Dua patah perkataan itu cukup untuk membuat hati Imran tersentap. Sekelip mata senyuman yang bermain di bibir Imran hilang. Bibirnya pucat. Terketar-ketar dia cuba menyusun kata.
Apa maksud Hani
Kita putuskan pertunangan kita.
Tapi kenapa Hani Lagi enam bulan majlis kahwin kita. Persiapan pun emak dan Ayah Im dah buat sikit-sikit.
Hani penat dengan kesibukan Im. Nak jumpa susah, telefon pun jarang-jarang. Hani meluahkan kekecewaannya.
Imran terpana. Dia tidak menyangka sejauh itu yang Hani rasakan. Bukankah Hani sudah sedia maklum dengan kesibukannya Sudah bertahun-tahun mereka kenal, sejak mereka di bangku sekolah menengah lagi.
Hani tahu kan yang kerja Im memang sibuk. Im bukan sengaja nak abaikan Hani. Imran cuba memujuk Hani.
Sebelum ini Imran ada mendengar desas-desus Hani rapat dengan teman sekerjanya. Itu yang rakan-rakan sampaikan. Imran menepis tuduhan mereka yang mengatakan Hani sudah berpaling arah daripadanya. Imran percaya dengan Hani kerana Hani tunangnya, mereka sudah lama kenal.
Dulu Hani ingatkan waktu belajar je Im sibuk. Rupanya waktu kerja lagi sibuk.
Imran terdiam. Dia benar-benar tidak menyangka Hani akan membangkitkan perkara itu. Dia sangka Hani boleh menerima kerjayanya.
Kalau kita dah kahwin nanti pun, apa gunanya Hani selalu kena tinggal dengan Im. Perit hati Imran mendengarnya.
Sampai hati Hani buat Im macam ni. Luah Imran dengan penuh kesedihan.
Sorry Im, better we separate now than divorce after we get married. Bersama ayat itu, Imran tahu hati Hani tiada lagi padanya.
Imran termenung. Kertas putih di depannya dipandang kosong.
Doktor, kenapa doktor termenung Suara halus yang menegur membuatkan Imran tersentak.
Imran buat-buat senyum. Madi dah okey Sesak nafas lagi
Madi senyum riang. Tadi memang rasa susah betul nak nafas.
Lepas doktor bagi gas magik, Madi dah okey.
Imran tergelak. Gas magik. Itu gelaran Madi pada nebulizer salbutamol yang diberikan setiap kali Madi datang ke jabatan kecemasan dengan aduan sesak nafas.
Sebulan atau dua bulan sekali wajah itu menjadi pengunjung tetap tempat kerja Imran. Sudah hampir dua tahun Imran mengenali Madi.
Madi datang dengan siapa hari ni
Madi memandang ke arah lain. Dengan emaklah, siapa lagi.
Imran terharu. Madi berusia 10 tahun tetapi dia kelihatan matang daripada usianya. Madi pernah bercerita dengan Imran perihal bapanya yang garang dan kerap kali memarahinya. Kata Madi lagi, bapanya sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Malah emak Madi selalu dipukul oleh bapanya yang berada di bawah pengaruh arak.
Ada Imran cuba-cuba bertanya dengan emak Madi apa yang terjadi apabila melihat perempuan itu muncul menghantar Madi dengan lebam di mata kanannya. Tetapi dijawab dia terjatuh. Imran tahu jelas bahawa lebam itu akibat dipukul, bukannya terjatuh. Namun Imran tidak berupaya mencungkil apa-apa maklumat yang lain kerana emak Madi terlalu senyap. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Kadang-kadang tiada jawapan langsung. Madi yang lebih petah berbicara.
Emak mana Imran meninjau keliling, mencari emak Madi.
Ada kat luar. Emak susah hati kalau duduk dalam ni dengan Madi.
Imran mengerutkan dahi. Kenapa pula
Emak susah hati sebab doktor suka tanya macam-macam dengan emak Madi. Imran tersenyum nipis.
Lagipun emak kata Madi dah besar, kena berdikari.
Ubat ada lagi Madi
Ada.
Okey, Madi boleh balik. Macam biasa, nanti pergi temu janji dengan doktor kat klinik. Imran menghulurkan slip ubat dan sehelai surat untuk dibawa ke klinik.
Doktor jangan sedih-sedih. Dunia belum berakhir.
Spontan Imran tergelak. Madi kalau bercakap, kalah orang dewasa. Dia melambai Madi yang melangkah keluar dari jabatan kecemasan.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Belum reda dengan kesedihan putus tunang, Imran menerima satu lagi berita yang meremukkan hatinya.
Permohonan untuk melanjutkan pelajaran dalam program sarjana perubatan kecemasan tidak berjaya. Imran tidak tahu di mana silapnya. Dirasakannya resume miliknya sudah cukup kuat.
Ramai pemohon yang hebat-hebat kali ni. Cuba lagi tahun depan Imran, jangan putus asa. Dr. Fazli, boss yang baik hati memberi kata-kata semangat untuk memujuk hati Imran yang tercalar dengan kegagalannya.
Imran cuma diam. Dengan sahabat baiknya dia berkongsi masalah.
Kenapa aku tak bernasib baik, Bad Putus tunang. Gagal masuk Master. Luah Imran. Badrul sahabat baik sejak di fakulti perubatan, menyebabkan dia tidak segan-silu untuk berkongsi perasaannya.
