Pada tahun 2006, saya tidak lagi memakai seluar biru gelap untuk ke sekolah. Tetapi pada tahun tersebut, saya mulai berseluar hijau dan mampu untuk membangga-banggakan diri kepada jiran-jiran saya yang masih berada di sekolah rendah. Saya mula melangkah ke sekolah menengah dengan perasaan yang sungguh gemilang. Entah kenapa, saya merasakan bahawa perasaan itu seperti satu perasaan yang sungguh menyeronokkan.
Berada di tingkatan satu merupakan satu pengalaman baru yang comel. Ya, comel kerana saya merasa seperti menjadi pelajar darjah satu semula. Saya dipandang oleh pelajar tingkatan dua hingga tingkatan lima seperti satu objek yang masih mentah. Kadang-kadang dipandang dengan satu perhatian yang boleh dianggap seperti pandangan yang membulikan. Kadang-kadang juga dilihat sebagai satu pandangan yang mengghairahkan, yang comel.
Walaupun begitu, perasaan gembira berada di sekolah menengah juga merupakan satu kesilapan. Keadaannya berbeza dengan sekolah rendah. Hal ini kerana, ibu saya yang bekerja sebagai seorang guru, merupakan salah seorang tenaga pengajar di sekolah menengah tersebut. Pada waktu itu, ibu saya memegang jawatan sebagai Ketua Panitia Bahasa Melayu. Beliau boleh dikatakan sebagai antara guru yang paling dikenali dan dihormati di sekolah tersebut kerana keramahannya dan kebaikannya. Pada para pelajar pula, tidak kira pelajar lelaki atau pelajar perempuan, pelajar sopan ataupun pelajar nakal, mereka sering menganggap bahawa ibu saya seorang yang baik hati kerana cara beliau mengajar anak-anak muridnya adalah sangat menyeronokkan dan kata mereka juga, ibu saya senang didampingi dan mudah untuk menyelesakan diri.
Serba ringkasnya, ibu merupakan seorang wanita yang dianggap baik dan sempurna oleh setiap warga di sekolah tersebut. Oleh itu, setiap pergerakan saya menjadi terbatas. Apa sahaja yang dilakukan oleh saya di sekolah, pasti akan dibanding-bandingkan oleh semua orang. Kesilapan kecil yang saya lakukan, akan terus diberitahu kepada ibu. Saya dipaksa menjadi sempurna. Saya dipaksa menjadi ibu. Saya dipaksa untuk tidak menjadi diri sendiri. Saya dipaksa. Apa sahaja yang saya lakukan, adalah atas keterpaksaan. Saya tidak mampu untuk melakukan apa yang saya inginkan hanya kerana pandangan manusia.
Hanya beberapa orang kawan sahaja yang mampu saya kasari. Maksud kasar itu adalah bergurau. Mereka merupakan rakan sekelas saya. Aiman, Syamie dan Shakir. Aiman dan Syamie ialah kawan saya semenjak di sekolah rendah lagi. Manakala Shakir adalah kawan yang baru saya kenali pada tahun tersebut kerana Shakir merupakan pelajar dari sekolah rendah yang lain.
Di antara kami berempat, saya dan Aiman lah yang paling nakal sekali. Kamilah yang sering sahaja merancang pelbagai agendaagenda tidak masuk akal. Akan tetapi pada waktu itu, hubungan antara saya dan Shakir merupakan yang paling akrab sekali berbanding Aiman dan Syamie. Walaupun ke mana sahaja kami pergi, Shakir akan selalu menemani saya. Begitu juga sebaliknya, sekiranya Shakir pergi ke mana-mana, saya akan menurutinya.
Ada satu kenangan yang melucukan antara saya dan Shakir, yang tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari ini.
Menjadi kebiasaan bagi pelajar di sesi petang iaitu pelajar tingkatan satu dan pelajar tingkatan dua untuk solat Asar secara berjemaah di masjid bersebelahan dengan sekolah kami. Setiap pelajar diwajibkan untuk menyertai solat tersebut.
Pada suatu hari, saya dan Shakir pergi mengambil wudhu di tandas sekolah kerana paip mengambil wudhu di masjid penuh dengan pelajar-pelajar yang lain. Kami tidak hanya mengambil wudhu bersama-sama. Tetapi di dalam tandas itu, kami simbah menyimbah air, saling mengintai antara satu sama lain ketika membuang air dan kejadian yang melucukan itu berlaku di sini.
