PAGI datang sama seperti hari-hari sebelumnya. Kabus masih berarak tatkala kegelapan masih menyelubungi sebahagian besar Kampung Sungai Teja. Ayam hutan masih galak berkokok di hutan hujung kampung dan saling bersahut-sahutan. Burung-burung juga sudah mulai keluar dari sarang masing-masing untuk mencari makanan sehingga santak senja. Rutin itu tidak pernah berubah walaupun hari dan peristiwa silih berganti. Sama seperti hari-hari sebelumnya, Angah Soyah terjaga dan bangun awal pagi. Sebaik-baik sahaja dia terjaga, dia merenung ular sawa batik yang masih berada di pintu pelantar. Ular sawa batik yang masih kekenyangan tidak berganjak langsung dari tempat ia berada. Seolah-olah ia menantikan makanannya hadam sepenuhnya sebelum ia mula menjalar dan mencari makanan yang lain.
Kau masih ada
sapa Angah Soyah. Lembut sahaja suaranya. Dia bangun. Selimut kusam yang digunakannya, dilipat dan diletakkan di atas bantal. Angah Soyah kemudiannya membesarkan sumbu pelita ayannya. Kemudian, mengambil lampu suluh dan bergerak ke arah dapur. Dia menjerang air. Sementara menunggu air mendidih, Angah Soyah mengambil bungkusan plastik berisi tepung. Pagi itu, Angah Soyah bersarapan. Sepanjang hari nanti, dia akan berada di sekitar hutan kampung untuk menggetah burung. Hari itu, Angah Soyah sudah bertekad untuk menangkap burung tiung. Dia sudah melihat beberapa ekor tiung batu yang harganya bolehlah digunakan untuk menampung perbelanjaannya selama beberapa hari.
Kau tunggu di rumah. Kalau kau takut, kau pergilah menyorok kat tempat tidur aku tu. Jangan sesekali kau keluar atau tunjukkan diri kepada orang kampung. Kalau ada orang kampung nampak kau, tentu mereka akan bunuh kau,
pesan Angah Soyah kepada kawan barunya itu. Ular sawa batik menggerak-gerakkan sedikit tubuhnya bagaikan memahami pesanan yang diberikan oleh Angah Soyah itu.
Hari ni aku mungkin balik lewat. Kalau kau lapar....
Angah Soyah tidak meneruskan kata-katanya. Dia berpaling ke arah ular sawa batik. Angah Soyah kemudiannya ketawa kecil.
Takkanlah kau lapar lagi, kan Perut kau buncit sungguh tu.
Cokodok kosong dan air kopi cair, sudah cukup untuk mengenyangkan Angah Soyah sepanjang hari. Nanti kalau ada rezekinya hari itu, dan kalau Ah Seong bermurah hati, dia tidak perlu susah hati tentang makanan dan minuman lagi. Ah Seong selalunya bawa bekalan makanan untuknya seperti tepung, beras, gula, garam dan kopi. Kadang-kadang Ah Seong turut membelikan bawang merah dan bawang putih. Syaratnya, semua burung yang berjaya digetahnya akan diserahkan kepada Ah Seong. Ah Seong adalah peraih telur-telur ayam yang diusahakan oleh Pak Syuaib. Hampir setiap hari Ah Seong akan datang ke ladang ayam Pak Syuaib untuk mengambil telur-telur dari ladang itu. Biasanya, Ah Seong akan datang pada sebelah petang. Paling mudah, dia boleh ke ladang ayam Pak Syuaib untuk menyerahkan burung-burung yang berjaya digetahnya kepada Ah Seong. Bagaimanapun, Sahak dan Sudin di ladang ayam itu membuatkan Angah Soyah terpaksa menanti Ah Seong di kepala simpang menuju ke Kampung Sungai Teja. Lebih mudah lagi kalau dia menunggu di tepi jalan lama, tidak jauh dari jejawi tua. Bagaimanapun, kalau tidak ada apa-apa, Angah Soyah cuba mengelak daripada pergi ke jejawi tua itu. Masih banyak masa. Suasana di luar pun masih gelap biarpun sudah tidak lama lagi matahari pagi akan muncul dan menyinarkan cahayanya. Sudah beberapa hari, hujan tidak turun. Sekali gus menyenangkan kerja Angah Soyah. Tanpa hujan, Angah Soyah boleh memanjat pokok dengan selamat. Kalau hujan, batang pokok licin. Angah Soyah kena lebih berhati-hati. Kalau tidak, dia akan terjatuh ketika memasang lidilidi getah di ranting-ranting pokok. Biasanya Angah Soyah menggunakan gam tikus sebagai kaedah paling mudah untuk menggetah. Kalau gam tikusnya dah habis, Angah Soyah akan gunakan getah nangka. Setiap hari, lebih seratus bilah lidi yang disalut getah akan dipasang. Selepas memasang lidi-lidi getah itu, Angah Soyah akan berehat sejenak.
