DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 8
Pesakit #1

Pakcik ni dah aku kenal sejak aku mula buka klinik dulu. Dia ada syarikat bas sendiri, membawa budak-budak sekolah. Isterinya berniaga ikan dan sayur di pasar. Pakcik ni ada kencing manis. Memang setiap kali aku check gula dia, tak pernahnya kurang daripada 15. Biasanya 20 lebih. Orang normal sepatutnya tak lebih 7. Setiap kali datang, aku nasihat dia tentang makan ubat, jaga pemakanan, jangan percaya sangat dengan ubat-ubat kampung, jaga mata, jaga kaki dan sebagainya. Aku memang dah puas dan berbuih mulut aku nasihatkan dia tetapi dia macam tu juga. Rasa nak makan ubat; dia makan, rasa nak check gula; dia datang check. Kalau aku beri ubat untuk sebulan, 3 bulan pun dia tak boleh habiskan. Itulah masalahnya.

4 minggu lepas dia datang ke klinik dengan kudis kecil di kaki. Kakinya bengkak dan kemerahan. Gula dia 20 lebih masa tu. Aku pesan kat dia, kalau dalam dua hari takda perubahan kena ke hospital untuk rawatan lanjut. Selang 2 minggu baru dia ke hospital. Masa tu 2 jari kakinya dah bertukar jadi hitam. Doktor hospital kerajaan nak potong dua jari kakinya. Dia dah sain tanda setuju tetapi di saat akhir, dia minta tangguh. Ada anaknya memujuk dia untuk berubat cara kampung.

Lepas seminggu, bukan setakat 2 jari jadi hitam. seluruh kaki kirinya dah jadi hitam. Entah macam mana dia boleh berakhir di hospital swasta dan tanpa bertangguh doktor dah potong kaki kirinya paras lutut. Kosnya 10 ribu termasuk rawatan di bilik ICU semalaman dan masuk darah 2 pint.

3 hari lepas pembedahan, dia datang ke klinik aku. Aku memang terkejut dengan keadaannya. Dia masih pucat, semakin kurus dan hilang sebelah kaki. Aku kecewa juga kerana akhirnya apa yang aku takutkan menjadi kenyataan. Doktor pesan kat dia, selepas enam bulan baru boleh buat kaki palsu. Sememangnya tiadalah harapan untuk memandu bas semula atau membantu isterinya berniaga di pasar.

Apa salah aku dan di mana silapnya Adakah penerangan aku tidak cukup Adakah aku cukup berusaha supaya dia menjaga kesihatannya Sesungguhnya aku hanya berusaha. Sememangnya sukar untuk merubah pemikiran seseorang. Apatah lagi orang-orang tua yang merasakan dirinya lebih pandai daripada doktor yang usianya lebih muda. Apa yang kita nasihat langsung tidak didengar. Maka inilah kesudahannya.

Pesakit #2

Pesakit ni umurnya sebaya dengan aku. Hidupnya berjaya kerana dia maju dalam pelbagai bisnes. Dia ada dua stesen minyak dan dia mengaku pendapatan bulanannya mencecah 30K. Dia juga menghidap kencing manis. Tahap kolesterolnya dua kali ganda normal. Gulanya juga lebih daripada 10. Setiap kali datang klinik aku, masalah sama yang aku dengar. Cepat keletihan, sakit kepala, kebas-kebas tangan dan asyik kencing je.

Dia ni pun sama. Aku nasihat jagalah kesihatan. Makanlah ubat selalu. Dia memang rajin makan ubat. Ubat untuk sebulan, dua minggu dia habiskan. Lepas tu berbulan-bulan dia tak makan ubat. Bila dah ada tanda-tanda gula naik mendadak, barulah dia ingat nak datang klinik. Dia suka sangat minum air yang bergas. Exercise jauh sekali. Bila aku cadangkan, belilah mesin treadmill untuk senaman di rumah dia terus nak pergi beli. Aku cakap setakat beli je nak buat apa Kenalah cari masa setiap hari untuk gunakannya. Aku juga yang risaukan dia.

