DOC & ROLL - 7
Jujur saya akui yang fasa menuntut jurusan sarjana muda perubatan dan pembedahan (MBBS) pada ketika saya berusia 32 tahun dan berjauhan bersama isteri serta 2 orang anak saya adalah fasa yang paling sukar dalam perjalanan akademik saya sebelum menjadi seorang pakar bedah maksilofasial. *********************

Kenapa perlu ambil jurusan perubatan

Maksilofasial adalah terma yang digunakan untuk merujuk kepada bahagian muka dan rahang. Secara ringkas, mempunyai ijazah perubatan bukanlah sesuatu perkara yang diwajibkan untuk menjadi seorang pakar bedah mulut dan maksilofasial di Malaysia. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa negara terutamanya di barat yang mewajibkan pakar bedah maksilofasial mempunyai dwi-kelayakan dalam bidang perubatan dan pergigian sebelum menjalankan latihan kepakaran mereka.

Antara bidang sub-kepakaran dalam bidang maksilofasial yang menjadikan dwi-kelayakan dalam bidang perubatan dan pergigian ini amat berguna adalah pengkhususan dalam bidang kanser mulut atau muka dan baik-pulih struktur (maxillofacial oncology and reconstructive) serta kecacatan tengkorak atau muka dan baik-pulih struktur (craniofacial and reconstructive).

Memandangkan saya semasa di Hong Kong telah menjalankan latihan klinikal, pembedahan dan kajian saintifik dalam bidang kecacatan tengkorak serta teknik-teknik pembedahan baik pulih yang terkini, keputusan saya untuk meneruskan pengajian dalam jurusan perubatan di sokong sepenuhnya oleh ketua jabatan saya pada ketika itu, Prof. Dato Dr. Zainal Ariff dan dekan fakulti, Prof. Dato Dr. Ishak Abdul Razak.

Apabila saya memasuki kursus perubatan di Universiti Malaya, Alhamdulillah saya telah mendapat pengecualian untuk 2 tahun pertama kursus, maka menjadikan tempoh pengajian perubatan saya selama 3 tahun (berbanding kursus penuh selama 5 tahun). Jadi begitulah sebabnya pengajian saya mengambil masa sehingga 14 tahun. Dua tahun asasi, 6 tahun kursus pergigian, 3 tahun sarjana bidang maksilofasial dan 3 tahun kursus perubatan.

*********************

Pelajar Berusia

Menjadi pelajar perubatan pada usia 32 tahun bukanlah satu kebiasaan di mana-mana institusi pengajian di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi apabila sudah ada 2 ijazah dengan tempoh pengajian yang lama. Saya lalui pengalaman ini dengan penuh pancaroba.

Hari pertama saya di Fakulti Perubatan juga agak kelam kabut. Pada waktu sesi pertama tahun klinikal perubatan baru hendak bermula, saya masih berada di Hong Kong dan baru selesai menghantar thesis kursus sarjana saya. Saya ambil flight terakhir dari Hong Kong dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 3.30 pagi dan pada pukul 6.30 pagi pula terus keluar rumah untuk melaporkan diri ke Fakulti Perubatan di Universiti Malaya.

Memang terkejut pelajar-pelajar klinikal tahun tiga pada ketika itu bila saya masuk ke dewan kuliah. Siap ada pelajar-pelajar yang masuk lebih lewat memohon maaf kepada saya kerana menyangkakan bahawa sayalah pensyarah mereka pada sesi kuliah itu.

Lama-kelamaan mereka pun mula faham dan dapat menerima kehadiran saya. Room mate pertama saya ialah seorang pelajar dari Perak, namanya Azlan. Juga adalah pemain catur UM dan memang pandai budaknya. Dia yang banyak membantu saya daripada segi nota-nota dan tip-tip bagaimana hendak belajar subjek-subjek perubatan. Kalau di bilik semasa di kampus Klang dulu, asalkan saya membuka mata baru bangun daripada tidur saja, mesti saya akan nampak dia tengah menelaah buku di mejanya. Memang rajin Azlan ni. Sekarang ini beliau adalah seorang doktor perubatan di Hospital Sg. Buloh.

