Kala bersendirian di bilik, cuba untuk menyusun kembali perkataan-perkataan untuk dijadikan rangkaian ayat penulisan, saya terkenang kembali peristiwa disoal oleh seorang anak muda ketika berada di Dataran Merdeka suatu masa dahulu.
Ketika saat mahasiswa dan ramai lagi rakyat yang prihatin berkampung atas isu masing-masing; sama ada menuntut pendidikan percuma, mahupun hak mendiami ruang awam. Soalan yang diajukan itu benar-benar provokatif, namun akhirnya membuka kembali ruang pemikiran melalui persoalan yang sepatutnya sudah lama ditimbulkan; apakah sebenarnya yang sedang diperjuangkan mahasiswa
Benarkah mahasiswa yang sedang berjuang ini sedang menjadi mahasiswa yang mendepani isu, ataupun hanya cuba mencari populariti atau pengaruh untuk political mileage masing-masing.
Satu soalan yang benar-benar membuatkan kotak fikiran kembali menilai jalan-jalan yang diambil apabila ditanya; banyak mana yang kamu dan rakan-rakan tulis untuk bacaan mahasiswa lain Satu soalan yang membuatkan saya terdiam dan cuba untuk mencari jawapan supaya tidak mengecewakannya.
Saya hanya mampu menjawab; saya ada menyumbang tulisan di portal Merdeka Review seminggu sekali manakala rakanrakan lain pula ada menulis di blog dan portal lain; satu jawapan selamat namun tidak menggambarkan keseluruhan situasi sebenar. Apabila ditilik kembali, diri saya sendiri juga semakin kurang mengamalkan ritual wajib seorang mahasiswa; membaca dan tentu sekali, menulis.
Ini bukan tulisan apologetik, bukan juga untuk mengkambus kekhilafan tapi cukup sekadar jentikan kesedaran buat diri sendiri dan rakan-rakan lain. Isunya mungkin tampak kecil, namun yang kecil ini bakal mempengaruhi lebih banyak perkara ke hadapan.
Berhadapan dengan realiti bahawa semakin hari, mahasiswa semakin ke hadapan, namun titik hadapan itu juga makin kabur. Saya juga sering termenung sendiri bila cuba untuk merungkai kembali apa yang sedang dibuktikan oleh sekurang-kurangnya diri sendiri.
Kekerapan memberi ceramah dan ucapan di tengah khalayak masyarakat terutama di luar bandar menjadi persoalan dan kritikan. Namun, lebih penting dan jarang dipersoalkan sebenarnya ialah mengenai penulisan.
Soalan mengenai banyak mana mahasiswa yang menulis demi menyumbang kepada kecelikan mahasiswa lain tidak harus dipandang rendah. Ada pendapat mengatakan, kita berada dalam mode perang, tidak punya masa untuk menulis, sebaliknya perlu terus mara ke hadapan dan lawan.
Jika difikir kembali, pendapat itu mungkin ada sisi benarnya, namun ada kelemahannya. Mahasiswa dibina atas idealisme dan daya intelek. Senjata mahasiswa ialah hujah serta perdebatan ilimiah. Tidak cukup sekadar berdemo, namun mahasiswa juga perlu meraikan ilmu sebagai budaya dalam masyarakat baru - sekurang-kurangnya, dalam kalangan mahasiswa sendiri.
Teringat kembali sejarah Soe Hok Gie. Beliau demonstran tegar, namun yang membuatkan dirinya diburu bukan aksi beliau di jalan raya, sebaliknya idea yang disebar melalui penulisan di dada koran (akhbar). Begitu juga Chairil Anwar yang ditangkap dan diseksa tentera Jepun kerana puisi beliau, bukan kerana lain-lain perkara.
Saya teringat sahabat yang baru sahaja ditahan polis, saudara Khalid Ismath. Harus saya puji dan rakamkan rasa hormat atas setiap yang beliau lalui. Sosok yang saya kenali sebagai bukan sahaja demonstran tegar, sebaliknya penulis yang cukup provokatif dan memberi tenaga kepada rakan-rakan lain.
