DIAGNOSIS: DELUSI - 7
Bang, saya nak cepat ni bang. Tapi sebelum saya pergi, saya nak beritahu satu rahsia ni.

Shah tiba-tiba datang menyapa Farish yang sedang menunggu supervisor nya di klinik psikiatri HUSM. Farish merupakan pelajar perubatan tahun empat dan mengikuti kursus elektif di situ.

Pada mulanya, dia ingin menyelesaikan kursus elektif di salah sebuah hospital psikiatri di London. Namun, hasratnya tidak kesampaian apabila tidak mendapat maklum balas daripada pengarah hospital tersebut. Jadi, dia memilih HUSM sebagai tempat elektifnya. Lagipun, sekurang-kurangnya dapatlah dia menjadi peneman kepada neneknya yang berada di Pasir Mas untuk sebulan itu.

Sila, sila. Rahsia apa yang awak nak beritahu saya ni soal Farish. Dia mengalihkan buku nota di tepinya untuk memberi ruang kepada Shah untuk duduk.

Ni, abang nampak tak saya bawa beg ni Boleh eh saya panggil abang ni soal Shah kepada Farish.

Boleh-boleh, tak ada masalah.

Abang nampak tak beg yang saya pegang ni kata Shah sambil menepuk beg bimbit berwarna hitam yang dibawanya.

Dalam ni ada duit RM100,000 bang, kata Shah. Usianya baru 16 tahun, namun segak bergaya persis seorang ahli korporat, dengan sut hitam dan tali leher berbelang hitam putih.

Uish, banyak duit tu. Awak nak buat apa duit banyak-banyak ni

Tu lah masalahnya bang. Ada orang nak curi duit saya sekarang ni. Diorang cakap saya curi duit syarikat diorang. Mana ada bang, saya jumpa duit ni dekat bukit belakang rumah saya. Tu yang saya bawa sekali dua orang bodyguard saya tu. Shah cuba menjelaskan perkara yang berlaku. Dia juga menuding jarinya ke arah luar pintu klinik, untuk memberitahu kehadiran dua orang bodyguard nya.

Yeke, tapi kenapa awak bawa duit banyak-banyak ni

Saya otw nak jumpa seorang Dato ni. Ada urusan bisnes. So ni duit pelaburan untuk business saya kat overseas tu.

La, kayanya awak. Ada business kat overseas lagi.

Memanglah saya kaya. Sebab tu kena bawa bodyguard sekali. Diorang siap ada pistol lagi. Memang matilah siapa-siapa yang nak curi duit tu.

Dahsyat sangat tu. Habis tu cukup tidur tak ni Ni nak kena buat urusan penting lagi ni. kata Farish kepada Shah. Farish cuba mencari maklumat lebih lanjut mengenai diri remaja itu.

Eh, saya tak tidur pun malam tadi. Tapi saya okey je bang. Abang jangan bimbang. Tengok ni, saya tak rasa penat pun.

Shah bangun dari tempat duduknya dan menunjukkan biceps kanannya. Gelagatnya diperhatikan oleh pesakit-pesakit lain yang berada di situ.

Takpe, awak duduk je. Ni saya nak sembang lagi dengan awak ni.

Boleh bang, tak ada masalah. Abang nak tanya apa, abang tanya je.

Sejak bila dah tak tidur ni

Menipu benor kalau saya cakap tak tidur kan. Saya tidur juga tapi 2-3 jam tu cukup dah bang. Tak macam orang lain, tidur lama-lama pun lembik juga lepas tu..

Wah dahsyat sangat tu! Kalau saya memang tak bolehlah tidur sekejap macam tu.. Ni nak tanya, ada tak kadang-kadang tu rasa sedih tetiba ke

Ada jugalah kadang-kadang tu. Bila rasa sedih tu memang sedih sangatlah. Tapi tak tahu la pula kenapa.

Habis tu ada tak pernah rasa nak bunuh diri masa sedih tu

Rasa tu memang ada bang. Tapi tak pernahlah saya buat betulbetul. Takut juga, nanti mati betul-betul susah juga tu. Farish tergelak mendengar kata-kata Shah.

So memang dah lamalah datang sini soal Farish kepada Shah. Shah seperti cacing kepanasan. Dia kelihatan gelisah sejak mereka berbual tadi.

Baru sekali datang hari tu. Saya datang ni pun sebab doktor tu baik. Cantik pula tu. Itu yang busy pun datang juga.

Belum sempat Farish membuka mulut, Shah menyambung katakatanya lagi. Eh, kejap eh bang. Nak tunjuk business card saya kejap. Bagi saya seminit. Nak kena cari dalam dompet ni haa. Maklumlah banyak sangat kad, kata Shah sambil mengeluarkan dompetnya.

Tapi apa yang dilihat Farish hanyalah kertas-kertas lama dan cebisan surat khabar di dalam dompet berwarna coklat gelap yang lusuh itu. Farish hanya melihat gelagat Shah. Lawak betullah budak ni. Entah apa-apa, getus hatinya.

