MAT DAN MEL - 8
Aku pernah ketagih main permainan komputer bertajuk The SIMS. Aku telah habiskan masa aku berjam-jam di hadapan komputer bermain The SIMS. Dalam permainan ini, kita akan mencipta satu watak animasi dan watak ini akan berinteraksi dengan watak-watak yang lain di dalam permainan ini. Watak ini perlu diberi makan, minum, berhibur, mandi, tidur dan sebagainya. Jika keperluan asasnya tidak dijaga, dia akan jatuh sakit atau mati. Apa yang menarik tentang permainan ini adalah kita dapat membina sebuah dunia untuk watak kita ini. Kita juga dapat membuatkan watak kita ini berinteraksi dengan watakwatak yang muncul di dalam permainan ini lalu membuatnya berkawan atau jatuh cinta dengan watak-watak tersebut. Untuk membuat watak SIMS kita ini jatuh cinta dengan watak pilihan kita, kita harus membuatkan mereka berpasangan lalu berkomunikasi di antara satu sama lain. Kadang kala perkara ini akan mengambil masa yang lama sebelum pasangan ini jatuh cinta.

Satu perkara yang dapat aku pelajari melalui permainan The SIMS ini adalah pentingnya komunikasi. Komunikasi antara pasangan akan menentukan sama ada pasangan itu akan kekal atau sebaliknya.

Hari ini aku terima surprise daripada Melati. Dia datang ke tempat kerjaku untuk menjengukku. Dia ada membawa Hamiza bersamanya. Hamiza aku berjalan seorang diri melihat baju-baju sukan yang ada dijual di tempatku bekerja. Melati pula berjalan dekat kepadaku sebelum dia menoleh memandang ke arah kasut-kasut yang ada dipamerkan.

Aku tersenyum melihat gelagat Melati berlakon sebagai seorang yang ingin membeli kasut. Aku mendekatinya kemudian aku tanya kepadanya kasut apa yang mahu dibelinya. Dia menuding ke arah sepasang kasut jogging untuk wanita. Aku memintanya duduk lalu aku masuk ke dalam stor untuk mencari kasut yang dipilihnya itu mengikut saiz kakinya. Apabila aku berjaya mendapatkan saiz yang sesuai, aku suruh dia memakainya. Dia menggayakan kasut itu dengan berjalan seperti seorang model di hadapanku. Dia memang nampak seksi gila pada waktu itu.

Azri memerhatikan gelagat Melati dari jauh, lalu dia terus mendekatiku dan seperti biasa membisikkan segala fantasi lucahnya ke telingaku. Aku buat-buat tak dengar.

Apabila aku melihat wajah Azri dah stim semacam dengan matanya yangkuyu itu, aku mendekati Melati lalu memberitahu Melati dengan menggunakan bahasa isyarat bahawa lima minit lagi syif kerja aku selesai. Aku suruh dia tunggu aku di luar.

Siapa awek tu Kau kenal dia ke Tanya Azri ingin tahu.

Kawan aku, jawabku ringkas.

Kawan je ke

Ya, kawan.

Kalau kawan jer, boleh aku kenal dengan dia tak

Dia bisu.

Alah, bisu-bisu pun, body dia...

Dia kawan aku lah wei! Kataku. Aku menjeling marah. Dia harap dia faham aku marah.

Aku tahu dia bukan kawan kau... Cara kau tengok dia tadi saja aku dah boleh agak.

Ikut suka hati kau lah nak cakap apa!

Kau pernah beritahu dia kau sayang dia

Aku hairan bagaimana soalan ini terkeluar daripada mulutnya. Aku tak tahu mengapa dia tiba-tiba sahaja bertanyakan soalan ini kepadaku.

Sebenarnya aku tidak pernah meluahkan rasa sayangku kepada mana-mana awek, termasuk Hasnah walau pun aku rasa aku sayang kepadanya. Memang tidak dapat aku nafikan aku pandai bermain dengan kata-kata tetapi tidak sekali-kali aku akan mengucapkan kata sayang kepada awek-awekku. Hasnah banyak kali bertanya kepadaku jika aku sayang kepadanya - aku hanya akan mengangguk tanpa meluahkan sebarang kata-kata. Bila dia tanya aku kenapa aku tak meluahkan kata sayang dalam bentuk kata-kata, aku cakap TAK MACHO LAH MACAM TU!

