Beliau dan ahli keluarganya semacam takut nak start dialisis. Istilah dialisis ibarat hukuman mati. Beliau dah dengar macam-macam cerita. Terutama yang menemui ajalnya tak lama lepas kena dialisis. Semasa menunggu giliran berjumpa doktor, beliau bertemu dengan seorang pesakit lain. Pesakit itu mengesyorkannya makan satu ubat herba. Katanya ciptaan seorang doktor juga. Beliau dah mengamalkan makan ubat herba tersebut. Katanya dah 2 tahun beliau masih belum kena start dialisis. Beliau disuruh mencuba ubat herba tersebut dan selepas sebulan disuruh berjumpa dengan aku untuk scan buah pinggangnya. Nak tengok dah kembali berfungsi ke belum.
Beliau datang dari luar kawasan. Jauh juga nak datang ke klinik aku. Air mukanya kelihatan sangat berharap mendapat berita gembira daripada aku. Buah pinggangnya masih okey dan tak perlu buat dialisis.
Aku kasihan dengan pakcik ini. Tapi tiada cerita atau khabar gembira boleh aku berikan. Aku minta maaf banyak-banyak kepadanya dan ahli keluarganya. Tiada ubat yang boleh mengembalikan fungsi buah pinggangnya. Ubat herba berharga ribuan ringgit sekalipun. Kerana buah pinggang adalah organ manusia yang unik. Satu ciptaan Allah yang sangat hebat. Yang tiada gantinya bila sudah rosak tetapi penyakitnya masih boleh diubati. Bukan dengan makan ubat macam-macam, tetapi dengan mesin dialisis. Mesin dialisis boleh menggantikan fungsi buah pinggang. Mesin dialisis boleh mengambil alih kerja-kerja buah pinggang. Membuang toksin dan bahan kumuh keluar daripada sistem badan. Dialisis bukan hukuman mati. Dialisis adalah penyambung hayat. Tanpa dialisis buah pinggang akan semakin rosak. Bahan toksin berkumpul dalam badan. Itu yang boleh membawa kematian. Bukannya proses dialisis yang menyebabkan kematian.
Aku cakap bila buah pinggang dah rosak, kena reda. Kena terima hakikat. Jadual kehidupan kena ubah. Kena duduk depan mesin berjam-jam. Seminggu tiga kali. Tetapi itu semua bukan halangan. Masih boleh menjalani kehidupan yang biasa. Masih boleh makan macam-macam. Masih boleh bekerja seperti biasa.
Aku cakap aku bukan pakar buah pinggang. Aku cakap scan buah pinggang tak dapat tentukan fungsi buah pinggang. Kena ambil darah dan hantar ke makmal. Tengok bacaan paras urea. Tengok bacaan paras creatinine. Itu baru betul nak tahu fungsi buah pinggang. Kerosakan buah pinggang yang kronik memang tiada ubat tetapi dengan penjagaan diet juga menjaga darah tinggi dan gula dalam badan yang sempurna, buah pinggang tidak akan semakin rosak. Mungkin ada ubat herba yang boleh mengekalkan fungsi buah pinggang yang ada. Mungkin. Tetapi rasanya tiada yang boleh memulihkan sel-sel buah pinggang yang dah rosak. Aku tak setuju pesakit menjual nama doktor untuk melariskan produk mereka. Sangat-sangat tak beretika. Testimoni begini yang membahaya. Testimoni ikut sedap mulut bercakap. Testimoni ikut sedap telinga mendengar.
Tiga hari lepas, keputusan ujian darahnya aku terima. Paras urea 16.8, paras creatinine 524. Memang dah tinggi. Tak banyak beza dengan keputusan terakhir masa ambil darah di klinik kerajaan. Sebab itu doktor suruh sediakan tapak. Bila-bila masa dah nak mula dialisis.
Rasanya banyak kali aku cerita di sini. Kisah-kisah pesakit aku yang mengalami kegagalan buah pinggang. Yang masih hidup ramai. Yang dah meninggal pun ramai. Tetapi itu semua ketentuan Ilahi. Perkara yang dah lepas usahlah dikenang. Tak guna menyesal atas apa yang berlaku. Kena pandang ke hadapan. Kehidupan mesti diteruskan. Tetapi yang belum terkena, jagalah kesihatan. Pastikan paras gula dan tekanan darah sentiasa stabil. Walaupun ada makan ubat, pastikan melakukan pemeriksaan berkala. Pastikan paras gula dan tekanan darah terkawal dengan ubat yang ada. Dan jika tidak terkawal, berbincanglah dengan doktor anda. Jangan mudah sangat percaya dengan iklan-iklan di Internet. Jangan mudah terpengaruh dengan testimoni kawankawan. Jangan mudah termakan dengan pujuk rayu agen-agen MLM. Aku tak nafikan ada doktor yang jadi agen MLM. Aku tak nafi ada doktor yang mengambil kesempatan dan untung atas penyakit. Tetapi bilangannya boleh dikira.
Sebagai doktor, kerap kali aku kecewa terutama pesakit-pesakit yang degil tak mahu mendengar kata. Yang kononnya ubatan moden lebih merosakkan badan. Yang katanya ubatan herba lebih mujarab. Yang katanya penyakit dialaminya akibat buatan orang. Tetapi akhirnya di mana mereka Carilah mereka di episod terbaru Tanah Kubur.