KUNANG PESISIR MORTEN - 8
Hujan lebat malam yang jatuh di atas bumbung zink rumah kami telah banyak menyelamatkan hari. Sedari kini masih berlangsung monsun, dingin beku dinihari memberi kami terik petang matahari dan masa panjang berniaga. Aku dan Dhiya kini telah membuat perusahaan kecil-kecilan. Peniaga tegar. Sangat menakjubkan kerana semuanya bertitik tolak daripada kemahuan membeli beberapa tiub warna asas akrilik Rowney.

Hari-hari berikutnya telah membuktikan kata-kata Muhammad Ali. Walaupun hari-hari berikutnya kami masih membuat kesilapan di dalam kira-kira modal dan pengeluaran bahan jual, perlahan-lahan kami menjadi peniaga lebih baik.

Dhiya sudah berjanji akan membayar balik pinjaman dalam masa terdekat. Kalau kau perasan, kami dengan sengaja menggunakan perkataanperkataan berjiwa besar seperti modal,

pengeluaran dan pinjaman supaya kami yang kecil ini dapat merasakan semangat peniaga mega.

Kami bertatih mengerti bahawa kuih-kuih perlu dijual pantas untuk memastikan kesegarannya. Juga perlu menjaga keseimbangan antara kualiti kuih dan penggunaan modal harian dengan konsisten supaya tidak terlebih pakai. Dan yang paling penting, jangan sesekali diguna modal pokok perniagaan untuk kepentingan lain walaupun terdesak kerana telah dibuktikan sejarah panjang bergulingnya peniaga Bumiputera. Menggunakannya hanya menyebabkan gulung tikar dan bencana.

Tetapi ini strategi kami yang paling penting. Penukaran corak pemasaran. Teori kami, perkampungan Cina di seberang sungai pasti mencari sesuatu yang enak dan luar biasa untuk minum petang seperti juga perkampungan Melayu di sebelah sini. Kami ada dua pilihan. Walaupun kedua resepi berasaskan udang, satu resepi pedas berjiwa Melayu dan dan satu lagi datang jauh daripada tanah besar China. Menukar tempat jualan langkah yang paling masuk akal.

Mulai dari itu, saban petang rembang kau melihat aku berniaga cucur udang yang masih panas di perkampungan seberang sungai dan Dhiya sendiri telah menjual popiah nyonya di Kampung Morten. Lim sendiri turut serta membuat kira-kira harian. Pada mulanya sukar untuk menjual sesuatu yang asing kepada dua bangsa ini. Mereka mudah melontar skeptikal hinggalah ada beberapa orang berfikiran terbuka sanggup mencuba dan merasa. Apa yang berlaku selepas itu adalah di luar duga. Masuk hari kelima perniagaan, permintaan membeli naik eksponential.

Nampaknya ibuku dan ibu Dhiya terpaksa masuk campur urusan yang tiba-tiba menjadi perniagaan keluarga. Kini kedua belah kampung bukan saja menunggu aku dan Dhiya menjaja kuih. Tetapi mula membuat tempahan berbakulbakul. Tidak kira untuk tempahan

malam Jumaat di surau sempena tazkirah dan bacaan Yaasin ataupun sekadar mesyuarat keluarga besar Hokkien Jalan Bunga Raya.

Tanpa kami sedari, kami mencipta asimilasi budaya, merapatkan jurang dua dunia dengan memberi sesuatu yang kembali pada asasnya. Keperluan perut dan rasa lidah mereka. Betapa aneh. Aku takjub bangga melihat Cina seberang sudah pandai mencicip rangup cucur udang dan penduduk Morten setiap sore menantikan Dhiya dan popiah nyonyanya di serambi rumah pukul empat petang.

Hari ini hari keramat buat peniaga cilik Morten. Genap hari kedua puluh, Dhiya berjaya membayar balik semua pinjaman kepadaku dan Lim dan mula menyimpan untuk warna akrilik Rowney. Mimpi indah di malam hari mula menjadi kenyataan.

***

Pantas kesibukan hari melekakan. Hari ini masuk hari kelima Dhiya menyimpan untuk Rowney. Walaupun tidak bermakna perniagaan ini laku konsisten setiap hari, kemajuannya tidak dapat disangkal sesiapa yang telah melihat usaha keras kami. Tanpa kami sedari, perjalanan kami pergi balik berniaga saban hari telah mendapat perhatian seorang misteri yang datang jauh dari Kampung Jawa (sekurang-kurangnya jauh dari pemerhatian kami yang masih anak-anak). Hakikat jika dikira dengan garis lurus, Kampung Jawa tidak sampai satu kilometer pun dari penempatan kami.

Terlupa aku untuk menceritakan sedikit latar belakang Kampung Jawa. Kampung ini bukanlah tempat asing buat kami. Jika menurut sejarahnya, penduduk awal Kampung Morten sendiri berasal dari tanah adat Kampung Jawa.