Waktu rehat biasanya digunakan oleh Angah Soyah untuk tidur. Kalau tidak pun dia akan masuk ke hutan untuk mencari buah-buahan yang boleh dimakan. Setidaktidaknya dengan cara itu, perutnya dapatlah diisi dan dia tidak perlu menderita kelaparan. Hutan di sekeliling Kampung Sungai Teja membekalkan banyak makanan kepadanya. Lebihlebih lagi kalau musim buah-buahan. Kalau tiba musim buah sentul dan setui, Angah Soyah dapatlah tambah pendapatannya. Paling Angah Soyah suka kalau satu-satunya pokok keranji yang tumbuh tidak jauh dari jejawi tua, berbuah lebat. Buah keranji mahal harganya. Ah Seong tidak pernah tawar walau berapa harga yang diletakkannya. Mujur jugalah kebanyakan orang kampung langsung tidak berminat dengan buah-buahan hutan itu. Mereka hanya gemar memakannya. Pun begitu, Angah Soyah tidak pernah mampu menjual buahbuah hutan yang dikutipnya kepada orang kampung. Tiada sesiapa pun yang sudi membeli daripadanya. Mereka lebih gemar membeli daripada Ah Seong yang menjualnya dengan harga sekali ganda daripada harga yang ditawarkan oleh Angah Soyah.
Harap-harap hari ini aku dapat banyak burung.
Angah Soyah sempat mengerling ular sawa batik. Manalah tahu kalau-kalau haiwan itu lapar semula dan kemudian menjerut serta menelannya.
Kau doakanlah untuk aku, ya.
Hampir setengah jam kemudian, Angah Soyah sudah siap bersarapan. Sebelum dia meninggalkan rumah, dia membersihkan pinggan mangkuk dan cawan yang digunakan. Air kopi yang lebih dimasukkan ke dalam botol. Botol itu kemudiannya diikat ke pinggang bersama-sama dengan golok bersarung dan bekalan lidi getah. Hanya setelah memastikan semuanya lengkap, barulah Angah Soyah memulakan perjalanan ke tempat kerjanya. Angah Soyah sengaja tidak menggunakan pintu pelantar. Tidak mengapalah dia bersusah payah sedikit, asalkan dia tidak mengganggu ular sawa batik yang kini telah menjadi kawan dan penunggu rumahnya. Deruan enjin motosikal kedengaran sibuk. Angah Soyah tahu, kebanyakan orang kampung sedang menguruskan kerja masing-masing. Ada yang ke kebun. Ada yang ke dusun. Malah ada yang ke pekan untuk bekerja makan gaji. Hanya beberapa orang sahaja yang masih lagi berdengkur dan mengerekot di bawah selimut bertemankan dingin pagi. Angah Soyah perlu mengelak daripada orang kampung. Dia tidak boleh bertembung dengan mereka. Dia tidak mahu menjadi bahan senda gurau mereka, atau menjadi sasaran tuduhan yang mengatakan nasib mereka akan menjadi malang jikalau bertemu dengannya di tengah jalan. Kalaulah Angah Soyah cuba mempertahankan dirinya dan memberitahu sangkaan mereka adalah salah, sama ada dari sudut agama mahupun logik akal, dia juga yang akan sakit badan. Orang kampung yang enggan menerima katakatanya akan menghadiahkan tangan dan kaki ke badannya, seolah-olah dia dilahirkan ke dunia ini untuk menjadi tempat melepas geram. Disebabkan itulah juga, setiap kali dihina atau dimaki hamun, Angah Soyah hanya mampu tersengih bagaikan kerang busuk. Lebih mudah untuk dia berlagak seperti orang tidak cukup akal berbanding orang yang sedar dan waras kerana orang kampung lebih gemar melihat malangnya, bukan pandainya. Menjadi yatim piatu miskin bukanlah sesuatu yang sukar kalau otak dan akal boleh digunakan untuk menyelamatkan diri. Mujur jugalah dia tidak menumpang sesiapa pun. Mujurlah neneknya meninggal dunia dan mewariskan sebuah rumah buruk dan tapak rumah. Bukan Angah Soyah tidak tahu, ada orang yang terliur sangat dengan rumah dan tanah pusakanya. Macam-macam cara sudah digunakan untuk menghalau Angah Soyah. Tidak cukup setakat itu, mereka turut menghasut orang kampung agar Angah Soyah dihalau dari Kampung Sungai Teja. Angah Soyah sedikit pun tidak terancam dengan cubaan tersebut. Dari usianya lapan tahun sehinggalah sekarang, dia masih berjaya hidup di Kampung Sungai Teja dengan selamat. Malah rumah dan tanah peninggalan arwah neneknya juga tidak berjaya dirampas oleh sesiapa pun, termasuklah Pak Long Lateh atau Pak Su Cik Leh. Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh tidak berpuas hati kerana dia memperoleh tanah dan rumah itu. Untuk melepaskan kemarahan dan kekecewaan mereka, Angah Soyah dijadikan sebagai tempat melepaskan geram. Namun Angah Soyah tetap juga tidak berganjak daripada pesanan dan amanat arwah neneknya.