Kampus Klang memang banyak kenangan. Selain daripada ribuan burung gagak yang mendiami kawasan pokok-pokok di sekeliling hospital, suasana kehidupan di kampus perubatan Klang memang seronok kerana semua penghuninya terdiri daripada pelajar tahun 3 perubatan sahaja. Tiada siapa yang kacau, jadi kami memang rapat. Lama-kelamaan saya akhirnya menjadi seperti big brother ataupun abang long kepada mereka. Saya menjadi tempat untuk meluahkan perasaan, ada juga yang meluahkan masalah peribadi, masalah belajar, rujukan berkaitan masalah-masalah gigi dan sebagainya. Ada juga yang panggil saya Ayahanda, salam pun sehingga cium tangan saya.

Saya memang seboleh-bolehnya cuba merahsiakan jawatan pensyarah dan usia saya daripada diketahui oleh para pensyarah perubatan semasa belajar. Bukannya sebab apa, jika boleh saya nakkan layanan yang sama, takutlah jika mereka ketahui nanti, jadi berbeza pula. Nak belajar ni perlulah sentiasa merendah diri, mula dari bawah dan sentiasa hormati guru-guru.

Dari segi usia pula, mungkin boleh lepas sebab walaupun dah berumur muka saya pada ketika itu rasanya masih nampak muda tapi kadang-kadang tak terlepas juga sebab ada di antara pensyarah-pensyarah di fakulti adalah rakan-rakan saya daripada zaman Asasi dahulu. Bukan setakat itu, ada juga beberapa pensyarah adalah pesakit saya semasa saya menjaga klinik pergigian fakulti dulu dan yang paling best, ada seorang pensyarah di Jabatan Oftalmologi (Mata) adalah senior di Maktab Tentera Diraja dan ada seorang lagi pensyarah di Jabatan Radiologi adalah drummer saya semasa bermain band pada zaman muda-muda dulu.

Walaupun beza usia saya dan rakan-rakan perubatan saya lebih kurang 12 tahun lebih tua daripada mereka tapi mereka semua tidak lokek ilmu dan sememangnya banyak membantu saya terutamanya semasa sesi-sesi perbincangan dan klinikal. Memang betul kadang-kadang kita tak boleh nak sangka yang orang yang kita bantu pada hari ini mungkin akan bantu kita pada masa hadapan. Pada hari ini, sekurang-kurangnya ada 3 orang adik-adik kepada rakan-rakan perubatan saya adalah pelajar Universiti Malaya di bawah jagaan saya di Kolej Kediaman Pertama yang saya jadi Pengetuanya.

Penempatan komuniti di Taiping dengan menaiki kereta Kancil, posting pediatrik (kanak-kanak) yang sangat memenatkan, posting surgery yang sentiasa pressure di bawah seliaan Prof.

Alizan, Banting Experience dan tekanan maha hebat ketika berhadapan dengan peperiksaan profesional akhir adalah antara kenangan-kenangan manis yang kadang-kala tidak menyeronokkan. Dan mana mungkin saya lupakan rakan-

rakan daripada beberapa study group yang saya sertai. Syazwani, Raechell, Malek, Afiq, Adli, Aben, Talhah, Mahfuz, Azlan, Biskut, Am, Edi, Faiz, Hidayat, Airy dan yang lain-lain. Merekalah teman-teman saya pada ketika isteri dan anak-anak saya masih berada di Hong Kong. Terima kasih semua!

Apabila isteri dan anak-anak saya pulang ke Malaysia pada ketika saya di tahun akhir perubatan saya menjadi satu-satunya pelajar perubatan yang telah berumah tangga dan mempunyai 2 orang anak. Walaupun sukar untuk bahagikan masa dan terpaksa berkorban masa bersama keluarga, kadang-kadang ada juga kelebihannya. Semasa posting di Jabatan Pediatrik (KanakKanak), latihan pemeriksaan am pada kanak-kanak sering saya lakukan pada Zariff dan Zaira. Dan kenangan yang paling manis pastilah ketika posting Obstetrik kerana pada ketika itu, latihan memeriksa perut ibu mengandung dapat saya lakukan kepada isteri saya yang juga sedang mengandung anak kami yang ketiga. Lebih hebat lagi kuasa Allah kerana dapat memberikan peluang untuk saya sambut sendiri Zaim Ashraff (di bawah pengawasan pakar obstetrik) semasa isteri saya melahirkannya.