Malang sekali pada tahun 1922 kerajaan British yang berkuasa ketika itu membuat keputusan mendirikan pasar di tapak tanah adat. Menyebabkan mereka diarah berpindah dan sekaligus kehilangan penempatan buat selama-lamanya. Saat getir mereka diredakan apabila dua orang pembesar Melayu mengadakan perjumpaan dengan Residen Inggeris. Kau kenalinya di dalam ceritaku sebelum ini, F.J. Morten. Sebuah tempat yang tidak bernama di mana pesisiran sungainya dipenuhi buaya ganas dan hutan nipah dibeli daripada konglomerat Bumiputera bernama Encik Abdullah Maarof dan Pak Khalil untuk menempat semula perkampungan baru. Dua pembesar itu kau kenali sebagai Demang Datuk Haji Abdul Ghani dan Datuk Othman Mohd Noor, pengasas Kampung Morten sendiri. Dan hari ini, aku merasakan Kampung Jawa itu begitu jauh daripada kami. Aneh sekali.

Kampung Jawa menjadi pusat perniagaan mikro bagi orang Melayu khususnya. Walaupun rupa luarannya tidaklah sehebat rumah-rumah kedai tinggi peniaga Cina di Jalan Bunga Raya, hakikat suasananya lebih meriah kerana senarai kepelbagaian kedai-kedainya. Sekiranya kau lelah membeli-belah, tidak ada tempat lain di Melaka yang dapat menandingi sate dan cendolnya yang sangat terkenal sehingga kini. Jangan kau tanya apa lagi ada di sini. Ibuku pernah menyimpulkannya dengan satu ayat mudah. Katanya;

Mak bapak saja yang tak dijual di sini!

Susuk kecil. Kami memerhatikan tetamu misteri itu. Atas ke bawah. Budak itu, dia telah menunggu kami di jambatan sejak jam empat tadi. Tetapi kami harus berniaga dan meminta dia menunggu. Dan dia setia menunggu. Memberitahu kami umurnya sebelas tahun, sekaligus menjadikannya budak paling tua

antara kami. Sumpah kami tidak percaya. Badannya kecil merinding. Matanya sayu naif. Bagaimanapun, baju kemas berkolar dimasukkan ke dalam seluar itu dengan mudah memikat hati kami. Dia menghulurkan tangan halusnya dan menjabat erat. Kami pula menyambut dengan tangan terbuka.

Tam. Panggil aku Tam.

Aku melihat wajahnya dalam-dalam.

Tak pernah tengok pun kau Dari Kampung Hulu Tam menjawab dengan senyum lurus.

Kampung Jawa.

Dhiya mengerutkan dahi. Tidak ada penempatan Melayu lagi di situ. Kecuali

Tinggal di setinggan

Senyum lurus Tam bertukar mahu ketawa.

Taklah. Menyewa rumah kedai. Dengan bapa aku.

Satu perkara yang perlu dijelaskan, sejak perpindahan orang Melayu dari Kampung Jawa ke Kampung Morten, ini tidak menghalang yang tidak berkemampuan untuk menjadikan

Kampung Jawa sebagai penempatan. Mungkin mereka masih hidup di dalam penafian dan menganggap tanah adat itu masih hak mereka dan tiada peraturan kerajaan yang dapat menghalang. Justeru itu, tidak menghairankan jika di tahun 1980-an, kau akan menemui perumahan setinggan di Kampung Jawa.

Aku dengan kebodohanku mula riak. Aku berlagak mahu jadi gangster kawasan.

Tak tanya pun. Nak apa orang Kampung Jawa masuk sini

Lim menyiku tidak puas hati. Menjengil. Giliran dia menemuramah.

Tak payah risau. Aku pun orang luar. Kenapa kau tunggu kami

Tam berwajah lurus itu menggeleng kepalanya.

Tak ada apa yang penting. Macam ni. Heboh di Kampung Jawa budak kecil jual popiah nyonya halal. Mak cik yang berniaga di kedai makan tingkat bawah rumah aku pun ada dengar. Dia minta kau hantar. walaupun wajahnya naif, matanya dalam memandangku.

Kau pun boleh hantar sekali. Aku cuba menjual mahal.

Jauh tu! Kau ingat Kampung Jawa tu dekat

Bodoh. Pantang berniaga menolak permintaan pasaran. Tam masih memandang tepat dengan senyum Monalisa. Dengan tenang dia menjawab;

200 biji. Setiap hari.

Dhiya yang daripada tadi mendiamkan diri ternganga. Aku dan Lim juga.

Kau biar betul

Tam sudah siap sedia untuk pulang. Dia

menghulurkan kertas kecil.

Tak percaya, tanya tuan kedai sendiri. Ni alamat. Esok. Esok kau boleh mula hantar.

Tam, berpaling pada Dhiya. Memandang dalam-dalam dan pergi tanpa selamat tinggal. Dhiya tidak akan lupa wajahnya. Sepertimana kali pertama Dhiya melihatnya kali pertama. Inilah sebab mengapa Dhiya terkedu tidak dapat berkata apa-apa. Tam. Ada sesuatu tentang Tam. Dengan pesona misterius. Tam adalah budak Melayu misteri yang Dhiya lihat pada malam kami menonton opera Cina beberapa bulan yang lalu.

Sekali lagi Dhiya menoleh, Tam telah pergi tanpa nampak bayangnya.