Shakir membuang air kecil tanpa menutup pintu. Perlahan-lahan saya datang dari belakang beliau dan cuba untuk mengintai. Shakir menyedari tentang apa yang ingin saya lakukan. Dengan pantas, Shakir menyembunyikan apa yang patut dia sembunyikan. Dia memarahi saya dan membasuh tangan di sinki. Ruparupanya dalam kesibukan Shakir menyembunyikan sesuatu yang patut disembunyikan olehnya itu, dia terlupa untuk menarik zip seluarnya.
Jadi, saya mengejar Shakir dengan ketawa yang memanjang, lalu berpura-pura untuk menolong beliau menarik zip seluarnya. Dengan marah-marah, Shakir melarikan diri sambil mencuba untuk menarik zip seluarnya yang hampir dicapai oleh saya. Dalam keriuhan yang terjadi di dalam tandas itu, tiba-tiba, Shakir mendiamkan diri. Dia tidak melawan atau berlari seperti awalnya. Matanya memandang tepat ke lantai, seperti ada sesuatu yang berlaku. Saya menoleh ke belakang. Ke arah pintu tandas.
Kamu berdua, sini! kata Ustaz Abu dengan suara yang tinggi. Ustaz Abu ialah seorang Guru Displin bagi sesi petang. Pada waktu begitu, Ustaz Abu akan meronda ke sekeliling sekolah untuk melihat sekiranya terdapat pelajar yang cuba-cuba untuk tidak ke masjid. Pelajar-pelajar yang tidak ke masjid biasanya akan menyorok di dalam kelas ataupun merayau-rayau di sekitar sekolah.
Ustaz Abu sangat dikenali oleh pelajar bukan sahaja kerana kegarangan yang dimiliki oleh beliau, malah kerana susuk tubuh beliau juga. Sering sahaja Ustaz Abu dijadikan bahan jenaka para pelajar. Walaupun begitu, masih ada pelajar-pelajar yang menyukai Ustaz Abu kerana di dalam ketegasannya, Ustaz Abu juga seorang yang pandai berjenaka.
Kami berjalan perlahan-lahan ke arah Ustaz Abu. Dia menunggu kami di pintu tandas sambil memegang erat-erat rotan di tangan kanannya.
Kamu buat apa ni tengking Ustaz Abu. Beberapa orang guru yang sedang berjalan di blok yang berdepan dengan tandas itu, memandang kami bertiga kerana terkejut akan jeritan Ustaz Abu.
Ambil air sembahyang, jawap saya.
Ambil air sembahyang Ustaz Abu mengulangi perkataan saya dengan nada yang berbunyi seperti satu persoalan. Beliau menarik tangan saya dan Shakir sehingga kami benar-benar berada di luar tandas, lalu menjerit ke arah blok bangunan yang berada di depan kami. Ustaz Abu melaungkan sesuatu yang memalukan kami. Beliau menyebut setiap perkataan yang membuatkan saya dan Shakir memandang ke bawah dan tidak lagi mengangkat kepala ke atas.
Apa yang saya harapkan pada waktu itu adalah, ibu saya tiada di tempat kejadian.
Selepas dimarahi oleh Ustaz Abu, kami dihalau dari situ untuk segera berada di masjid kerana solat Asar akan dimulakan dengan segera. Peristiwa itu merupakan sesuatu yang sungguh melucukan bagi saya, tetapi merupakan sesuatu yang memalukan dan menimbulkan kemarahan pada Shakir. Hal ini kerana, dari kejadian itu, Shakir lah yang terpaksa menanggung akibatnya setelah saya berpindah ke sekolah lain tidak lama selepas itu. Dia terpaksa menanggung malu yang amat sangat apabila Ustaz Abu menceritakan perkara tersebut di perhimpunan sekolah.
Ya. Tidak lama selepas kejadian itu, saya berpindah ke sebuah sekolah berasrama di Port Dickson. Saya mendapat peluang untuk menjadi salah seorang pelajar di sekolah tersebut dan tinggal di asrama itu kerana ibu merupakan seorang kenalan rapat dengan seorang Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah tersebut, Cikgu Azmi. Berita menggembirakan itu diterima oleh saya agak lewat. Setelah beberapa minggu sesi persekolahan bagi tahun 2006 bermula, barulah saya diberitahu akan khabar berita itu.
