Sejam dan 30 minit.
Masa itu mungkin memadai untuk saya melakar kerangka cerita asas kepada novel kami, mungkin dalam dua atau tiga bab yang padat susunannya. Namun saya tak berasa seperti mahu menyiapkan kerangka novel tersebut. Seperti yang saya ceritakan pada anda tadi, saya telah menemui longgokan nota-nota bersepahan di atas lantai parkir dan ia menarik minat saya untuk menelahinya dengan terperinci.
Sebelum sempat saya menyinggah di kafe terdekat, saya perhati beberapa buah galeri seni yang bersebelahan antara satu sama lain di koridor tingkat bawah. Suasana sepi, barangkali kerana tiada keseronokan buat masyarakat umum khususnya untuk memenuhi bangunan komersil D7, Sentul ini. Tiada kedai pakaian ataupun tempat permainan kanak-kanak, mahupun restoran makanan-makanan segera tersedia. Tempat ini bukanlah tempat membeli-belah serasanya, tetapi lebih kepada satu tempat yang dibina untuk menghargai aspirasi seni dalam jiwa pelukis-pelukis tempatan. Saya syak salah satu galeri seni ini menempatkan insiden yang berlaku ke atas Puan Raudah. Sambil berjalan ke kafe saya memerhati lekuk-lekuk kayu yang membentuk lantai koridor, mungkin saya akan mengesan calar geseran atau tompok darah. Namun apabila saya memikir logikal pada perkaitan tanda-tanda tersebut dengan nota, tidak mungkin kesan Puan Raudah dipengsankan itu terdapat di atas lantai koridor. Insiden itu berlaku di salah sebuah galeri, atau setepatnya, di dalam galeri tersebut.
11 pagi.
Saya masuk ke kafe yang agak sesak. Sekurang-kurangnya ia melegakan hati saya. Saya masih dikelilingi golongan elitis Kuala Lumpur yang gigih bersembang antara satu sama lain dengan penggunaan I-You mengganti kata diri Saya-Awak ataupun Aku-Engkau. Saya tak nampak kekenyangan mahupun pembunuhan kehausan di dalam kafe ini. Itu tidak penting. Saya hanya tampak kesesuaian kafe sebegini untuk membicarakan kertas kerja bersama pasangan ataupun kumpulan dengan ditemani muzik jazz dan juga pembentukan buih-buih krim yang cantik di atas kopinya.
Muzik jazz dan busa krim cantik coraknya akan memberi ilham pada penulis seperti saya. Itu pegangan peribadi saya selaku seorang penulis.
11: 10 pagi
10 minit telah berlalu dan saya telah menempah Cappucino. Sisipan pertama belum menyinggah bibir, tetapi aksara dan abjad lebih laju berdansa di atas kertas. Sambil itu, mata saya melirik pada nota-nota misteri tersebut. Adakalanya mata saya melirik pula pada pengunjung-pengunjung kafe. Saya mengandaikan nama Mitchelle cocok dengan salah seorang pengunjung tetapi saya tidak dapat membayangkan gambaran sebenar Mitchelle di kalangan mereka. Tambahan pula saya tidak rasa saya akan dapat cam setiap wajah-wajah mereka yang hadir di kafe ini jika saya bertemu mereka di tempat lain.
Saya sedang membuat kajian ke atas konsep bumi selaku satu sistem yang hidup. Hipotesis Gaia, setepatnya. Namun begitu, ia kekal hipotesis dan tiada pembuktian setakat ini telah dilakukan. Saya percaya juga dalam sistem itu terdapat parameter-parameter yang tidak signifikan langsung. Persoalannya adalah, adakah manusia adalah salah satu parameter yang signifikan
Jika benarlah dua orang pelukis yang menculik Puan Raudah itu merupakan satu kewujudan yang menyerupai manusia, maka dari manakah mereka datang Benarkah mereka datang dari Marikh Adakah mereka signifikan pada sistem bumi Saya keluarkan nota-nota misteri tadi dan memilih secara rambang akan salah satu catatan yang agak panjang.
Apabila saya turun ke parkir untuk mengambil beberapa peralatan lukisan yang tertinggal di dalam kereta, saya dapati seorang lelaki berkaca mata tebal sedang mengagau seolah tidak dapat melihat apa-apa.
Pakaiannya serasanya aneh, dengan baju kemeja kuning yang kemas dimasukkan ke dalam seluar kajang berwarna coklat yang kelihatan lusuh benar, dimuktamadkan fesyennya dengan sandal hitam tak berlogo yang menyarung kakinya. Tubuhnya kurus, sedikit bongkok seolah pinggangnya tidak mampu menampung ketinggian dadanya yang bidang secara menegak. Saya mengesyaki dia bukan manusia, sepertimana kami jua.
Jerebu tebal! Jerebu tebal! desusnya, sambil terus meraba dalam parkir yang bagi saya jelas dan terang-benderang. Penataan cahaya di ruang parkir memang agak suram, tetapi parkir ini tidaklah dikelubungi konkrit sepenuhnya. Terdapat bukaan demi bukaan yang membawa serotan cahaya mentari masuk ke ruangnya. Saya mengesyaki juga, dia mungkin rosak bebola matanya.
Tak ada jerebu langsung. Kau ni dah kenapa saya mengujarkan kata-kata itu, dengan harapan dia sedar dengan situasinya kini.
Pantas dia menoleh, tetapi masih juga seperti tadi, tidak dapat melihat. Dia menggunakan deria pendengaran, seolah ia satusatunya medium dalam tubuh manusianya yang masih berfungsi. Seraya itulah dia menguntum senyum.
