DOC & ROLL - 8
Dalam perjalanan karier saya, terlalu banyak saya merantau. Merantau untuk mempelajari sesuatu yang baru sama ada dalam aspek perubatan mahupun kemanusiaan. Daripada peringkat awal kerjaya di Kuching, melanjutkan pelajaran ke Hong Kong, menjalankan penempatan klinikal di negara-negara barat, kerjakerja komuniti di negara-negara bergolak hinggalah kepada menghadiri perbincangan-perbincangan saintifik di segenap pelosok dunia.

Saya kerap teringat akan puisi Imam Syafie berkaitan air yang boleh menjadi keruh jika dibiarkan bertakung tetapi jernih bila dibiarkan mengalir. Samalah seperti kita manusia. Diberikan sifat ingin tahu dan akal untuk berfikir.

Adakalanya ada juga sesetengah permusafiran jauh yang boleh mendekatkan diri kita dengan-Nya dan ada juga yang mungkin boleh mengubah sedikit hala tuju kehidupan.

Whoever follows a path in pursuit of knowledge, Allah makes his way easy to paradise (Bukhari).

*********************

Rasa bersalah kepada keluarga

Bagi seorang ayah seperti saya, memang ada rasa bersalah terutama kepada anak-anak. Tapi sering dikuatkan semangat untuk pergi juga dengan niat menimba ilmu.

Saya juga sebenarnya jarang bawa anak-anak atau isteri bersama kerana banyak faktor yang perlu difikirkan seperti jadual sekolah dan isteri yang juga bekerja. Seperti biasa banyak persoalan anak-anak bila mereka melihat saya mengemas baju dan peralatan-peralatan keperluan sebelum berangkat ke manamana.

Anak perempuan saya yang paling beremosi. Zaira Maryam anak nombor dua, sama seperti saya dan isteri saya juga. Selalu meluahkan rasa sedih dan ekspresinya kadang-kadang mengalahkan artis.

Tapi memang begitulah, sedih bila difikirkan terutamanya bila anak-anak meluahkan kata-kata yang boleh membuatkan kita berada dalam dilema. Beginilah realiti yang perlu dihadapi oleh ibu bapa yang bekerja pada zaman sekarang.

Zaira: Papa kena pergi jauh lagi

Saya: Ya Zaira, papa kena kerja untuk kita semua dan budakbudak kecil yang sakit.

Zariff: Jauh ke papa Berapa jam

Saya: Jauh sangat. 12 jam papa kena duduk dalam kapal terbang.

Zaim: Ada kedai mainan ke papa

Saya: Ada. Nanti papa belikan okey.

Zaira: Macam mana papa nak makan nanti

Saya: Eh, papa boleh masak kan

Zariff: Masa papa tak ada, Zariff jadi ketua kan

Saya: Zariff kena tengok mommy, Zaira dan Zaim okey.

Sesi soal jawab rutin seorang ayah dengan anak-anak sebelum berangkat. Tapi yang paling sedih semestinya pesanan untuk isteri sebelum melangkah masuk ke balai berlepas.

Awak, saya pergi dulu ya. Jangan tinggal solat, jaga makan dan tengokkan budak-budak ya.

*********************

Korea Selatan dan cerita seram

Ada suatu ketika saya melakukan kembara ke sebelah timur, negara Korea Selatan untuk bersama-sama pelajar saya yang menjalankan program pertukaran pelajar ke Chonbuk University pada musim sejuk awal tahun 2016. Perjalanannya sangat memenatkan. Enam jam di atas kapal terbang, 5 jam berada di lapangan terbang Incheon untuk menunggu bas dan kemudian perlu mengambil bas selama 5 jam lagi untuk ke Chonbuk University. Jadi bayangkanlah keluar rumah seawal 4.30 pagi dan tiba di kampus penginapan pukul 12 tengah malam.

Waktu itu saya bertemankan buku Lelaki Terkahir Menangis di Bumi tulisan sahabat saya, Musa Nuwayri yang lebih hebat pengalaman pengembaraan beliau di bumi Jordan. Semoga sentiasa dipermudahkan urusan beliau di sana.

Nasib baik juga saya disambut oleh seorang pelajar perempuan tempatan yang petah berbahasa Inggeris, jadi adalah rakan berborak semasa menaiki bas selama 5 jam. Topik perbualan pada mulanya lebih kepada perbezaan budaya dan sistem akademik di negara masing-masing tapi lama-kelamaan menjadi topik yang lebih kasual.

