Tapi tidak semua yang berfikiran begitu, malah ada yang mengambil kesempatan ke atas diriku dan menunjukkan kuasa sebagai Pegawai atasan.
Aku fikir itu bukan caranya untuk mendapatkan penghormatan dari orang bawah. Biasanya orang yang cuba mendapatkan kepatuhan dari orang bawahannya mempunyai masalah penyakit jiwa. Mereka seharunya menunjukkan karisma dalam meraih penghormatan dari orang yang dipimpin kerana karisma adalah kebolehan untuk membangkitkan kesetiaan.
Mereka juga mempunyai masalah rendah diri yang cuba diatasi dengan menggunakan apa juga cara untuk mendapatkan ketaatan dari pegawai bawahannya.Sebagai seorang pemimpin kita perlu menunjukan kewibawaan yang tinggi serta kualiti kerja yang boleh meletakan diri kita di dalam keadaan terhormat .
Cuma satu tekad ku! Walau apapun yang terjadi terhadap diriku, namun berundur atau melarikan diri tidak sekali akan aku lakukan .
ku tidak mahu lari dari tekanan. Kalau dalam masa aman pun mental tidak tahan, mana mungkin kita boleh menghadapi keadaan sebenar di medan perang . Setakat ini aku berjaya melalui orientasi yang entah bila akan tamat ini.
Seperti biasa aku terpaksa bersama pegawai-pegawai seniorku dalam semua aktiviti yang dijalankan. Buruk padahnya jika cuba melarikan diri atau take cover. Walau apa alasan yang aku berikan mereka tetap akan menghukum kerana gagal hadir dalam aktiviti yang berlaku dalam pasukan.
Dari satu segi ia adalah sangat baik kerana dapat membentuk nilai persahabatan dan boleh merapatkan hubungan antara kami. Aku memang banyak belajar secara informal apa yang mereka bincangkan apabila berkumpul.
Aktiviti petang merupakan sukan yang dilaksanakan di wisma perwira iaitu tempat penginapan pegawai. Baru hari ke tiga aku bermain tenis. Penolong Pegawai Memerintah Mejar Yusuf memaklumkan bahawa aku perlu hadir kursus Ketua Platun di Pusat Latihan Darat (PULADA) di Ulu Tiram selama 5 bulan.
Ia adalah kursus kerjaya pertama yang perlu di hadiri oleh semua pegawai Muda yang baru di tauliahkan. Aku cukup gembira dengan berita tersebut. Disamping dapat mengelak seketika dari di ganggu oleh senior aku, peluang berkursus ini dapatlah aku berjumpa semula teman-teman semasa kadet yang telah hampir setahun tiada jumpa. Lagi pun PULADA tidak jauh dari pasukan ku di Kluang.
Segalanya berjalan lancar dan aku lalui kursus yang tidak kurang teruknya dengan tabah. Walaupun latihannya sangat teruk, namun kami mampu manghadapinya kerana ia dilakukan secara beramai-ramai.
Paling mencabar adalah apabila kami terpaksa menjalani latihan medan atau CIW dalam bulan puasa. Tuhan sahaja yang tahu betapa teriknya panas matahari yang tidak menyebelahi kami. Namun kami tiada pilihan lain selain melaksanakan latihan seperti yang telah di atur oleh pusat latihan.
Sepanjang kursus berjalan kami di dedahkan dengan jerangkap samasa periuk api serta berbagai tahap taktik peperangan terbuka dan peperangan hutan. Dua hari sebelum raya kami dibenarkan bercuti selama seminggu. Namun demikian pada malam sebelum bercuti, kami telah melaksanakan latihan hutan iaitu serangan khemah musuh.
Ia adalah serangan terakhir terhadap latihan seminggu kami. Pada paginya kami terpaksa berjalan sejauh 8 kilometer dari kawasan latihan kerana jurulatih sengaja tidak menguruskan kenderaan untuk mengambil kami. Namun demi kerana nak balik beraya, kami telah berlari sambil menyanyi untuk memberi semangat kepada kawan-kawan.
Akhirnya kami sampai. Penat tidak dapat kami bayangkan. Ini adalah sebahagian dari ujian mental yang sering didedahkan kepada kami. Balik cuti ke kampungku di Sabak Bernam. Hampir semua saudara mara dan adek beradek aku pulang bercuti.
