TORA DATANG LAGI - 79
Sejenis kotak pensel berbentuk empat segi yang boleh dibuka pada kedua-dua belah bahagian. Penutup pada kedua-dua bahagian kotak pensel ini dibuka-tutupkan dengan menggunakan magnet. Kebanyakan kotak pensel ini menggunakan kartun-kartun dan superhero yang popular sebagai hiasan pada ruang luarnya. Terdapat juga kartun-kartun kewanitaan untuk pengguna wanita.

Menambah tarikan kotak pensel ini adalah ruangan-ruangan yang telah diasingkan mengikut jenis alat tulis yang hendak disimpan. Terdapat ruangan untuk meletakkan pensel, meletakkan getah pemadam, meletakkan pembaris dan lain-lain lagi kelengkapan. Sesetengah tempat meletak pensel boleh ditegakkan untuk mendirikan pensel supaya mudah untuk diambil.

Pada bahagian tepi kotak pensel, terdapat satu ruangan yang dapat dibuka apabila ditekan/ditolak punat yang telah disedikan. Setelah terbuka, akan keluar pengasah pensel binaan dalam lengkap dengan ruangan untuk membuang habuk pensel. Terdapat juga kotak pensel yang menyediakan ruangan tepi untuk getah pemadam.

Rata-rata kotak pensel ini dijual pada harga yang agak mahal di pasaran dan hanya mampu dimiliki oleh anak orang kaya terutamanya anak cikgu. Sekian hari semakin banyak yang mula dijual di pasaran sehingga harga kotak pensel mula jatuh dan mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Walaupun canggih, kotak pensel ini nampak terlalu skema dan tidak rock. Bagi menggantikannya dengan yang lebih rock, kotak pensel yang diperbuat dari kotak pita VHS atau VCR diwujudkan. Selain nampak lebih bergaya dan samseng, kotak pensel ini boleh dihias mengikut kreativiti masing-masing.