Malaysians love K-POP and Korean movies, ujar saya cuba mengambil hatinya.

Oh seriously What Korean movie have you watched

Saya pun tidak pasti kenapa tiba-tiba boleh pula terkeluar nama filem ini, Ju-On.

Aduh! Terus saya teringat wajah budak lelaki kecil yang selalu menyorok di bawah meja, almari dan katil itu. Dengan wajah pucatnya, rambut hitam lurus yang pendek, mata yang suram dikelilingi bayang gelap sambil tangan menunjuk ke arah mangsanya. Habis!

Sejurus sampai pada tengah malam tersebut saya diberikan bilik di blok pelawat. Yang saya pasti, blok 3 tingkat tersebut seolaholah kosong. Mungkin kerana tidak berpenghuni kerana sedang cuti semester ataupun majoriti penghuninya telah tidur.

I think youll be the only guest staying in this block. Its all yours. kata pelajar tersebut sambil tersenyum.

Setelah dia memberikan taklimat tentang aktiviti esok dan memberikan saya nombor laluan pintu masuk utama blok, dia pun beredar. Saya perhatikan dia berjalan seorang diri menyusuri laluan pejalan kaki di tengah-tengah kepekatan malam bertemankan angin musim sejuk Korea. Di dalam kepala, saya cuba sedaya upaya untuk melupakan kisah Ju-On dengan lebih memikirkan cerita Winter Sonata.

Tiba di bilik, saya lihat langsir jendela terbuka, sebab masih teringatkan cerita Ju-On saya pun cepat-cepat menutup langsir. Tapi sempatlah pula anak mata saya melihat keluar jendela. Nasib tidak ada apa-apa, cuma angin bertiup kuat menggoyangkan dahan-dahan pokok di sebalik malam yang gelap.

Saya mengambil wuduk. Sejadah saya bentangkan di tepi katil. Semasa baru hendak mengangkat takbir solat, tumpuan saya terganggu kerana bunyi angin kuat di luar jendela. Saya pun terus ke jendela untuk memastikan cermin tertutup rapat. Sekali lagi anak mata terpandang kawasan di luar, tiada apa-apa. Lega!

Kemudian saya kembali semula ke sejadah, boleh pula kali ini terlihat bahagian bawah katil betul-betul di sebelah sejadah. Terbayang semula wajah budak kecil Ju-On. Memang tak boleh jadi, saya pun terus tunduk ke bawah, tengok bahagian bawah katil bagi memastikan tiada apa-apa. Alhamdulillah kosong. Tapi selepas itu, saya tarik sejadah ke belakang dengan kedudukannya kali ini betul-betul rapat ke dinding dan terus mendirikan solat. Itulah dia, pengaruh cerita seram Korea.

*********************

Hospital Kanak-Kanak Necker, Paris

Ada satu ketika saya melakukan penempatan klinikal (macam kerja juga) di Necker Enfants Malades Hospital, sebuah hospital kanak-kanak di kota Paris, Perancis. Sebagaimana yang digambarkan dalam buku-buku, kota Paris ini memang cantik dan ada banyak unsur-unsur artistik dan arkitektur yang unik. Bayangkan apabila berjalan ke tempat kerja kita dapat melihat sendiri simbol ikonik kota Paris iaitu Menara Eiffel yang boleh dilihat dari jauh.

Memang bersemangat nak pergi kerja kerana perjalanannya memerlukan saya melintasi bangunan-bangunan lama seolaholah berada di zaman yang lain. Orang Perancis sememangnya sangat bangga dan patriotik dengan negara dan bahasa mereka. Oleh sebab itu, bahasa perantaraan sama ada dalam urusan kerja atau sosial memang dalam bahasa Perancis semata-mata. Mereka tidak berapa suka bercakap dalam bahasa Inggeris dan kebanyakannya memang tidak tahu berbahasa Inggeris.

Jadi sepanjang tempoh saya berada di sana ibarat ayam bercakap dengan itik. Habis semua bahasa tangan dan tanda isyarat saya keluarkan. Ada sekali tu semasa di hotel saya nak minta seterika.

Jadi saya pun memanggil room servis. Seorang pemuda tempatan muncul di pintu selang beberapa minit selepas itu.

Can I have an iron and the ironing board

No English, katanya berdiri di depan pintu

Masa itu, saya masih menggunakan telefon mudah alih Nokia model lama jadi tak dapatlah nak melakukan Google Translate atau menunjukkan gambar seterika kepadanya.

