Augustine lahir di Tagaste pada tahun 354, sebuah pekan di Algeria kini . Ayahnya seorang pagan manakala ibunya seorang Kristian. Pada masa itu, kawasan Timur Tengah terutamanya kawasan Sham serta Yemen dan bandar-bandar pesisir pantai di Afrika Utara merupakan tempat di mana agama Kristian berkembang dengan pesat. Augustine seorang yang bijak dan suka berfikir, dan pada mulanya dia menolak ajaran agama Kristian yang baginya tidak cukup intelektual.
Aku tak tahu kau ini orang yang bagaimana kepercayaannya, tetapi mesti pernahkan terlintas di fikiran kau mengenai Kejahatan Pasal apa ianya wujud Soalan ini bermain-main di fikiran Augustine. Augustine bila umurnya dalam 8 tahun, pernah mengikuti kawan-kawannya masuk ke ladang buah lai, bila kawan-kawannya mencuri buah lai, dia pun ikut mencuri. Augustine bila sudah dewasa dan teringatkan kisah ini, tertanya mengapa dia mencuri, walaupun pada waktu itu dia tidaklah lapar, dan dia tahu ada buah lai yang lagi bagus dari buah ladang tersebut. Dia juga bukanlah setakat mengikut kawan-kawannya, kerana dia tahu dia sendiri memang mahu mencuri. Persoalan inilah yang mahu dirungkainya. Adakah memang ada kejahatan dalam diri setiap manusia Bagusnya Augustine ni dia buat muhasabah diri, meletakkan kanta pembesar kepada perbuatannya yang lalu, bukan macam kau (dan aku).
Baginya, agama Kristian tidak dapat memberi sebab kenapa wujudnya kejahatan di dunia ini. Jika Tuhan Maha Penyayang, kenapa Dia benarkan perkara-perkara buruk berlaku di dunia Namun, hati Augustine ingin mengenal Tuhan, dan dia menganuti sebuah agama yang dipanggil Manichean yang juga berkembang pesat di Afrika Utara. Agama Manichean berasal dari Persia (sekarang dipanggil Iran) yang mempercayai setiap manusia mempunyai aspek dualiti Kebaikan dan Kejahatan dalam diri mereka dan dua elemen ini sentiasa berlawanan antara satu sama lain dalam diri. Maka, perkara tidak bermoral yang dilakukan Augustine bolehlah disalahkan kepada elemen Kejahatan dalamnya dirinya .Namun penganut Manichean pula bukanlah mereka yang tidak bermoral, sebaliknya, agama ini mengajar pengikutnya untuk mengawal diri mereka sendiri.
Augustine menjadi seorang guru di Carthage, sebuah bandar besar dan pesat yang sekarang berada dalam Tunisia, dan kemudiannya pindah ke Milan dan mengajar di sana pula. Di Milan, Augustine didedahkan kepada sisi intelektual agama Kristian selepas mendengar syarahan oleh tokoh terkemuka agama Kristian ketika itu, Saint Ambrose. Selain itu, di Milan juga dia didedahkan dengan karya dan pemikiran Neoplatonis dari Plotinus. Dan ini memainkan peranan penting dalam melepaskan dirinya dari pemikiran dualis Manicheanisme. Selepas mendalami agama Kristian dan selepas mendapat satu kesedaran yang dia percayai dari Tuhan, dia memeluk agama yang dianuti ibunya dan bermulalah usaha Augustine untuk memperkasakan falsafah Kristian dengan argumen yang intelektual.