Memang meriah dan amat muhibbah sekali. Terlupa sekejap terhadap kesengsaraan yang selalu kami lalui sepanjang berkursus di PULADA. Dipendekkan cerita, cuti aku hampir habis dan aku perlu pulang dengan bas ke Ulu Tiram. Tapi kawan aku menasihatkan agar aku naik kereta dengannya. Jadi aku batalkan pembelian tiket bas.
Kemudian kami sama-sama menaiki keretanya ke PULADA. Hujan renyai- renyai pada ketika itu. Tiba-tiba kereta yang kami naiki telah terbabas dan terbalik lalu menggelongsor di dalam longkang di antara dua lebuhraya.
Kami yang sedang tidur menjadi panik lalu berpegang sesama kami. Kejadian di kawasan Durian Tunggal Melaka pada jam 2045 itu telah membuatkan kami terkejut. Kereta tersebut di tarik oleh ulat kereta yang seperti biasa lalu di kawasan tersebut. Jam menunjukkan pukul 2135 malam.
Selepas membuat laporan polis kami telah tidur di sebuah hotel di Seremban. Pada pagi esoknya kami telah bangun dan segera menyewa teksi untuk terus ke PULADA. Rasa bimbang dan takut jangan kiralah sebab kami sudah terlewat satu hari. Silap-silap dikira gagal dan balik ke pasukan.
Namun kami berpakat untuk menerima apa sahaja hukuman yang diberi. Tapi sesuatu yang pelik telah berlaku. Ketua jurulatih telah menunjukkan simpati kepada kami dan memberi pelepasan kepada kami berempat dari menjalani latihan tembak tempur.
Latihan ini menggunakan peluru hidup dan peserta perlu merangkak di bawahnya. Kawan-kawan kami yang lain telah memarahi kami kerana rupanya pada malam tersebut mereka telah di hukum dengan teruk disebabkan kami belum pulang lagi.
Dalam masa aku berkursus batalion aku ditugaskan untuk mengambil alih kawasan operasi. Mereka akan bertolak ke Grik untuk melaksanakan tugas operasi untuk mengawal sempadan, menjejak Komunis dan pendatang tanpa izin.
Ketika aku hampir menamatkan kursus di PULADA, Aku telah balik sekejap ke pasukan untuk mendapatkan maklumat tentang tugas terbaruku. Ajutan Kapten Rosli bin Abd Rahman (sekarang berpangkat Leftenan Kolonel) mengarahkan aku untuk terus melapor ke kawasan operasi sebaik sahaja tamat kursus . Aku patuh dengan arahan tersebut .
Kursus Ketua Platun yang aku hadiri lebih 4 bulan tamat pada bulan mei 1990. Aku segera balik ke pasukan untuk naik keretapi dari Kluang menuju ke stsyen keretapi Grik Perak.
Ini adalah operasi ke dua yang akan aku jalani selepas operasi pertama di sempadan Kelantan/ Thailand. Perjalanan untuk ke kawasan operasi kali ini amat selesa aku rasakan. Mana tidaknya .. Operasi pertama dahulu, pergi balik di dalam keretapi aku yang turut sama disertai oleh senior aku. Mereka tidak membenarkan aku tidur. Tapi kali ini aku lebih tenang kerana bergerak seorang diri .
Lebih kurang jam 5 petang aku tiba di stesyen keretapi Grik. Sebuah Land Rover dan pemandunya sudah tentu dia sedang menunggu ketibaan aku 30 minit perjalanan menuju ke markas taktikal terasa begitu lama sebab badan dah terlalu letih .
Perjalanan dengan keretapi hampir sehari suntuk. Tiba di satu simpang kecil kenderaan membeluk tenang mendaki bukit yang agak curam. Di puncak bukit terletak markas taktikal yang memang stategik lokasi tersebut.
Segera aku masuk ke dewan makan kerana aku di maklumkan Pegawai Memerintah (Leftenan Kolonel ahmad Zaki bin Mahmud) berada di sana bersama beberapa Pegawai lain. Aku bersalaman dengan semua Pegawai.
Aku terima pujian di atas inisiatif aku untuk mengenal pasti arahan untuk penugasan aku ke kawasan operasi walaupun aku merasakan ia hanya satu perkara biasa senyuman tetap aku lemparkan sebagai maklum balas.
Besoknya aku berjalan jalan di sekitar kawasan Markas Taktikal. Satu kisah lucu yang sangat mencuit hati ku. Seekor gajah telah masuk ke rumah masak dan seperti biasa dia akan menyedut tepung mengunakan belalainya dan menyemburkan semula.