Jadi saya pun buatlah isyarat tangan sambil menggosok-gosok ke bahagian dada dan paha.

Selepas beberapa minit, pekerja hotel tersebut datang ke bilik saya dan berikan beberapa biji sabun mandi. *********************

Nasi Lemak di Tempat Orang

Sebagai orang Malaysia, bila kita merantau jauh, selain daripada sanak-saudara, perkara utama yang pasti akan kita rindui ialah masakan tradisi di Malaysia. Nasi lemak, roti canai, ayam masak lemak, laksa Sarawak, laksa Penang, kuey teow goreng dan banyak lagi.

Peringkat awal semasa saya di Hong Kong dulu memang sukar sedikit terutamanya sebelum isteri saya datang. Di Hong Kong, bagi saya, makan Filet-O-Fish tiga kali sehari sudah dikira perkara biasa. Kalau di Korea, segala jenis sayur pun jadi sedap. Empat kali saya ke Itali, pasta sayur dan piza dengan tomato menjadi makanan rutin dan kalau di United Kingdom pula, kebab tu walaupun halal, kadang-kala memang dah tak larat nak ditelannya sebab sampai lenguh mulut nak mengunyahnya. Masih saya ingat lagi semasa saya di UK dahulu, salted peanuts sumbangan seorang cabin crew daripada Malaysia Airlines pun jadi sedap.

Itulah orang Malaysia, terutamanya orang Melayu. Dah tekak Melayu, mesti nak nasi juga, ada lauk ayamnya, dagingnya, ikannya, kuahnya, sayur ulam sedikit dan semestinya sambal. Kalau di luar negara, nak dapatkan makanan sebegini di restoran-restoran halal mungkin sedikit terhad.

Nasi ayam masakan Pn. Elysha dan Dr. Reezal Ishak di Cardiff, kari udang kak Suizarah dan Zameen di Singapura, ayam gulai Kak Azmiah dan Azrie Tamjis di Loughborough, nasi beriani dan bubur kacang Datin Syarizan serta Dato Ahmad Nazri di The Hague. Dan suatu ketika dahulu, Hozay, Irwan dan Zaman di Wetzikon Switzerland, Dr. Amir Samsudin dan Dr. Iqbal Farim di Manchester, Ezwan Johaniff dan Dian di Hong Kong, Dr. Nurul Huda dan Alfian di Dubai, Dr. Poon Mun Hoe dan isteri di Nottingham, Naim dan Wati di Wimbledon, Farris Baharom di Paris, Syed Jamal, Deepak Sharma, Dr. Emy Ariffin, Amir dan Yati serta Fahmi dan Johanna di London, Syed Malek dan Nad di Cambridge, Prof. Bob Woodwards dan Claire di Littleborough, Dr. Naseem Ghazali di Liverpool, Dr. Tun Muzamal Wildan di Northampton dan Faizal Bashir serta Ustaz Sofi bersama keluarga mereka di Alexandria, Mesir. Mana mungkin saya lupakan hospitality dan layanan sahabat handai terhadap saya dan isteri semasa kami berada di tempat anda semua. Orang berbudi kita berbahasa.

Dan setiap kali berkumandang lagu Beribu Sesalan nyanyian 3 suara Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, sudah pastinya ia akan menggamit kenangan semasa saya melakukan attachment di Great Ormond Street Hospital di London waktu musim sejuk dengan suhu yang mencecah -15OC pada tahun 2012. Bilik yang saya sewa cuma ada sebuah katil besi dan tilam yang sangat nipis. Walaupun ada heater (pemanas), setiap malam saya tidur dalam keadaan kesejukan yang teramat. Menggigil-gigil hingga ke tulang sum-sum walaupun memakai 3 lapis pakaian.

Sehinggalah saya diselamatkan oleh Dr. Dzulfikar yang mengajak saya tidur di flatnya. Sewaktu tiba di flatnya, saya dijamu dengan nasi lemak ayam panas masakan Dr. Ridzuan dan rakan-rakan flat yang lain sambil menonton Anugerah Juara Lagu ke 26 yang disaksikan secara live streaming dengan giliran lagu Beribu Sesalan di udara. Malam itu saya tidur nyenyak sambil tersenyum, diselimuti duvet dan stoking tebal yang Dr.

Dzulfikar pinjamkan kepada saya tanpa seribu sesalan.