Mengenai Muzik
Augustine seorang penulis yang sangat fenomenal dan meyakinkan. Kau kalau berminat bolehlah membaca bukunya yang bertajuk Pengakuan (Confessions) di mana dia menceritakan kisah hidupnya dan bagaimana dia memeluk agama Kristian. Dalam buku ini juga dia menceritakan pengalaman mengalami visi yang diinspirasikan dari Tuhan kepadanya ketika sedang membaca di sebuah taman. Menariknya, koir yang didengarinya dari sebuah gereja membuka mata hatinya, dan sebab itulah Augustine sangat mementingkan muzik dalam falsafahnya. Baginya, muzik adalah sesautu yang transenden yang boleh membawa manusia mendekatkan diri dengan Tuhan. Manusia, dalam hidup ini tidak dapat mendekatkan diri dengan Tuhan, kerana seringkali terlepas akan kebesaran dan kehebatan pelan dan sistem yang dirangka oleh Tuhan. Seperti kata Augustine sendiri,
ada banyak perkara yang kepada kita nampak diluar tertib(tidak terurus) dan keliru, kerana kita telah terlalu terpaut kepada aturan mereka, peringkat kewujudan mereka, yang mengikut pandangan terhad kita tanpa mengetahui pelan agung yang Tuhan simpan untuk kitaianya seperti sebuah patung yang berdiri di sudut sebuah rumah gah lagi mewah dan menyedari bahawa, kerana dia berada didalamnya, tidak dapat melihat kecantikan struktur rumah tersebut. Seorang askar di medan perang tidak dapat melihat formasi keseluruhan tentera. Jika silabel di dalam lagu mempunyai hayat sendiri hanya untuk tempoh masa dimana bunyi itu berlangsung, ritma dan kecantikan seluruh karya muzik yang terjalin rapat tidak dapat memberi kenikmatan kepada mereka
Bagi Augustine, dengan seni, khususnya muzik, manusia dapat melangkaui pandangan yang terhad, dapat keluar dari rumah dan mengambil beberapa langkah kebelakang untuk menikmati kecantikan rumah tersebut. Asyik yang didapat dari bermain dan mendengar muzik yang murni yang lahir dari niat suci dapat membawa penganut agama untuk melihat pelan indah Tuhan, lantas menyedari kebesaran-Nya.
Memang sangat menakjubkan buku-buku Augustin yang ditulis mengenai muzik yang turut mengembangkan teori muzik. Aku perlu berhenti di sini dan memberi sepintas lalu apakah pemikiran Augustine mengenai Tuhan dan melawat kembali permasalahan mengenai Kejahatan.
Tuhan Yang Esa
Augustine antara tokoh penting yang mengsintesiskan pandangan Neoplatonis dan agama Kristian. Jika Neoplatonis mempercayai akan wujudnya Yang Esa, Augustin menyamakan Yang Esa ini dengan Tuhan yang disebut dalam kitab Injil. Namun, jika kau masih ingat, Neoplatonis memegang kepada panteism (rujuk bab lalu) dan percaya akan wujudnya ruang untuk manusia bersatu dengan Tuhan. Namun, Augustine menolak pandangan ini kerana tidak selari dengan ajaran Kristian. Tuhan tidak meng-emanasikan rohnya untuk mewujudkan Roh Alam dan Dunia Fenomena, tapi Tuhan mencipta alam dari sesuatu yang tiada (creatio ex nihilo). Jadi, dalam fahaman seperti ini, alam dan semua yang berada di dalamnya (makhluk Tuhan) adalah sesuatu yang terasing dari Tuhan dan tiadalah kemungkinan untuk bersatu dengan Tuhan (unio mystica). Walaubagaimanapun, Tuhan dalam konsep Neoplatonis adalah sesuatu yang bersifat jauh dan statik dan Augustine meletakkan Tuhan dalam falsafahnya sebagai sesuatu yang personal, dekat dengan makhlukNya. Walaupun menolak unio mystica , Augustine menekankan introspeksi diri, iaitu masuk kedalam diri kita sendiri dan akhirnya manusia boleh mendekatkan diri dengan Tuhan dan menikmati kebesaran dan keesaan Tuhan. Jadi Augustin berpendapat bahawa manusia boleh berhubung dengan Tuhan tetapi bukanlah bersatu dengan zat Tuhan. Augustin menekankan konsep cinta dalam perhubungan dengan Tuhan dan memang boleh dilihat bahawa satu tema penting bagi agama Kristian hingga hari ini adalah konsep cinta.
