DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 79
Sebagai seorang doktor GP, aku agak terkejut dengan berita yang tersebar sehari dua ini. Empat orang doktor GP tahap otai kena dakwa di mahkamah. Tuduhannya memalsukan laporan perubatan. Ada juga surat khabar yang tulis atas tuduhan pecah amanah. Surat khabar dan Internet pula menulis tanpa selindung, siap nama penuh, siap nama klinik dan alamat penuh klinik. Gambar berwarna pun ada. H@&@*J@%@H betul! Aku bengang dan sentap. Dan bagi haters terhadap doktor seperti aku, inilah masa dan ketikanya. Full blown assault.

Sebelum kamu semua menuduh doktor GP ini dengan macammacam tuduhan, mari aku bercerita senario yang sebenarnya. Borang JPJ L8 ini adalah sehelai borang yang sangat-sangat simple. Boleh diambil di pejabat JPJ secara percuma. Boleh juga didapati secara percuma di sekolah memandu tetapi ada yang menjualnya pada harga seringgit sehelai. Dan khabarnya boleh juga dimuat turun melalui Internet. Ianya adalah borang pemeriksaan kesihatan untuk memperbaharui lesen GDL dan PSV. Ianya adalah prosedur tahunan di mana setiap pemegang lesen yang ingin memperbaharui lesen mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana klinik swasta. Klinik kerajaan tidak boleh. Kalau ikut borang tersebut, doktor hanya perlu sahkan bahawa pemegang lesen seorang yang sihat dan boleh memandu. Langsung tidak dinyatakan apa pemeriksaan yang wajib dilakukan. Hanya ada ruang untuk cop dan sain sahaja. Jadi memandangkan ianya prosedur tahunan, ada sesetengah doktor yang langsung tak melihat pemegang lesen.

Mereka hanya cop dan sain sahaja terutama jika pemegang lesen adalah pesakit atau pelanggan tetap mereka. Kos yang dikenakan hanyalah 10 ringgit sahaja. Dan kini dinaikkan kepada RM15 dan kerana nilai RM10-RM15 ini, keempat-empat doktor ini dituduh memalsukan borang tersebut. Atas alasan mereka tidak memeriksa pemegang lesen tersebut.

Dulu ada ura-ura untuk menaikkan harga kos kepada RM35 sekurang-kurangnya. Itu pun termasuk menjalani ujian saringan dadah yang wajib dilakukan. Pihak doktor tak setuju kerana langsung tidak untung. Rakyat tak setuju kerana ada penambahan kos. Selepas itu senyap. JPJ pun senyap. Doktor pula malas nak bising-bising. Para pemegang lesen pula bertepuk tangan. Dapat menjimatkan kos.

Dan sebagai doktor GP, walaupun dengan bayaran RM10, aku masih panggil pemegang lesen masuk jumpa aku. Nak tengok cukup tak kaki tangannya. Nak pastikan sihat tak mentalnya. Nak juga ukur tekanan darahnya. Nak juga tanya jelas lagi tak penglihatannya. Kalau aku yakin dia selamat untuk memandu, barulah aku cop dan sain borangnya.

Masa aku buat kerja locum dahulu, ada sesetengah klinik yang ambil mudah borang ini. Ada staf klinik yang sekadar hulur borang pada aku. Suruh aku cop dan sain tanpa perlu memeriksa pesakit. Bila aku kata aku tak nak, dia kata ini prosedur biasa. Doktor lain pun buat macam itu. Klinik lain pun buat macam itu tetapi aku berkeras tak nak sain, pergilah cari doktor lain. Pergilah cari klinik lain. Aku takkan jual prinsip aku dengan harga RM10.

Ada sesetengah doktor yang kononnya nak memudahkan pemegang lesen. Tak nak menyusahkan pemegang lesen. Ini mungkin hal kecil sahaja. Setakat RM10 dan cop sain apalah sangat, kan Dulu mungkin betul ramai doktor buat begini, tetapi kini tidak lagi. Mungkin ada yang masih buat benda yang sama. Mungkin kerana nak protes dengan JPJ sebab bayarannya terlalu rendah. Sebab itu doktor pun malas nak memeriksa sungguh-sungguh. Cuba JPJ buat peraturan baru dan beri harga yang lebih munasabah, rasanya perkara ini takkan terjadi.

Walaupun kosnya hanya RM10-RM15 ringgit, jangan tak percaya jika aku katakan, ada runner sekolah memandu yang ajak aku kaw-tim. Dia carikan pemegang lesen yang nak renew lesen, bawa borang kat aku. Dia ambil RM5 dan aku dapat RM5, sama-sama dapat untung katanya. Nasib baiklah runner tu dah tua, kalaulah lebih muda daripada aku, memang dah lama aku beri penumbuk kat dia.

Dan jangan tak percaya, ada juga runner yang buka kaunter di pejabat JPJ. Mereka jadi doktor sendiri. Mereka yang cop. Mereka yang sain borang. Siap ada resit sekali. Lagi mudah katanya. Pemegang lesen tak perlu susah-susah mencari doktor di klinik. Yang aku hairankan, mereka inilah yang tak dapat nak ditangkap.

Sebagai seorang doktor GP, aku simpati dengan nasib keempatempat doktor ini. Mereka bukannya doktor sembarangan. Tengok sahaja umur mereka, kalau dalam cerita Star Wars, dah boleh jadi jedi dah. Tetapi beginilah nasib mereka, nama dan gambar dah disebarkan. Malah alamat klinik pun dah disebarkan. Mungkin niat mereka baik tetapi undang-undang tetap undang-undang. Yang salah tetap salah. Dan aku harap kebenaran akan terbongkar jua.

Di Malaysia, semua orang boleh menjual apa sahaja. Semua orang boleh meletakkan harga apa sahaja. Takda siapa nak bising-bising. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, apabila melibatkan doktor swasta, mereka mula berkira-kira pasal harga dan kos. Pasal tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Ramai beranggapan doktor swasta semua nak cepat kaya. Nak mengaut keuntungan semaksimum mungkin, tetapi kenapa tak bertanya soalan yang sama kepada hospital-hospital swasta. Mereka lagi hebat mengira keuntungan.

Setiap kali tahun baru, semangat aku masih membara tetapi cerita-cerita begini mula memadam semangat aku. Aku sekadar boleh mendoakan, semoga doktor-doktor ini terlepas daripada tuduhan juga semoga kerjaya doktor cabuk seperti aku tidak semakin dipandang hina oleh masyarakat.