang entah keberapa ratus ribu. Dia laju. Namun hati-hati. Dia tidak mahu tertiarap jatuh. Licin dan lembap lorong pejalan kaki.
Dia berfikir-fikir. Isu ini sudah menjadi isu antarabangsa. Isu yang mencabar perlembagaan. Isu yang meledak tiba-tiba. Isu Lorice Washington dan kekasihnya Emma Luntschild. Isu yang menyatupadukan masyarakat homoseksual.
Dia ketawa merendah bila teringatkan definisi Christopher Isherwood. Anda seorang homoseksual apabila anda mencintai lelaki lain. Dia lebih bersetuju dengan definisi Dennis Altman. Homoseksual adalah orang yang lebih suka kepada pasangan yang terus setia dan sentuhan fizikal dan emosional kaum sejenisnya. Definisi yang difahami orang sekarang ini adalah golongan yang tertarik kepada kaum sejenisnya. Tidak benar, tidak benar, fikirnya lagi.
Dia berfikir-fikir lagi. Lebih bersungguh. Dalam benaknya sudah bergaris beberapa hak-hak golongan homo yang ternafi dan diabaikan.
Hak untuk mendapatkan pekerjaan atau hak untuk terus bekerja.
Hak untuk ke gereja.
Dia tersenyum mengejek. Paderi-paderi kononnya baik!
Hak untuk melakukan pembedahan jantina dan menerima hormon osterogen.
Hak untuk mendapatkan anak angkat.
Isu inilah isu sebenar dalam bara isu Lorice dan pasangannya.
Dan sejak isu gay ini menjadi-jadi, berlaku jua serangan ke atas kelab, bar dan kafetaria gay. Harta benda golongan homo dirosakkan. Gay juga disisihkan keluarga. Polis pula mempermainkan sahaja. Lebih berat ada gay yang diserang secara ganas, bedebah anti homo!
Dia memandang papan tanda penunjuk arah. Dia membelok ke arah Jalan Washington. Kaki yang sepasang dikayuh lebih laju. Dia sudah tidak mem-pedulikan lagi pada tahi anjing atau tahi apa sahaja! Dia ingin lekas-lekas tiba. Dia sebenarnya penat, namun dia tetap melangkah. Penat itu usah dikira.
Matanya memanah poster-poster yang ditampal di temboktembok dan tong-tong sampah. Ada yang sudah dikoyak dan ada yang sudah diconteng. Poster itu dikenalinya. Dia sendiri menampalnya di beberapa sudut sekitar Fifth Avenue ini. Dia juga sudah menghafal kata-kata pada poster-poster itu.
Gay Power! Perhimpunan Raksasa pada 2 haribulan Januari.
Bersama menentang kuasa gereja! : Jam 10 pagi.
Poster-poster serupa itu memang banyak tertampal merata-rata. Bukan setakat sekitar Fifth Avenue sahaja. Malahan seluruh Manhattan. Juga di Harlem, Brooklyn, Wall Street, Ellis Island, Long Island. Pendek kata seluruh New York. Dan perjumpaan besar julung-julung kali itu akan turut disertai pertubuhanpertubuhan gay dari bandaraya-bandaraya seluruh Amerika. Terbesar! Perjumpaan paling hebat dalam sejarah.
Dia meneruskan langkah sambil menggetap bibir yang kian biru kesejukan. Dia mengemaskan mafela. Sekejap kemudian dia membetulkan pula kedudukan cap yang terserkup di kepala. Dia dapat melihat semacam asap tipis keluar dari mulutnya.
Dia kemudian melewati blok F untuk menuju terus ke kawasan perniagaan di Jalan Twist. Dalam pada itu dia berfikir-fikir. Dalam fikirnya, tentang isu gay yang disebut-sebut sekarang ini. Sampaikan Krismas pun tidak disebut orang! Walaupun masih ramai yang sibuk-sibuk dengan perayaan 25 Disember itu. Ya, isu yang tidak sepatutnya menjadi isu hangat. Bob Luntschild menceraikan isterinya, Emma Luntschild. Emma adalah kekasih Lorice Washington.
Emma berhasrat untuk membawa anaknya yang seorang itu bersama. Tinggal bersama Lorice, tinggal dalam keadaan lesbian. Ini ditentang hebat oleh Bob dan gereja. Kata mereka Emma, melampau! Kelak anak perempuan itu pula dididik menjadi lesbian seperti dirinya. Hak penjagaan Emma, dicabar Bob. Maka terjadilah perbicaraan yang meresahkan dan mendebarkan masyarakat gay.
