Shuhada tidak suka kepada semua guru. Awalnya ku bangkitkan kaitan guru dengan ilmu,
Kalau kita tak masuk kelas, dengar apa yang cikgu ajar, macam mana kita jawab exam
Shuhada mencebik,
Aku nak maklumkan satu fakta. Murid pandai bukan sebab cikgu, tetapi sebab murid tu memang pandai. Cikgu sekadar panduan, atau orang yang memberi inspirasi. Kalau setakat masuk kelas untuk menghadap cikgu yang niat mengajar untuk makan gaji, baik tak payah datang sekolah. Kau tengok, selama ni aku ponteng kelas pernah menjejaskan otak aku ke
Aku terdiam. Mungkin ada benarnya, lalu kami sama-sama terlingkung dalam golongan pelajar yang tidak menghormati guru.
Tetapi acap kali aku melihat, tercatat di diari Shuhada, cita-citanya adalah untuk menjadi seorang guru. Shuhada tidak berminat menyertai kelas yang dipimpin oleh guru yang tidak berwibawa. Guru makan gaji yang tidak memberi inspirasi. Oleh itu, Shuhada memaksa aku berguru dengannya. Memang benar, Shuhada lebih bijak dari cikgu di situ!. Tambahan, aku dan Shuhada umpama belangkas. Kami tidak mampu berpisah. Dia adalah sifu, dan aku muridnya. Tindak balas ini menyebabkan kami saling memerlukan. Kenangan terindah kami adalah saatsaat ponteng kelas. Kami duduk bersama di suatu lokasi rahsia, dan berbual mengenai dunia globalisasi. Aku tidak lagi terikat dengan silibus sekolah yang terhad. Shuhada mengajar aku mata pelajaran politik, sejarah, pemikiran kritis dan penulisan kreatif.
Shuhada mengatakan, dia tidak mempunyai jiran. Banglo setingkatnya dibina di atas tanah lot yang luas. Oleh itu, dia cuma boleh melakukan aktiviti di dalam rumah seperti membaca komik, membaca buku teks, menonton video animasi yang disewa dan berbual dengan kakaknya yang berada di tingkatan dua. Di sekolah, Shuhada seronok berkawan denganku kerana memberi peluang kepadanya mencurah ilmu.
Shuhada berucap mengenai biografi Dr. Mahathir Mohamed dan William J. Clinton seperti seorang politikus, menceritakan kisah sejarah yang terdapat pada buku teks sekolah menengah, seolah-olah beliau terlibat dalam proses penerbitannya, melawan arus pemikiran budaya Melayu bagaikan seorang profesor dan sentiasa berusaha menggunakan kosa kata yang baik di dalam aktiviti penulisan kreatif kami, iaitu diari yang wajib ditulis setiap hari.
Shuhada mencintai komik keluaran Jepun, dan buku tulisku dipenuhi lukisan karakter juga dari komik Jepun. Dalam keadaan tidak mahu belajar, kami melakukan aktiviti yang tidak jauh bezanya antara satu sama lain, mengadap komik Doraemon!. Setiap kali keputusan peperiksaan keluar, Shuhada menduduki tempat pertama dan aku ajaibnya turut berjaya menduduki tempat kedua mengatasi pointer seratus orang pelajar darjah empat yang lain. Mu rid darjah empat di sekolahku terbahagi kepada tiga buah kelas dan di dalamnya terdapat sekurang-kurangnya tiga puluh lima orang pelajar. Daripada lebih seratus orang pelajar darjah empat, Shuhada satu-satunya pelajar yang tidak boleh berhenti berbual. Jika meminta gunting sahaja, dia akan mengatakan,
Pinjam gunting kau. Oh ya. Kau tahu, gunting ni dicipta oleh Leonardo da Vinci. Seorang pelukis yang menghabiskan masa sepuluh tahun untuk menyiapkan bahagian bibir lukisan Monalisa.
Kalau melihat orang mengunyah gula getah walaupun dari jauh, Shuhada akan mengatakan,
Produk pertama yang menggunakan bar code adalah
Wrigleys gum.
Dia terus berkata-kata walaupun guru displin mengugut murid yang bersembang akan dihukum berdiri di atas kerusi. Untuk kesalahan kedua kali, berdiri di atas meja. Tahun itu, banyak kalilah kami didenda berdiri di atas meja. Ketinggian yang boleh menyondol kepala orang dewasa dengan bilah kipas.
Shuhada. Sang genius versi burung murai!