*********************

Antara Kuala Lumpur dan Happy Valley

Walaupun ada orang mengatakan yang perjalanan pengajian dan tempoh latihan yang saya lalui nampak seakan-akan lancar, tetapi hakikatnya penuh dengan cabaran. Tiga kali fasa hubungan jarak jauh, terpaksa meninggalkan anak pada usia yang sangat kecil, cabaran daripada sudut kewangan, sokongan majikan, berhadapan dengan persepsi negatif, usia dan semestinya, untuk kekal fokus dalam tempoh pengajian yang terlalu lama.

Saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran pada peringkat awal kursus perubatan. Walaupun dibenarkan meneruskan bidang pengajian, saya tidak mendapat sebarang biasiswa sepanjang tempoh pengajian dan juga tidak bergaji pada peringkat awalnya.

Selain keadaan tergesa-gesa yang memerlukan saya untuk terus memulakan pengajian perubatan di Malaysia pada ketika hampir tamat jurusan sarjana di Hong Kong, segala perancangan keluarga juga terpaksa diubah kerana kursus perubatan ini pada asalnya tidak pernah ada dalam perancangan.

Memandangkan ketiadaan gaji pada peringkat awal dan pengajian terpaksa dibuat tanpa sebarang biasiswa, isteri saya telah membuat satu pengorbanan yang besar untuk terus tinggal dan bekerja di Hong Kong bersama anak-anak saya untuk menyara keluarga dan yuran pengajian saya. Besar sungguh pengorbanannya!

Saya seorang diri di Kuala Lumpur dan isteri bersama anak-anak pula di Happy Valley, Hong Kong. Bayangkan seorang lelaki yang sepatutnya menjadi ketua keluarga kepada isteri dan 2 orang anaknya pada ketika itu tiada sebarang sumber kewangan untuk menyara keluarga, inikan pula membayar yuran belajar.

Sepanjang 2 tahun pertama semasa saya berjauhan bersama keluarga, tidak terkira banyaknya saya menangis seorang diri bila memikirkan sama ada langkah yang telah dipilih adalah laluan yang betul. Menangis di dalam bilik, menangis sejurus meletakkan telefon selepas berbual bersama isteri dan anak-anak, menangis di dalam kereta di tempat letak kereta, hinggakan ada suatu ketika saya melanggar kereta hadapan semasa di lampu isyarat akibat tidak fokus. Rasa menyesal, rindu yang teramat, marah dan hampir-hampir hendak give-up pun ada.

Pergaduhan antara saya dan isteri juga sememangnya kerap. Mungkin punca masalah yang kecil tetapi bila disimpan-simpan menjadi besar dan pada ketika itu penyelesaian sebarang isu rumah tangga cuma melalui telefon sahaja. Begitulah berisikonya hubungan jarak jauh apabila melibatkan suami dan isteri, terutamanya pasangan yang muda dan berkerjaya, tambahan lagi bila sudah mempunyai anak-anak. Jika tidak dihadapi dengan rasional, matang dan berfikir panjang pastinya boleh menyebabkan perbalahan yang lebih besar hingga menyebabkan keputusan yang diambil boleh mendatangkan sesalan sehingga akhir hayat.

Sesungguhnya saya bersyukur kepada Allah. Sangat-sangat bersyukur kerana diberikan kekuatan untuk saya dan isteri mengharungi saat-saat sukar bersama-sama. Tidak terhitung air mata dan pengorbanan isteri saya. Daripada aspek tolak ansur, bayar yuran pengajian, bayar tiket penerbangan, duit belanja saya, duit untuk anak-anak, masa untuk saya dan anak-anak, memang mustahil untuk saya balas.

Masih saya ingat pada hari saya mendapat keputusan peperiksaan profesional akhir perubatan. Sangat sebak melihat nama saya terpampang di dalam senarai para pelajar yang lulus.

Ibu saya adalah orang pertama yang saya hubungi kemudian disusuli isteri saya. Semasa saya bercakap dengannya hanya bunyi tangisan yang saya dengar. Apabila saya tiba di rumah, kami terus berpelukan sambil menangis bersama-sama. *********************

Gambar Konvokesyen

Pada tahun 2004, konvokesyen saya bagi kursus Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (BDS) di Dewan Tunku Canselor di hadiri oleh kedua-dua ibu bapa saya, adik saya dan tunang saya. Ketika itu saya sudah mula bertugas di Sarawak, tetapi dibenarkan untuk mengambil cuti menghadiri majlis konvokesyen.