Pesakit #3

Pesakit ni berumur 57 tahun. Setiap bulan dia datang klinik aku untuk ambil bekalan ubat darah tingginya. Tekanan darahnya memang terkawal dan dia sangat patuh pada nasihat aku. Setiap kali datang, aku macam syak dia ni ada penyakit yang lain tetapi bila aku tanya semuanya OK. Jadi aku nak buat apa

Semalam dia datang dengan kakaknya. Dia mengadu tak boleh tidur kerana sakit pada payudara kirinya. Bila aku check, payudara kirinya dah keras seperti batu. Kelenjar di ketiak kirinya juga dah bengkak. Terus terang aku cakap, ini kanser. Dia cakap baru seminggu tetapi aku rasa dah lebih daripada itu. Dah lebih setahun dia berulang-alik ke klinik dan aku langsung tak mengambil tahu tentang hal itu.

Aku risau kansernya itu dah di tahap kritikal. Aku takut dah terlambat untuk diubati. Betul tekaan aku. Suami dia informed aku bahawa memang isterinya confirmed kanser. Doktor kata dah tak boleh nak operate sebab dah merebak ke tisu-tisu sekitar. Kena buat Radiotherapy dan Chemo dulu sebelum boleh operate.

Alahai.

Pesakit #4

Pesakit ini pula baru berumur 45 tahun. Tapi ini kali pertama dia datang ke klinik aku. Dia ada tiga anak lelaki. Yang sulung dah bekerja di Singapura manakala dua lagi masih belajar. Menurut suaminya, dia ada penyakit darah tinggi tetapi langsung tak nak makan ubat. Dia bangun pagi dengan keadaan lemah sebelah badan. Dia langsung tidak dapat menggerakkan kaki dan tangan kirinya. Tekanan darahnya 200/120. Aku tak dapat berbuat apaapa kecuali menasihatkan suaminya supaya membawanya ke hospital.

Apa yang aku alami minggu lepas sedikit sebanyak mengganggu fikiran aku kerana sebagai doktor, aku dianggap gagal menjalankan tanggungjawab aku. Tapi pesakit-pesakit berikut berjaya mengubati sedikit kedukaan aku.

Pesakit #5

Lelaki ini berusia sekitar 30-an. Dia bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dia orang Sabah dan dia kata dia takut nak ke hospital. Dia datang ke klinik aku kerana sakit bisul di ketiak kirinya. Seminggu dia simpan dan berubat secara tradisional mengikut petua orang-orang kampungnya. Masa dia datang ke klinik, dia jalan seperti robot. Dia langsung tidak dapat menggerakkan tangan kirinya kerana bisulnya dah besar sangat.

Aku berjaya pujuk dia untuk satu pembedahan kecil. Kira-kira 50ml nanah dan darah kotor berjaya aku keluarkan. Yang aku seronok sangat adalah kalau masa datang jalan seperti robot, dia dah boleh jalan berlenggang bila balik. Aku dapat lihat kelegaan di mukanya bila nanah tu dah keluar.

Pesakit #6

Pesakit ini berumur 65 tahun. Dia ada kencing manis sejak 30 tahun yang lalu. Kira-kira 5 tahun lepas aku selalu buat dressing untuk kudis dikakinya dan dia kata kerana akulah, luka dia tu sembuh. Semenjak bulan 12 tahun lepas, dia datang ke klinik aku selang sehari untuk dressing kudisnya yang lain. Lukanya memang sangat besar selepas pembedahan di hospital swasta. Aku jaga lukanya daripada sebesar pandang bola sepak sampailah sebesar pintu gol. Selepas pembedahan kali kedua untuk tampal kulit baru, dia masih juga datang ke klinik aku untuk dressing.

Lukanya semakin sembuh sekarang. Rasanya sebulan lagi, dia dah tak perlu nak buat dressing lagi. Dia kata dia pernah pergi ke klinik lain untuk dressing tetapi di klinik lain, bukan doktor yang buat tapi staf klinik yang buat. Buat lebih kurang lepas tu balut. Walaupun kat klinik aku, aku pun buat lebih kurang juga tetapi doktor yang buat. Dia kata itu bezanya.