DIAGNOSIS2: PROGNOSIS - 8
DI SeBAlIK

KeSIBUKAN

POStING

SUrGerY

Dalam semua posting yang telah saya tempuhi, rasanya posting surgery ialah yang paling sibuk dan meriah. Ada masanya, hampir 17 jam masa dihabiskan di wad, kelas dan juga OT. Setiap masa penuh dengan pelbagai aktiviti sama ada melakukan prosedur, sesi diskusi bersama doktor dan rakan-rakan mahupun bersembang dan bergelak ketawa bagi merapatkan ukhwah.

Walaupun jiwa dan jasmani dalam keadaan penat, namun hati masih bersemangat untuk terus bekerja. Namun, ada juga masanya saya terbungkang sepanjang hari terutamanya di hujung minggu. Kerana itu, tidak banyak catatan yang sempat saya buat sewaktu posting ini.

Pada satu hari, saya ke Wad 3U kerana ingin follow up pesakit yang sempat saya menjadi assistant sewaktu pembedahan emergency open Appendicectomy disebabkan saluran apendiks beliau sudah pun pecah.

Dalam kekhusyukan saya meneliti folder, jururawat pelatih berlari ke kaunter memanggil jururawat kerana ada pesakit collapse sewaktu beliau menjalankan nursing procedure.

Ia turut menarik minat saya untuk melihat apa yang berlaku.

Ketika itu jururawat sedang memasang high flow mask (bekalan oksigen) apabila saya melihatkan skrin ECG menjadi flat (rata). Tiba-tiba badan saya terasa panas. Ada sesuatu yang tidak kena pada beliau.

Saya segera menjamah carotid artery untuk merasa denyutan tetapi tiada. Ternyata beliau dalam keadaan asystole apabila cardiac monitoring menunjukkan flat line. Doktor pula terpaksa menyelesaikan masalah pesakit yang turut tidak stabil di wad yang bersebelahan.

Melihatkan suasana sebegitu, saya segera melakukan CPR dengan harapan pesakit akan dapat bertahan sementara menunggu doktor sampai.

Nasib baik, saya pernah mengikut doktor di Jabatan Kecemasan menjalankan resusitasi. Setidak-tidaknya adalah beberapa management yang sempat saya aplikasikan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana ilham dan pertolongan yang diberikanNya kepada saya, maka pesakit mula kembali ke normal sinus rhythm selepas melakukan CPR sebanyak 2 pusingan. Doktor pula tiba tepat pada waktunya untuk menyambung rawatan buat pesakit dan saya bergegas ke wad pembedahan lelaki pula untuk mengintai prosedur yang boleh dilakukan. Di sana, ada lagi pengajaran yang ingin Allah tunjukkan pada saya.

Minda saya mula menyusun bicara untuk menggambarkan apa yang saya tempuhi itu. Dan pastinya saat itu turut memberikan keinsafan pada diri saya bahawa saya hanyalah insan kerdil. Tidak dinafikan bahawa apabila kita semakin merangkak naik ke kedudukan yang tinggi dari sebelumnya, maka akan ada perasaan riak yang mula bersarang di hati.

Kita akan mula menjadi ego dan terasa diri kita tahu segalagalanya. Akibatnya, kita kadang-kala menjadi sombong dan tidak ingin mendengar kata-kata orang yang berada di bawah saya.

Saya juga tidak terkecuali dari mengalami keadaan sedemikian. Mungkin, sebagai manusia yang lemah kita inginkan pengiktirafan yang sewajarnya dengan pencapaian kita. Nauzubillah! Jauhkan aku dari keburukan ini.

Melalui pemerhatian saya juga, ada doktor-doktor berpengalaman mahupun bakal-bakal doktor pakar yang menganggap diri mereka tahu segalanya hinggakan menafikan peranan pelajar perubatan.

Pernah saya mengalami situasi di mana ada doktor sebegini yang turut gagal mengambil riwayat penyakit yang betul dari pesakit dan membuat assesment yang silap. Apabila ditanya berkenaan assesment yang dibuat, maka dia akan beria-ia mempertahankannya. sedangkan pada hakikatnya, mereka tersilap.

