Aku tiba di pejabat SPRM sekitar jam 6.15 petang 15 Julai 2009. Aku hanya seorang dan ditemani enam hingga tujuh pegawai SPRM yang lain. Aku tidak menafikan berasa sedikit kurang selesa dengan situasi ini. Sudahlah komunikasi dengan luar diputuskan, dan sekarang aku dikerumuni manusia yang boleh aku sifatkan sebagai terlalu ghairah untuk menyoal siasat aku. Lebih-lebih pula, aku ini wakil dari parti politik yang tidak sama dengan bos-bos atasan mereka. Aku dari parti DAP, bertugas untuk Ahli Majlis Mesyuarat Negeri kerajaan Pakatan Rakyat Selangor manakala mereka mungkin tidak berparti tetapi berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional. Apa pun partinya, aku cuma berharap, mereka dapat menjalankan tugas dengan baik dan profesional. Bukankah gaji kakitangan awam dibayar oleh cukai-cukai yang dipungut daripada rakyat
Aku masuk ke pejabat SPRM. Tiada sesiapa pun cuma mereka. Aku diarahkan untuk duduk di dalam sebuah bilik Bahagian Pendidikan Masyarakat. Di sini ada tiga buah sofa. Ada dua sofa bagi tempat duduk seorang dan satu lagi sofa untuk tiga orang. Setelah duduk. Baru saja menghela nafas kepenatan seharian bekerja, aku didatangi enam hingga tujuh orang pegawai. Seperti yang aku katakan tadilah.
Rupanya mereka peminat aku. Semua mahu berkenalan dengan aku. Aku agak kebingungan. Mereka banyak bertanyakan aku soalan-soalan peribadi seperti, Awak dah kahwin, Dulu belajar kat ner Bidang apa, Dulu kerja apa... Pada mulanya aku hanya melayan saja. Lama kelamaan aku dapati aku sedang dibuli. Seorang demi seorang bertanyakan hal yang sama kepada aku walhal mereka bukan duduk jauh-jauh.
Aku keletihan. Aku dalam keadaan begini dari petang sehingga malam sekitar jam 10.40 malam.
Woi! Aku bukan budak baru masuk asrama kena buli macam ni! Aku adalah saksi! Orang yang sangat kamu perlukan dalam siasatan kamu! Mana pergi rasa hormat dan perikemanusiaan kamu
Pegawai yang bernama Najieb, yang pandai-pandai memeriksa komputer riba aku di pejabatku tadi datang meminta untuk mengakses emelku untuk mengakses semula keempat-empat dokumen yang kononnya mengandungi bahan bukti.
Sebagai saksi, sudah aku katakan, aku memberi kerjasama yang baik kepada mereka. Aku menaip kata laluan emelku supaya Najieb dapat memuat turun dokumen yang dimahukan.
Mana pergi Anuar Rupa-rupanya pada jam lapan malam dia perlu balik ke rumah untuk uruskan hal rumah tangga. Anuar beritahu dia perlu menjemput ketibaan pembantu rumahnya. Jadi Anuar digantikan oleh si muka bengis Hairul Ilham sebagai pegawai penyiasat buat sementara wakutu. Hairul Ilham pula mengarahkan Arman Alies untuk memeriksa empat fail yang mengandungi dokumen yang diperoleh dari Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah. Senang-senang saja Anuar sebagai pegawai penyiasat meminta Hairul Ilham menggantikan posisinya. Aku pun tak pasti sama ada dalam mana-mana proses penyiasatan, adakah tindakan anuar ini dibenarkan Siapa akan bertanggungjawab jika apa-apa berlaku terhadap aku tanpa pengetahuan pegawai penyiasat
Arman ini adalah pegawai SPRM dari Ibu Pejabat Putrajaya. Dia yang meneliti dokumen-dokumen seperti yang diarahkan Hairul Ilham.
Sesi temu bual bermula
Masa bertugas sebagai wartawan dahulu, aku yang menemubual orang, sekarang, aku pula yang ditemu bual. Aku ditemu bual oleh dua orang pegawai SPRM iaitu Arman dan seorang lagi bernama Ashraf Mohd Yunus. Ironikan Hidup sering didatangi dengan peristiwa dan keadaan yang kadang-kadang bagiku melucukan. Suka aku memanggilnya karma.
Sekitar jam 10.45 bertarikh 15 Julai 2009 hari yang sama, aku diarahkan untuk masuk ke sebuah bilik mesyuarat yang agak besar. Aku dalam kepenatan tetap tenang-tenang saja. Sesekali terasa ragu juga dengan sesi kali ini memandangkan aku telah dibuli sebelum itu oleh macai SPRM walhal aku bukan dalam tahanan polis. Sekalipun jika begitu, pihak berkuasa tidak boleh melakukan sesuka hati mereka terhadap orang lain. Kita adalah manusia yang harus memiliki peribadi yang manusiawi bukannya haiwani.