Angah, walau apa pun berlaku, jangan sesekali kau tinggalkan rumah dan tapak rumah ini. Ini sajalah yang dapat nenek berikan kepada kau untuk bekalan masa hadapan. Ingat, biar tidak ada duit dalam tangan, asalkan ada tanah, kau akan selamat.
Dan dia masih berasa mujur kerana setidaktidaknya, tanpa sesiapa pun di Kampung Teja yang menyebelahinya, masih ada seseorang yang memberikan perhatian, yang sudi berkongsi pengetahuan dan sudi berbual dengannya apabila ada kelapangan. Berjalan di lorong yang tidak pernah dijaga, bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Apatah lagi pada waktu pagi yang dingin. Embun-embun yang berada di hujung daun, bagaikan curahan air hujan yang membasahi hujung kaki dan seluruh tubuhnya. Namun apa pula pilihan yang ada melainkan Angah Soyah terpaksa juga menggunakan lorong tersebut sebelum sampai ke jalan besar. Setidak-tidaknya dengan keadaan lorong begitu, tidak adalah orang kampung yang akan menyakiti hatinya sampailah dia berada di jalan besar. Namun Angah Soyah tidak akan menggunakan jalan besar tersebut sebaliknya memilih untuk menggunakan jalan pintas ke beberapa batang pokok yang menjadi tumpuan burung-burung berharga mahal. Pagi masih muda. Mereka yang gemar menyakitkan hatinya dan menghamun keturunan serta asal kejadiannya, pastinya masih lagi bergelumang di bawah selimut. Begitu juga dengan Tok Melah yang pastinya sedang sibuk menyiapkan hidangan untuk Tok Imam Tua.
Macam manalah keadaan Miah sekarang Dia tahu ke Pak Long Lateh dah dibaham ular sawa di dapur rumah aku tu
Angah Soyah bertanya kepada dirinya sendiri. Angah Soyah yakin tiada sesiapa pun tahu, Pak Long Lateh telah ke rumahnya. Entah apa yang dicari oleh Pak Long Lateh di rumah itu, Angah Soyah tidak dapat mengagak. Namun besar kemungkinan Pak Long Lateh ke rumahnya untuk mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebagai bahan atau modal berjudi.
Aku haramkan kaki aku memijak rumah ini lagi!
Suara lantang Pak Long Lateh masih terngiangngiang di telinganya. Angah Soyah tetap ingat katakata itu meskipun masa terus beredar. Dia tidak akan melupakan bagaimana riak wajah Pak Long Lateh tatkala menuturkan sumpahannya. Malah Angah Soyah tidak mungkin akan melupakan bagaimana arwah neneknya menangis dengan kata-kata Pak Long Lateh.
Lateh, engkau pun cucu aku. Tapi...
Ah!
Pak Long Lateh memotong kata-kata nenek dengan pantas.
Aku tak peduli. Kau orang tua kutuk! Kau bukan nenek aku! Kau hanya berkahwin dengan datuk aku selepas nenek aku meninggal dunia.
Arwah nenek sekadar menekurkan mukanya memandang ke lantai. Arwah nenek bagaikan tidak berani bertentang mata dengan Pak Long Lateh. Arwah nenek sayu mendengar kata-kata Pak Long Lateh. Arwah nenek juga tidak dapat menyembunyikan tangisan dan esak tangisnya.
Aku tahu, kau sengaja menggoda datuk aku untuk serahkan tanah dan rumah ini,
tuduh Pak Long Lateh tanpa segan silu.
Kau boleh kata apa pun, Lateh. Ini rumah aku. Ini tanah aku. Tak ada kena-mengena dengan arwah datuk kau. Tak ada kena-mengena dengan arwah mak kau. Aku dapat tanah ini hasil dari titik peluh aku sendiri!
Arwah nenek mula bersuara meskipun dia tetap menekurkan mukanya ke lantai.
Aku tak percaya! Arwah datuk aku banyak tanah! Tentulah dia bagi kat kau.
Pak Long Lateh enggan mempercayai kata-kata arwah nenek.
Kau pergilah periksa di pejabat tanah. Sebelum berkahwin dengan datuk kau lagi, tanah dan rumah ini sudah jadi milik aku. Aku yang beli. Duit aku sendiri. Sebelum aku berkahwin dengan datuk kau!
Pak Long Lateh terdiam seketika. Dia cuba mencari helah lain agar dapat menguasai nenek, sekali gus merampas tanah dan rumah itu.
Tok Imam Tua jadi saksi. Pergilah tanya dia. Ngah Darus pun jadi saksi, malah Ngah Daruslah yang menyuruh aku memindahkan nama di atas geran kepada Angah Soyah. Katanya, dia tak harapkan engkau atau Cik Leh akan jaga Angah Soyah kalau aku dah tak ada di dunia ini!
Muka Pak Long Lateh merah padam menahan marah. Angah Soyah direnung dengan tajam, seolaholah Pak Long Lateh ingin meratah-ratah tubuh Angah Soyah yang masih kecil ketika itu.
Ini tanah datuk aku!