Begitulah juga apa yang di lakukan kepada bekas yang yang berisi serbuk cili. Apa lagi kepedasan lah gajah itu . Begitulah cerita lucu yang diceritakan balik kepada saya oleh anggota yang bertugas di rumah masak.
Tugas operasi aku bermula selepas hampir 2 hari berada di markas taktikal . Aku mengambil alih Platun 5 dari Lt Razali yang terpaksa keluar untuk berkursus. Kemasukan aku kali ini dengan pesawat Nuri telah mempercepatkan ambil alih tersebut iaitu 20 minit penerbangan. Seramai 23 orang menganggotai Platun tersebut termasuk 3 soldadu baru yang baru tamat latihan.
Abang kepada penyanyi Ramlah Ram, koperal Ramlan Ram juga menganggotai Platun tersebut. Kami hanya bermalam di setiap pangkalan hanya 2 hari sahaja. Ini membolehkan kami meliputi rondaan di semua kawasan tangungjawab.
Saat yang paling indah ialah apabila melihat burung besi tiba untuk menghantar makanan dan surat. Selalunya pesawat helikopter Nuri akan menjalankan tugas tersebut . Kami akan meneruskan rondaan selepas sehari terima bekalan catuan.
Anggota baru yang ada di Platun tersebut perlu di dedahkan dengan selok belok hutan serta cara memasang khemah dan disiplin medan.
Suatu hari anak buah ku yang bernama Adriel telah di rasuk oleh penghuni dalam hutan . Meracau bukan main sepanjang malam dia meracau. Terpaksalah kami menjaganya agar tidak berlaku apa-apa kejadian yang tidak di ingini.
Mungkin silap aku membuat pangkalan di lidah bumi iaitu satu kawasan yang terletak di hujung 3 bukit yang hampir bercantum . Di antara bukitbukit tersebut ada air sungai mengalir. Kata orang tempat tersebut biasanya ada makluk halus . Anggota tersebut juga sebenar nya mengamalkan ilmu yang salah. Dia telah mencabar penghuni di situ dan terimalah akibatnya. Melalui doa dan zikir kami dapat mangawal keadaan beliau.
Tidak lama selepas kejadian tersebut 2 orang anggota aku mengadu sakit perut yang kritikal. Kedua-duanya aku keluarkan dengan pesawat udara dan terus di masukan ke hospital. Dia di syaki di serang Virus Tikus atau Hipatatis B. Ia berpunca dari makanan yang terdedah di dalam hutan di makan oleh tikus.
Seekor tikus boleh menggigit dan melarikan setengah biji kelapa basah dengan tempurungnya sekali. Bayangkanlah berapa besar tikus tersebut. Disyaki punca penyakit tersebut adalah dari tikus di pengkalan kami.
Beberapa anggota juga terpaksa dikeluarkan dengan pesawat udara kerana mengalami sakit perut yang teruk. 3 hari selepas itu aku pula mengalami keadaan yang serupa. Ramai anggota aku di masukkan ke hospital Grik Perak.
Akhirnya seluruh platun telah dikeluarkan kerana wabak tersebut. Lembaga penyiasatan telah ditubuhkan dan aku telah dipanggil beberapa kali untuk menberi keterangan. Seminggu aku di hospital Grik.
Banyak sungguh ubat yang aku kena makan. Semua anggota aku mesti makan ubat di hadapan misi. Tapi aku diberi pengecualian. Maka ubat tersebut melapor ke dalam tong sampah. Bukan apa aku tak suka makan ubat yang sangat banyak itu (segenggam).
Selepas seminggu kami semua menaiki keretapi pulang ke Kluang dan mendapat cuti 2 hari. Keadaan masih belum stabil lagi. Tapi aku masih boleh tahan dan meneruskan tugas seharian.
Latihan tembak tempur di Asahan Melaka selama seminggu merupakan pengalaman menarik kerana semua anggota terlibat. Berbagai peluru dan bom sebenar di gunakan.Latihan tersebut menuntut disiplin yang tinggi serta penumpuan kerena ia melibatkan peluru dan bom hidup dan bom sebenar.
Aku tidak ketinggalan untuk mencuba semua jenis peluru dan bom yang ada. Sepanjang latihan berjalan berbagai aktiviti sampingan telah di jalankan seperti pertandingan menembak, baling bom serta majlis makan malam.
Jadual latihan yang ketat menyebabkan kami tidak terasa tempoh seminggu berlalu begitu sahaja. Tidak ada sebarang kemalangan atau kejadian yang tidak diingini berlaku. Pergerakan balik mengambil masa hampir tiga jam.