Kau! The Things! Aku tahu! Aku datang ke sini sebab aku dapat cium bau kau!
Saya tidak memahami apa yang dimaksudkan orang itu. Sekiranya dia mengatakan saya ini datang dari Marikh maka saya akan terima penjelasannya lalu menyerangnya. Mungkin juga The Things sedang mengambil alih jasad ini, dan itu menakutkan saya. Saya mahu percaya dia sedang berdelusi dan kemungkinan besar dia kini di bawah pengaruh dadah. Ia menyeramkan. Saya memerhati kawasan sekeliling dengan harapan tiada sesiapapun yang menyedari kehadiran kami di situ. Suasana senyap sunyi. Kelegaan sedikit berputik biarpun saya risau diri saya akan diapaapakan oleh lelaki aneh di depan saya ini.
Gila! Pergi main jauh-jauh! saya cuba menghalau dengan laungan separa lantang.
Jangan nak berlakon lagi, bau The Things kuat dekat bawah ini, dari tubuh kau!W alau aku tak nampak kau, aku dapat tahu bentuk kau, oh, kau menyamar jadi manusia Ini satu benda baru! Aku tak tahu pula The Things dah boleh jadi manusia!
Saya rimas dengan pekikannya. Mungkin saya patut menculiknya juga dan mengurungnya dalam bilik galeri. Ulahnya aneh, segalanya serba-serbi celaru. Saya tidak mahu dia terus-menerus menjerit sebegitu. Tidak kisahlah sama ada saya ini The Things atau tidak, teriakan sebegitu akan membuatkan kami menjadi perhatian orang ramai.
Lekas-lekas saya dapatkan peralatan lukisan di dalam bonet kereta. Saya harus berterima kasih dengan ketidakmampuan lelaki itu untuk melihat. Pergerakannya ralat benar, dan acapkali terlanggar tiang-tiang dan juga kereta-kereta yang diparkir di lot-lot yang tersedia.
Sesudah selesai, saya lekas-lekas pula berlari ke anak tangga. Saya dapati lelaki aneh itu telah hilang. Hati saya tak sedap. Mungkin dia akan muncul dari tempat yang saya tak jangka-jangka. Entah apa kegilaan yang akan dilakukannya nanti.
Saya tekan butang lif berkali-kali dan saya memastikan saya tidak diikuti dari belakang. Setiap sudut saya perhatikan agar ia tidak terlepas dari pandangan saya sekaligus meletakkan saya dalam bahaya. Setiap kali lif turun ke bawah dari satu tingkat ke tingkat yang lain, saya dapat rasa seolah jantung saya akan jatuh. Saya tak pasti adakah saya akan mampu melepaskan diri dari gejolak rasa yang menunjal ganas ini. Saya patut selesaikan lelaki itu, memengsankan dia atau menembaknya sehingga mati. Namun saya adalah seorang pasifista. Saya benci keganasan. Saya tidak mahu cederakan orang. Saya hanya mahu membuat kajian. Saya mahu informasi dan saya seorang yang punya perasaan ingin tahu yang sangat kuat. Mitchelle patutnya bersetuju dengan saya.
Pintu lif terbuka.
Lelaki aneh itu duduk mencangkung sambil melambai-lambai ke arah saya.
Saya lekas-lekas menekan butang lif agar ia tertutup semula, tetapi lelaki itu lebih tangkas. Dia keluar dari lif seolah dia itu tidak berjisim dan tidak bertaut dengan graviti. Saya sedar kini, saya tidak berdepan dengan manusia. Dia juga seperti kami, bukan orang bumi. Cuma mungkin dia berasal dari tempat lain yang lebih jauh.
Saya dicekiknya. Saya akan mati. Barang-barang yang saya bawa hampir kesemuannya jatuh ke lantai. Saya masih punya berus lukisan. Tanpa berlengah, saya benamkan berus lukisan itu pada bebola matanya. Dia menjerit kuat, dengan penuh kesakitan. Peluang itu saya gunakan untuk leraikan cengkaman pada leher saya. Sebelum sempat saya memberikan satu serangan lagi, lelaki tersebut menggeletar hebat sebelum rebah.
Dari belakangnya, Mitchelle muncul dengan senyuman melirik di bibirnya.
Kau lama sangat, jadi aku tolong tengokkan. Kita bawa orang ni ke atas. Mungkin dia tahu sesuatu
Saya mengangguk. Saya juga mahu tahu mengapa kami diburu oleh makhluk sebegini aneh. Membayangkan tubuhnya dibedah dan menyerlahkan setiap pengetahuan baru cukup mengujakan. Debar ketakutan tadi kini bertukar menjadi debar keghairahan. Pengetahuan baru, sentiasa menghadirkan keseronokan dalam jiwa kami.
Saya terpaksa memberhentikan pembacaan. Saya dapat rasakan penulis surat ini akan gambarkan sesuatu yang ngeri. Jam menunjukkan pukul 11:25 pagi. Puan Saodah belum kelihatan lagi. Saya mula keluarkan buku nota saya dan memegang pen agar matanya berdansa di atas kertas. Pen tak mahu berdansa. Idea saya seolah mati. Saya mungkin dihantui oleh bayangan yang termaktub dalam nota-nota misteri tadi. Saya dapat rasa ada mata yang memerhati pergerakan saya. Boleh jadi Mitchelle ataupun Krisnan sedang memerhati saya dan menunggu masa yang sesuai untuk menculik saya sepertimana apa yang mereka lakukan pada Puan Raudah.
Namun begitu, saya masih tak dapat terima hakikat bangunan D8 itu wujud. Adakah misteri itu akan terhurai hari ini