Rileks la bro. Ini semua ujian.
Tuhan tak akan menguji kita dengan sesuatu yang tak mampu kita tempuhi.
Aku tak tahu pulak kau dah tukar profesion jadi ustaz. Imran senyum nipis. Terasa ringan beban dapat mengeluarkan apa yang terpendam kepada seseorang. Walaupun kesedihan itu masih ada.
Badrul memang sahabat yang baik.
Imran menyibukkan diri dengan kerja-kerja untuk melupakan apa yang telah terjadi.
Dia berjumpa lagi Madi dua minggu kemudian.
Doktor, kenapa nampak sedih ni
Imran tersentak. Macam mana Madi tahu dia masih bersedih. Adakah ketara benar di wajahnya hingga anak kecil ini dapat menangkap isi hatinya
Mana ada doktor sedih Nafi Imran.
Tak payah sedih-sedih, doktor. Doktor ada kerja bagus, boleh tolong orang. Muka doktor hensem, doktor tinggi. Mesti ramai perempuan suka doktor.
Hahahaha.... Imran tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa mendengar pujian-pujian Madi yang melambung terhadap dirinya. Kedengaran begitu tulus. Jujur seorang budak. Madi pun hensem apa. Imran mengusik Madi.
Doktor ada semuanya.
Madi pun ada semuanya, balas Imran.
Madi tahu. Madi ada emak. Walaupun ayah Madi asyik marahmarah, tapi mak Madi sayangkan Madi. Madi sayang mak.
Doktor sihat. Doktor tak sakit macam Madi. Bila Madi susah nak nafas, Madi rasa macam nak mati. Madi lega sangat bila dapat gas.
Imran ingin memeluk Madi erat-erat. Kata-kata Madi seperti air hujan yang menyirami gurun yang tandus. Dia rasa tenang dan dapat merelakan kesedihannya berlalu.
Madi begitu tabah. Apalah sangat nasib aku yang putus tunang dan gagal masuk Master berbanding dengan nasib Madi. Imran bermonolog.
Hari ini Madi rancak berbicara. Dia seperti tidak mahu berhenti bercakap.
Sebelum pulang, Madi memegang tangan Imran. Dia menyalami Imran dan mencium tangannya. Kemudian Madi pegang tangan Imran kuat-kuat, seakan-akan tak mahu lepaskan.
Doktor ingat pesan Madi. Dunia belum berakhir. Jangan sedihsedih. Ayat kegemaran Madi.
Imran hampir-hampir terlupa akan Madi sehinggalah sewaktu dia melangkah masuk ke dalam jabatan kecemasan untuk memulakan kerja syif petang.
Adrenaline 1 mg given. Suara MA Hakimi lantang. SN Mazura mencatat pada kertas pemerhatian ubat yang baru diberikan.
MA Juraimi sedang menekan-nekan dada budak lelaki yang terbaring. Razak, rakan sejawat Imran yang bekerja syif pagi sedang memicit bag valve mask.
Kes apa tanya Imran selepas meletakkan begnya di dalam bilik rehat.
Ten year old boy, kata emaknya ada asma. Brought in with no sign of life.
Imran mengecilkan mata memandang pesakit yang terbaring. Denyutan jantungnya bertambah deras. Macam kenal
Berderau darah Imran sebaik saja dia pasti dengan apa yang dilihatnya.
Madi
Apa yang telah terjadi
Imran mengambil alih tugas melakukan chest compression daripada MA Juraimi.
Dua puluh minit berlalu sejak Imran masuk kerja.
Razak mahu menghentikan usaha penyelamatan. Imran terkedu.
Cubalah lagi. Suara Imran separuh berbisik.
Bro, already more than half an hour. Kat rumah tak tahu berapa lama dia dah collapse. Razak memegang bahu Imran.
Imran melangkah lemah, keluar dari zon resus, keluar dari jabatan. Mahu menyedut udara segar di luar, menenangkan jiwa yang merusuh. Hati yang gundah. Imran memejamkan mata. Sakitnya kehidupan.
Doktor, macam mana dengan Madi
Imran mencelikkan mata. Emak Madi berdiri di hadapan dengan pandangan penuh mengharap.
Apa jadi tadi Puan Apa yang dah berlaku Imran pulangkan soalan dengan soalan.
Ayah Madi balik marah-marah, pukul saya sampai pengsan. Buat pertama kali, emak Madi bercakap panjang-lebar. Diiringi sedu-sedan.
Bila saya sedar, saya cari Madi. Saya nampak dia atas lantai ruang tamu, tak sedarkan diri. Ayahnya dah tertidur sebab mabuk teruk.
Imran mendengar dengan hati yang pedih. Mungkin Madi sesak nafas hingga tak dapat berkata apa-apa. Sesak nafas hingga membawa maut.
Inhaler dia ada dalam bilik. Barangkali dia sesak nafas tapi tak dapat cari mana inhaler dia. Emak Madi semakin teresak-esak menangis.
Saya bawa dia ke sini. Tapi saya tak tahu dia hidup lagi ke tak.
Sekonyong-konyong, ayat kegemaran Madi menerpa dalam ingatan.
Jangan sedih-sedih doktor, dunia belum berakhir.