Oleh itu, saya berpindah ke sekolah baru tanpa dimulakan dengan sesi orientasi yang wajib dijalani oleh setiap pelajar baru. Sesi orientasi yang saya maksudkan sama seperti sesi orientasi yang berada di sekolah-sekolah berasrama yang lain. Para pelajar baru akan mengutip tanda tangan pelajar lama dan para pelajar lama akan mengadakan pelbagai aktiviti yang, hurm, tidak menyeronokkan untuk pelajar-pelajar baru. Proses ini berlangsung selama satu minggu selepas hari pendaftaran untuk masuk ke asrama dibuka.
Jadi, dengan perasaan yang berbelah bagi antara gembira dan tidak, saya menuju ke Port Dickson.
Malam yang pertama di dalam dorm, seorang pelajar tingkatan lima Sabri meminta saya memperkenalkan diri di depan seluruh anggota dorm yang saya diami; Dorm 3. Aktiviti memperkenalkan diri itulah yang paling saya benci sekali apabila berada di tempat baru. Mungkin kerana malu, mungkin juga kerana tidak tahu apa yang hendak diperkenalkan.
Namun begitu, saya terangkan juga serba sedikit tentang diri saya seperti dari mana saya datang, bagaimana keputusan UPSR yang lepas dan beberapa perkara yang tidak penting lagi. Kemudiannya, Sabri memberitahu sesuatu yang paling tidak disukai saya.
Kau kat sini kena hormat senior-senior. Senior-senior kau, kau kena panggil abang. Jangan panggil nama diorang aja, saya menganggukkan kepala, walaupun berat memikirkan soal tersebut.
Pada saat pertama saya melangkah masuk ke kawasan sekolah baru itu, bermulah satu kehidupan panjang dengan sebuah sistem yang dirancang untuk mendewasakan para pelajar baru yang kononnya masih belum mengenal dunia seperti manusia yang terdahulunya. Dan sistem tersebut mengajar saya bahawa betapa mereka semua hanya layak ditertawa dan bukan mentertawa. Senioriti.
Saya masih teringat tentang seorang pelajar tingkatan lima, Qayum. Setiap hari, selepas balik dari sekolah, di depan almari pakaian saya akan tergantung baju sekolahnya. Dan pada setiap hari itu juga saya akan menyental kolar bajunya, menggosok lilitan lengan tangannya, dan membersihkan bajunya dari segala kotoran yang ada. Setiap hari, setiap kali selepas sesi persekolahan itulah tugas saya yang pertama.
Dari merendam baju sekolah Qayum, kemudian membasuhnya pula, memastikan tidak ada langsung kotoran yang terhinggap, seterusnya merendam kali kedua dengan nila supaya baju sekolahnya yang berwarna putih kelihatan biru dan sentiasa baru, dan akhirnya pada setiap malam sebelum tidur, saya akan menggosok baju serta seluar sekolahnya yang telah kering.
Hati saya tidak pernah tenang pada waktu itu. Sentiasa keluh kesah memikirkan perkerjaan rutin yang akan dilakukan sebagai seorang pelajar tingkatan satu. Saya tidak pernah merasa lega kerana sering teringat akan baju yang belum dibasuh, kasut sekolah yang belum dikapur dan kadang-kadang, nota-nota yang belum siap disalin.
Walaupun begitu, sebagai balasannya, Qayum akan melarang pelajar tingkatan lima dan tingkatan empat yang lain untuk memberikan baju sekolah mereka kepada saya. Saya hanya dibenarkan membasuh bajunya sahaja pada setiap hari. Tidak seperti sesetengah rakan-rakan yang lain, mereka dipaksa membasuh baju pelajar tingkatan empat dan lima dengan bilangan yang banyak pada setiap hari. Dan saya, cuma satu.
Selain dibuli dengan disuruh membasuh baju, mengambilkan makanan atau perkara-perkara ringan yang lain - pelajar tingkatan tiga, dua dan satu juga akan diajar dengan cara yang lebih kasar sekiranya mereka bertindak dengan tidak menepati keinginan dan selera pelajar tingkatan empat dan lima. Atau lebih mudah disebut, cara yang lebih kasar dan menakutkan atau memenatkan akan digunakan sekiranya pelajar di menengah rendah melakukan sebarang kesalahan.
