Ikram, biar apapun yang terjadi, bagaimana sekalipun keadaan ekonomi di sekeliling kita. Manusia tetap mahu makan dan mendapatkan makanan. Kalau Ikram rajin, pasanglah satu bisnes kuliner sebagai satu cabang bisnes, ya," kata beliau yang aku panggil sebagai Pak Reef.
Sepanjang aku melanjutkan pengajian di UIA, aku tak melepaskan peluang berniaga setiap kali ada pesta besar. Salah satu daripadanya ialah pesta konvokesyen dan tapak bisnes kami akan dipasang di satu kawasan berbukit yang dikenali sebagai Convest Hill. Sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa dengan kepelbagaian budaya dan bangsa dari seluruh dunia, maka menu hotdog menjadi pilihan aku.
Pesta konvo ini akan dibanjiri ribuan pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan keluarga pelajar sendiri. Kau tahu sajalah masa konvo, satu kampung nanti datang berkunjung untuk meraikan anak dan saudara mereka yang menamatkan pengajian. Di UIA, pesta konvo kebiasaannya akan berlarutan selama dua minggu. Waktu inilah kami pelajar-pelajar yang rajin mencari duit akan merebut peluang keemasan. Harga sewa tapak untuk pelajar lebih murah berbanding orang luar.
Bagi menjimatkan kos, aku cuma berhasrat untuk menjual hotdog kukus. Mudah saja penyediaannya, kita hanya perlukan set pengukus, dapur dan bahan mentah untuk memasak. Kukus sekali sosej dan roti sampai lembut. Kemudian keluarkan roti bila ada yang mahu membeli, masukkan salad, potongan tomato, tuangkan sos dan mayonis. Siap! Satu hotdog kukus ini aku jual dengan harga RM2.50 sahaja. Ini harga yang aman dan cukup bagus untuk pengunjung membeli.
Macam biasalah, setiap kali mahu berniaga aku akan mengajak kawan-kawan yang ada masa lapang dan mahu tambah pendapatan untuk bekerja. Aku bayar gaji sehari RM20, cukup setimpal dengan apa yang mereka usahakan. Makan tiga kali sehari aku payung sekali, tahu sajalah student kalau dapat duit dan makan free, itu saja sudah cukup baik untuk mereka selama dua minggu berturut-turut. Biasanya dua atau empat orang kawan-kawan yang akan membantu aku di tapak jualan. Mereka cukup rajin dan tidak pernah merungut, malah kami sama-sama suka untuk menjual.
Aku akan memandu Perodua Kancil kesayangan setiap kali mahu keluar beli barang-barang keperluan berniaga di Ong Tai Kim. Ini kawasan popular untuk membeli keperluan masak dan paling hampir dengan kami di UIA. Penuh kereta comel aku dengan barang berniaga, itulah kereta yang banyak berjasa kepada aku sepanjang hidup di ibu kota.
Berjualan di tapak ekspo dan pesta keramaian macam ini memang memenatkan. Tetapi, aku tak peduli, penatpun penatlah janji masyuk. Setiap hari kami menjual 500 hingga 800 hotdog. Jualan sehari dalam anggaran RM1,000 hingga RM1,500 dan kiraan kos pula adalah separuh daripada jumlah itu. Siapa hendak bagi kau RM500 sehari semasa bergelar seorang pelajar Sedap kan berniaga Biasanya, aku akan bagi lebih kepada kawan-kawan yang menolong apabila ada untung lebih.
Cabaran berniaga di ekspo pun boleh tahan juga, antaranya ialah faktor cuaca. Jika terlalu panaspun susah. Sekiranya hujan turun dengan lebatpun susah juga. Bukan susah apa, cuma orang tidak ramai lalu lalang di kawasan kami berniaga. Tetapi aku tak pernah mengeluhpun, itu bukan kerja kita. Kejadian alam dan aturan cuaca adalah hikmah dan rahmat daripada Tuhan yang Maha Esa.
Sebenarnya, berniaga makanan yang mudah disediakan ini sangat seronok. Aku memang selalu bagi cadangan kepada kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang berjumpa dengan aku untuk berjualan makanan yang mudah disediakan. Cuma kita kena pandai memilih lokasi dan bijak membuat kira-kira kos bagi memastikan keuntungan yang kita dapat itu bagus. Berniaga makanan juga kena pandai mengatur kuantiti stok bahan mentah kerana ada bahan yang mudah rosak. Sebagai contoh, salad dan roti tidak boleh disimpan lama. Jika tak betul cara menyimpan, roti akan keras dan berkulat. Salad pula akan layu dan tidak crunchy apabila tidak disimpan segar.
Aku sangat beruntung kerana selalu berpeluang berniaga di lapangan ekspo macam ini. Di sinilah aku belajar mengurus emosi, penyediaan stok, bersusah payah mengangkat barang dan melayani kerenah pelaggan yang bermacam-macam ragam. Waktu ini jugalah kawan-kawan akan datang dan menduga kita, bagaimana
Bro, mai hotdog satu. Satgi kat hostel aku bayaq.
Punggah!
Sampai ke sudah kau takkan dapat duit jualan hotdog itu. Baik kau niat sedekah sajalah, pahala pun kau dapat.