Lama-kelamaan isu ini membesar, dicampur tangan oleh pertubuhan-pertubuhan gay. Di sebelah sana, Rumah Putih dan gereja menyokong. Wah! Meletup tiba-tiba sahaja. Penduduk New York terbahagi tiga:
Pertama: Menyokong sepenuhnya Emma dan Lorice.
Kedua: Menyokong gereja menentang homoseksual.
Ketiga: Agak terbuka dan tidak menyokong yang mana-mana.
Dia terus-terusan menyusuri Jalan Twist yang masih panjang penghujungnya. Destinasinya nun hujung di sana. Dia sudah letih namun digagahkannya juga. Kedai Cruise itu merupakan pusat gerakan mereka di bahagian tenggara Fifth Avenue ini.
Dia bersiul-siul menurut lagu Tears On My Pillow. Dan dirasanya mood yang baik tidak usahlah dirosakkan dengan lagu-lagu pilu sedemikian, dia pun bersiul-siul pula mengikut lagu Sealed With A Kiss.
Dia tiba di Kedai Cruise. Tanpa sabar dia segera melangkah masuk. Cruise di hadapan mesin kira-kira tersenyum manyambut.
You, kau gila meredah sejuk begini ke sini
Dia cuma ketawa rendah.
Ada benda penting ni!
Cruise berkerut. Batal
Dia pula berkerut. Batal Apa yang batal
Cruise menggaru-garu kepalanya. Dia berfikir-fikir. Perjumpaan
Isssyyy, mengarut. Tidak. Cuma, emmm....
Cruise memandang sungguh-sungguh. Cuma apa
Dia ketawa lagi. Perlahan sahaja. Begini, perwakilan dari Boston tiada tempat penginapan lagi. Tumpang di pangsapuri kau Berapa orang Cruise memegang dagunya seolah-olah berfikir.
Ala lima orang sahaja.
Cruise memegang dagunya. Tahulah dia yang Cruise masih berfikir-fikir. Boleh. Sahutnya pendek seraya mengangguk perlahan.
Dia ketawa lagi. Ketawa yang lebih kepada mengada-ngada dan menggoda. Ada sebarang pita baru
Nun di sana, pergilah pilih sendiri.
Dia mendengar kata. Dia segera ke rak pita di hujung. Pita-pita lucah Gay Pornographic Movie tersusun kemas di sana. Dia memilih-milih. Matanya menangkap pita bertajuk Macho Man. Gambar kulitnya menjadikan dia bernafsu. Dia teringin.
Macho Man... bagus tak
Ketawa Cruise menjalang pada telinganya kedengaran. Paling bagus. Kau ni pandai memilih. Cruise ketawa lagi. Panjang hilaiannya.
Dia ketawa juga. Dia cepat-cepat ke kaunter Cruise di hadapan. Dia mengeluarkan dompet dan wang sepuluh dolar dikeluarkannya juga. Wang itu diserahkan kepada Cruise.
Enjoy it! Cuba tau... Cruise ketawa lagi. Kuat-kuat.
Bitch! Dia membelalakkan matanya tetapi turut ketawa panjang. Dia segera melangkah keluar apabila terlanggar seorang lelaki di luar kedai. Lelaki itu jatuh. Pita lucah itu juga tersadai di atas tanah. Dia kaget awalnya tetapi cepat-cepat dibantu lelaki tersebut.
Maafkan saya. Awak tak apa-apa
Lelaki itu menggeleng. Tidak....
Dia tersenyum sambil menghulurkan tangannya. Saya Tim.
Lelaki itu tersenyum mesra. Errr, saya J.C.
Tim tersenyum lagi. Dia kenal siapa J.C. Seperti dia juga!
***
Di dalam kalendar Rom tua, Disember merupakan bulan kesepuluh. Sesuai dengan asal perkataan Latin Decem bermakna sepuluh. Orang Saxon menyebut bulan ini sebagai mid winter mouth atau winter month. Sekadar mengingati iklim pada bulan Disember. Kedatangan Kristian mengubah sebutan menjadi holy month bagi menghormati tarikh 25 Disember.