Pernah suatu ketika, seorang rakan sebaya saya, Nashriq telah kehilangan wang sebanyak RM50. Nashriq menginap di Dorm 2, bersebelahan dengan dorm saya, Dorm 3. Salah seorang ahli Dorm 2 adalah pelajar tingkatan empat yang kami panggil, Abang Mok. Kebanyakan dari kami mengesyaki bahawa Mok yang mencuri duit Nashriq itu. Ini kerana, berdasarkan perangai Mok yang kami kenali, kami sangat yakin bahawa Mok lah pencurinya.
Akan tetapi, apabila kes kecurian itu semakin kuat diberitakan, tiba-tiba Mok tampil ke depan dan mengaku bahawa dia juga kehilangan wang ringgit yang bernilai RM50. Pada waktu itu, semua orang tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh Mok. Semua orang menganggap bahawa dia hanya mereka-reka cerita tersebut kerana tidak mahu disyaki sebagai pencuri.
Tetapi, memandangkan Mok merupakan pelajar tingkatan empat, dan Mok serta pelajar menengah atas yang lain lebih berhak ke atas kami berbanding kami ke atas mereka, jadi pelajar seperti kami iaitu pelajar dari menengah rendah yang menanggung akibat.
Di antara blok Asrama Putera (Aspura) dan blok Asrama Puteri (Aspuri), terdapat satu blok bangunan yang merupakan dewan tempat kami menjamu selera dan tempat kami mengulang kaji pelajaran setiap hari. Di belakang dewan tersebut - antara dewan itu dan surau asrama, terdapat satu kawasan yang agak lapang dan kosong tanpa apa-apa objek seperti pokok yang menganggu. Ianya seperti sebuah dataran yang dilapisi tar.
Kami dikumpulkan di kawasan lapang tersebut pada waktu malam, hari yang sama sewaktu Mok mengatakan bahawa duitnya telah hilang. Pelajar tingkatan satu, dua dan tiga dibariskan mengikut dorm masing-masing. Kami juga diarahkan untuk memakai kasut dan juga seluar sukan.
Seorang pelajar tingkatan lima, Faris - memberitahu bahawa pada malam itu, kami akan didera dengan macam-macam latihan jasmani sehinggalah ada orang yang mengaku bahawa dialah pencuri yang telah mencuri duit Mok.
Kami disuruh membuat lompat bintang beratus-ratus kali, dipaksa membuat tekan tubi sehingga lenguh badan, dipaksa membuat segala seksaan yang dipraktikkan oleh askar sehingga ada yang muntah kerana senak dan mual. Namun begitu, pencuri yang dikatakan mencuri duit Mok, masih belum mengaku. Dan dia, pencuri itu, tidak akan mengaku kesalahannya kerana deraan pada malam itu diakhiri tanpa apa-apa pengakuan dari sesiapa. Aktiviti memeritkan pada malam itu juga berakhir kerana warden datang secara mengejut untuk memeriksa asrama.
Sekiranya warden asrama Cikgu Razlan atau lebih mesra dipanggil sebagai Pak Lan tidak datang pada malam itu, mungkin seksaan ke atas kami akan terus dikenakan sehingga ke Subuh.
Pada malam itu, setelah selesai berpeluh-peluh serta melenguhkan seluruh anggota dan sendi badan, sebahagian pelajar tingkatan satu, dua, dan tiga terkulai di atas katil masing-masing dan terus tertidur manakala sebahagian lagi dari mereka yang masih larat terus ke bilik air untuk mandi.
Sehingga ke hari ini, pencuri itu masih belum diketahui oleh sesiapa pun. Peristiwa Nashriq itu pula bukanlah kes kecurian yang terakhir pada tahun itu. Selepas kejadian itu, lebih banyak kes kecurian yang berlaku walaupun Mok sudah pun tiada di dalam asrama kerana dibuang atas satu kes yang telah dilakukan olehnya.
Tetapi, itulah kali terakhir pada tahun tersebut kami dilatih menjadi seorang yang berdisplin di sebuah sekolah asrama dengan menggunakan cara yang digunakan oleh askar. Hal ini kerana, selepas dari peristiwa yang memenatkan itu, para pelajar yang berada di menengah rendah akan dikenakan satu hukuman yang lebih menyakitkan sekiranya melakukan kesalahan.