Sudah aku jangka, dua pegawai itu melangkaui skop tugas mereka apabila aku ditanya soalan bertalu-talu tanpa henti berhubung empat dokumen yang mereka siasat itu. Aku pasti, siapapun tidak akan suka ditanya bertalu-talu. Di kesempatan ini, aku pula ingin bertanya. Duhai encik Arman dan encik Ashraf, kenapa kedua kamu bertanya soalan kepadaku bertalu-talu Sekarang aku sudah mati. Adakah kamu puas Adakah kamu gembira dengan kematianku Atau memang kamu mahu aku mati ya Aku sangat ingin menemui kamu berdua. Walaupun aku berada di dimensi yang berbeza, satu masa kelak, kita bakal bertemu. Ketika itu, kita akan bersua.
Aku berasa sangat marah kerana dibuli sebegini rupa. Aku tahu aku berketurunan cina dan mereka berketurunan melayu. Perbezaan kaum maupun agama bukan bererti mereka boleh melakukan sesuka hati terhadap orang lain malah aku percaya semua ajaran agama menegah penganut mereka melakukan perbuatan aniaya seperti ini.
Kalau mereka berdua membuli aku kerana aku seorang cina, lebih-lebih pula aku berjuang dalam DAP, sekarang soalan aku ialah, adakah kamu suka jika ada seseorang daripada kaum yang lain menyoal siasat kamu begitu rupa Sepatutnya soal kaum tidak timbul. Semua kita adalah rakyat berbilang bangsa yang telah bersumpah taat setia kepada negara, dan parti DAP pula adalah parti yang sah di sisi perlembagaan dan berjuang demi seluruh lapisan masyarakat.
Buat Arman dan Ashraf, kamu mahukan dokumen, aku sudah berikan. Temanmu mahu buka emelku, aku layani. Kalian bertanyakan soalan peribadi, aku jawab. Kalian membuli aku, aku tidak melawan. Apa sebenarnya yang kalian mahu
Bermula dari jam 10.45 malam, aku disoal siasat tanpa henti sehingga jam 12.45 malam bertarikh 16 Julai 2009. Dalam tempoh soal siasat dijalankan, bosku Ean Yong telah datang bersama seorang peguam wanita sekitar jam 11.45 malam meminta kepada pegawai SPRM agar dibenarkan menemui aku. Tetapi, si bengis Hairul Ilham telah menolak permintaan Ean Yong. Dia hanya berkata kepada Ean bahawa aku akan dibebaskan sekitar jam lima pagi nanti.
Pegawai penyiasat bernama Anuar yang pulang untuk menguruskan hal rumahtangganya pada jam lapan malam tiba di pejabat sekitar tengah malam 16 Julai 2009.
Kamu boleh bayangkan sendiri bagaimana keadaanku ketika itu. Aku benar-benar keletihan. Jangan lupa bahawa pada 17 Julai 2009, esok, adalah tarikh majlis perkahwinanku. Banyak perkara yang perlu diuruskan. Cuba sama-sama kita fikir, bukankah SPRM sendiri berkuasa untuk menangguhkan sementara siasatan mereka, beri sedikit masa kepada aku. Selesai kahwin, siasatlah! Tak perlulah tahan aku lama-lama di saat aku pun ada urusan keluarga yang penting. Ia soal kehidupan dan masa hadapan aku untuk keluarga! SPRM memang tidak ada peri kemanusiaan. Tergamak mereka lakukan begini.
Lepas sesi soal siasat kedua selesai, aku diberikan masa untuk berehat selama 15 minit. Aku diiringi semula ke Bahagian Pendidikan Masyarakat. Di situ, aku bertemu dengan Lee Wye Wing. Aku terkejut! Rupanya dia juga disiasat. Aku dan Lee dibiarkan berdua di ruangan itu. Menurut Lee, sepatutnya dia yang lebih layak disiasat memandangkan siasatan SPRM tertumpu pada skop dan tugasnya melibatkan sebut harga dan seumpamanya.
Kematianku bukan sebab sakit. Aku tidak mati kerana dijatuhkan hukuman mati. Aku mati dalam tempoh siasatan! Aku mati dalam siasatan pegawai kerajaan. Aku mati jatuh bangunan milik SPRM. Kematianku misteri. Ada orang menuduh aku membunuh diri. Mana mungkin! Aku akan berkahwin dengan wanita yang aku sayangi pada 17 Julai 2009! Sebab itu aku katakan kematianku satu misteri dan akan ku ceritakan semuanya di sini.
Justeru, amat wajar sekali kamu bertanya. Mengapa Bagaimana Apa Siapa Sebab itu, ia mewajarkan aku menulis buat kamu di dunia. Supaya kamu mengerti dan mengambil peduli, bahawa kematianku perlu dibela dan tidak sia-sia.
Aaaah! itu suara terakhir aku dengar sebelum menyedari aku sudah berada di anjung tingkat lima.
Aku hanya mendengar sepintas lalu sekelip mata sejenis bunyi pelik, bunyi yang seakan-akan kamu memandu di dalam terowong sebaik sahaja tubuhku mencecah lantai tingkat lima. Aku tidak dapat melihat apa-apa. Keadaan sekeliling gelap. Dalam beberapa detik... satu saat... setengah saat...0.1 saat...entah! Dengan tiba-tiba, dalam kekeliruan, datang satu pancaran cahaya yang amat terang seolah-olah menyambar tubuhku. Dan selepas itu, aku berasa tubuhku ringan. Entah. Mungkin kamu pernah mengalaminya sewaktu tidur atau bermimpi mengenainya. Begitulah yang aku rasa.