J.C tahu tentang itu. Namun dia seronok melihat pak ciknya bercerita kepada cucu-cucunya. Anak-anak Bill dan Janet, sepupunya. Budak-budak itu yang sudah penat berlari-lari di dalam rumah dan bermain London Bridge Is Falling Down, juga menghadap permainan video sehari-harian asyik mendengar cerita-cerita Pak Cik Bruce. Mata mereka tidak berkedip-kedip lantaran leka dan asyik.
J.C kau tak lapar
J.C menggeleng. Muka mak ciknya direnung sungguh-sungguh. Kalau saya lapar, saya tahu ambil sendiri.
Mak Cik Jill tersenyum. Namun yang sebenarnya dia risau. Dia risau benar melihat perubahan fizikal J.C. Kurus sekali badannya. Terlalu! Dia tahu ada sesuatu yang dideritai oleh anak saudaranya itu tetapi dia tidak mahu bertanya. Tidak terucap mulut. Makanlah sedikit ya, sebelum tidur.
Ya, biarkan sahaja.
Mak Cik Jill tersenyum nipis. Dalam benaknya kusut pertanyaan.
Kenapa J.C
Kenapa ketara sekali perubahan Mak Cik Jill menyeluruhi wajah J.C. Sebagai orang tua yang masak dengan kehidupan dan mengenali J.C sejak dari kecil lagi, dia tahu J.C sedang menyembunyikan sesuatu. Sesuatu yang besar. Sesuatu yang terpendam sekian lama. Sakitkah J.C Mak Cik Jill terus berfikir-fikir. Namun lebih lama difikirkan, lebih lama dikaji dan direnung dia semakin bingung. Semakin kacau.
Biarlah mak cik ke dapur dulu ya J.C.
J.C mengangguk seraya tersenyum manis. Dia merelakan. Biarlah saya seronok di sini. Seronok perhatikan Pak Cik Bruce yang leka melayan budak-budak tu. Mata J.C kembali kepada pak ciknya. Cucu-cucunya sudah mula mendakap datuk mereka tanda bersedia untuk masuk tidur. Ketika mereka melintasi J.C dengan mesranya mereka memeluk J.C juga.
Marilah ke sini. Kita berbual-bual. Krismas dua hari lagi. Selepas itu sibuk pula nanti. Pak Cik Bruce memandang J.C. Dia akur lalu segera duduk di sisi pak ciknya.
Lama cuti kau
Sehingga awal tahun hadapan... Februari.
Emm, lama tu. Baguslah kau perlu berehat lama-lama. Pak Cik Bruce tersengih lebar. J.C membalas senyuman mesra.
Kau nampak kurus benar J.C. Lesu dan pucat sahaja.
Errr, perubahan cuaca barangkali.
Pelik juga, kau sepatutnya dah biasa dengan cuaca New York. Pak Cik Bruce semacam meragui.
Emmm, biasa sahaja. Kurus tu memang saya sengajakan, diet.
Tapi terlalu!
J.C ketawa dibuat-buat. Pak Cik Bruce naik hairan. Muka J.C direnungnya. Dia dapat mengagak sesuatu sedang bergelodak dalam telaga fikiran dan perasaan J.C. Nalurinya berkata begitu. Namun dia tidak pasti apakah ia.
Bagaimana kerja kau
Emmm, biasa. Mungkin saya akan berhenti.
Pak Cik Bruce merenung tajam ke arah J.C. Berhenti J.C angguk berkali-kali. Dan tinggal di sini.
Wajah Pak Cik Bruce berseri-seri. Youre welcome my son, youre always welcome. Pak ciknya itu ketawa merendah. Kesukaan. Kenapa Kenapa tiba-tiba.
Sajakan. Saya tiada saudara di sana. J.C membuat dalih.
Pak Cik Bruce mengangguk setuju. Betul, di sini kami ada.
J.C memandang wajah pak ciknya. Lelaki 64 tahun ini botak licin. Dia bercermin mata, berwajah serius. Sejak beberapa tahun ini gemuk pak ciknya bagaikan dipam-pamkan. Dia masih ingat betapa dia begitu manja dengan pak ciknya ketika kecil dahulu. Dia sering mengikut pak ciknya yang bekerja sebagai pemandu ambulan di Hospital St. Elsewhere. Sering juga mengikut pak ciknya ke gereja. Pak ciknya aktif dengan aktiviti gereja.
Dah lama kita tak bersiar-siar bersama. Apa kata esok kita pergi merayau Bagaimana J.C mencadangkan.
Pak Cik Bruce menggeleng. Pak cik ada mesyuarat di gereja. Penting. Kami akan adakan perjumpaan juga bagi menyaingi kumpulan homo.