Aku tak percayakan kepada cinta. Ada yang berpendapat bahawa cinta sejati akan berkekalan sampai bila-bila tetapi tak ada yang kekal di dalam dunia ini. Ketika aku kecil dulu, bapa aku selalu tanya aku jika aku sayang kepadanya. Apabila aku kata AMAT SAYANG Papa! Dia terus akan mencium pipiku. Dia berhenti bertanya soalan ini sebaik sahaja aku masuk ke sekolah rendah. Dia juga tidak lagi cium pipiku sambil memberitahu bahawa Papa JUGA SAYANGKAN AMAT, setiap kali aku memberitahunya bahawa aku menyayanginya. Tapi apa yang pasti, pada masa itu, aku fikir dia tetap sayangkan aku walau pun kata-kata ini tidak diluahkannya lagi.

Seperti yang aku katakan tadi, tak ada yang kekal di dalam dunia ini termasuklah rasa cinta dan kasih sayang. Aku berhenti mempercayai ketulusan kasih apabila aku mula mengetahui siapa bapa aku itu sebenarnya. Jika dia benarbenar sayangkan aku dan keluarga aku, dia tak mungkin akan melakukan apa yang telah dilakukannya. Kerananya, aku mula berpendapat bahawa ucapan-ucapan sayang yang pernah diluahkan kepadaku selama ini hanya kata-kata kosong sematamata yang langsung tidak memberikan sebarang makna kepada dirinya. Dan kepada diriku.

Kerananya, aku takut untuk meluahkan rasa kasih dan sayang kepada sesiapa pun. Aku tak mahu mungkir janji. Kerana bagiku, bapa aku telah memungkiri janjinya. Dia tidak jujur menyayangiku. Mungkin dia tidak pernah jujur menyayangi sesiapa pun termasuk dirinya sendiri.

Aku tak percaya dengan kata-kata lafaz cinta yang tak membawa sebarang makna ni! Kataku perlahan kepada Azri.

TAHU TAKPER! Kata Azri sambil tersenyum kambing, lalu dia menambah lagi: Aku tahu kau tu playboy, Emmet! Bukannya aku tak tahu!

It takes one to know one, ujar ku di dalam hati. Azri berjalan meninggalkan ku sendirian. Aku memandang ke arah luar. Aku dapati Melati sedang duduk di atas sebuah bangku bersama Hamiza. Dia kemudian mendongak lalu mendapati aku sedang memandang dirinya dari jauh. Dia melambaikan tangannya ke arahku. Aku tersenyum lalu membalas lambaiannya.

Sebaik sahaja syifku pada hari itu selesai, aku terus berjalan mendapatkan Melati dan Hamiza. Mereka bertanya kepadaku jika aku sudah makan malam. Aku memandang ke arah jam tangan. Baru pukul enam. Aku kata aku tak lapar lagi. Mereka pula baru sahaja makan sebelum mereka bertolak ke sini. Aku bertanya ke Hamiza apa yang ingin mereka lakukan seterusnya. Hamiza kata mereka sebenarnya ingin ke Petaling Street.

Buat apa Tanyaku kepada Hamiza.

Mel mahu pulang ke kampungnya pada hujung minggu ini, jadi dia ingin beli beg tangan untuk ibunya, Hamiza berkata sambil membuat isyarat tangan supaya Melati akan mengerti jawapan yang diberikan kepadaku.

Awak nak balik kampung Tanyaku kepada Melati dengan mengharapkan dia faham apa yang aku tanyakan kepadanya.

Melati masih mengalami kesukaran untuk memahamiku. Dia masih mengalami kesukaran untuk membaca pergerakan bibirku. Dia telah dilahirkan pekak. Dia tidak pernah mendengar sebarang bunyi seumur hidupnya. Sebab itulah dia sukar untuk membaca pergerakan bibirku lalu memberikan sebarang makna kepada kata-kataku kepadanya. Aku cuba bayangkan situasinya dia tidak pernah mendengar muzik, suara, bunyi binatang dan kenderaan. Dia tidak dapat memahami terdapat pelbagai jenis bunyi yang wujud di sekelilingnya dan bagaimana pentingnya bunyi dalam kehidupan manusia. Tanpa suara tak akan ada bahasa. Tanpa muzik tak akan ada budaya. Tanpa bunyi dunia ini sunyi sepi.

Melati mengangguk cepat setelah soalanku tadi diterjemahkan Hamiza. Aku memandang ke arah Hamiza. Tanpa berkata-kata, aku faham bahawa dia bersetuju untuk menterjemahkan segala apa yang inginku katakan kepada Melati.

Awak dah lama tak balik kampung ke Tanyaku. [Lama juga... Dah dua bulan saya tak bertemu dengan ibu saya.]

Sama lah kita... Awak rindu tak dengan mak awak

[Rindu!]

Okay... Macam tu jom kita ke Petaling Street! Melati tersenyum sambil mengangguk.