Berkenaan kepentingan merendah hati dalam menuntut ilmu, Allah SWT telah menghantar seorang junior houseman sebagai satu tazkirah kepada saya akan pentingnya elemen ini diterapkan dalam diri setiap ilmuan islam.

Beliau meminta untuk observe saya memasang tiub CBD (tiub air kencing) kepada seorang pesakit. Terkelu juga saya pada awalnya memandangkan seorang yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari saya meminta untuk observe prosedur mudah yang dilakukan oleh pelajar perubatan yang serba tidak tahu.

Dengan penuh rendah hatinya, beliau berdiskusi dengan saya berkenaan prosedur tersebut. Subhanallah! Terharu saya dibuatnya.

Semoga beliau diberi kemudahan dalam menjalankan tugas sebagai profesional perubatan Muslim.

Ia mengingatkan saya pula akan satu situasi di wad mengenai perihal seorang HO wanita lepasan luar negara. Sewaktu saya sedang membaca folder pesakit, beliau merampasnya dari saya tanpa meminta keizinan terlebih dahulu. Mungkin beliau mempunyai tugasan penting namun sukarkah untuk menuturkan beberapa baris perkataan untuk meminta izin. Atau akan tercalarkah sebuah ego untuk memintanya dari seorang pelajar perubatan

Padahal sebelum ini, ramai sahaja MO yang boleh meminta izin untuk menggunakan folder pesakit dari saya sewaktu saya menggunakannya.

Bila difikirkan kembali, sebenarnya banyak ilmu yang kita perolehi dari orang-orang yang kononnya berkedudukan lebih rendah dari kita. Banyak benda yang saya tahu pada hari ini juga diajar oleh mereka.

Oleh yang demikian, tidak seharusnya kita berbangga dengan ilmu dan kemahiran yang diperolehi. Sentiasalah tawadduk dan merendah hati dalam menempuhi layar kehidupan ini. InsyaALLAH melaluinya, akan lebih banyak ilmu-ilmu Allah yang dapat kita kuasai.

DArI tIrAI DeWAN BeDAh

Saya begitu teruja sekali menempuhi posting surgery ini kerana memperolehi secebis pengalaman dari tirai dewan bedah. Walaupun saya pernah ke dewan bedah sebelum memasuki posting surgery, namun istimewanya kali ini ialah saya sendiri berpeluang untuk assist minor dan juga major operation.

Terlampau banyak pengalaman yang tidak mampu dinilai dengan wang ringgit. Setiap satu darinya pasti mempunyai pengajaran tersendiri yang berjaya mematangkan diri ini sepanjang bergelar pelajar perubatan

Sekiranya ditanya, apakah yang paling melecehkan, maka semestinya bagi saya ialah keperluan untuk scrubbing dan juga memastikan sterility sewaktu berada di dewan bedah. Kesemua ini adalah untuk mengurangkan cross infection kepada pesakit.

Seingat saya, ada tiga peristiwa lucu dan memeritkan akibat dimarah berkenaan dengan scrubbing dan sterility ini.

Pertamanya, saya terpaksa menukar glove kerana sebaik sahaja masuk ke bilik bedah, saya telah membetulkan cermin mata menggunakan tangan. Ini kerana, face mask dan muka merupakan kawasan yang dikira sebagai contaminated. Keduanya, saya tersilap meletakkan glove bersama dengan kertas pembungkusnya di atas trolley sterile yang ditempatkan surgical gown. Akibatnya, saya dan doktor yang sudah pun selesai memakai pakaian OT dan surgical glove terpaksa menanggalkan segala-galanya dan scrub untuk kali kedua.

Saya tahu, doktor sedikit kecewa dengan apa yang berlaku. Cuma ia tidak diterjemahkan dengan jelas.

Peristiwa ketiga ialah sewaktu saya pulang dari bercuti. Biarpun baru 5 hari tidak scrub, saya telah terlupa cara untuk memakai surgical gown. Akibatnya, gown yang saya pakai adalah terbalik dan tidak dapat digunakan.

