Saya bukanlah orang meminati sains sejak sekolah. Namun, kerana saya berpeluang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Selangor, pendedahan awal telah berlaku secara tidak langsung. Keputusan SPM saya biasa-biasa saja, namun yang selalu membuat orang terkasima ialah apabila saya memberitahu, subjek Fizik adalah subjek yang tercorot. Dan kini saya menjadi Pensyarah Fizik. Tiada yang mustahil, bukan
Bagaimana saya boleh meminati Fizik Ia satu subjek yang paling tidak digemari di antara subjek sains yang lain. Ia bermula sewaktu saya belajar di Matrikulasi UPM 1996. Apabila saya menerima kertas ujian Fizik, saya tidak dapat menerima hakikat markah yang diperoleh, maka malam itu saya cuba mengulang semula menjawab berdasarkan jawapan yang diberi oleh pensyarah. Saya ulang dan ulang dan ulang, berkali-kali namun tidak juga mendapat jawapan yang sama. Saya tidak boleh tidur selagi saya tidak menemui jawapan. Buku teks saya belek, nota kinematik dan dinamik saya semak. Saya yakin apa yang saya buat adalah betul.
Esoknya, saya menemui pensyarah untuk meminta penjelasan. Saya tunjukkan jalan kerja yang saya lakukan. Saya terangkan apa yang saya faham. Akhirnya, betul. Ya pensyarah tersebut khilaf. Maka detik itulah, saya tahu yang saya boleh buat Fizik.
Hidup di rantau orang
Dengan rasa takut dan harap, saya sekeluarga memberanikan diri untuk berhijrah menuntut ilmu ke negara orang. Bukan mudah pada awalnya kerana saya membawa anak-anak yang masih kecil, 3 tahun, 2 tahun dan setahun. Ya, saya melahirkan anak, tiga tahun berturut-turut. Kami cuba lalui pahit getir, jatuh bangun bersama sebagai satu keluarga. Tentunya saya tidak lupa akan pengorbanan suami yang berhenti kerja kerana menemani saya belajar. Hanya Allah yang dapat membalas jasa suami dan anak-anak yang setia dan berlapang dada apabila umi mereka tidak seperti umi yang lain. Saya masih terbayang anak saya yang bongsu (ketika itu) menerkam ke arah saya apabila saya mula membuka pintu rumah usai pulang dari makmal. Tidak sempat berbuat apa, dia akan menyusu semahunya seolah-olah tidak mahu berpisah. Saya terpaksa mengamalkan teknik reverse cycle untuk penyusuan kerana sudah tidak berkesempatan mengepam. Teknik ini bermakna anak hanya menyusu ketika saya ada sahaja terutama waktu malam. Kasihan anak-anak, ada waktu saya keluar pagi dan balik tengah malam. Saya keluar rumah anak belum bangun, saya balik, anak sudah tidur. Namun anak-anak bagi saya bukanlah penghalang untuk berjaya, malah merekalah penguat semangat saya untuk terus berjuang di medan ilmu ini.
Cabaran saya bermula apabila penyelia pertama saya pencen.
Kemudian penyelia bersama menarik diri. Masuk tahun kedua, saya terpaksa bertukar penyelia. Kali ini, penyelia baru saya sangat baik dan selalu mengambil berat hal saya dan anak-anak. Saya masih teringat apabila beliau membalas emel yang saya hantar pada sekitar pukul 3 pagi. Beliau menasihati saya untuk utamakan keluarga dan tidak terlalu bekerja keras. Tahun kedua pengajian adalah tahun bahagia buat saya setelah tahun pertama tidak mendapat penyeliaan yang baik. Penyelia baru tidak pernah membuat eksperimen di makmal kerana bidang beliau adalah permodelan dan simulasi. Sedangkan saya adalah seorang experimentalist. Saya harus bermula dari kosong untuk belajar kerana saya tidak punya asas dalam bidang ini.
Namun, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Penyelia baru saya pula terpaksa berpindah ke Vienna. Saya sangat tertekan waktu itu. Adakah saya perlu bertukar penyelia lagi Jika ya, beliau akan jadi penyelia ketiga saya! Setelah perbincangan hati ke hati, akhirnya keputusan diambil. Beliau akan terus menjadi penyelia jarak jauh. Ini bermakna, tahun ketiga dan keempat saya tanpa penyelia di depan mata. Sedih, geram, mahu menjerit! Ya, saya tidak datang makmal selama seminggu untuk melayan hati yang remuk. Tidak boleh terus meratap, kemudian saya bangkit dan positif. Laily, awak boleh buat!!