Kami tak mengganggu ke Tanya Hamiza.

Tidak, jawabku pendek lalu mendekatkan diriku kepada Melati. Suasana di dalam Mid Valley agak sibuk pada hari itu. Terlalu ramai manusia yang datang untuk membelibelah. Awal bulan, apa tidaknya. Aku sendiri baru sahaja dapat gajiku yang pertama. Taklah banyak mana tapi memadai.

Kami telah ke Petaling Street dengan menaiki bas. Ramai yang bersesak-sesak-sesak di dalam bas sehingga lemas aku jadinya. Nasib baiklah perjalanan tidak begitu jauh. Setibanya kami di Stesen Bas Klang, kami bertiga terus berjalan ke arah Petaling Street. Hari semakin gelap. Suasana di Petaling Street seperti biasa agak meriah. Ramai para pelancong dan orang tempatan yang datang berkunjung. Aku mahu berhenti melihat koleksi DVD cetak rompak yang terbaru, tapi aku dapati beberapa orang penjual DVD sedang sibuk mengemaskan koleksi DVD yang ingin mereka jual. Aku dengar seorang pengunjung yang mengatakan serbuan akan diadakan sebentar lagi.

Aku dapati rupa Petaling Street tidak lagi seperti Petaling Street yang pernah aku kenali dahulu. Aku rasa aku suka versi Petaling Street yang lama walau pun masa tu pasar malam ini kelihatan kacau bilau, sempit, kotor dan panas. Bagiku, faktor-faktor inilah yang menyebabkan Petaling Street ini istimewa. Sekarang Petaling Street ini rupanya seperti ia telah diklonkan kepada sesuatu yang nampak terlalu teratur, kaku dan plastik seperti kebanyakan tempat-tempat di KL. Aku dengar kawasan Chow Kit pun akan dicantikkan tidak lama lagi. Aku harap perkara ini tidak akan berlaku. Aku tidak mahu KL jadi macam Singapura apabila segala-galanya kelihatan palsu.

Apabila aku dapati terlalu ramai manusia yang bersesak-sesak-sesak di sini, aku terus memegang tangan Melati. Dia membiarkan aku memegang tangannya. Aku lihat Hamiza tersenyum kelat. Mungkin dia tidak suka agaknya, tapi apa aku peduli.

Melati dan Hamiza rambang mata melihat barangbarang yang ada dijual di sini. Mereka akan berhenti di hampir setiap gerai yang ada di sini tanpa membeli apa-apa. Aku tak tahu apa sebenarnya yang mereka cari, tapi aku rasa perempuan memang begini ketika keluar membeli-belah. Segala-galanya ingin mereka lihat dan belek.

Melati kemudian menguis bahuku. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Dia tertarik dengan sebuah tas wanita Louis Vuitton tiruan berwarna putih yang dicorakkan dengan lambang LV berwarna-warni. Tas wanita tersebut tergantung bersama beberapa buah tas wanita dab beg wanita yang lain. Dia meminta aku mencapainya mungkin kerana tubuhku tinggi. Aku mengambil tas wanita tersebut menyerahkan kepadanya. Si nyonya penjual beg itu nampaknya tersenyum melihat gelagat kami.

Awak suka tak Tanyaku kepada Melati dengan menggunakan isyarat tangan ditambah dengan mimik mukaku.

Melati mengangguk cepat. Dia berkenan dengan apa yang dilihatnya. Dia menyerahkan beg tersebut kepada Hamiza agar Hamiza dapat melihatnya. Hamiza membuat beberapa isyarat tangan dengan mengatakan dia juga suka dengan rekaan tas wanita ini.

Berapa ni harganya Tanyaku kepada nyonya di hadapanku.

Tak mahal, 80 Ringgit sahaja, jawabnya dengan bersahaja. Nyonya ini aku rasa sudah mencecah umur 50-an, tapi masih nampak bergaya.

Eh, kenapa mahal sangat

Apa pula mahal... Murah harganya ni!

Beg ni kan tiruan, nak letak harga mahal-mahal buat apa

Okay lah, gua kasi kurang sikit... 70 ringgit.

Mahal lah! Kataku macam nak bertekak dengannya. Aku menoleh ke arah Melati. Dia sedang bertanyakan kepada Hamiza apa yang sedang berlaku di antara aku dengan nyonya di hadapanku ini.

Dah murah lah ni!

Nyonya tekan saya dengan harga mat saleh, mana aci!

Kalau mat saleh gua bagi dia harga 150 ringgit. Dia beli tau!

Tapi saya bukan mat saleh, saya belajar lagi. Mana ada duit.