Tahun 2006, adalah tahun yang menakutkan untuk saya. Pada tahun 2006, pelajar menengah rendah yang paling kerap dipukul oleh pelajar menengah atas adalah saya. Ya. Saya.
Di dalam setiap dorm yang terdapat lebih kurang dua puluh lima orang, yang juga datang dari setiap tingkatan yang berlainan, pastilah akan ada satu penindasan dari segi umur pada setiap pelajar. Pelajar tingkatan empat dan lima akan menyusun jadual harian yang perlu dilakukan oleh pelajar menengah rendah setiap pagi sebelum ke kelas seperti menyapu sampah, mengemas katil, mengangkat tuala dan bermacam-macam lagi, tetapi mereka tidak. Mereka tidak bersama-sama melakukan tugasan itu. Mereka tidak sama-sama mengemas katil mereka, menyapu sampah, menyidai semua kain tuala di ampaian di bawah, dan mereka tidak langsung berbuat apa-apa sedangkan pelajar menengah rendah terpaksa berbuat demikian, demi menyelesakan mereka. Kenapa
Sebab dulu pun kami kena benda yang sama. Macam korang semua sekarang. Nanti bila korang dah senior besok, korang pun buat lah benda yang sama kat junior korang,
Inilah antara langkah terawal memupuk semangat dendam yang ada dalam diri setiap manusia. Inilah punca penyubur api dendam dalam jiwa anak-anak yang masih muda. Inilah. Cara yang sebegini, yang tidak kita perasan, tapi inilah dia.
Pada suatu hari, saya terlupa untuk melakukan tugasan yang perlu dilakukan oleh saya. Tugasan saya pada hari itu adalah membawa turun tuala dan sidai di ampaian. Tapi saya tidak melakukannya kerana terlupa. Jadi, pada malam hari itu juga, saya dipanggil oleh Farid pelajar tingkatan empat, dan Madi pelajar tingkatan lima.
Mereka memadamkan lampu dorm. Pada waktu itu, jam sudah pun menunjukkan angka dua belas dan saya sudah pun hampir tidur. Farid dan Madi mengajukan saya beberapa soalan sambil terus menerus melibas perut dan kaki saya. Mereka terus menumbuk kuat-kuat dada saya. Dan akhirnya, mereka menamatkan perjumpaan malam itu dengan beberapa siri tamparan yang membingitkan kepala.
Saya berhak menjawab. Tapi tidak berhak melawan. Apakah ini satu penjara Atau satu didikan yang bertujuan untuk mendisplinkan kita Adakah ini satu cara untuk menjadikan kita dewasa Atau inikah pengalaman yang kita perlukan untuk dicerita kepada anak-anak dan cucu-cucu kita kelak
Di hari kemudiannya, juga pada tahun yang sama, saya turun dari bas dan berlari masuk ke kawasan sekolah kerana hujan turun agak lebat. Sebelum turun dari bas itu, hati saya sudah pun berdebardebar. Entah kenapa, tapi dada berkocak dengan kencang.
Waktu itu saya baru sahaja pulang dari sebuah lawatan sambil belajar yang diadakan di Pulau Pinang. Sepatutnya pada malam itu, saya haruslah berbaring di katil dan melepaskan lelah yang tertinggal. Atau sekurang-kurangnya saya dapatlah membasahkan badan dahulu untuk menyegarkan kelesuan beberapa jam di dalam bas.
Tetapi, sampai sahaja di dalam kawasan asrama, barulah saya tahu bahawa malam itu sesuatu yang buruk akan terjadi. Sesuatu yang buruk akan terjadi dalam sekitar memori kehidupan saya.
Kehadiran saya pada malam itu disambut oleh Saiful pelajar tingkatan empat, atau kami lebih senang memanggilnya sebagai Ecai. Dia menyuruh saya meletakkan barang-barang di dalam dorm dan terus turun ke Dorm 5.
Apa yang saya dapat gambarkan pada waktu itu adalah suatu pemandangan yang menyuramkan. Dengan sejuk yang menggigit, dengan bunyi mesingan dari langit yang tidak putus-putus. Tambahan pula, keadaan Dorm 5 sendiri sungguh menakutkan. Ruang itu nampak suram kerana hanya ada satu sahaja lampu yang terpasang. Lampu yang lainnya sengaja dibiarkan tertutup.
Apabila saya melangkah masuk ke dalam Dorm 5, tangan saya terus disentap oleh Farid.