Syukur, penyelia saya tidak lepas tangan. Dalam sebulan atau dua bulan, beliau terbang dari Vienna ke UK untuk berjumpa saya. Ada waktu kami akan berbincang panjang melalui telefon atau Skype. Ada ketika kami bermesyuarat sehingga 6 jam terus! Peliknya, beliau tidak berhenti pun untuk makan. Kerja keras, sungguh menakutkan! Saya yang terpaksa minta izin untuk solat dan makan. Walau macam mana sibuk pun, solat tetap dilakukan walaupun di tepi meja belajar atau di dalam hiruk-pikuk makmal. Alhamdulillah kawan-kawan saya maklum dan menghormati prinsip saya yang tidak akan meninggalkan tanggungjawab ini. Pernah juga satu ketika saya berkunjung ke makmal sahabat saya di Leeds, beliau tahu yang saya perlu solat dan telah awal-awal membersihkan ruang di makmalnya untuk saya solat. Lihat, jika kita memberi komitmen kepada kerja dan ibadah, orang akan menghormati kita tanpa diminta.
Antara perkara yang manis ialah apabila saya mendapat tempat pertama dalam pertandingan poster pelajar tahun dua PhD. Aktiviti ini dilakukan setiap tahun bersama pihak industri dan yang menariknya, nama pemenang akan dipahat di atas plak dan diletakkan di Turner Museum of Glass, University of Sheffield. Di samping itu, saya berkesempatan menyertai beberapa persidangan antarabangsa di UK, Jerman dan Ireland. Selain itu, saya berpeluang berjumpa dengan pakar-pakar magnet terkenal dunia, seperti George C Hadjipanayis (Univeristy of Delaware), Michael Coey (Trinity Dublin) dan David Jiles (Cardiff University). Tentulah rasa seperti bermimpi. Allahu Akbar.
Tahun akhir, saya menghantar tesis. Namun saya kecewa kerana penyelia saya sangat sibuk hingga tidak sempat menyemak tesis saya. Berbulan-bulan saya menunggu. Lebih menambah cabaran apabila tahun itulah ibu saya (kini almarhumah) didiagnosis menghidap barah payudara dan keadaannya waktu itu kurang baik setelah 6 kali kimoterapi. Bapa mertua (kini almarhum) pula diserang stroke. Keadaan lebih tertekan kerana keluarga di Malaysia mendesak untuk pulang segera ke Malaysia. Maklumlah, sepanjang 4 tahun, saya tidak pernah balik. Saya kemudian menulis emel panjang kepada penyelia, merayu untuk cepat membaca tesis saya. Malam terakhir di bumi UK, barulah beliau selesai membaca semua tesis saya. Saya terpaksa pulun membuat pembetulan pada malam itu juga. Esoknya sewaktu saya bersiap untuk berangkat pulang ke Malaysia, beliau menelefon dari Vienna. Laily, awak boleh hantar tesis sekarang. Allahu. Beliau hanya membaca sekali sahaja!
Bahasa Melayu vs Bahasa Inggeris
Pada awalnya saya menghadapi masalah untuk memahami pertuturan loghat Yorkshire. Seolah-olah bercakap Bahasa Inggeris versi Kelantan campur Kedah. Saya cuba memasuki kelas Bahasa Inggeris untuk pemantapan. Oh, rupanya saya ini tidaklah seteruk mana, pelajar dari China, Taiwan, Jepun, Sepanyol lagi sukar berbahasa inggeris. Tetapi mereka tidak malu untuk tampil ke hadapan! Sedikit demi sedikit keyakinan dibina. Saya tanamkan dalam diri yang bahasa Inggeris hanya alat dan bukan matlamat. Sains boleh dipelajari dengan pelbagai bahasa. Tiada guna jika kita fasih bercakap Inggeris tetapi pengisian sainsnya kosong! Bahasa Inggeris hanyalah bahasa, bukan ukuran kecerdasan.
