Kelmarin, dia datang ditemani kakak dan abang iparnya. Personalitinya sudah jauh berbeza tak seperti selalu. Matanya sangat galak. Dia sentiasa resah gelisah. Aku tengok pun naik risau. Ikut cerita abang iparnya, 2 minggu lepas dia tiba-tiba berubah. Dia menjadi murung. Dia menjadi pelupa. Dia hilang fokus dengan kehidupannya. Dia lebih banyak termenung daripada bercakap. Dia selalu mengigau semasa tidur. Dia takut kehilangan kakinya, lalu ibunya membawa dia berubat dengan seorang ustaz. Kata ustaz ada kawan sekerja yang iri hati dengannya. Ada kawan sekerjanya yang dah kenakan sihir kepadanya. Nauzubilah min zalik.
Bila aku tanya beberapa soalan kepadanya, dia masih boleh menjawab dengan betul. Dia tahu dia berpenyakit tetapi tak tahu sebabnya. Dia mengaku ada mendengar suara, tetapi tak sampai ke tahap mencederakan dirinya. Aku tahu dia mengalami masalah mental. Dia ada masalah tekanan perasaan yang menyebabkan fikirannya terganggu. Tetapi dah jadi tradisi orang Melayu, apa-apa hal pun kena cari bomoh. Apa-apa hal pun kena cari ustaz. Teori ada orang dengki memang sangat sinonim dengan bangsa Melayu. Bangsa Melayu memang mudah iri hati. Bangsa Melayu memang suka dengan bendabenda halus. Pantang silap sikit, pantang orang lain lebih sikit mulalah sihir dan santau dah jadi permainan. Dan inilah antara sebab bangsa Melayu tak boleh nak maju. Bukan sebab bangsa Cina. Bukan sebab bangsa asing. Tetapi kerana bangsa sendiri. Betul tak realitinya
Dah hampir 2 minggu dia tak pergi bekerja. Majikannya hampir memberhentikannya. Tetapi memandangkan dia seorang pekerja yang bagus, majikannya meminta tolong daripada aku. Aku doktor moden. Aku kurang percaya dengan ustaz dan juga bomoh. Aku masih percaya kepada sedikit ilmu psikiatri yang aku belajar dulu. Lama aku berguru dengan Prof Deva di Wad 5, Hospital Universiti dahulu, tapi apa aku boleh buat Aku hanya boleh membuat diagnosis. Aku tak pandai merawat penyakit mental. Dulu aku pernah nak jadi doktor pakar jiwa tetapi terbantut separuh jalan.
Aku pun merujuk beliau ke klinik pakar psikiatri. Aku pujuk kakaknya supaya bawa dia ke klinik tersebut. Jangan percaya bulat-bulat kepada cakap-cakap ustaz. Aku beritahu pakar psikiatri boleh beri cuti panjang. Aku beritahu pakar psikiatri boleh tulis MC panjang dan aku harap sangat dia pergi berubat. Umurnya masih panjang. Hidupnya masih panjang. Jangan kerana sedikit iri hati rosak masa depannya.
Aku bukan tak percaya benda-benda halus ini tetapi kerja setakat pembantu jualan sahaja pun. Gaji pun bukannya puluh ribu sebulan. Jadi betul ke ada yang sakit hati Dalam kepala aku nak je korek rahsia. Tanya pasal famili juga kekasih hati. Dan kalau perlu check UPT. Tetapi aku malas nak masuk campur. Lagipun bila aku bertanya soalan, abang dan kakaknya yang sibuk menjawab dahulu. Pada firasat aku mesti ada masalah emosi. Kalau ada pun hal-hal ghaib, mestilah diikhtiar dengan cara moden dulu. Kalau dah habis mengkaji dan berikhtiar, barulah boleh diletak sebagai satu differential diagnosis. Itu pun diletak paling bawah sekali.
A good doctor treats the disease, A great doctor treats the patient.