J.C terperanjat besar tetapi segera dilindunginya. Dia cuba tersenyum. Dia berasa takut tiba-tiba. Terucapkah aku kelak untuk mengkhabarkan kepada mereka tentang cara hidup aku.
Sesungguhnya aku pengamal homoseksual. Sesungguhnya aku penghidap AIDS. Mampukah aku
Kami menentang isu Luntschild dan Washington. Kami akan cuba dapatkan sokongan orang politik.
J.C terus memerhati muka pak ciknya. Dia gelisah sekali. Terlalu.
Fikirannya kacau amat. Di kepalanya tergambar Norman dan Ralph bersilih ganti. Kemudian susuk tubuh Doktor Faridah pula menjelma. Dia khuatir.
Gay sudah terlalu bebas meruntuhkan moral di sana sini. Menjijikkan!
J.C berkecamuk. Dia tidak dapat membayangkan penerimaan Pak Cik Bruce. Atau Mak Cik Jill. Bersediakah mereka Bersediakah aku Risau sungguh. J.C tidak tahu tindakan apa yang harus diambilnya. Apa yang harus dilakukannya dalam serba salah begini. Tujuannya pulang cuma satu. Ya, memberitahu keluarganya soal AIDS yang sudah kritikal dan genting ini.
Mereka ini seperti anjing kurap! Pak Cik Bruce mengibasngibas lalat yang entah dari mana datangnya.
J.C ribut dalam dadanya. Sudah ada yang berderai-derai dalam perasaan ini. Dia ketakutan tiba-tiba. Beranikah aku nanti J.C tidak tahu apa yang harus dibuat. Alangkah bagusnya kalau ada Paul yang boleh membantu. Segala-galanya dirasakan rosak. Rosak yang terancang. Rosak yang diharap.
Anjing kurap hehhhh. Pak Cik Bruce mula mengamati seekor lalat yang tersesat hinggap secara berani di pengalas tangan kerusi malasnya.
J.C lebih kacau. Penghinaan pak ciknya terhadap golongan gay satu bukti yang dia tidak mudah menerima homoseksual. Tidak mudah sama sekali! Dia dapat rasa sesuatu yang tidak diingininya, sesuatu yang tidak disukainya bakal berlaku. J.C gusar. Dan debar di dadanya tiba-tiba sahaja berdenyut lantang.
Kurap... ya mesti dihapuskan. Mesti dimusnahkan.... Pak Cik Bruce menampar lalat tersebut. Sekali ia terus terkulai dan dilenyek lagi. Lenyek lagi.
J.C menelan air liur. Dia berasa amat lemah. Pendirian pak ciknya itu seperti tidak tertentang olehnya.
Ya, mereka itu ahli neraka. Mesti diajar. Pak Cik Bruce masih memicit-micit lalat yang telah pun terburai isi perutnya. Pak Cik Bruce merenung puas pada lalat sebelum kembali memandang kepada J.C. Ya, mesti diajar!
J.C terketar tiba-tiba. Dia seperti lalat sahaja.
***
Malam itu J.C gelisah sekali. Terlalu gelisah. Di atas katil dia menggeresah hebat. Sekejap-sekejap dia terbayang Norman. Dan dia terbayang bagaimana dia mengusap rambut Norman. Dia mengucup bibir Norman dan seterus-seterusnya.... Dia tergambar wajah gelojoh Ralph selalu-selalu. Ralph menyeringai puas setelah mendapat apa yang terhajat. Dia dapat melihat di hadapan mata bagaimana Ralph memuaskan kehendak dan dia merelakan, kerana sesungguhnya dia pun begitu dahaga!
Dia terbayangkan acap-acap kali Pak Cik Brucenya, Mak Cik Jill. Dia dapat melihat wajah paderi-paderi di gereja. Dia dapat merasakan seakan-akan sesuatu yang kosong membuatkan dirinya melayang. Dia terbayangkan wajah Paul, tiba-tiba Baizura juga. Dan dia semakin kecamuk. Semakin kacau. Tidak menentu.
J.C serabut. Apabila dia tertidur dalam mimpinya dia dapat melihat malaikat maut mengejarnya dan Norman terbakar di dalam kuburan. Ia bagai lukisan hiasan di siling gereja-gereja Ortodoks.
Entah kerana itu, J.C jadi takut. Sungguh-sungguh takut!