Sebuah Naza Rio berwarna silver metalik berhenti di hadapan pagar sebuah rumah banglo dua tingkat. Osman, pengawal keselamatan yang berjaga di pondok kawalan tergesa-gesa membukakan pintu pagar. Sebaik kereta itu melalui pintu pagar tersebut, lelaki separuh umur itu terus menutup pintu pagar itu kembali.
Ketika itulah muncul kelibat seorang gadis baru turun dari sebuah teksi. Si gadis itu berlari-lari anak ke arah penjuru pagar yang agak tersorok. Dari situ dia mengintai ke dalam perkarangan rumah dua tingkat di hadapannya. Matanya segera terpandang kelibat gadis yang dilihatnya di taska Kamila tadi, keluar dari perut kereta lalu menjenguk Melia di tempat duduk belakang.
Aliff, tolong Naj angkat Melly ke atas. Suruh gadis itu lalu menoleh ke arah lelaki muda bersamanya. Lelaki yang dipanggil Aliff itu keluar dari bahagian tempat duduk pemandu, lalu merapati si gadis. Gadis itu memberi laluan. Si lelaki turut menjenguk ke arah tempat duduk belakang dan segera mengendong Melia keluar dari dalam kereta.
Sebaik kedua-duanya menghilang ke dalam rumah, Danira yang berdiri di tepi pintu pagar itu perlahan-lahan berpaling dengan wajah sebak. Untuk seketika fikirannya terawang-awang, bagaikan layang-layang berterbangan di udara tanpa arah. Semuanya kerana lelaki muda yang baru muncul di taska Kamila petang tadi. Wajah lelaki itu benar-benar membuatkan jantungnya berdegup kencang. Malah tubuhnya seakan kaku setiap kali dia memandang anak muda yang dipanggil Aliff itu. Entah kenapa hati kecilnya merasakan sesuatu! Dan dia tidak mampu menghalang dirinya dari mengekori lelaki muda itu ke situ.
******
Namanya Aliff. Dia belajar kat London, ambil bidang undang-undang macam ayah dan abangnya juga. Cerita Kamila siang tadi menyerbu ke dalam fikirannya.
Baik budaknya. Ramah dan hormatkan orang tua. Tahun lepas masa dia balik bercuti, dialah yang selalu hantar dan ambil Melly kat sini. Satu taska ni kenal dengan Aliff tu. Sambung Kamila lagi seraya tersenyum. Sedikit pun wanita itu tidak menyedari raut wajahnya yang muram.
Dia memang adik Encik Filman ke kak Meluncur pertanyaan itu dari bibirnya tanpa disedari. Kamila berpaling. Dahi wanita itu berkerut memandangnya.
Setahu kakak, memang Aliff tu anak Tengku Amar, adik Filman. Ni yang tanya kakak banyak sangat fasal Aliff ni kenapa Soal Kamila ingin tahu.
Mendengar penjelasan Kamila, tiba-tiba sahaja dia merasakan bahang kekecewaannya mengalir keluar. Untuk seketika, dia menyangka lelaki itu adiknya Naufal Benjamin. Memang lelaki muda itu sangat mirip dengan Naufal. Malah gaya bercakap dan ketawa juga persis adiknya.
Danira memusingkan tubuhnya kembali. Dia mendongak, memandang rumah dua tingkat yang tersergam megah di hadapannya. Dia sendiri hampir tidak percaya yang dia boleh sampai ke rumah itu. Rumah yang pernah didatanginya sewaktu dia mahu menghantar Melia pulang ketika itu. Bagaikan ada satu tarikan yang membawanya ke situ. Hatinya inginkan kepastian. Apakah lelaki muda itu benar-benar Naufal ataupun dia sekadar berfikir yang bukan-bukan!
Bunyi hon bertalu-talu dari suatu arah membuatkan dia tersentak. Dia terpinga-pinga memandang ke arah jalan raya seraya mengelak. Sebuah kereta baru sahaja melewatinya. Si pemandu itu sempat menjeling tajam ke arahnya. Dia menarik nafas panjang. Nyaris-nyaris dia ditala kenderaan yang dipandu agak laju.
Menyedari di mana dia berada, Danira menoleh semula ke arah rumah dua tingkat itu. Namun kali ini dia terpegun. Matanya menyedari ada sesusuk tubuh sedang memerhatikannya dari atas beranda di tingkat dua rumah itu.
Lelaki itu merenungnya tidak berkelip. Danira pula terus kaku di situ bagaikan patung. Tubuhnya tiba-tiba menggeletar! Peluh dingin mula memercik di dahinya. Yang nyata tatapan mata lelaki itu membuatnya bungkam seketika!
Ketika lelaki itu membawanya secangkir kopi panas pekat, dia hanya mampu memandang wajah itu tanpa sebarang suara. Aroma kopi yang harum baunya, menggodanya untuk menghirup dari cawannya sendiri.
Sebaik dia meletakkan cawannya kembali di atas meja, baru dia perasan dirinya menjadi tumpuan. Lelaki muda itu asyik menatapnya. Mata anak muda itu meratah setiap pelusuk wajahnya bagaikan dia objek zaman prasejarah yang sedang dipamerkan di kaca muzium.
Kalau bukan kerana kejadian dia hampir dilanggar kereta tadi, belum tentu dia akan tertangkap oleh mata lelaki muda itu. Belum tentu juga dia akan duduk semeja berhadapan dengan anak muda yang memiliki iras senyuman Naufal yang sering dirinduinya saban waktu. Apakah itu benar-benar kamu Naufal Bisik hati kecilnya seiring getaran. Perasaannya bercelaru!
Diam-diam dia membalas tatapan mata anak muda itu.
bersambung
Bab akan datang:
Adakah naluri Danira benar mengatakan Aliff itu adalah Naufal