Pada tahun 2010 pula, konvokesyen bagi Ijazah Sarjana (Master) dalam kepakaran Oral and Maxillofacial Surgery di Hong Kong dihadiri oleh ayah saya, isteri, Zariff dan Zaira. Saya pada ketika itu telah pun memulakan pengajian kursus perubatan di Universiti Malaya tetapi isteri dan anak-anak saya masih tinggal di Hong Kong. Jadi saya dan ayah saya terbang ke Hong Kong untuk majlis tersebut.

Tetapi pada tahun 2013, kemeriahannya lain sedikit kerana konvokesyen bagi Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya kali ini dihadiri oleh kedua-dua ibu dan ayah saya yang dapat duduk di barisan hadapan sekali bersama isteri dan 3 orang anak saya termasuklah pembantu rumah saya. Kali ini juga tiada sesiapa yang perlu melakukan perjalanan jauh kerana Alhamdulillah semuanya sudah berada di Malaysia.

Jadi menjadi kebiasaan selepas majlis penerimaan scroll, para graduan akan mengambil gambar di seluruh pelosok kawasan di dalam kampus Universiti Malaya. Walaupun sudah tua, saya juga memang tidak melepaskan peluang ini. Satu keluarga termasuk pembantu rumah saya ke hulu ke hilir di sekitar kampus sibuk mengambil gambar.

Ambil gambar di Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Balai Ungku Aziz, di tepi Tasik Varsiti, di depan pintu masuk utama Universiti Malaya, depan Dewan Tunku Canselor, depan Pusat Perubatan Universiti Malaya, di lobi Kolej Ibnu Sina dan tempat favourite sudah pasti mercu tanda tahun 2013 di seberang jalan berdekatan Dewan Tunku Canselor.

Selepas sibuk mengambil gambar di dalam UM, isteri saya pula sudah aturkan sesi bergambar di studio profesional di Damansara Perdana. Penat jugalah sepanjang hari berposing, senyum nampak gigi, berlainan posisi dan yang paling mencabar bila ada 3 orang budak kecil yang tak boleh nak duduk diam.

Selepas sesi fotografi di studio, Zariff dan Zaira sememangnya asyik bertanya tentang bila gambar studio akan siap. Hampir setiap hari bertanya hingga saya minta isteri saya untuk pressure studio tersebut kerana tak tahan menjawab soalan-soalan anakanak saya berkaitan foto tersebut yang telah dijanjikan oleh studio untuk diframekan.

Akhirnya hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Gembira tak terkata anak-anak saya. Semuanya excited tapi saya biasa-biasa saja.

Awak, balik kerja saya singgah studio ambil gambar ya. WhatsApp yang saya terima daripada isteri saya pada hari tersebut.

Pada petang itu, saya sampai dahulu ke rumah dan sedang saya bersama-sama Zariff dan Zaira duduk menonton televisyen, terdengar bunyi autogate kami terbuka.

Yeay! The picture is here! Jerit Zaira gembira.

I want to see it first, balas Zariff.

Saya perasan isteri saya masuk ke rumah dengan satu kotak besar berbungkus yang saya pasti gambar yang telah dibingkaikan oleh studio tersebut.

Melompat-lompat Zaira teruja melihat bungkusan tersebut. Isteri saya pun terus duduk ke lantai sambil dikelilingi oleh Zariff dan Zaira. Semua nampak teruja betul hendak membuka bungkusan tersebut.

Tiba-tiba saya terdengar Zaira ketawa sekuat-kuatnya, hampirhampir seperti histeria. Zariff pula sudah tergolek-golek ketawa dan isteri saya juga pada ketika itu saya perasan ketawa sehingga mengeluarkan air mata.

Pelik betul! Apa yang kelakarnya gambar studio. Saya pun terus mengambil frame yang sedang dipegang oleh Zaira pada ketika itu.

Sambil ketawa dalam keadaan histeria, Zaira menjerit, Papa, youre so beautiful!

Rupa-rupanya studio tersebut tersalah memberikan gambar kepada isteri saya.