Pak Long Lateh menyorak kuat. Nenek terus panggungkan kepalanya. Matanya merah. Namun air mukanya tidak lagi membayangkan kesedihan sebaliknya menampakkan kemarahan yang cukup sukar untuk dikendurkan. Nenek terus bangun dan berjalan ke arah Pak Long Lateh. Pak Long Lateh pula bagaikan terpukau. Bahkan tatkala nenek menampar muka dan menerajang lututnya, Pak Long Lateh sekadar terjatuh bagaikan kain buruk tanpa melawan sedikit pun.
Dasar budak tak kenang budi! Kalau bukan aku yang selamatkan mak kau, sudah lama engkau dengan mak kau, mati ditikam dek bapa kau sendiri. Kalau tak disebabkan aku yang bela engkau dari kecil selepas bapa kau dipenjarakan, sudah tentu kau mati kebulur di tepi jalan. Kau memang jenis tak sedar diuntung, Lateh!
Pak Long Lateh terpisat-pisat.
Kau ingat datuk kau tu kaya sangat Kau ingat harta yang mak bapa kau serahkan kepada kau tu, harta datuk kau
Nenek tersenyum mengejek.
Itu memang harta datuk aku!
Pak Long Lateh cuba mempertahankan dirinya biarpun nadanya sudah rendah. Nenek terus ketawa. Ketawa nenek menakutkan.
Itu semua harta aku. Aku yang bagi pinjam kepada datuk kau. Datuk kau sudah lama miskin. Lama sebelum dia berkahwin dengan aku. Datuk kau kaki judi. Ketagihnya pada judi telah menghabiskan semua harta bendanya. Hanya harta benda aku yang menjadi sandarannya untuk kekal sebagai orang kaya. Sebab itulah, dia serahkan mak kau dan mak Cik Leh untuk aku bela. Tapi dia belot... dia wariskan harta aku kepada anak-anaknya dan seterusnya, anak-anaknya itu wariskan pula harta itu kepada kau dan Cik Leh!
Pak Long Lateh bagaikan cicak tertelan kapur. Ternyata kebanggaannya diruntuhkan satu persatu oleh arwah nenek.
Pergilah kau berambus dari sini! Ingat, ini bukan harta datuk kau! Kau tak ada hak langsung ke atas tanah dan rumah ini. Harta-harta aku yang dah lepas ke tangan keluarga kau, aku halalkan. Buatlah apa sahaja ke atas tanah dan rumah tu. Cuma tanah ini dan rumah ini... jangan sesekali kau usik. Kalau kau berani usik atau melanggar sumpah kau sendiri, kau akan ditimpa bencana. Kau tentu tak mahu menjadi hamba tebusan aku sepanjang hayat, kan
Itulah kata-kata terakhir yang terzahir dari mulut nenek kepada Pak Long Lateh. Sememangnya Pak Long Lateh kekal berpegang kepada sumpahnya sehinggalah Angah Soyah menemui kesan dia ditelan ular sawa batik di pintu pelantar. Mungkin disebabkan dia telah melanggar janjinya sendiri, membuatkan Pak Long Lateh ditelan ular sawa batik. Mungkinkah
Hoi! Nak ke mana tu
Suara itu mengejutkan Angah Soyah. Lamunan panjangnya serta-merta hilang. Angah Soyah berpaling kemudian terburu-buru ingin melangkah. Dia tidak mahu awal-awal pagi lagi kepalanya disekeh dengan buku lima.
Nak ke mana tu Jangan lari! Kalau tidak, aku cincang kaki kau!
Angah Soyah menarik nafas panjang. Nampaknya dia tidak ada cara lain lagi untuk menyelamatkan diri. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia tadahkan badan dan kepalanya untuk dipengapa-ngapakan oleh Pak Su Cik Leh. Pak Su Cik Leh merapatinya. Wajah Pak Su Cik Leh kelihatan kusam bagaikan tidak tidur semalaman. Rambutnya berserabut. Bau badannya sudah hampir sama dengan bau badan Angah Soyah sendiri.
Ada apa Aku nak cepat ni,
Angah Soyah cuba mendapatkan sedikit pengertian daripada Pak Su Cik Leh. Pak Su Cik Leh tidak bersuara sebaliknya memerhatikan Angah Soyah atas ke bawah.
Aku lapar... kau ada bawa makanan Eh, botol air.. air kopi
Angah Soyah mengangguk.
Mintakan aku!
Pak Su Cik Leh hilang malu. Mungkin kelaparan dan dahaga membuatkan Pak Su Cik Leh terlupa tentang permusuhan mereka. Angah Soyah teragak-agak meskipun pada masa yang sama, dia tetap kekal sengih bagaikan kerang busuk. Terlintas di fikirannya, jikalau dia menyerahkan botol air dan cokodok yang menjadi bekalannya, apa pula yang dia hendak makan nanti. Bekalan itu hanya cukup untuk dia seorang sahaja.
Cepatlah! Aku belasah kau nanti!
Pak Su Cik Leh mengancam Angah Soyah. Angah Soyah tidak ada pilihan selain daripada terpaksa akur dengan paksaan Pak Su Cik Leh. Bekalnya diserahkan kepada Pak Su Cik Leh dengan huluran tidak ikhlas. Pak Su Cik Leh segera merampas bekal yang dihulur. Kemudian tergesa-gesa menyuap cokodok separuh panas ke dalam mulutnya. Belum habis cokodok yang dikunyah, Pak Su Cik Leh menogok pula air kopi tawar dari dalam botol plastik.
