The love of ones country is a splendid thing. But why should love stop at the border
- Pablo Casals
Selesai tiga jam perjalanan kami sampai di Bandung jam 7 malam. Ramai kelibat manusia menunggu kenalan atau sesiapa saja menjemput mereka di Stasiun Bandung. Haeri memberitahu yang dia nak ke surau untuk solat maghrib. Aku duduk di depan surau stesen itu menghisap rokok. Ketika menghisap rokok, datang kelibat seorang pakcik bertanya mahu ke mana. Aku khabarkan mahu ke Bukit Dago. Homestay yang aku tempah itu berada di Bukit Dago. Namanya Bantal Guling Homestay. Aku memilihnya kerana Haeri menyatakan mahu ke Jalan Dago untuk melihat koleksi pakaian distro tempatan di situ. Mendengarkan hajat ini, pakcik itu menawarkan perkhidmatan mobil sewanya dengan bayaran sebanyak Rp100,000. Aku rasa agak mahal. Beberapa ketika Haeri sudah pun terpacak di tepi aku mendengar bualan dengan pakcik tersebut. Bukit Dago itu jauh ke dalam. Keadaannya gelap di sana. Rp100,000 itu kira murah aja, tegas pakcik itu memujuk kami menggunakan perkhidmatannya. Haeri sememangnya tak mau pakai teksi kerana agak menelan belanja. Ketika di Jakarta pun kami sudah terkena jeratan perkhidmatan
kereta sewa.
Terima kasih, mas. Kami mahu berjalan-jalan dulu di sini, aku menolak sopan sambil berlalu pergi bersama Haeri. Pakcik itu tetap mengekori kami. Tidak habis-habis dia menawarkan potongan harga. Haeri pula mahu mencuba angkutan atau angkot. Sebuah pengangkutan awam di Bandung yang berbentuk mini-van. Terdapat banyak angkutan kelihatan 100 meter di depan stesen. Namun, pakcik itu tetap mengejar kami sambil mengurangkan harganya.
Beginilah. Berapa kalian sanggup bayar kata pakcik itu bertegas.
Bagaimana kalau Rp30,000 aku menjawap spontan. Aku meletakkan harga yang sungguh jauh berbeza rendah dari harga ditawarnya.
Waduh, Rp30,000 itu terlalu sedikit. Beginilah, Rp75,000 aja. Bagaimana pakcik itu mengurangkan harga lagi.
Enggak mau. Rp35,000. Aku membalas tawaran.
Rp70,000!
Rp40,000! sekali lagi perang tawar-menawar berlaku.
Rp65,000!
Terima kasih ya mas. Enggak apa kami lihat yang lain dulu, balas aku sambil sekali lagi berlalu pergi dengan Haeri. Perang psikologi berlaku dengan pakcik itu.
Baiklah, gini aja. Rp50,000! pakcik itu menawar lagi. Mendengarkan harga itu aku pun memandang kepada Haeri serta memberi isyarat apa pendapatnya. Bahagi dua Rp25,000 saja. Haeri seperti tiada bantahan pun setuju. Mengetahui kami bersetuju dengan harga Rp50,000, pakcik itu membawa kami menuju ke mobilnya. Tersenyum di wajahnya. Mungkin gembira rezeki berkunjung. Dia segera tolong mengangkat backpack kami untuk dimasukkan ke dalam keretanya. Terbantut pula niat menaiki angkutan. Takpelah. Lepas ni kita naik angkutan je, bisik Haeri padaku. Aku angguk saja. Strategi tawar-menawar yang digunakan aku adalah dengan menetapkan harga maksimum di dalam kepala otak sambil mulut menyatakan harga paling murah. Rp50,000 adalah nilai tertinggi yang aku sanggup bayar. Aku sebut harga yang jauh lebih murah agar ketika sesi tawar-menawar, harga dapat jatuh kepada harga maksimum. Kelihatan strategi ini berjaya.
Malam di Bandung sedikit sesak. Bandung adalah tempat tumpuan kebanyakan warganegara di Asia Tenggara. Jarang orang bule mahu ke Bandung. Orang Malaysia gemar ke sini untuk membeli-belah. Sebut saja Bandung, yang terlintas di fikiran mereka adalah sirap bandung ataupun shopping. Suasana dingin mencengkam di Bandung. Mungkin kerana landskap muka buminya yang dikelilingi gunung-ganang. Keadaannya hampir sama dengan Berastagi yang aku pergi dahulu di mana Berastagi itu bandar di atas gunung dan rasanya juga dingin.