Peristiwa yang berlaku sewaktu saya membentangkan kertas kerja di sebuat persidangan antarabangsa di Dublin, benarbenar membuka mata saya. Saya mendapat giliran pertama untuk membuat pembentangan. Gementar dan kecut perut memang amat terasa, lebih-lebih lagi melihat auditorium yang sangat besar itu. Sebagai mengurangkan gugup, saya masuk dewan lebih awal. Dewan masih kosong. Tidak lama kemudian masuk seorang peserta. Rupanya beliau adalah seorang professor muda dari Perancis. Beliau juga rupanya sama seperti saya, berdegup-degup! Saya gugup disebabkan takut isi pembentangan saya kurang mantap tetapi beliau disebabkan tidak fasih berbahasa Inggeris. Beliau berkongsi cerita yang beliau belajar dan mengajar dalam Bahasa Perancis. Selepas giliran saya, adalah beliau. Saya cuba memerhati bagaimana beliau membuat pembentangan. Apa yang beliau hendak katakan, ditulis satu-satu di atas slaid. Namun beliau masih bercakap dengan penuh wibawa! Dan tiada orang memandang sinis. Jika di Malaysia saya fikir, beliau akan dikutuk dan menjadi viral. Pada saya, yang penting ilmu dan penemuan saintifiknya, bukan bahasa Inggerisnya!
Pernah juga waktu saya bersidang di Jerman. Saya fikir lebih baik saya ngomong jowo dari berbahasa Inggeris! Bahasa itu tidak laku di sini. Saya pernah ditegur sapa dengan seorang Professor dari Jepun. Menariknya beliau fasih berbahasa Melayu dan yang jauh lebih mengujakan ialah beliau berbaju batik! Wah! Orang Jepun bersidang di Jerman bercakap Melayu dan berbaju batik!
Penyelidikan yang diterokai
Pada tahun akhir pengajian sarjana muda, saya memilih untuk menerokai bidang sains bahan. Awalnya saya memilih semikonduktor, namun kemudahan penyelidikan adalah terhad. Kemudian saya mula melakukan sedikit homework dan saya rasa teruja untuk memilih bahan magnet. Projek tahun akhir tersebut merupakan batu loncatan kepada saya untuk belajar melakukan penyelidikan saya secara teratur. Saya telah memfabrikasi komposit bahan magnet Yttrium Iron Garnet (YIG)-dan bahan dielektrik (BaTiO3 ) sebagai bahan penyerap radar (radar absorbing material-RAM). Aplikasi bahan ini sangat penting bagi teknologi perisikan dan ketenteraan.
Apabila mula memasuki dunia magnet, saya tertarik dengan ferit. Meskipun ferit merupakan bahan magnet yang tidak popular berbanding bahan magnet kekal yang lain seperti Alnico, SmCo mahupun NdFeB , namun masa depan bahan ini sangat cerah, kerana masih banyak aplikasi yang boleh diterokai selain kos sintesisnya juga rendah. Berbanding ferit lembut, saya lebih cenderung kepada ferit kekal kerana pada waktu itu (sekitar tahun 1999), tidak banyak kajian dilakukan terhadap bahan tersebut. Saya nekad meneruskan kajian saya dalam seramik magnet, Strontium Ferit. Bahan ini meluas digunakan sebagai peranti di dalam sistem pembesar suara stereo. Di Jabatan Fizik UPM pada waktu tersebut, kaedah sintesis hanya terhad kepada teknik lazim, iaitu kaedah seramik bahan pepejal. Namun, daripada pencirian magnet dan mikrostruktur, banyak penambahbaikan yang telah dan boleh dibuat.
Satu ketika saya hilang arah dengan penyelidikan saya. Saya merasakan yang saya perlu HIJRAH untuk menerokai bahan magnet yang lebih terkini, mencuba teknik yang canggih, kemudahan penyelidikan kelas dunia dan bersama penyelidik-penyelidik yang hebat. Kecenderungan saya ketika itu adalah memahami sifat-sifat magnet pada bahan yang mempunyai tenaga tinggi meskipun saiznya kecil. Tambahan pula, pada waktu itu (2006), teknologi nano sedang hangat diperkatakan dan saya tentunya ingin menjadi salah seorang daripada penyumbang kepada teknologi tersebut.