Okay, bagi tahu gua berapa harga lu nak.

40 Ringgit.

Haiyah! Macam ni gua tak untung tau!

Alah, kos nak buat beg ni pun bukannya tinggi mana pun.

Nyonya ini termenung memandangku seolaholah mahu menungguku untuk mengalah. Kemudian dia memandang ke arah Melati. Dia dapat baca dari wajah Melati bahawa Melati sudah bertekad untuk mendapatkan tas wanita yang dijualnya.

Lu punya girlfriend dah suka, lu beli saja lah! Muka hensem macam lu pun nak lokek kah

Dia nak belikan untuk mak dia kat kampung, kataku perlahan.

Ye ke

Wah, pandai dia pilih pattern untuk mak dia.

40 Ringgit lah nyonya!

Tak boleh lah.

Nya... Kesian kan dia. Dia dah lama tak jumpa mak dia. Dia nak hadiahkan mak dia dengan beg ni, kataku dengan suara perlahan. Aku buat muka kesian. Dia pandang muka aku. Haiyah! Dia mengeluh sambil menggeleng. Kemudian dia menggunakan tangan untuk memberitahuku dia akan menjual beg pilihan Melati dengan harga 50 Ringgit.

Melati dan Hamiza sibuk berbincang tentang harga. Aku rasa mereka sudah bersetuju dengan harga yang ditawarkan.

Lu punya girlfriend ni bisu kah

Ya.

Oh, wajahnya berubah. Dia sedang memikirkan sesuatu. Aku tak tahu apa. Apa yang pasti dia nampak simpati. Dia berjalan ke arah Melati. Dia beritahu Melati bahawa dia mempunyai wajah yang cantik. Katanya, sebelum ini dia ingatkan Melati adalah seorang pelakon remaja filem Melayu, setidaktidaknya seorang model iklan. Melati hanya tersenyum walau pun dia tak tahu sepatah haram yang dikatakan kepadanya.

Nyonya itu kemudian mengambil tas wanita yang sedang dibelek Melati. Dia mengambil sekeping beg plastik lalu memasukkan tas wanita itu ke dalam beg plastik tersebut.

Cincailah. 40 Ringgit, katanya kepadaku dengan wajah berkerut. Dia menyerahkan plastik yang terkandung tas wanita yang mahu dihadiahkan Melati kepada ibunya itu kepadaku.

Tanpa berfikir panjang aku terus mengeluarkan dompet wangku. Aku menyerahkan wang RM50 kepada Nyonya yang asyik bertekak denganku tadi. Dia cepat-cepat mengeluarkan wang RM10 yang dikeluarkannya dari beg kecil di pinggangnya. Mel mahu mengeluarkan wang dari dalam dompetnya. Aku menahannya.

Beritahu kepadanya saya ikhlas mahu belikan beg ini untuk ibunya, kataku kepada Hamiza.

Melati nampak serba salah. Hamiza cuba memberitahunya sesuatu. Akhirnya Melati membalas lalu memandang ke arahku.

Dia nak belanja awak makan malam, kata Hamiza.

Eh, tak payahlah!

[Apa pulak! Bagi saya peluang untuk belanja awak, ya] Aku mengangguk.

[Awak nak makan kat mana]

Mana-mana pun boleh... Apa kata kita makan kat McD Central Market Tapi sebelum tu saya nak solat Maghrib dahulu. Boleh kan

Melati menganggukkan kepalanya. Aku menyerahkan plastik yang terkandung tas wanita untuk ibu Melati ke tangan Hamiza.

Ingat orang ni amah Indon dia ke Tempelak Hamiza sambil menjeling. Aku ketawa kecil. Aku terus memegang tangan Melati. Kami terus bergerak ke arah Central Market tanpa berhenti di mana-mana gerai lagi di situ.

Kehidupan ini memang macam permainan The SIMS. Sesuatu yang dilakukan pasti ada tindak balasnya sama ada positif atau negatif. Dan aku pula telah melakukan sesuatu untuk menarik perhatian Melati agar dia merasakan dirinya semakin dekat kepadaku. Satu tindak balas positif.

Apa yang aku lakukan tadi tidak pernah aku lakukan kepada awek-awek lain. Buat pertama kali sejak aku mengenali Melati, aku benar-benar mahu dia menyayangiku. Tapi aku keliru. Dalam masa yang sama aku rindukan Hasnah. Lebih sebulan kami tak bersemuka. Kalau perkara ini berlaku dalam permainan The SIMS, pasti pasangan itu akan berpisah dan membuat hal masing-masing.

Tetapi kehidupan ini bukan satu permainan...