Akhirnya beliau ditangkap kerana tulisan beliau, bukan aksi di jalan raya. Sebelum itu beliau pernah disiasat mengikut
Akta Hasutan atas tulisan di blog dan ucapannya di pentas ceramah. Setiap yang berlaku itu membuktikan ada ruang bagi mahasiswa untuk menjadi ancaman sebenar kepada kerajaan, bukan hanya dengan berada di jalan raya, sebaliknya melalui idea pemikiran.
Seharusnya lebih ramai mahasiswa menulis dan menyebar idea mahupun kritikan atau hentaman ke atas bukan sahaja kerajaan, malah juga oposisi, sistem malah dasar negara. Jangan salah anggap. Saya juga seorang demonstran, dihukum dan digantung juga kerana berdemonstrasi.
Demonstrasi tetap jalan terbaik menzahirkan penentangan, namun haruslah disokong dengan idea dan penulisan supaya tidak lagi orang menggelar kita sekumpulan mahasiswa sewel yang gila berdemonstrasi tanpa sebab.
Mengapa penulisan
Bukankah mahasiswa hari ini turut mendominasi pentas ceramah Saya juga kerap ke luar bandar memberi ceramah. Ceramah ada keperluannya, apa lagi bila kita faham dan sedar bahawa masyarakat luar bandar lebih gemar mendengar daripada membaca. Ini realiti yang harus difahami.
Namun penulisan ada magisnya
tersendiri. Seperti yang dibangkitkan awalawal lagi, mahasiswa dibina atas idealisme dan daya intelek. Tidak ada cara lain untuk menilai daya tersebut melainkan melalui penulisan. Benar, bukan semua orang mampu menulis, malah bukan semua orang juga mahu membaca.
Harus disedari, apabila orang mempertikai logik menuntut pendidikan percuma dan kebebasan akademik, kita kekal dengan jawapan: Jika kita tidak mula memperjuangkan idea tersebut hari ini, sampai bila-bila pun tidak mungkin kita akan mendapat hasilnya.
Begitulah juga realiti dalam menulis. Walaupun kita tahu sukar budaya itu mendapat sambutan apabila sudah terbiasa dengan cara lain, namun jika tidak dimulakan langsung, ia akan terus terkubur. Biarpun kita tidak mampu menulis sebaik orang lain, usaha untuk menulis itu jauh lebih bernilai.
Jika hari ini mahasiswa mula mampu menyaingi sejarah yang dicipta oleh generasi terdahulu di zaman autonomi mahasiswa masih wujud, satu perkara yang menyukarkan generasi hari ini untuk membuktikan kekuatan sebenar, tidak lain hanyalah penilaian pemerhati dalam kalangan masyarakat terhadap daya berfikir kita.
Orang memuji keberanian kita berhadapan dengan autoriti dan penguasa. Masyarakat juga menghormati kekentalan dan semangat itu. Hampir setiap hari berita menyiarkan perihal ini, namun di sebalik itu, kritikan terhadap sejauh mana kita mengendong idea bersama dengan aksi, turut menjadi bahan perdebatan.
Sudah sampai masanya, setelah berpenat lelah dan bersakit-sakit di lapangan, kita kembali ke meja tulis dan membuktikan, kita bukan cuba menggamit perhatian media atau mencuri simpati masyarakat, sebaliknya ikhlas memperjuang idea dan isu berkaitan.Masa depan yang lebih cerah sedang menanti.
Harapan masyarakat terhadap mahasiswa yang berani tidak boleh dikhianati. Namun kita perlu berpijak pada realiti. Mahasiswa adalah demonstran yang istimewa, kerana di tangannya ada sepanduk, di dadanya ada ilmu. Masyarakat sudah melihat sepanduk, tiba masa masyarakat melihat pula ilmu yang ada di dada kita.
Ini kerana masih ramai yang kabur mengenai isu yang dibawa mahasiswamahasiswa berani ini. Masih ramai yang menanti penjelasan dan penyelesaian masalah sebenar. Kembali ke meja dan mula menulis tidak menjadikan kita penakut mahupun seorang yang berundur, sebaliknya kita semakin disegani.
Ingat, mata pena itu lebih tajam daripada pedang!