Nasib baik aku jumpa kau kat tengah jalan ni.
Pak Su Cik Leh bersuara dengan mulut yang penuh dengan cokodok dan sisa kopi.
Kalau tidak, harus aku kebulur.
Angah Soyah teringin hendak bertanya kepada Pak Su Cik Leh, apa sebenarnya yang telah terjadi. Mengapa Pak Su Cik Leh tidak balik dan mengapa pula Pak Su Cik Leh berada di jalanan. Namun soalanJejawi Tua4 soalan itu sekadar berlegar-legar dalam mindanya dan tidak mampu disuarakan.
Aku ikut kau hari ini, boleh
Angah Soyah seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Pak Su Cik Leh hendak mengikutnya menggetah burung Pak Su Cik Leh seolah-olah sudah terlupa tentang penghinaan dan caci makinya kepada Angah Soyah. Pak Su Cik Leh bagaikan sudah terlupa bagaimana dia bersatu dengan Pak Long Lateh untuk merampas tanah dan rumah pusaka peninggalan arwah nenek. Namun yang lebih penting, mengapa Pak Su Cik Leh sampai jadi begitu sekali. Apa yang telah berlaku Masakan dia telah dihalau oleh anak lelakinya sendiri
Aku nak ikut kau menggetah burung, boleh
Pak Su Cik Leh kembali bertanya selepas Angah Soyah sekadar tersengih bagaikan kerang busuk.
Tapi....
Angah Soyah cuba menahan Pak Su Cik Leh. Benaknya teringatkan sesuatu. Pak Su Cik Leh pastinya mempunyai rancangan busuk terhadapnya.
Tak apalah... biarkanlah aku ikut kau.
Pak Su Cik Leh memandang sekeliling.
Kau sajalah yang boleh selamatkan aku.
Angah Soyah terus dilanda kehairanan. Kata-kata Pak Su Cik Leh sesungguhnya mengundang perasaan ingin tahu yang besar di hatinya. Namun Angah Soyah tidak tahu bagaimana hendak mengatur cakapnya dan menyelidiki peristiwa yang menyebabkan Pak Su Cik Leh jadi sebegitu.
Aku ikut, ya
Pak Su Cik Leh mengulangi pertanyaan. Kali ini suaranya jauh lebih lembut dengan redup mata bening dan kerut di dahinya memohon simpati Angah Soyah. Apa lagi yang boleh dilakukan oleh Angah Soyah melainkan mengangguk-angguk bagaikan burung belatuk memagut ulat di batang pokok yang sudah reput. Pak Su Cik Leh kelihatan sangat gembira dengan persetujuan yang telah diberikan oleh Angah Soyah. Dek kegembiraannya itu, Pak Su Cik Leh mendahului perjalanan Angah Soyah. Terpaksalah Angah Soyah betulkan haluan Pak Su Cik Leh.
Kau tangkap burung kat mana hari ini
Pak Su Cik Leh bertanya dengan nada gembira. Langkahnya tertinjit-tinjit bagaikan gagak yang takut terpijak tahi.
Kat tepi sungai, tak jauh dari rumah Tok Ngah Darus.
Kau dah pasang getah-getah tu Kalau tak pasang, aku boleh tolong kau panjat pokok.
Pak Su Cik Leh menawarkan diri. Semakin lama, Angah Soyah semakin tidak dapat menghalang perasaan ingin tahunya. Apa yang menyebabkan Pak Su Cik Leh berubah sikap secara mendadak Sesuatu pastinya telah berlaku kepada Pak Su Cik Leh sehingga dia sedar, perbuatannya terhadap Angah Soyah selama ini, bukan sahaja mendatangkan kerugian, malahan menyusahkan dirinya sendiri.
Tak mengapalah... nanti jatuh, susah,
Angah Soyah menolak, lembut.
Kau tahu Angah, masa kecil-kecil dulu, akulah juara panjat pokok. Apa-apa pokok pun bukan masalah kepada aku. Aku boleh panjat. Aku boleh meniti di julai-julai. Setakat pokok petai di kebun Cik Kiah tu, tu kacang saja,
Pak Su Cik Leh membanggabanggakan dirinya.
Kau tak balik lagi ke, Pak Su
Angah Soyah tidak peduli dengan kata-kata Pak Su Cik Leh. Wajah Pak Su Cik Leh berubah. Dia mendekati Angah Soyah dan seperti cuba berlindung di belakang Angah Soyah dengan matanya liar memerhati persekitaran mereka yang menghijau.
Kenapa, Pak Su
Errr... jangan sebut lagi perkara tu, boleh tak Malam ni, aku tidur kat rumah kau, boleh
Pak Su Cik Leh terus-menerus melakukan kejutan.
Nanti aku ambil bantal dan selimut. Malam ni, biar aku yang masakkan untuk kita berdua.
Kat rumah, banyak benda dah habis.
