DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 71
Senggugut. Sakit perut disebabkan datang bulan. Bukan sakit biasa-biasa. Sakit yang amat sangat di bahagian bawah perut. Berpunca daripada penghasilan hormon prostaglandin oleh tisutisu daripada darah period yang juga menyebabkan pengecutan otot rahim, lalu menghasilkan sakit perut. Apa yang aku faham selama ini, senggugut hanya untuk anak dara. Senggugut hanya untuk perempuan yang belum berkahwin. Senggugut hanya untuk perempuan yang tak pernah mengandung. Senggugut jarang datang pada usia lebih 40 tahun. Senggugut jarang datang pada perempuan yang punya anak berderet-deret. Senggugut tidak datang sekali seumur hidup. Senggugut juga bukan senggugut jika tidak datang bulan.

Aku ada wife. Aku juga ada anak dara. Mereka pernah kena sakit senggugut tetapi tidak sampai kena jumpa doktor. Tidak sampai perlukan MC setiap bulan. Cukup rehat dan tidur dah hilang sakitnya. Tidak perlu makan ubat penahan sakit. Tidak perlu suntikan. Dan paling utama tak perlukan MC.

Ada senggugut sekunder. Senggugut disebabkan penyakit pada sistem peranakan. Endometriosis namanya. Berlaku pendarahan luar rahim ketika datang bulan menyebabkan sakit perut yang amat sangat. Sakit yang ini memang perlukan rawatan. Ubatan penahan sakit. Ubatan hormon menghalang kedatangan period. Suntikan penahan sakit jika perlu. Biasanya penghidap penyakit ini memang serba tak kena bila datang period. Datang klinik pun memang sah nampak sakitnya. Muka pucat, pakaian berserabut, tudung pun ala kadar sahaja. Make up, gincu dan bedak jauh sekalilah. Ini memang sah senggugut. Ini memang layak dapat MC.

Aku ada dua pesakit sebegini. Merekalah benchmark untuk pesakit senggugut boleh dapat MC. Kalau riak muka tak sampai tahap mereka, memang sah kena halau balik dengan aku. Seorang wanita lewat 30-an, punya seorang anak berusia 12 tahun. Selepas melahirkan anak pertama, periodnya jadi tak betul. Datang tak tentu masa. Datang sangat banyak. Macam air mengalir katanya dan sakitnya hanya Allah yang tahu. Orang biasa punya paras hemoglobin mesti lebih 11.0, tetapi dia tak pernah lebih 5.0. Masuk darah dah selalu. Masuk wad dah selalu. Pengsan kat tempat kerja dah selalu. Makan ubat naik jemu. Doktor pernah operate dia beberapa kali tetapi uterusnya sangat normal. Doktor kata nak buang pun sayang.

Seorang lagi wanita pertengahan 30-an. Kahwin dah lebih 10 tahun tetapi tiada anak.

Dia memang ada penyakit endometriosis. Beberapa kali operate tetapi belum nampak hasilnya. Senggugutnya memang teruk. Guling-guling sakitnya.

Semalam adalah Hari Senggugut Sedunia. Hampir 10 pesakit datang klinik atas sakit yang sama. Bosan. Sakit adalah satu benda yang tak nampak. Sakit tidak boleh diukur. Sakit adalah satu benda subjektif. Sakit senggugut juga susah nak cari buktinya. Check perut pun tak jumpa apa-apa. Kalau di klinik kerajaan, ada doktor sengaja buat urine test nak tengok betul ke period. Nak sadis lagi suruh tunjuk pad yang dipakai. Dan aku belum cukup sadis nak buat semua itu.

Senggugut. Pada aku memang tak layak dapat MC. Nak beri surat akuan pun tak layak. Senggugut sepatutnya boleh dicegah.

Dah tahu nak period carilah ubat dahulu. Senggugut bukannya datang sekali seumur hidup. Tetapi aku hairan juga, kata sakit senggugut, pagi-pagi tak boleh nak bangun. Rasa pening nak muntah. Badan semua sakit-sakit, tetapi datang klinik siap boleh berdandan. Boleh lagi pakai seluar ketat-ketat. Boleh lagi cari tudung nak match dengan warna baju. Itu yang aku hairan tu. Lagipun, dah tua bangka pun senggugut juga Seumur hidup tak pernah senggugut dan umur dah masuk 40 tahun baru nak senggugut Period dah 3 hari baru nak senggugut Bagaimana boleh senggugut kalau darah period masih macam biasa Bagaimana boleh senggugut kalau timingnya betul Aku tak kata pesakit aku tipu aku, tetapi aku rasa macam orang bodoh. Aku rasa diperbodohkan. Belajar susah-susah 7 tahun dan pengalaman 20 tahun jadi doktor, ada lagi pesakit berani nak bodohkan.

Sebagai doktor. senggugut susah nak buat duit. Senggugut tak boleh nak untung banyak sebab tak banyak ubat boleh beri sama ada panadol ataupun ponstan. Nak lebih kuat beri Synflex. Takda pasal nak beri hormon atau pil perancang. Takda pasal nak beri vitamin Primerose. Jadi aku tak suka orang senggugut datang klinik. Takda banyak soalan nak tanya. Takda apa nak periksa. Takda ubat pelik-pelik nak beri.

Dan Hari Senggugut Sedunia semalam berakhir jam 8 malam. Seorang wanita berusia 30 tahun. Belum berkahwin. Datang senyum simpul ke klinik. Katanya dah 3 bulan asyik senggugut sahaja. Katanya dah 2 kali buat scan kat klinik lain, doktor dah cakap takda apa-apa.

Tetapi ada kawannya beri cadangan memandangkan company ada beri medical card, kenapa tak minta doktor panel rujuk ke doktor pakar. Manalah tahu ada penyakit berbahaya. Manalah tahu ada kanser atau ketumbuhan. Manalah tahu ada Alien sedang membesar dalam perut. Manalah tahu kan. Aku rasa nak hantuk kepala aku kat dinding sahaja sebab sakit kepala dah datang. Senggugut aku pun dah nak datang. Semacam je rasa perut aku ni.

Kepada perempuan di luar sana, redalah. Terimalah hakikat bahawa anda semua perempuan. Senggugut bukan penyakit. Itu tandanya anda masih sihat. Itu tandanya anda masih belum menopaus. Dan tolonglah, jngan jadikan senggugut sebagai alasan paling mudah untuk dapatkan MC.

Aku tabik hormat kat wife aku. Waktu datang period dia jadi lebih aktif. Buat kerja lebih banyak daripada biasa sebabnya dia tak perlu bersembahyang. Dia juga tak perlu melayan suaminya.

Selamat Hari Senggugut Sedunia!