Saya memilih bahan yang dipanggil 2141 atau lebih dikenali sebagai Neodymium Iron Boron (Nd-Fe-B), dimana pada waktu tersebut inilah bahan magnet kekal yang paling kuat. Bahan NdFeB ini secara rasminya dicanang pada tahun 1984 oleh 2 kumpulan penyelidik dari US (General Motor) dan Jepun (Sumitomo). Masing-masing menggunakan teknik yang berbeza, iaitu kaedah pemejalan pantas (rapid solidification) dan pensinteran fasa cecair (liquid phase sintering). Artikel oleh Sagawa dan kumpulannya di Sumitomo telah dipetik (cited) sebanyak lebih 2000 kali. Pengiktirafan dunia terhadap penemuan ini sangat tinggi, kerana ramai orang ternanti-nanti bahan magnet alternatif kepada Samarium Cobalt (SmCo). Harga dunia bagi bahan mentah kobalt sangat tinggi pada waktu itu, memaksa para penyelidik mengkaji bahan magnet tanpa kobalt. Ironinya, ramai yang tidak tahu, sebenarnya NdFeB telah mula dijumpai sejak 1979 oleh Chaban dari Ukrain. Beliau telah menerbitkan hasil penemuaan itu di dalam bahasa Ukrain. Malangnya, hasil pencirian bahan magnet tersebut tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pembangunan bahan megnet NdFeB berkembang dengan sangat pesat. Sehingga satu ketika, pencirian magnet fasa tunggalnya sudah menjadi tepu. Penyelidik sudah mula mencuba keluarga baru iaitu nanokomposit NdFeB. Bahan ini menggabungkan kelebihan pemagnetan tepu (Saturation Magnatization) yang tinggi di dalam magnet lembut (seperti alfa Iron) dengan kehebatan coercity di dalam magnet keras (NdFeB). Saya sungguh teruja kerana penyelia saya waktu itu Prof. H.A Davies (kini mendiang), adalah antara penyelidik yang mempelopori bahan magnet nanokomposit ini. Selain itu, saya juga berpeluang untuk membuat permodelan dan simulasi mikromagnetik yang membolehkan kita membuat telahan pencirian magnet berdasarkan mikrostruktur dan suhu Curie.
Apabila saya pulang ke Malaysia, saya terpaksa menerima hakikat yang saya tidak mampu meneruskan kajian dengan bahan yang sama kerana tiada peralatan dan perkakas vakuum sesuai. Bahan NdFeB adalah reaktif dan mudah teroksida. Maka, pulanglah ke bumi yang nyata, saya perlu kembali kepada ferit. Rupanya kajian tentang ferit tidak pernah buntu. Daripada saya mengkaji sistem pertukaran gandingan (exchange coupling) di dalam sistem metal, kali ini saya akan mengkaji untuk sistem oksida. Ya, rupanya bahan ini dikira novel, masih baru dan banyak ruang untuk bereksperimentasi. Malahan, sekarang ini penyelidik sudah mula mencari alternatif kepada bahan magnet kekal tanpa logam nadir (rare earth free permanent magnet). Ini gara-gara harga logam tersebut naik secara mendadak kerana umumnya hanya negara China sahaja yang boleh membekalkan bahan mentah ini. Isu alam sekitar juga antara punca asbab bahan ini memerlukan pengganti.
Alhamdulillah, setakat ini saya telah menerima empat geran untuk projek tersebut dalam tempoh sekitar 3-4 tahun saya memulakan kajian ini. Mudah-mudahan apa yang saya dan penyelidik UPM lakukan dapat memberi impak dan manfaat kepada umat.
Motivasi
Perkara paling asas yang perlu diketahui oleh saintis muslim ialah kewujudan Khaliq (Pencipta) dan makhluk (yang dicipta). Selain daripada Allah adalah makhluk. Ciri-cirinya makhluk adalah tunduk dan patuh kepada Khaliq. Oleh itu difahami, atom, sel tumbuhan, logam, magnet, gelombang graviti, cahaya, neutrino apa sahaja adalah milik mutlak Tuhan. Sains adalah satu displin ilmu yang membentuk jati diri kerohanian kita untuk dekat denganNya. Kajian yang dilakukan adalah untuk mengajak kita berfikir, menakul, memerhati, meneroka demi memperolehi kebenaran. Di dalam teori magnet, apabila berlainan kutub sahaja magnet boleh tertarik. Ini kerana kutub berlainan ini patuh dengan aturan Pencipta. Namun, jika Allah mahu, boleh sahaja kutub selatan tertarik dengan kutub selatan. Sains itu bukan sekadar logik akal semata, tetapi tanda keimanan kita kepada Allah. Di dalam al Quran sendiri ada lebih 1000 ayat quran yang saintifik!