Ah Seong kan ada... mintalah duit kat dia,
saran Pak Su Cik Leh.
Aku tak pernah minta duit dengan dia.
Biar aku mintakan. Tentu dia faham kalau aku bagitahu yang duit tu diperlukan untuk membeli keperluan rumah kau.
Angah Soyah terus tersengih sambil menyapu air liurnya yang berlenja di tepi bibir. Pak Su Cik Leh tidak lagi seperti sebelumnya. Pak Su Cik Leh tidak langsung menunjukkan perasaan jijiknya sedangkan sebelum itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Angah Soyah akan meloyakannya. Bahkan bau badan Angah Soyah sendiri pun, kononnya sudah cukup untuk membuatkan dia hilang selera makan selama berhari-hari.
Kau dah jumpa Pak Long Lateh
Pak Su Cik Leh bertanya lagi. Suaranya sedikit menggeletar. Angah Soyah bagaikan dipanah kilat. Langkahnya serta-merta mati. Dia berpaling dan sengihannya hilang sama sekali. Dia teringatkan ular sawa batik berperut buncit yang sedang menyorok di belakang pintu pelantar rumahnya.
Err... tak ada. Kenapa
Sekali lagi Pak Su Cik Leh memandang sekeliling, padahal di tempat itu hanya mereka berdua dan dikelilingi oleh pelbagai jenis pokok. Selain mereka dan tumbuh-tumbuhan, hanya wujud kicauan burung dan suara unggas-unggas yang lain. Penduduk kampung tidak mungkin akan berada di belukar yang membelah pinggir kampung menuju ke seberang sungai yang terletak bertentangan dengan rumah Tok Ngah Darus.
Kalau aku ceritakan, kau jangan marah, ya.
Angah Soyah mengangguk-angguk kecil. Dia sebenarnya sudah tahu apa yang hendak diceritakan oleh Pak Su Cik Leh. Malah dia sebenarnya juga takut seandainya Pak Su Cik Leh menuduhnya sengaja membiarkan haiwan berperut panjang itu menelan Pak Long Lateh.
Aku dan Pak Long Lateh ke rumah kau tengah hari semalam.
Angah Soyah menghela nafas panjang.
Aku tak nak tapi Pak Long Lateh yang paksa aku!
Pak Su Cik Leh cepat-cepat mempertahankan diri. Mungkin dia bimbang seandainya Angah Soyah menuduhnya.
Buat apa ke rumah aku
Angah Soyah bertanya dengan nada lirih. Debar di dadanya, cuba disembunyikan sebaik mungkin. Langkahnya kembali diatur. Dia perlu sampai segera ke tempat dia menahan lidi-lidi bersalut gam tikus semalam. Dia perlu menggantikan lidi-lidi getah tersebut dengan lidi-lidi baru. Namun pada masa yang sama, dia juga ingin mendengar cerita daripada Pak Su Cik Leh.
Aku nampak nenek kat rumah kau!
Pak Su Cik Leh berbisik keras dengan mata terbeliak. Kata-kata Pak Su Cik Leh turut membeliakkan mata Angah Soyah sama. Sekali lagi langkahnya mati. Dia berpaling ke arah Pak Su Cik Leh dan cuba mencari keikhlasan dalam kata-katanya.
Aku nampak nenek kat rumah kau.
Pak Su Cik Leh mengulangi kata-katanya tadi.
Takkanlah... nenek kan dah lama mati.
Aku tahu... Pak Long Lateh pun tahu.
Nenek buat apa
Dia hanya berdiri di pelantar. Dia tenung kami dengan marah. Aku takut dan cuba lari tapi Pak Long Lateh tahan aku.
Pak Su Cik Leh terus menceritakan peristiwa yang menakutkannya itu kepada Angah Soyah dengan nada bersungguh-sungguh. Angah Soyah pula mendengar dengan penuh perhatian. Itulah kali pertama dia mendengar cerita tentang kepulangan neneknya dari kubur. Mana mungkin orang yang sudah meninggal dunia, balik ke rumah semula! Pun begitu, jauh di sudut hatinya, Angah Soyah ingin mentertawakan Pak Su Cik Leh. Semasa arwah nenek masih hidup dahulu, Pak Su Cik Leh dan Pak Long Lateh bukan main lagi biadap dengan arwah nenek. Kedudukan nenek sebagai nenek tiri, dihinakan dan diperlecehkan. Tuduhan mereka bahawa nenek cuba merampas harta peninggalan arwah datuk mereka sentiasa dilaung-laungkan dan dipanjang-panjangkan walaupun sebenarnya, datuk mereka yang merampas harta arwah nenek. Mereka tidak menghormati nenek, malahan sentiasa mengancam dan mengugut akan mencederakan nenek, semata-mata kerana nenek tidak mahu menyerahkan satu-satunya tanah dan rumah yang masih dimilikinya. Pak Su Cik Leh dan Pak Long Lateh terlupa bahawa orang yang menjaga dan memelihara mereka adalah nenek. Ketika ibu bapa masing-masing di ambang perceraian dan kelam-kabut, neneklah yang menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa rumah tangga yang bergolak. Hanya kerana mereka sudah kehabisan harta yang diwariskan dan syak wasangka yang terlalu menebal, mereka hilang perasaan hormat kepada nenek. Nenek dihalau dari rumah besarnya sendiri dan terpaksa tinggal di rumah yang kini menjadi pusaka Angah Soyah.
