Empat tahun lepas, isterinya kena serangan angin ahmar. Mati sebelah badan. Percakapannya jadi pelat, ingatannya berkurangan, dan hidupnya berkisar di atas kerusi roda. Bermakna beliaulah menjadi tempat bergantungnya. Beliau punya anak tiga orang. Masing-masing masih belajar di kolej. Jadi bila beliau pergi bekerja, isterinya tinggal keseorangan di rumah.
Kalau dulu hidupnya sibuk, kini hidupnya bertambah sibuk. Selain urusan diri sendiri, beliau juga terpaksa menguruskan isterinya juga. Beliau pernah memberitahu aku, walau jauh mana sekalipun beliau kena pergi bermesyuarat, beliau tidak pernah bermalam di hotel. Walau tengah malam sekalipun, macam mana pun beliau mesti pulang ke rumah. Isterinya tiada siapa yang menjaga. Aku tabik hormat dengannya. Aku kagum dengan semangatnya. Habis kerja terus balik rumah. Habis mesyuarat terus balik rumah. Kehidupannya hanyalah isteri dan pekerjaannya.
Bila beliau sibuk dengan pekerjaan dan isterinya, kesihatan beliau mula tidak diendahkan. Kalau aku beri ubat untuk sebulan, dua tiga bulan baru dia datang untuk follow up. Kalau aku beri ubat untuk dua bulan, lagi lamalah beliau tak datang untuk follow up. Itu pun beliau datang ke klinik bukan sebab nak ambil ubat. Beliau datang kerana simptom-simptom lain. Sakit dada, sesak nafas, gelap mata dan kadang-kadang rasa macam nak pengsan. Masa itulah baru dia teringat nak ke klinik.
Tekanan darahnya tak pernah normal. Setakat 200/110 itu bacaan biasa katanya. Paras gulanya pun tak pernah kurang 15.0 mmol/L. Beliau pernah ke klinik-klinik panel yang lain. Memang asyik kena marah sahaja dengan doktor. Aku pun pernah marah dia sekali tetapi selepas aku memahami situasi kehidupannya, Aku cuma dapat menasihatkannya. Beliau lebih sayangkan isteri dan pekerjaannya berbanding kesihatannya. Dah beberapa kali aku tulis surat rujukan ke pakar jantung, tetapi beliau asyik berdalih sahaja. Nantilah, bulan depanlah, tangguh dululah, dan yang terakhir beliau berjanji dengan aku akan masuk hospital selepas selesai majlis perkahwinan anak perempuannya.
Bulan Mei yang lalu dua hari sebelum majlis pernikahan anaknya. Beliau datang ke klinik mengadu batuk dan sesak nafas. Beliau sekadar nak ambil ubat sahaja. Juga mengirim surat jemputan ke majlis perkahwinan anaknya. Masa majlis perkahwinan anaknya, aku sempat hadir. Majlisnya memang meriah, warna-warni. Dan selepas hari itu beliau terus hilang daripada radar.
Entah macam mana, malam itu beliau tiba-tiba muncul di klinik. Beliau masih ceria seperti selalu. Beliau kelihatan lebih sihat berbanding sebelum ini. Jelas sekali berat badannya dah turun. Lantas beliau tunjukkan aku lengan kirinya. Dah ada AVFistula.
Dia dah mula dialisis buah pinggang sejak 2 bulan yang lalu.
Malam selesai majlis perkahwinan anaknya, beliau rebah. Beliau dibawa ke klinik 24 jam dan tanpa berlengah doktor terus rujuk beliau ke hospital. Mula-mula beliau kata beliau tak nak. Tapi doktor tu beri kata dua kat beliau, Lu mahu hidup ke mahu mati
Selepas itu beliau sering berulang-alik ke hospital. Buah pinggangnya dah tak dapat diselamatkan. Jantungnya bengkak dan perlu rawatan lanjut. Selain kena dialisis 3 kali seminggu, beliau juga makan 15 jenis ubat setiap hari. Semuanya demi kelangsungan hidup.
Beliau berkata kepada aku. Masa beliau terlantar di katil hospital, beliau sering teringat nasihat-nasihat aku.
Kalaulah aku dengar kata Dr. Zul tiga tahun yang lalu rasanya buah pinggang aku masih boleh diselamatkan. Doktor pakar buah pinggang pun cakap perkara yang sama kat dia. Kalaulah 2 tahun lepas pakcik datang ke hospital, mungkin bukan begini keadaannya.
Aku masih tabik hormat kat pakcik ini. Beliau sentiasa berfikiran positif. Tiada langsung riak kekesalan di wajahnya. Selepas kena dialisis ni, badannya rasa lebih sihat, BP nya normal, gulanya stabil, namun berat badannya turun lebih 10kg dalam 2 bulan. Kerja pejabat pun dah berkurangan. Bos dah tak hantar meeting di luar kawasan. Kalau hari dialisis, beliau dapat kerja separuh hari sahaja. Hujung tahun ini beliau kata nak pencen dah.
Aku hanyalah manusia biasa. Aku dah mencuba sebaik mungkin. Puas dah menasihat tetapi kalau itu bukan pilihannya, biarlah Allah yang menentukan. Perancangan Allah lebih hebat daripada perancangan manusia.