DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 77
Pagi ini aku didatangi seorang pesakit, seorang lelaki warga Nepal. Kali ketiga datang ke klinik aku. Kali pertama datang mengadu sesak nafas, sakit di kedua-dua belah sisi dadanya. Kali kedua kata sakit perut pula. Waktu kerja tak sakit. Waktu nak tidur baru datang sakitnya. Untuk kedua-duanya, aku pun tak tahu apa sakitnya. Pening juga kepala memikirkan punca penyakitnya. Dan bila kali ketiga dia datang atas sakit yang sama, aku rasa nak hantuk kepala aku kat dinding. Biar keluar satu diagnosis yang munasabah. Biasanya kalau pesakit sebegini, cepat-cepat aku hantar ke tempat lain. Klinik pakar ataupun klinik kerajaan. Itu yang paling mudah dan senang aku lakukan.

Tetapi aku tak puas hati dengan penyakit mamat ini. Dia bukannya pesakit panel di klinik aku. Setiap kali datang dia kena keluar duitnya sendiri. Bukan prinsip aku senang-senang nak ambil duit orang begitu sahaja. Mamat Nepal ni dah dua tahun duduk Malaysia. Tapi susah sangat nak berkomunikasi dengannya. Bahasa Inggerisnya tinggi sangat levelnya. Bahasa Melayunya pun sama. Dia punya vocabulary sangat limited. Untuk kali ketiga ini, dia datang seorang diri. Langsung takda penterjemah. Kalau ikut hati nak suruh dia balik. Aku malas nak melayan. Ramai lagi pesakit lain yang menunggu.

Nasib dia baik. Ada seorang warga Nepal sedang menunggu giliran. Dia dah 10 tahun duduk Malaysia. Aku panggil dia masuk ke dalam bilik. Dia setuju jadi penterjemah. Maka lamalah aku bersembang dengannya. 15 minit lebih rasanya. Dia dah menghidap penyakit ini lebih 2 bulan. Agen dia dah 3 kali bawa dia ke hospital kerajaan. Gaji dia pun dah banyak kena potong untuk tanggung kos rawatan tetapi penyakitnya tak juga baik. Kawan dia yang recommend suruh jumpa aku. Malangnya aku tak tahu apa penyakitnya. Nak kata sakit gastrik, makan okey. Nak kata sakit urat, kerja okey. Nak kata pemalas, dia tak nak MC. Nak kata sakit jantung sakitnya masa rehat. Nak kata sakit paru-paru takda sesak nafas. Nak kata jangkitan kuman, langsung takda demam. Kopi tak minum, teh tak minum, rokok tak hisap dan alkohol tak sentuh. Perempuan jauh sekalilah.

Melalui penterjemah, aku dapat menasihatkannya. Aku suruh dia jangan risau. Anxiety disorder mungkin satu daripada puncanya. Aku suruh dia menjaga pemakanan dan yang paling penting, aku suruh dia kurangkan kerisauannya. Sakit jantung bukan. Sakit kanser pun bukan. Insya Allah nyawanya masih panjang. Aku pesan kat dia, jangan buang wang pergi ke klinik sana-sini. Simpan duit untuk bekalan balik kampung 6 bulan lagi. Boleh beli hadiah mahal-mahal untuk anak isteri.