Permasalahan Wujudnya Kejahatan dan Kehendak
Permasalahan ini bukan sahaja cuba dirungkaikan oleh Augustine, tapi turut disentuh oleh filsuf-filsuf Yunani termasuklah Plato dan Aristotle sendiri dan selepas Augustine, hampir semua filsuf yang hebat dan ternama akan cuba merungkai persoalan ini.
Secara ringkasnya, Augustine bertanya kenapa ada wujudnya kejahatan di dunia yang diciptakan Tuhan ,dan sifat Tuhan pula Dia yang memiliki cinta yang agung. Untuk merungkai persoalan ini, Augustine mempercayai akan konsep kehendak sendiri(free will). Manusia dihadiahkan kehendak oleh Tuhan, dan ini membuatkan manusia mempunyai kebebasan untuk memilih. Dan manusia juga mempunyai akal untuk mengenal ilmu pengetahuan.Akal berfungsi sebagai sesuatu yang mencerahkan kehendak mengenai sesuatu objek, dan dalam orang yang berakhlak baik, akalnya dapat mengawal kehendak. Dalam orang yang membuat sesuatu yang tidak baik, pada waktu itu, akal gagal mengenal pasti objek yang baik, lalu berkehendak kepada objek yang tidak baik. Ini menerangkan mengapa walaupun seseorang tahu apa itu akhlak yang baik dan perkara yang betul, dia masih lagi boleh membuat kesalahan. Maka kejahatan lahir daripada pilihan tidak elok yang dibuat oleh manusia,apabila kehendak digunakan untuk meninginkan objek yang tidak baik, bukannya kerana manusia memang dilahirkan dengan elemen kejahatan dalam diri.
Namun timbul pula persoalan. Pada masa yang sama, Augustine percaya akan takdir/ketentuan Ilahi, bahawa semuanya berlaku kerana ketentuan Ilahi. Jadi bagaimanakah konsep kehendak manusia ini boleh ada jika semuanya sudah ditakdirkan. Bukankah ini bermaksud bahawa jika semuanya sudah ditetapkan pada awalnya, kehendak sendiri manusia secara otomatis terbatal; yakni, manusia tiada kehendak
Menurut Augustine, konsep ketentuan Ilahi dan kehendak manusia bukanlah dua perkara yang berlawanan. Ini kerana Tuhan sudah tahu apa yang akan terjadi. Ianya mungkin boleh diterangkan sebegini, Tuhan berada di luar masa. Manusia pula berada di dalam Masa, maka semua yang kita alami berada dibawah takluk masa. Oleh itu kita tidak boleh lari dari memikirkan mengenai konsep sebelum, semasa, dan selepas. Bagi Tuhan yang berada di luar Masa, kita tidak boleh mengaplikasikan terma sebelum, selepas, atau semasa. Jawapan ini agak sukar untuk difahamkan, dan Augustine sedar akan hal ini, namun ianya sukar untuk kita manusia yang tidak pernah tahu dan tidak akan dapat bayangkan realiti tanpa aplikasi masa. Persoalan mengenai ketentuan Ilahi dan kehendak manusia ini bukanlah unik pada Augustin seorang, terdapat ramai ahli falsafah sebelum dan selepasnya cuba untuk mencari rumusan untuk kedua perkara ini. Dan sehingga sekarang, ahli falsafah dan agamawan masih berbalah mengenai isu ini.
Selepas Augustine, pada zaman medieval Eropah, tokoh-tokoh Kristian berbalah mengenai kehendak dan akal, persoalan manakah yang lebih superior seperti juga konsep takdir dan kehendak, yang juga dibincangkan dalam tradisi ilmu Islam.
Baiklah, aku akan bawa kau untukmengucapkan selamat tinggal kepada Augustine dan padang pasir bumi Afrika Utara. Kita akan meneruskan pengembaraan ke satu tempat yang lain.
Sumber Primer:
1. Confessions karya Augustine
2. De Musica,Book 6 karya Augustine
Sumber Sekunder:
1. A History of Philosophy 2 : Augustine to Scotus karya Frederick Copleston(1993)
2. Beauty and Revelation in the Thought of Saint Augustine karya Carol Harrison (1992)