Pak Long Lateh cabut parang dan menerpa nenek. Nenek langsung tidak berganjak. Aku pula, bila dah dalam keadaan begitu, terus lari. Aku tak mahu bersubahat dengan Pak Long Lateh bunuh nenek. Aku tak tahu apa yang jadi kepada Pak Long Lateh lepas tu,
kata Pak Su Cik Leh lagi.
Kenapa kau tak balik
Aku cuba balik tapi....
Tapi apa
Aku nampak nenek di mana-mana. Aku nampak nenek berdiri di jalan masuk ke halaman rumah aku. Itu fasallah aku lari bersembunyi. Aku tak berani ke pondok di pinggir kebun getah Cik Kiah.
Kenapa tak minta tolong orang lain
Siapa yang akan percaya dengan aku
Mat Ajib dan Man Bewak
Mereka dah dapat kerja di pekan. Mereka pun takkan percaya kalau aku bagitahu yang aku jumpa nenek.
Angah Soyah menghela nafas panjang. Cerita Pak Su Cik Leh sesungguhnya sukar diterima akal. Kalau dia sendiri tidak mampu menerima cerita itu sebagai suatu kenyataan, bagaimana pula orang lain boleh menerima dan mempercayainya Pasti orang kampung juga akan mengatakan Pak Su Cik Leh sudah gila. Silap-silap besar kemungkinan nasib Pak Su Cik Leh akan serupa dengan nasibnya.
Sudin dah tahu
Aku tak berani balik.
Nak pergi jumpa Sudin di ladang ayam Pak Syuaib
Angah Soyah pula membuat tawaran. Pak Su Cik Leh menggeleng deras.
Biarkanlah aku duduk dengan kau. Kalau aku jaga kau, mungkin nenek tak marah lagi.
Angah Soyah tidak tahu apa yang harus dicakapkannya kepada Pak Su Cik Leh.
Kalau dah macam tu cakap kau, aku tak boleh nak kata apa-apa.
Pak Su Cik Leh gembira dengan keputusan Angah Soyah. Sepanjang mereka berada di belukar itu, Pak Su Cik Leh tidak henti-henti bercerita tentang azamnya untuk mengubah sikap. Pak Su Cik Leh tidak hentiJejawi Tua1 henti bercerita untuk mengubah hubungan antara mereka yang dingin sebelum itu kepada sesuatu yang lebih bermakna. Malah Pak Su Cik Leh berjanji akan menjaga Angah Soyah sebaik-baiknya sebagai usaha menebus salah dan silapnya selama ini. Angah Soyah tidak teruja langsung dengan janjijanji yang ditaburkan oleh Pak Su Cik Leh. Perubahan sikap Pak Su Cik Leh yang terlalu mendadak, tidak boleh diharapkan untuk kehidupan yang lebih baik, bahkan ia mungkin menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih perit. Sudah bertahun-tahun dia hidup seorang diri, sekarang Pak Su Cik Leh bercakap tentang menemaninya dan melindunginya Pelik benar perangai Pak Su Cik Leh! Apakah itu satu lagi usaha yang lebih baik daripada Pak Su Cik Leh untuk merampas tanah dan rumah yang didudukinya sekarang Atau adakah Pak Su Cik Leh menyangkakan, ular sawa batik yang menelan Pak Long Lateh merupakan sekutunya dan Pak Su Cik Leh terlalu malu untuk mengakui bahawa dia takutkan haiwan tersebut lantas mereka-reka cerita tentang kepulangan nenek dari kubur Atau boleh jadi juga, Pak Su Cik Leh mereka-reka cerita tentang nenek dan keinginannya untuk menjaga Angah Soyah kerana Pak Su Cik Leh sedang merancang hendak membunuh ular sawa besar itu Satu persatu persoalan muncul di benak Angah Soyah. Tidak satu pun persoalan tersebut berjaya diselesaikannya. Sungai Teja yang mengalir di tengah-tengah kampung, sudah pun dihampiri. Bunyi jeram dan aliran air begitu jelas, berselang-seli dengan suara burung dan riang-riang. Batu-batu besar yang berada di dada sungai serta di pinggir tebing, bagaikan kubukubu yang didirikan untuk mempertahankan negeri dari serangan tentera musuh pada zaman purba.
Angah, aku rasa macam nilah... kau pergilah ambil burung-burung yang digetah tu. Biarkan aku kat tepi sungai ni. Aku nak tangkap ikan.
Pak Su Cik Leh tiba-tiba sahaja berubah fikiran.
Tangkap ikan
Yalah, nanti boleh dijadikan lauk untuk makan malam kita.
Nak tangkap dengan apa
Pak Su Cik Leh menuding ke arah sebatang kail yang entah milik siapa terpacak dan terselit di celahcelah batu tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
Lepas kau dah ambil burung-burung tu, kau datang sini.
