KITAB XX - 30 Langkah Memikat Lelaki - 7
Sebagai seorang yang kuat berpegang pada ajaran agama, sudah kita ketahui, jodoh adalah rahsia Yang Maha Pencipta. Kita tidak dapat melawan takdir dan ketentuan-Nya.

Namun begitu, Allah SWT juga berfirman, Aku mengikut sangkaan hamba-hamba-Ku.

Apakah maksudnya Jika kita teliti ayat tersebut, Allah SWT memberitahu yang kita boleh mengubah nasib. Kita boleh menentukan sendiri apa yang kita mahukan pada masa depan. Walaupun kita perlu percaya kepada qada dan qadar Allah SWT, kita masih lagi diberi ruang untuk menentukan sendiri perjalanan hidup kita.

Jodoh, pertemuan dan perpisahan adalah aturan Allah SWT. Dia adalah sebaik-baik pencipta dan kita hanyalah hamba-Nya.

Jodoh yang baik sudah diaturkan kepada kita sejak azali lagi. Jodoh yang akan kita temui suatu hari nanti sudah diuruskan oleh-Nya. Namun, Allah tidak menolak doa daripada hamba-Nya yang soleh dan solehah. Kerana Dia suka jika kita meminta pada-Nya.

Jadi, mintalah agar kita dipertemukan dengan jodoh yang baik dan sesuai dengan keadaan diri kita. Kita mintalah agar jodoh yang datang nanti dapat diterima dengan baik dan penuh kerelaan. Doa adalah senjata orang mukmin.

Berpegang pada prinsip ini, kita tidak akan mudah terpesong daripada aturan yang kita tetapkan sendiri. Aturan yang kita mahukan, iaitu mahu dijodohkan dengan lelaki yang menjadi impian kita selama ini.