PERSEPSI TERBIAR SEPI - 7
NAK tak nak, saya menulis juga tentang pengalaman sendiri. Biar kalian tahu yang saya pernah hadap pengalaman ini, bukan hanya menulis dengan imaginasi semata-mata. Sejujurnya saya amat tak gemar menulis perihal jodoh. Tetapi soalan-soalan yang selalu saya terima tak pernah sunyi mengenainya. Bahkan disebabkan wujudnya beberapa orang yang berpersepsi terhadap saya, ingin sekali saya membuatkan mereka faham dengan penulisan yang ringkas di sini.

Dalam buku ASAH, saya sudah nyatakan tentang ada perkara yang lebih patut untuk dipedulikan berbanding membincangkan perkara yang sudah berlalu. Kalau tak berjodoh dengan orang yang pernah kita kenali, itu tandanya Allah nak jaga kita daripada mudarat yang panjang. Dia lebih tahu apa yang baik dan tepat untuk kita. Selanjutnya saya tak mahu sebut lagi di sini. Ada rezeki, cuba untuk memiliki buku ASAH. Sebab pada perkongsian ini, saya lebih kepada mahu menerangkan kenapa sampai sekarang saya beraksi selamba kalau ditanya tentang jodoh.

Bukan sombong. Bukan mendabik dada, petik jari, 1000 lelaki datang. Bukan rasa diri cukup hebat untuk menjadi keinginan lelaki memiliki diri. Bukan untuk melaga-lagakan. Bukan untuk bertangguh-tangguh. Lagi kerja gila kalau saya dipaksa membayangkan yang saya nak berkahwin sesama jenis. Nauzubillahiminzalik.

Sebab saya pernah rasa sakitnya luka setelah pohon pengharapan dicantas, saya tak perlu untuk termangumangu lagi dalam kenangan. Belajar daripada pengalaman, berkeputusan dengan apa yang Tuhan ajarkan. Luka lama-lama terbalut sendiri. Allah cipta harapan supaya kita jadikan Dia sebagai sandaran. Celik mata hati, dan saya lenturkan diri bahawa Allah pemilik segala kebaikan yang sesungguhnya dan akan hadir pada waktu yang tepat.

Move on dan saya pilih untuk terus mencari kebaikan yang lebih luas berbanding memikirkan sesuatu yang sememangnya dah jadi ketetapan Allah sejak dari alam rahim lagi. Soal jodoh dah tercatat rapi-rapi dalam lohmahfuz. Jadi, saya lebih fokuskan perjalanan hidup saya kepada segala amanah yang sedang saya pikul. Saya punyai tanggungjawab yang lebih utama daripada memikirkan sesuatu yang tak pasti kesudahannya.

Selanjutnya, saya ingin kongsikan pandangan saya berdasarkan salah sebuah soalan mengenai hal jodoh yang pernah meminta pandangan dan nasihat saya. Saya tertarik untuk memilih sebuah soalan ini. Jawapan yang saya hidangkan ini juga harapnya dapat membantu segala bentuk hati yang sedang diuji.

Salam, Mai Izyani. Saya nak suarakan sesuatu dan minta pendapat awak atas persoalan kepada situasi saya ni. Saya buntu memikirkannya. Saya Nora (bukan nama sebenar) dari Johor. Saya dah bekerja 5 bulan lepas habis belajar. Sejak saya belajar lagi, saya ada macammacam impian untuk family saya dan jaga diri saya sendiri. Saya nak beli kereta, saya nak tolong adikberadik saya yang lain. Saya boleh buat itu ini, sebab saya dah ada pendapatan tetap, duit yang saya boleh belanjakan.

Tapi agak meleset sedikit perancangan itu, sebab di akhir-akhir pengajian, saya dah terikat dengan perancangan berkahwin dalam tempoh masa dua tahun. Pada mulanya saya anggap tak ada isu besar, tapi once saya dah masuk alam pekerjaan, didedahkan dengan perbincangan akak-akak tentang persiapan perkahwinan, kena mula dari sekarang, belanja itu ini, saya mula menyimpan untuk bajet perkahwinan.

Gaji fresh graduate bila dah ditolak itu ini, kadang tak cukup mana. Pada masa yang sama, saya bagi ibu saya bulan-bulan, saya tolong adik-beradik saya yang lain. Tapi dalam mind set saya sekarang ni, bila dah ada plan saving kahwin, saya tak boleh usik duit tu, sedangkan waktu belajar mind set saya nak bantu keluarga saya.

Kami family sederhana, rumah yang ada pun menumpang. Ada konflik saudara. Ibu dari dulu bekerja kampung. Ayah meninggal waktu kami kecil. Ibu bela kami lima beradik. Sampai sekarang, yang sulung 26 tahun, kami masing-masing tengah seimbangkan ekonomi lagi, dan antara kami, gaji saya agak tinggi sikit dari mereka. Saya keliru, impian saya nak beli kereta, impian saya nak beri kehidupan selesa pada ibu belum sepenuhnya tercapai.