Angah Soyah mengangguk biarpun dia sebenarnya tidak berhajat untuk menuruti kehendak Pak Su Cik Leh. Pun begitu, dia senang hati kerana dapat menjalankan kerja-kerjanya tanpa sebarang gangguan daripada Pak Su Cik Leh. Kehadiran Pak Su Cik Leh bersama-samanya pasti akan mengecilkan jumlah pendapatannya. Pak Su Cik Leh tentu sahaja akan menuntut sebahagian daripada wang jualan burungnya dengan alasan, dia turut bekerja sekali. Biarlah Pak Su Cik Leh mengail ikan di sungai itu. Setidak-tidaknya, keinginan Pak Su Cik Leh untuk menemaninya akan hilang begitu sahaja. Dia tidak perlu menunggu atau menemui Pak Su Cik Leh lagi. Cerita-cerita yang dituturkan oleh Pak Su Cik Leh juga tidak sewajarnya mengalihkan perasaannya kepada Pak Su Cik Leh selama ini. Cerita-cerita yang cuba menagih simpatinya itu wajar didengar tetapi tidak wajar disimpan dan dipercayai.
Kau akan berada tak jauh dari sini, kan
Pak Su Cik Leh bersuara lagi tatkala Angah Soyah sedang berkira-kira hendak menyeberang ke seberang sana dengan meniti batu-batu besar di tengah-tengah sungai.
Ada beberapa tempat yang aku kena pergi. Kemudian aku kena pasang pula lidi-lidi getah ini.
Kalau macam tu, aku tunggu di sinilah.
Aku akan lambat.
Lambat mana pun, aku akan tunggu di sini.
Suara Pak Su Cik Leh sedikit mengharapkan simpati daripada Angah Soyah.
Jangan pula kau tinggalkan aku kat sini. Janji, tau
Yalah.
Angah Soyah meniti batu-batu itu dengan penuh hati-hati. Ketika berada di tengah-tengah sungai, Angah Soyah sempat berpaling ke arah Pak Su Cik Leh. Pak Su Cik Leh masih lagi memandangnya dengan pandangan sayu seolah-olah ingin mengatakan mereka tidak akan lagi bertemu. Seolah-olah meminta Angah Soyah memaafkan semua kelakuan dan perangai buruknya dahulu. Malah seolah-olah inginkan Angah Soyah melupakan segala caci-maki dan penghinaan yang pernah dilontarkan dari mulutnya. Masa masih panjang. Pak Su Cik Leh tidak akan ke mana-mana. Kalau benar seperti mana yang dikatakan oleh Pak Su Cik Leh yang dia hendak tinggal bersamasamanya buat sementara, Angah Soyah akan mendengar banyak cerita daripada Pak Su Cik Leh nanti. Cuma sesuatu yang memusykilkannya ialah, tahankah Pak Su Cik Leh dengan keadaan di rumahnya Mampukah Pak Su Cik Leh tidur di sebelahnya kalau selama ini Pak Su Cik Leh dan semua orang merungut tentang bau badannya yang hapak kohong
Apa sebenarnya yang berlaku Kenapa perubahan sikap Pak Su Cik Leh cepat sangat
Angah Soyah bertanya perlahan. Ketika sampai di seberang sungai, Angah Soyah cuba mencari kelibat Pak Su Cik Leh. Pak Su Cik Leh sudah tidak kelihatan di tempat dia berdiri tadi.
Dia dah hilang,
kata Angah Soyah, perlahan. Perasaan lega mengitari dadanya. Setidak-tidaknya dia tidak perlu berhadapan dengan masalah baru seandainya Pak Su Cik Leh tidak jadi tinggal sementara bersama-samanya. Biarpun mereka mempunyai hubungan darah, namun Angah Soyah cukup yakin, Pak Su Cik Leh tidaklah mudah untuk berubah melainkan kerana faktor-faktor tertentu. Biarpun dia mungkin lembam dan tidak terpelajar tetapi gerak kerja orang seperti Pak Su Cik Leh sudah dapat diduganya.
Boleh jadi, dia nampak Pak Long Lateh kena telan dengan ular sawa batik itu. Kerana takut, Pak Su Cik Leh buat cerita tentang nenek,
bisik Angah Soyah. Angah Soyah mencari-cari lagi kelibat Pak Su Cik Leh. Namun seperti tadinya, Pak Su Cik Leh seolaholah tidak pernah datang ke situ. Kewujudan Pak Su Cik Leh tadi, bagaikan hanya imaginasinya sematamata.
Mungkin dia dah balik kut
Mahu sahaja Angah Soyah melaungkan nama Pak Su Cik Leh tetapi Angah Soyah sedar, tindakannya itu hanya akan mengundang perasaan ingin tahu orang lain yang mungkin juga berada di tebing sungai itu. Lagipun rumah Tok Ngah Darus sudah tidak jauh. Angah Soyah meneruskan semula langkahnya yang terhenti. Tidak perlu dia memenatkan otaknya memikirkan tentang Pak Su Cik Leh lagi.