Kau hisap rokok tanya dia. Saya menggelengkan kepala.
Dush!
Satu tumbukan tepat menemui perut saya. Saya terduduk, memegang perut. Kemudiannya saya ditarik semula, disuruh bangun. Farid mengulang semula soalan yang sama. Saya pula mengulang semula jawapan yang juga sama.
Pap!
Satu tamparan yang sangat memeritkan singgah di pipi. Beberapa orang pelajar menengah atas yang lain mendekati saya dari belakang dan memukul secara berturut-turut sehingga saya terbaring di atas lantai.
Farid menyuraikan kumpulan yang memukul saya itu, kemudian membangunkan saya sekali lagi.
Ada orang bagi tahu aku. Jangan tipu. Kalau tipu, lagi sakit, saya masih menggelengkan kepala.
Panggil Azriq, arah Farid kepada seorang pelajar tingkatan dua. Dia berlari mendapatkan seorang rakan saya, Azriq yang mungkin berada di dalam dormnya.
Debaran di dada saya makin kuat. Makin bergoncang dan makin tidak keruan. Darah seperti meruap-ruap dengan pantas lalu berkumpul di muka kerana beberapa minggu sebelum itu, saya benar-benar pernah menghisap rokok bersama Azriq.
Dan entah bagaimana Azriq boleh membuka mulut, menceritakan kisah itu kepada senior, tidaklah saya tahu.
Beberapa minit kemudian, Azriq masuk ke dorm tersebut sambil menangis-nangis mengalirkan air mata. Dia memandang saya. Mungkin ingin memberitahu sesuatu. Mungkin ingin meminta maaf. Atau mungkin ingin menerangkan tentang suatu kebenaran. Entah. Kerana dia tidak henti-henti menangis.
Azriq. Betul dia hisap rokok tanya Farid. Dan beberapa lama kemudian, selepas pipinya dikeringkan oleh tapak tangannya sendiri, Azriq menganggukkan kepala.
Sepantas kilat sejurus selepas Azriq menganggukkan kepala, badan saya dihentam bertubi-tubi. Kepala, belakang badan, dada, perut, peha, betis, semuanya tidak terlepas dari hentakan tapak tangan dan juga libasan kaki. Selepas seorang menghayunkan penumbuk, seorang yang lain pula terus melepaskan tapak kakinya di belakang badan saya.
Begitu juga dengan Azriq. Perutnya dipukul berkali-kali walaupun mulutnya tidak henti-henti meminta maaf. Keadaan Azriq sungguh mengerikan kerana badannya yang kecil itu sedang dilanyak oleh hampir dua puluh orang yang masing-masing mempunyai susuk badan seperti seorang pemain ragbi. Azriq melayang-layang seperti kertas. Saya pula sudah pun melekat di lantai yang dingin dengan kipasan udara.
Saya tidak tahu, apakah yang harus saya tatapkan pada Azriq waktu itu. Apakah saya harus menonton tragedinya itu dengan pandangan yang penuh dengan kasihan Atau apakah saya perlu melihat riak mukanya yang sedang perit kesakitan itu dengan sebuah senyuman yang berbentuk sindiran kerana melakukan sesuatu yang membuatkan dirinya juga berada di dalam sangkar yang mengerikan
Kemudian datang seorang pelajar tingkatan lima Faris. Dia menggenggam rambut saya, menghentakkan kepala saya ke kaki katil, dan bertanya;
Kau bagitahu Azmi yang Duan hisap gam Azmi yang dimaksudkan oleh Faris merujuk kepada Cikgu Azmi. Duan pula adalah pelajar tingkatan empat yang sudah dibuang asrama kerana seseorang telah memberitahu warden bahawa dia telah menghisap gam. Dan orang itu, bukan saya.
Jadi, saya menggelengkan kepala. Itu sahaja jawapan yang termampu untuk saya lafazkan. Mungkin tidak berminat dengan jawapan yang saya tunjukkan, saya sekali lagi tersungkur di hujung dorm sambil cuba untuk menutup muka dari disepak dan ditumbuk.
Malam itu, saya masih tidak mengaku perihal rokok. Saya dibenarkan naik ke dorm apabila mereka puas menjamah setiap inci daging dan tubuh saya dengan tangan dan kaki.
