12.50 tengah hari, aku sedang buat dressing pesakit terakhir aku di bilik belakang. Staf aku datang tanya aku. Ada seorang aunty nak beli ubat. Nak buat dressing untuk ayahnya. Dia kata ayahnya dah kena strok setahun. Ada kudis di belakangnya. Dia kata aunty tu nak beli ubat sahaja. Ayahnya ada ditinggal dalam kereta. Susah nak keluar dan bawa masuk ke klinik.
Kalau ikutkan hati kecil aku, aku nak suruh je dia bawa ke hospital. Aku dah bayangkan luka kudis pressure sores yang besar. Bau darah dan nanah. Dan aku pun bukan boleh buat apa-apa pun. Lagipun waktu rehat aku dah sampai. Kepala dah buntu. Perut dah lapar. Wife dan anak-anak dah tunggu nak makan sama-sama. Tapi entah kenapa, aku boleh tercakap,
Suruh dia tunggu sekejap.
Nanti saya tengokkan.
Lepas siap dressing, aku panggil aunty tu masuk. Dia kata ayahnya ada dalam kereta.
Nak suruh aku tengokkan apa yang patut. Lalu aku ambil glove dan face mask. Aku dah bersedia. Tak lalu makan tengah hari pun takpa. Keretanya parking betul-betul depan klinik. Ada maid Indon dan seorang lagi anak perempuannya dalam kereta. Aku buka lukanya. Aku belek-belek lukanya. Aku senyum sahaja. Lalu aku ajak maid Indon tu masuk ke dalam bilik aku. Aku nak ajar dia cara menjaga lukanya.
Lukanya hanya sedikit sahaja sebenarnya. Luka luaran sebesar duit 20 sen di tengah-tengah punggungnya. Tiada langsung nanah ataupun sel-sel mati. Juga tiada bau yang kurang menyenangkan. Aku panggil maidnya sebab dia yang menjaga pesakit tersebut. Cakap kat anaknya tak guna sebab bukan mereka yang menjaganya. Mula-mula aku puji maid Indon di depan majikannya. Senyum lebar maid itu. Aku cakap bagus dia menjaga majikannya. Aku cakap pandai dia menjaga majikannya. Lukanya hanya sedikit sahaja. Tak macam luka-luka lain yang pernah aku jumpa. Lepas tu baru aku ajar maidnya bagaimana nak menjaga luka tersebut. Anaknya pun ada mendengar sama. Aku juga cakap kena naikkan gaji maidnya itu.
Sebelum mereka keluar daripada bilik aku, anaknya berkata sesuatu yang sampai sekarang aku tak boleh lupa.
Terima kasih banyak doktor.
Sebenarnya dah 3 klinik saya pergi.
Semua doktor tak mahu tengok.
Semua doktor tak nak keluar bilik.
Semua suruh saya bawa dia ke hospital.
Aku terdiam sebentar. Aku rasa bersalah. Sebab dalam hati aku pun berkata sebegitu tadi.
****
Ada seorang lagi pesakit lelaki berusia 23 tahun. Aku kenal dia sejak dia bersekolah menengah lagi. Walaupun usianya baru berusia 23 tahun, dia sering kena serangan gout pada sendisendinya. Bila penyakitnya makin kerap menyerang, aku buat ujian darah ke atasnya. Uric acidnya sangat tinggi. Begitu juga paras kolesterolnya. Buah pinggangnya pun ada sedikit masalah. Selidik punya selidik, dia pernah dirawat di hospital kerana masalah buah pinggang. Tetapi dia tak pergi buat rawatan susulan. Aku pernah merujuk beliau ke klinik kerajaan. Aku kepilkan sekali laporan ujian darahnya. Nak tahu apa doktor klinik kerajaan buat Langsung tak dipandang laporan ujian darahnya. Dia disuruh balik dengan Paracetamol dan Colchicine sahaja. Bulan ini dah 3 kali dia datang ke klinik. Masalah yang sama. Jalan bertongkat. Sendi bengkak. Jadi selepas berbincang dengan majikannya, aku rujuk ke hospital pakar di Johor Bahru. Masuk hari ini dah 10 hari dia di wad. Doktor pakar kata buah pinggangnya dah mengecut sebelah. Puncanya masih belum diketahui.
Untuk kedua-dua cerita di atas, doktor perlu mengubah sikap. Ini bukannya isu DS-Dispensing Separation. Ini isu attitude. Ini isu jiwa kedoktoran.
Doktor bukannya setakat menjual ubat sahaja.
Pesakit juga bukannya hidup dengan ubat sahaja.
Tak semua penyakit perlu dirawat dengan ubat.
Kadang-kadang sedikit sentuhan memberi impak yang besar. Ini peringatan untuk diri sendiri juga. Yang kadang-kadang lalai dengan tanggungjawab yang Allah amanahkan.