Akhirnya, aku buat ujian darah ke atas beliau. Buah pinggangnya sudah menunjukkan kemerosotan. Paras ureanya tinggi (14.7) Paras kolesterolnya sangat tinggi (7.0). Paras Asid uriknya tinggi (530). Aku rujuk beliau ke klinik kesihatan. Berharap beliau akan dirujuk ke klinik pakar. Namun doktor pesakit luar tak buat apa-apa. Dihantarnya balik dengan paracetamol dan colchicine sahaja. Sia-sia sahaja aku tulis surat panjang lebar. Langsung tidak dirujuk ke klinik pakar. Sedih aku. Aku buntu. Tak tahu nak rujuk ke mana lagi dah.
Mac tahun ini. Aku rujuk beliau ke hospital pakar swasta di Johor Bahru. Itu pun selepas insurans majikannya setuju untuk menanggung kos rawatan. Beliau tinggal di wad lebih daripada seminggu. Doktor memberitahu bahawa buah pinggangnya dah rosak teruk mungkin kerana terlalu banyak makan ubat penahan sakit. Beliau dinasihatkan untuk bersedia memulakan dialisis buah pinggang. Sebelum keluar daripada wad, tapak AVF dibuat. Beliau setuju buat sebab doktor tak benarkan beliau keluar wad selagi AVF tidak dibuat. Beliau dan ahli keluarganya sememangnya tak bersetuju untuk mulakan dialisis. Mereka takut dengan kesan jangka panjangnya. Ramai saudara dan jiran-jiran yang buat dialisis, berakhir di tanah kubur. Puas aku menasihatkan mereka. Ibu bapanya pun aku pernah panggil tetapi mereka masih tak bersetuju.
Mulai bulan 6 yang lepas. Beliau dibawa berubat secara alternatif di Perak. Ada bomoh boleh menyembuhkan penyakitnya dengan guna air jampi sahaja. Selepas berubat beberapa kali, beliau kata beliau dah sedikit sihat. Walaupun mukanya semakin pucat, beliau menafikan ada simptom-simptom yang lain. Paras urea meningkat daripada 14.7 kepada 27.4. Paras creatinine meningkat kepada 696. Aku dah tak kuasa nak menasihatinya. Aku hanya mampu memerhati dan berdoa. Semoga ada jalan penyelesaian untuk penyakitnya.
Awal minggu ini beliau datang ke klinik. Cuti tahun dah habis. Kuota MC pun dah habis. Sekarang beliau kerja selang sehari. Banyak ambil cuti berbanding kerja. Mukanya semakin pucat. Badannya sakit-sakit. Pinggangnya pun sakit. Kerja lebih sikit rasa mudah penat. Tidur malam asyik batuk sahaja lalu aku cadang mengambil darahnya.
Dan ini keputusan ujian darahnya yang terkini. Toksin dah penuh dalam darahnya. Urea dah naik kepada 54 dan creatinine mencanak kepada 1925. Darah merahnya pun tinggal separuh. Beliau perlu menjalani dialisis dengan seberapa segera. Tiada pilihan lain. Itulah muktamadnya. Hidup atau mati. Masalahnya, kos rawatan di pakar swasta dah habis untuk tahun ini. RM25,000 habis digunakan masa beliau dimasukkan ke wad tempoh hari. Kena tunggu tahun depan untuk bajet baru. Maka beliau perlu ke hospital kerajaan. Tiada pilihan lain. Muktamad.
Hidup atau mati.
Demikianlah adanya seorang lagi pesakit aku tewas. Aku tertanyatanya di mana silapnya Siapa yang harus dipersalahkan Pesakit sendiri yang tak pandai menjaga kesihatan
Doktor yang hanya merawat penyakit dan bukannya pesakit Ibu bapa yang tak yakin dengan rawatan moden Saudara-mara dan jiran yang mencadangkan rawatan alternatif Aku dah menjalankan tanggungjawab aku. Memberi rawatan, memberi nasihat, memberi pilihan jalan penyelesaian, tetapi doktor bukannya tuhan. Allah yang menentukan segala-galanya.