Lebih kurang 45 minit juga perjalanan ke homestay kami. Memang agak jauh ke dalam. Jauh dari stesen keretapi dan pusat bandar. Jauh juga dari Jalan Dago yang kami hendak pergi. Ada benarnya juga kata pakcik supir ini. Homestay ini berada jauh terperusuk di celahan rumah-rumah banglo di kawasan Bukit Dago yang sunyi. Kami berpusing-pusing beberapa kali ketika mencari sebelum akhirnya terjumpa. Bayaran dibuat, beg diambil dan supir itu memberikan kami kad bisnes. Kami bisa menghubunginya jika memerlukan perkhidmatannya lagi. Langkah bermula dan memasuki halaman rumah banglo yang menjadi homestay itu. Kehadiran kami disapa seorang receptionist di kaunter. Receptionist itu seorang makcik yang juga tuan rumah kepada homestay.
Aku berurusan dengannya dan memberitahu nama seperti yang telah ditempah secara online. Receptionist itu tekun memandang skrin komputer sambil tangannya menekan-nekan butang tetikus. Tiada tempahan yang dibuat dari aku katanya. Kebingungan pula aku dan Haeri. Aku bertegas yang aku sudah membuat tempahan, malah telah membayar sedikit deposit. Takkan nak gerak pegi bandar balik. Supir tadi pun dah blah. Hari dah makin malam. Bisikku dalam hati. Receptionist itu juga bertegas tiada tempahan di atas nama aku. Aku mengambil henfonku dan menunjukkan bukti tempahan serta bayaran yang telah discreen capture. Dia melihat bukti yang ditunjukkan lalu mencapai telefon yang berada di sebelah kanannya. Maaf ya. Bisa duduk dulu ya berehat. Mungkin ada masalah teknikal, ujar receptionist. Terasa lega juga dengan respon diberi. Sekurang-kurangnya dia mahu menyelesaikan masalah dan tidak memilih untuk mempersetankan nasib kami.
Aku dan Haeri pun duduk di kerusi yang disediakan di ruang menunggu. Seperti biasalah, kami pun merokok. Kali ini tekak terasa nak menghisap kretek lalu Haeri menghulur sebatang. Harum semerbak sebaik aku dan Haeri membakar kretek. Selepas itu, receptionist menghampiri kami. Terdapat masalah teknikal yang menyebabkan tempahan kami tidak sampai ke pengetahuan mereka. Mujur masih ada kekosongan kerana ada orang yang membatalkan tempahan. Lega-seleganya mendengar penjelasan itu. Dia juga meminta maaf kepada kami di atas kesulitan yang berlaku lalu dia memanggil seorang pekerja yang disyaki sebagai anaknya untuk membawa kami ke bilik. Kunci bilik diserahkan, serta diberitahu bahawa sarapan adalah percuma. Kami bergegas mengikut pekerjanya itu setelah mengucapkan terima kasih.
Rumah itu tiga tingkat. Tingkat paling atas adalah tempat receptionist, ruang tamu dan bilik tuan rumah. Memandangkan rumah itu di lereng bukit, maknanya dari tingkat atas kami menuruni tangga ke bawah untuk ke bilik kami. Tingkat dua adalah tingkat pertengahan di mana di situ adalah khusus untuk bilik tetamu. Di tingkat bawah sekali adalah setor dan juga taman. Kelihatan juga seorang individu dipercayai bibik yang memegang bulu ayam duduk menonton sinetron di kaca televisyen. Dari pengamatan aku tuan rumah beragama Kristian. Terdapat banyak gambar-gambar berunsur Kristian memenuhi ruangan rumah. Gambar-gambar seperti Jesus dan Virgin Mary banyak tergantung. Tapi tak menjadi masalah pun untuk orang berlainan agama menumpang di sini. Kalau di Palestin, orang Islam dan Kristian saling bantu-membantu kenapa kat sini tak boleh pula. Jangan kita membenci sesuatu yang kita tak kenali dahulu.