Di hujung klinik itu, kelihatan barisan pesakit yang beratur untuk mendapatkan methadone semakin panjang. Salah seorang pesakit itu lalu di hadapan kami berpakaian kemas. Jika dilihat dari luar, dia hanyalah kelihatan seperti orang yang biasa di luar sana yang bekerja, tidak seperti golongan yang menyalah gunakan dadah.

Eh, hati-hati sikit. Tengok bro tu lalu. Baru lepas ambil ubatlah tu, kata Shah kepada Farish. Dia masih mencari-cari business card nya.

Tak pelah, sekurang-kurangnya dia try nak berubah kan. Farish bersangka baik.

Bang, bahaya pula nanti kalau saya pass kad kat abang. Lagipun dah lambatlah nak gi jumpa Dato ni. Lain kalilah bang kita jumpa lagi eh. Shah menutup dompetnya dan memasukkan ke dalam kocek seluarnya kembali.

Dia kemudiannya bangun dari kerusi itu dan menghulur tangan kanannya untuk bersalaman dengan Farish.

Bang, jangan beritahu sesiapa lah pasal duit dalam beg ni eh. Nanti susah pula saya. Okeylah bang, saya chow dulu. Nanti bodyguard saya mesej abang. Shah berlalu pergi meninggalkan Farish. Dia berjalan keluar dari klinik itu dengan gaya seorang pelakon lelaki yang baru menang award.

Farish tersenyum melihat gelagat Shah. Dia merasakan bahawa situasi yang baru dialaminya seperti babak dalam cerita Melayu. Ibarat seorang ahli politik yang penuh dengan angan-angan dan fantasi. Hakikatnya hanyalah delusi dan ilusi. ****

Minah Saleh dan Orang Kaya menceritakan mengenai kisah dua orang remaja yang menghidapi penyakit Bipolar Disorder.

Secara ringkasnya, penyakit ini boleh didefinisikan sebagai perubahan emosi yang melampau di mana pada suatu masa pesakit boleh berada di kutub manic (manic episode) dan pada masa yang lain berada pada kutub kemurungan (depressive episode)

Berikut adalah kriteria untuk mendiagnosis pesakit Bipolar disorder mengikut DSM-5:

Episod manic/ manic episode:

1. Keyakinan diri yang terlampau tinggi (inflated self-esteem or grandiosity)

2. Kurang tidur (decrease need to sleep) berasa cukup rehat atau tidak letih walaupun tidur hanya 3 jam sahaja.

3. Bercakap lebih banyak dari biasa (more talkative than usual).

4. Mempunyai idea atau topik yang terlalu banyak difikirkan (flight of ideas).

5. Cepat hilang tumpuan kepada perkara yang remeh-temeh (distractibility).

6. Terlalu banyak aktiviti yang ingin dilakukan (increased goal-directed behaviour) kerja, social, sexual.

7. Terlibat dalam banyak aktiviti yang menyeronokkan namun mempunyai akibat yang buruk - berbelanja berlebihan (spending spree), melakukan hubungan seks rambang.

Episod kemurungan/ depressive episode

1. Perasaan sedih, tidak gembira dan tidak ceria lebih daripada dua minggu

2. Hilang minat dalam melakukan aktiviti seharian

3. Hilang berat badan tanpa diet atau naik berat badan/ kurang atau bertambah selera makan

4. Kurang atau terlebih tidur

5. Fungsi psikomotor berkurangan

6. Rasa penat atau hilang tenaga

7. Rasa bersalah, tidak berguna atau putus harapan

8. Kurang keupayaan berfikir atau fokus

9. Banyak fikirkan kematian (bukan hanya takut mati), berfikir cara untuk membunuh diri, atau cubaan bunuh diri

Penyakit ini juga salah satu penyakit keturunan di mana, jika salah seorang dari ibu atau bapa ada menghidapi penyakit ini, risiko anak untuk menghidapinya juga adalah sebanyak 40%. Pesakit juga suka memakai pakaian yang berwarna terang (colour-blocking) dan memakai make-up tebal. (so, jangan pakai make-up tebal sangat ok!)

Seperti Miss Ann dan Shah, mereka sedang mengalami episode manic. Mereka mempunyai self-esteem yang terlampau tinggi. Miss Ann juga merasakan bahawa dirinya adalah seorang wanita yang sangat cantik, bijak dan pandai berkata-kata. Malah dia juga percaya bahawa seorang lelaki yang kaya-raya dari German mahu mengahwininya (delusi). Manakala Shah pula percaya bahawa dia mempunyai duit yang banyak, yang diperoleh dari kawasan gunung belakang rumahnya (delusi). Dia juga banyak bercakap, tidak letih walaupun kurang tidur dan berhalusinasi (dua orang bodyguard bersamanya).

Mengapa Bipolar Disorder perlu dirawat

Seseorang yang mengalami penyakit ini tidak dapat mengawal diri sendiri. Hal ini seterusnya akan memberikan kesan yang buruk terhadap hubungan dengan orang lain, kerjaya mahupun boleh menjejaskan keselamatan diri atau orang lain.

Akibat buruk yang paling bahaya boleh berlaku kepada mereka adalah cubaan membunuh diri. Hal ini kerana bipolar disorder adalah antara penyakit mental yang mempunyai risiko bunuh diri yang paling tinggi.