Esoknya, Farid memanggil saya sekali lagi. Memandangkan saya dan Farid merupakan penghuni dorm yang sama, jadi saya tidak dapat melarikan diri dari bersua muka dengannya.
Saya didera sekali lagi. Pipi saya ditampar dengan tangan kiri Farid berkali-kali. Bahu dan peha saya disepak dengan kuat oleh kaki Farid yang panjang. Sesekali perut dan dada saya menahan sakit apabila ditumbuk oleh penumbuk Farid yang padat dan pantas.
Setiap hari di dalam minggu itu, saya tidak henti-henti dipanggil oleh pelajar tingkatan empat dan lima. Kadang-kadang disoal dan dipukul secara berseorangan. Kadang-kadang beramai-ramai. Apa yang mampu saya lakukan Kami pelajar tingkatan satu tidak tahu apa yang patut dilakukan sekiranya tercampak ke dalam situasi yang sebegitu. Sudah cukup utuh persahabatan di antara kami. Tapi, kami masih lagi takut dan risaukan sebuah status gila yang digelar junior.
Sepanjang minggu itu, di setiap hari-hari celaka yang mendukakan, ada seorang pelajar sekelas yang menyedari kebimbangan yang sering terpaku di wajah saya. Namanya, Aida Melisa. Aida seorang gadis yang tidak banyak bercakap. Tetapi sering tersenyum. Wajahnya seperti orang Arab. Dengan kening yang tebal dan hidung yang mancung serta berkulit cerah, orang pasti akan menyangka bahawa dia mempunyai keturunan ataupun berdarah kacukan Arab.
Aida merupakan salah seorang pelajar yang tinggal di asrama. Walaupun sekelas, kami tidak pernah untuk terlepas peluang merasai nikmat berbalas surat. Berbalas-balas surat menjadi sesuatu yang menyeronokkan buat pelajar sekolah pada waktu itu. Perkara yang paling menggembirakan adalah apabila mendapat surat dari pelajar yang mampu kita lihat dari jauh sahaja.
Pada suatu masa, ada sekumpulan pelajar tingkatan tiga ingin berkenalan dengan saya. Mereka Efa, Yani, Zura dan Huda tiba-tiba mengutuskan saya sepucuk surat melalui rakan sekelas mereka yang juga seorang pelajar yang tinggal di asrama ; Qahar.
Di antara mereka bertiga, yang paling baik dan sopan adalah Huda. Huda mempunyai seorang abang angkat di Aspura, Faris. Dan Huda juga dalam senyap-senyap telah menyukai Qahar. Begitu juga dengan Qahar. Dia juga meminati Huda. Semua ini telah diceritakan oleh mereka kepada saya. Dan cerita mereka itu selalunya akan berakhir dengan;
Jangan bagi tahu abang Qahar, kata Huda, selepas memuji Qahar itu baik dan sifat sebenarnya bukan seperti apa yang ditonjolkan.
Jangan bagi tahu Huda, kata Qahar, selepas memuji Huda itu cantik, dan sifatnya berbeza dengan perempuan-perempuan lain yang ada di Aspuri.
Mereka saling menyimpan rahsia. Saling memendam rasa. Tidak berani bertemu realiti dan asyik mengharapkan mimpi.
Setiap peluang yang tiba, barangkali muncul berkali-kali. Mungkin juga hanya sekali.
Tetapi mereka, tidak merasa peluang itu untuk kali yang kedua atau yang seterusnya. Kerana tahun itu merupakan tahun terakhir Huda di sekolah itu. Tahun hadapannya, dia telah pergi meninggalkan asrama, meninggalkan saya dan juga peluangpeluang untuk bersama dengan Qahar. Dia telah jauh terbang meninggalkan Semenanjung Malaysia. Dan bersama peluangpeluang itu, Qahar hanya mampu bercerita, dan bercerita, tentang dia, yang hampa.
Begitu juga dengan saya dan manusia-manusia yang lain. Sering melepaskan sesuatu yang kecil, untuk menunggu sesuatu yang besar. Dan kekesalan yang saya rasakan itu, sama lah seperti yang dirasakan oleh Qahar. Di tahun yang sama Huda berangkat ke Sabah, Aida Melisa juga sudah berpindah. Tahun yang seterusnya, dia tidak lagi muncul. Yang ada hanya memori bersama-samanya, dan sebuah peringatan di atas meja, yang sama-sama kami lukiskan.