Dalam sesuatu pembedahan, koordinasi dan komunikasi antara surgeon, assistant surgeon dan scrub nurse juga sangat penting bagi memastikan kelancaran sesuatu pembedahan.

Pengalaman menjadi assistant surgeon untuk 9 pembedahan yang berbeza sewaktu di tahun 4 dan lebih kurang lima pembedahan lagi sewaktu di posting lain dalam tahun 5 sungguh-sungguh memberikan pengalaman yang berlainan kepada saya.

Terus terang saya katakan, ada masanya saya berasa sangat seronok kerana berpeluang bekerja dengan surgeon yang tidak skema dan banyak mengajar.

Ada masanya juga saya berasa sangat stres kerana bekerja dengan surgeon yang rigid. Manakan tidak, saya tidak bebas untuk bergerak, hanya berdiri seperti tunggul kayu dan maintain surgical field.

Ada juga surgeon yang begitu pantas sewaktu operasi hinggakan sukar untuk saya mengejar kelajuan beliau.

Ada surgeon yang mampu melakukan pembedahan dengan diiringi muzik atau lawak jenaka dan ada juga surgeon yang memerlukan konsentrasi yang tinggi dan tidak ingin diganggu sewaktu operasi.

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah kerana setiap pembedahan berjaya mencapai matlamatnya.

Paling penting, saya juga dididik bahawa pembedahan itu bukan perkara main-main. Ada masanya pesakit perlu dibedah dengan segera dan ada masanya pula mereka perlu distabilkan terlebih dahulu.

Sewaktu saya mengikuti satu on-call, kami turun ke casualty untuk melihat pesakit. Seorang pesakit tua mengalami masalah kebocoran usus dan perlu dibedah dengan kadar yang segera.

Malangnya dia ketika itu berada dalam keadaan dehidrasi yang teruk dan tenat. Oleh yang demikian, cecair dimasukkan ke dalam pembuluh darah untuk membetulkan keadaan itu. Selain itu, pesakit juga diberi ubat antibiotik dan penahan sakit sambil diselia dengan ketat.

Petang esoknya keadaan beliau stabil dan doktor menjalankan pembedahan exploratory laparatomy and proceed iaitu membuat hirisan memanjang pada bahagian tengah perut dan seterusnya mencari punca masalah yang membawa kepada kesakitan perut pesakit. Mungkin inilah yang dikatakan oleh doktor sebagai;

A good surgeon knows how to cut but a better surgeon knows when not to cut

Saya turut sama menjadi assistant pembedahan tersebut yang dijalankan oleh seorang registrar wanita. Rupa-rupanya jejunum lelaki tersebut bocor dan kami menjalankan prosedur yang dinamakan sebagai partial right hemicolectomy dengan membuang sebahagian besar usus besar pesakit tersebut.

Selain itu, saya juga membantu doktor dalam pembedahan seperti hernioplasty (membaiki masalah hernia) , repairing of perforated gastric ulcer (masalah dimana salur perut bocor dan perlu dibaiki), appendicectomy, bowel resection (memotong salur usus) serta removal of lump and bumps (membuang benjolan) seperti fibroadenoma (ketulan pada buah dada) dan lipoma.

Malah, masa yang ada juga digunakan untuk memerhatikan surgeon melakukan pembedahan major seperti membuang spleen, pembedahan membuang kelenjar tiroid, pembedahan membuang esofagus yang terkena kanser dan juga bowel resection kesan dari komplikasi cacing Ascaris Lumbricoides.

Saya berasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk melihat dan bekerja dengan surgeon-surgeon yang hebat belaka. Negara kita bertuah kerana mempunyai insan-insan seperti mereka.

Melihatkan prestasi surgeon kita, ada kalanya saya merasa pelik apabila orang-orang kaya atau berkedudukan lebih rela mendapatkan rawatan di luar negara. Tidak cukup hebatkah doktor kita sehingga mereka lari ke negara lain yang semestinya menelan belanja yang lebih besar

Ataupun, mungkin juga difikiran mereka telah tertanam satu dogma bahawa pakar bedah di Malaysia hanyalah untuk rakyat miskin

eSChArOtOMY

BerSAMA

teAM PlAStIC SUrGerY

Apabila disebut tentang plastic surgery atau pembedahan plastik, saya teringatkan kisah Allayarham Mikail Jackson yang pada suatu masa dahulu gemar membuat pembedahan plastik bagi mencantikkan wajah. Kisah artis-artis Hollywood lain yang sanggup menghabiskan puluhan ribu wang demi mengubah pelbagai bahagian tubuh terutamanya bagi membesarkan payudara turut memenuhi ruang minda ini.