Saya secara peribadi sungguh termotivasi dengan ayat 25 Surah Al Hadid. Dalam banyak-banyak elemen di dalam jadual berkala, besi (Ferum) mendapat tempat dari 114 surah.
.Dan Kami telah menurunkan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia.Surah al-Hadid;25.
Manfaat Ferum adalah sangat besar, aplikasinya semakin bertambah hari ke hari. Bermula dengan hanya sebagi baju besi hinggalah kini digunakan di dalam kereta hybrid, microcip, maglev, jet perisik dan banyak lagi. Kajian mengenainya seolah-olah tiada penghujung. Inilah antara sebab saya meminati bidang ini, kerana percaya yang bahan ini memberi banyak kebaikan kepada manusia. Bukankah suatu hadis menyebut, Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.
Pandangan saya dalam memupuk minat terhadap sains,
Prinsip dualisme dalam pendidikan perlu dielakkan. Shaykh Muhammad Abduh, seorang ilmuan dari Universiti Al Azhar, contohnya adalah antara tokoh awal reformis yang menentang prinsip ini. Meskipun beliau bukan seorang saintis, namun pemikiran beliau terhadap pendidikan moden sangat mendahului zaman. Beliau berusaha menyatukan sistem pendidikan agama dengan sains dan teknologi (integrated education system). Sains adalah ilmu yang membawa kemajuan kepada dunia islam. Tentu kita mahu kegemilangan sains sewaktu zaman khilafah Abbasiyah muncul semula. Mungkinkah akan lahir kembali saintis seperti Ibnu Sina, Al Khawarizmi, Al Biruni, Ibnu Haitham
Masa depan
Sejak 1967 lagi, dasar 40:60 pelajar sastera: sains diperkenalkan. Namun hingga kini, sasaran tersebut masih belum nampak bayangnya. Tahun 2012, berlaku penurunan sebanyak 29 peratus pelajar yang mengambil jurusan sains. Sebagai orang yang terlibat secara langsung di dalam STEM (Science, technology, engineering, mathematics), usaha-usaha untuk saintis turun padang perlu giat dijalankan. Penglibatan kita bukan sekadar kajian di dalam makmal, menulis artikel dan membentang kertas kerja di persidangan sahaja. Kita tidak mahu menjadi saintis yang syok sendiri, rasa hebat kerana punya geran berjuta-juta. Sesungguhnya, membuat kajian itu juga adalah satu ibadah yang nilainya sangat tinggi di sisi Tuhan jika kita benar-benar mengetahui. Masuklah di dalam bidang ini dengan sungguh-sungguh. Sumbangan kita mestilah benar-benar dirasai hingga ke akar umbi. Saya sendiri mahu menjadi saintis yang punya umat! Saintis ummatik!
Sebagai penutup, tentulah wajar saya berterima kasih kepada Almarhum Prof Madya Dr. Mansor Hashim (meninggal dunia 2 bulan yang lalu) yang menjemput saya untuk berada di dalam dunia magnet ini. Beliaulah sifu dan motivator saya untuk lebih menekuni disiplin ilmu ini. Sehingga hujung usianya, beliau tetapi komited menyumbang bakti. Wataknya sebagai saintis tulin, ikhlas dan genius, begitu berbekas di hati saya. Moga Allah tempatnya di kalangan orang yang beriman. Al Fatihah!
Biodata
Dr. Norlaily Mohd Saiden memperolehi Sarjana Muda Kepujian Fizik dan Sarjana Sains Bahan dari Universiti Putra Malaysia. Kemudian, menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah, PhD di dalam bidang Bahan Magnet di University of Sheffield. Mula berkhidmat di UPM sejak tahun 2000 hinggalah kini sebagai Pensyarah Kanan. Penyelidikan terkini tertumpu kepada pertukaran gandingan di dalam nanokomposit ferit lembut/keras. Beliau juga aktif dalam aktiviti bersama komuniti setempat, seperti Ketua Helwa ABIM Bangi sejak 2012 hingga kini. Ibu kepada 5 orang anak, beliau sangat optimis kepada kekuasaan seorang wanita dalam pendidikan membina generasi. Selain itu, beliau bersama-sama rakan pensyarah di Jabatan Fizik membentuk kumpulan UPM STEM sebagai platform untuk turun bersama masyarakat.