Ya, saya baru 5 bulan bekerja. Saya kirim pada ibu dengan duit saving kahwin, tapi saya jadi banyak komitmen. Saya sendiri terpaksa jaga-jaga bajet untuk makan dan belanja. Dan sepatutnya saya boleh dah beli kereta tapi saya hold dulu sebab saya tahu bila dah ada kereta, susah nak pusing dengan ekonomi sara hidup tinggi sekarang ni. Saya menyewa, bayar duit PTPTN. Pada masa yang sama nak kahwin. Saya tak terlalu mengeluh. Saya anggap ianya ujian. Tapi mungkin ada jawapan daripada sis, yang dapat bagi sedikit solusi atas situasi saya sekarang ni.

Awasi hati. Jangan salah faham dengan sifir kehidupan. Setiap yang mendatangi kita adalah amanah. Anggap sebagai satu anugerah daripada Allah selagi di celah-celahnya tertulis nikmat. Termasuklah soal perkahwinan. Jangan sesekali anggap perkahwinan sebagai bebanan. Jangan sempitkan konsep perkahwinan dengan sejumlah rezeki yang dimiliki.

Sungguh, Allah itu Maha Mencukupkan apabila Dia kehendaki. Allah ar-Razzaq, pemilik segala rezeki. Dalam al-Quran, yang disebut hanyalah Allah yang Maha Kaya dan Maha Mencukupkan. Tiada istilah di dalamnya menyebut Allah Maha Memiskinkan.

Penerimaan diiringi dengan rasa hati yang lapang dan tenang. Untuk apa membiarkan orang lain berharap sedangkan kita masih lagi belum puas untuk terbang bebas Memikirkan banyak lagi keinginan yang mahu diterjah secara solo. Ada amanah yang perlu kita jalankan secara persendirian sebelum kita terikat. Untuk apa memberi harapan wahai laki-laki dalam waktu engkau sendiri terkapai-kapai dalam menguruskan hidup peribadi Fikirkanlah tentang pesanan Tuhan kita bahawa hadirnya wanita bergelar isteri di sisi kalian adalah amanah terbaru yang akan dipertanggungjawabkan dunia dan akhirat.

Saya juga membuat senarai perkara-perkara yang mahu saya capai sebelum hadir tanggungjawab baru dalam hidup. Ada matlamat yang sebahagiannya sudah berjaya saya capai. Sebahagian yang lain dan yang mendatang, saya mesti tempuh. Lalui sahaja dengan berlapang hati. Ikut sunnatullah. Pilihan dalam hidup bukan suratan, tapi pelajaran. Sebab itu jangan sewenang-wenangnya memberi harapan dan berharap pula kepada sesuatu yang lain.

Perkahwinan terpikul oleh orang yang berakal. Permasalahan yang timbul, bukan untuk dihapus tapi diurus. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,

Wahai para pemuda, jika kamu mampu bernikah, hendaklah bernikah. Sesungguhnya pernikahan itu menundukkan (memelihara) pandangan dan kemaluan (kehormatan). Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu perisai baginya (menahan nafsu).

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Jika hadir seseorang yang merisik itu baik pula sikap toleransinya, benar-benar jelas corak kehidupan kita, hormati matlamat kita dan berusaha membentuk kesefahaman, kemudian berbincang secara terus terang tanpa panjangkan ikhtilat, itu adalah lebih baik daripada menunggu yang selanjutnya. Berikan peluang dan ruang untuk sama-sama mencipta potensi kehidupan berkeluarga yang sakinah.

Cuma masa, siapa dan bagaimana, semuanya telah menjadi rahsia agung Allah. Nak yang terbaik hadir, jadilah yang terbaik juga pada yang lain. Ke manamana bawa keperibadian yang berkualiti. Jaga akhlak dan lisan. Tajdid niat.

Allah adalah sebaik-baik perancang. Percaturan Dia lebih terkehadapan. Kita merancang dengan cita-cita, Allah merancang dengan cinta. Saya jelas tentang itu semua. Jadi, tanggungjawab saya adalah mempersiapkan diri. Kalau Allah kata orang ini untuk saya, berlangsung pada sekian-sekian tarikh, move in. Pasti terjadi. Jangan sesekali meletakkan amanah dalam perkahwinan yang hadir sebagai bebanan. Sebaliknya itulah hadiah daripada Tuhan. Nikmat dunia selanjutnya yang perlu kita tempuhi.

Perkahwinan bukan hanya untuk menjaga hawa nafsu. Tetapi sebagai alternatif mencegah perzinaan. Namun itu bukan matlamatnya, sebaliknya itu hanya hikmahnya. Again, hanya hikmah. Persediaan yang utama adalah pengorbanan dan kematangan. Nabi Muhammad s.a.w ada menyebut:

Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, maka Allah akan mengujinya dengan kesusahan.

(HR al-Bukhari)

Pilihan dalam hidup bukan suratan, tetapi itulah pelajaran. Belajar daripada pengalaman seputar kehidupan, berkeputusan dengan apa yang Tuhan ajarkan.