Itu sahajakan peranan plastic surgeon ini

Dalam posting surgery ini, setiap minggu kami didedahkan dengan subspecialty surgery iaitu plastic surgery. Setiap minggu, akan ada seminar mengenai asas-asas pembedahan plastik.

Rupa-rupanya, peranan mereka cukup luas dan dibahagikan kepada dua cabang utama iaitu reconstructive dan aesthetic. Reconstructive adalah membaik pulih bahagian tubuh yang rosak akibat penyakit dan aesthetic adalah untuk tujuan kecantikan.

Ketika tiba giliran saya menyampaikan seminar bertajuk Principles of Wound Dressing, sempat saya tunjukkan gambar mangsa bomb blast injury yang sempat saya temui di A&E.

Saya tersilap langkah apabila mengatakan bahawa, pesakit ini sepatutnya diuruskan oleh pasukan lain terlebih dahulu seperti ortopedik kerana tidak banyak yang boleh dilakukan oleh team plastic. Yang paling penting ialah menyelamatkan nyawa terlebih dahulu dan bukannya wajah.

Kesilapan saya ini segera dibetulkan oleh pakar bedah plastik USM yang cukup berpengalaman. Menurut beliau, mangsa blast injury mengalami kebakaran yang teruk. Jika tidak dirawat awal-awal, akan menyebabkan kematian.

Sewaktu itu, saya hanya menganggukkan kepala sahaja tapi masih belum-belum faham. Walaupun saya sendiri mengikuti pembedahan mangsa bom ikan tersebut. Kata-kata beliau hanya dapat saya fahami sewaktu saya dan seorang rakan ke casualty bagi menimba ilmu, kami dihidangkan dengan mangsa kebakaran yang mengalami kecedaran Circumferential full thickness injury pada kedua belah tangan dan kakinya.

Kecederaan ini dianggap sebagai kecemasan kerana kulit yang terbakar sudah bertukar menjadi lapisan yang dipanggil sebagai eschar.Eschar ini tidak mampu mengembang ataupun mengempis sama seperti peranan kulit yang normal. Oleh yang demikian, ia tidak mampu untuk menahan tisu yang mengembang dan akan menyebabkan compression pada salur pembuluh darah dan akhirnya boleh menyebabkan tangan mangsa dipotong.

Untuk memahami apa yang saya katakan ini, analoginya cukup mudah iaitu seperti anda mengepam tiub di dalam sebuah botol plastik keras dan bukannya tayar yang boleh mengembang.

Itulah yang terjadi apabila eschar terbentuk.

Oleh yang demikian, kami ke bilik OT dan saya bersama rakan saya itu turut scrub inbersama seorang pakar bedah plastik dan dua orang pelajar jurusan master.

Dalam bilik OT, sebelum melakukan escharotomy, kami membersihkan kulit yang terbakar terlebih dahulu. Lapisan kulit luar yang mati, kami buang seumpama membuang kulit ubi keledek sehinggalah isi dalam kelihatan dan kemerah-merahan.

Selepas itu, dua hirisan memanjang dibuat dari siku ke tangan dan juga di setiap jari. Perkara yang sama juga dibuat pada kaki. Hirisin ini hanya dibuat untuk sementara. Selesai hirisan dibuat, tangan pesakit tersebut akan dibalut untuk dua hari.

Selepas dua hari, ia akan dicuci dan seterusnya luka akan dibersihkan sehinggalah ia betul-betul sembuh. Selepas itu, pesakit akan menjalani satu lagi pembedahan yang dinamakan skin graft di mana kulit yang didermakan akan ditampal bagi menggantikan kulit yang rosak itu.