Di saat aku berasa tubuhku ringan, muncul cahaya berwarna-warni seperti pelangi dalam bentuk kepulan-kepulan asap menyelubungi tubuh. Penglihatanku berpinar dengan cahaya-cahaya ini. Beberapa ketika dan kemudian sekali lagi cahaya putih datang menyambar. Aku tersentak dengan kemunculan cahaya putih itu.Kemudian aku dapati aku sedang berdiri betul-betul hampir di sebelah sebuah bangunan tinggi. Di sebelah kiri aku dapati ada sebuah tubuh terkujur dengan sebahagian badannya ke menekup lantai dengan seluar yang koyak. Lama aku memerhatikan tubuh itu. Itu aku! Aku menjerit sekuat-kuatnya tapi tidak ada yang menyahut atau datang! Aku telah mati!
Aku tidak tahu untuk berbuat apa-apa! Aku menerpa beberapa kali ke tubuhku itu tetapi tidak ada apa yang berlaku. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan. Aku benar-benar mati! Aku berjalan
keluar menuju hadapan bangunan meninggalkan tubuhku. Di hadapan pintu utama, ramai pegawai-pegawai kerajaan keluar masuk dan ramai anggota polis mengawal keadaan. Siapa pun tidak pedulikan keberadaan aku. Ya, kerana mereka tidak dapat melihat. Dari pintu bangunan, aku menuju ke kawasan di mana pasukan Polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengambil posisi mereka.
Aku dapat lihat ada ramai orang termasuk pimpinan politik. Aku hanya memerhatikan di bawah salah sebuah pokok yang rendang di tepi bangunan. Tiba-tiba seekor kucing putih datang dan duduk mengiring betul-betul di bahagian kakiku lalu membersihkan tubuhnya.
Aku sempat tersenyum dan membiarkannya sahaja disampingku.
Membujur lalu melintang patah
Sejak pasca merdeka, ramai pemimpin-pemimpin politik terutamanya pemimpin pembangkang disiasat dan tidak kurang pula dipenjara atau ditahan tanpa bicara dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tidak kurang yang difitnah, malah terus mendapat nama buruk akibat propaganda media arus perdana. Sebab itu jangan terkejut apabila akhbar Utusan Malaysia misalnya banyak kali diarahkan mahkamah untuk membayar saman akibat memfitnah. Dalam hal ini aku sangat bersedia untuk disiasat. Bak kata pepatah Melayu, membujur lalu melintang patah.
Jujur, aku tidak terlalu terkejut dengan kedatangan pihak berkuasa untuk membuat siasatan kerana sudah menjadi lumrah bagi orang politik disiasat atas banyak dakwaan, aduan mahupun fitnah yang ditabur musuh. Aku faham, sebagai penjawat awam, pegawai SPRM itu bekerja menurut perintah. Jadi, hal mahu menyiasat aku sebagai saksi penyelewengan konon-kononnya bukanlah hal yang besar. Siasatlah! Lebih-lebih pula, aku di pihak yang benar. Nak takut apa
Sampai sekarang kematianku misteri
Sebaik aku dijumpai mati jatuh dari tingkat 14 di anjung tingkat lima Plaza Masalam 16 Julai 2009, berita kematianku heboh di seluruh negara. Teman-teman, pimpinan parti dan orang ramai menganjurkan banyak himpunan secara aman menuntut keadilan atas
kematianku yang tidak wajar semasa berada di bangunan SPRM. Kamu mungkin boleh gambarkan bagaimana perasaan seorang bakal isteri yang kematian orang yang bakal dikhwininya sehari sebelum majlis perkahwinan. Kamu mungkin boleh gambarkan bagaimana perasaan dan emosi ibu bapaku yang sedang gembira menguruskan majlis perkahwinan tiba-tiba mendapat khabar buruk.
Hingga saat ini, kematianku terus menjadi teka teki. Keadilan belum lagi tercapai. Malah aku juga amat hairan bagaimana pegawai-pegawai penyiasat SPRM yang bertanggungjawab menyiasat kes aku hanya ditukar ke agensi lain tanpa tindakan yang lebih berat. Walaupun pihak berkuasa tidak dapat membuat kesimpulan konkrit terhadap kematianku, namun, pihak kerajaan menunjukkan sikap yang amat tidak bertanggungjawab. Orang yang menyiasatku masih bebas, bahagia dan terus dibayar gaji oleh kerajaan. Aku bagaimana!
Apapun, aku pasti, selepas kematianku, SPRM menerima tekanan yang dahsyat dari banyak pihak. Ramai yang berpandangan bahawa seorang saksi yang sedia memberi kerjasama untuk disoal siasat telah dilayan dengan buruk dan tidak profesional. Aku bukannya orang yang bersalah untuk diherdik, diperbodohkan atau dibuli.