Pintu bilik dibuka. Agak luas dan selesa. Backpack kami campak dan keluarkan beberapa barang keperluan. Terdapat televisyen di dalam bilik kami dan dilengkapi dengan penghawa dingin dalam suasana yang sudah sedia dingin. Remote control TV Haeri capai dan tekan butang on. Skrin terpancar sebuah rancangan hiburan tempatan dan kemudian diselangi dengan iklan kretek. Iklan kreteknya kelihatan eksklusif. Seorang lelaki macho memakai sut menjemput seorang wanita bergaun hitam menaiki kereta mewahnya untuk menikmati makan malam. Sedang menikmati makan malam di sebuah restoran mewah, lelaki itu mengeluarkan rokoknya sambil diperhati dengan penuh berahi oleh wanita tersebut. Sejurus kemudian keluar tulisan Djarum hitam eksklusif mengakhiri iklan komersial tersebut. Terkesima juga aku melihat iklan rokok kretek itu. Mungkin dah terlalu lama tak melihat iklan rokok sebab di Malaysia dah lama diharamkan. Atau aku terkesima melihatkan betapa eksklusifnya iklan rokok kretek tersebut. Itulah strategi syarikat-syarikat rokok dan korporat dalam periklanan. Suatu imej yang melambangkan kemewahan digunakan untuk mempengaruhi gaya hidup masyarakat. Kat sini, iklan rokok boleh ditayangkan pada jam 9 malam ke atas saja.
Terasa lapar, kami pun keluar dari bilik. Bibik yang asyik menonton sinetron tadi sedang mengemas dapur dan memandang kami. Kalau mau makan, bilang aja sama ibu. Ibu boleh masakkan. Menu ada di atas meja, bersuara bibik itu sambil bibirnya dijuihkan menunjuk ke arah meja di depan kami.
Baiklah. Terima kasih ya bu! kami membalas lalu mencapai menu. Hebat juga bibik ni seakan tahu kami berdua sedang kelaparan. Menunya hanya masakan yang biasa-biasa saja. Tiada masakan istimewa tradisional namun perut harus diisi. Nasi goreng ayam aku pesan manakala Haeri memesan mihun goreng. Bibik itu mengangguk senyum dan meminta kami duduk saja kerana dia akan menghantarnya. Lalu kami pun berjalan menuju ke ruang balkoni setelah membuat pesanan. Bagi menghilangkan kedinginan, kami membuat air teh panas di meja berhampiran dapur. Terdapat dua meja di balkoni tersebut. Balkoni itu memanjang sehingga ke tepi dan menempatkan meja-meja dan kerusi-kerusi. Ketika itu ada sepasang kekasih tempatan sedang mengusap rambut masing-masing di satu bahagian balkoni. Kami duduk di balkoni yang menghadap bukitbakau dan gunung-ganang. Terasa nyaman dan indah. Aku sudah pun terketar sedikit kerana memakai seluar pendek tapi tak aku endahkan.
Sementara menunggu makanan, aku amati satupersatu gambar yang tergantung dan tersusun di dalam almari. Gambar Jesus disalib, gambar Jesus dan siapa entah aku tidak tahu, gambar Virgin Mary mendukung Jesus ada di ruangan tersebut. Namun tiada gambar Jesus versi Indonesia. Semua versi Eropah. Tiba-tiba seekor kucing oren melompat membuatkan aku terkejut. Aku ambil kucing itu ke balkoni dan aku letak di riba. Haeri menghisap rokok kreteknya sebelum bakinya diberikan kepada aku untuk dihabiskan. Aku sambung hisap dan kucing oren di ribaku tadi melompat mendapatkan bibik yang datang membawa makanan kami.
Sebaik makanan kami sudah diletakkan di atas meja, kami mengucapkan terima kasih. Suapan demi suapan memasuki mulut kami sambil ditemani dingin malam. Terasa sedap yang satu macam apabila kau lapar dalam suasana yang sejuk dingin. Dengan lahapnya kami makan sehingga habis. Malam yang tersisa itu kami buang masa dengan merokok di balkoni sambil bersembang mengenai aktiviti untuk esok. Sembang juga perkara merapu. Teh panas kini sudah suam. Minuman dihabiskan seraya dengan rokok yang sudah memendek sehingga ke puntung sebelum dicucuhkan ke dalam bekas abu rokok. Selepas selesai kami pun berangkat masuk tidur.