Setiap tahun, asrama kami akan mengadakan sesi orientasi selama seminggu. Sesi ini dijalankan pada minggu yang pertama. Pelajar yang terlibat dalam sesi orientasi ini adalah pelajar dari tingkatan satu dan dua. Walaupun pada tingkatan satu saya terlepas dari sesi orientasi yang dijalankan, tetapi saya tidak boleh melarikan diri pada tingkatan dua.
Salah satu acara yang diwajibkan untuk setiap pelajar baru adalah mengambil tandatangan pelajar. Pelajar tingkatan satu dan dua akan mengambil tanda tangan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima pada satu waktu yang telah ditetapkan.
Untuk mendapatkan keseluruh tandatangan tersebut, kami perlu mematuhi setiap arahan yang disuarakan. Pada pelajar yang suka memalukan pelajar lain, mereka akan menyuruh kami menjerit sesuatu di depan dewan, menyanyikan lagu dengan suara yang kuat dan meminta kami berlari-lari di sekeliling dewan sambil memegang bendera. Seorang pelajar tingkatan lima Akma, pernah menyuruh saya menyanyikan lagu di depannya. Jadi, saya memutuskan untuk menyanyikan sebuah lagu dari kumpulan Wings. Mujur saja saya tidak disuruh menyanyi di depan semua orang.
Saya juga pernah diminta oleh seorang pelajar tingkatan empat Nazir, untuk membelikan air berkarbonat dari mesin automatik yang berada di luar dewan. Dia berjanji akan memberikan tandatangannya kepada saya apabila saya membeli tiga tin air untuk dirinya. Mahu atau tidak, saya terpaksa berkorban. Semua ini gara-gara tidak mahu didenda. Pelajar yang tidak mendapat kesemua tanda tangan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima akan di denda pada hujung sesi orientasi.
Berdasarkan dari pengalaman rakan-rakan yang pernah melalui minggu orientasi itu, bentuk denda yang mungkin akan dikenakan kepada mereka yang tidak mendapat kesemua tanda tangan itu adalah seperti menari mengikut rentak lagu yang dipasang di pembesar suara. Pada saya, perkara itu adalah suatu perkara yang memalukan. Setiap mata yang berada di dalam dewan itu akan memandang dengan pandangan yang melucukan, lalu menghambur gelak besar yang tidak akan henti-henti.
Jadi, saya membuat keputusan untuk mendapatkan semua tandatangan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima agar tidak dimalukan sebegitu rupa. Dan oleh kerana takut dimalukan jugalah saya mematuhi perintah seorang pelajar tingkatan empat Helmi, untuk pergi berjumpa dengan salah seorang peserta orientasi itu, Nor Syahirah.
Nor Syahirah atau nama asrama yang diberikan kepadanya, Norsya merupakan seorang pelajar tingkatan satu. Tubuh badannya kecilkecil sahaja. Kulit badannya cerah, putih pucat. Bibirnya merah halus dan tidak tebal. Norsya sering memandang ke lantai dan selalu sahaja menolak kaca matanya dengan tapak tangannya yang halus dan kecil. Dia tidak banyak bersuara. Sekadar membuka mulut apabila perlu. Nada suaranya rendah dan kecil. Cuma apabila dia cuba untuk menekankan suatu perkara atau cubacuba untuk melantangkan jeritnya, suaranya seperti terpaksa dan nyaring kedengaran ke mana-mana.
Norsya, panggil saya, berdasarkan nama yang tertulis di tanda nama besar yang dililit di lehernya. Tanda nama itu dipakai oleh semua pelajar tingkatan satu dan dua. Ianya diperbuat dari kertas kad Manila. Kami tidak dibenarkan menanggalkan tanda nama itu sehingga habisnya sesi orientasi.
Dia memandang ke belakang. Ke arah saya. Matanya yang kecil sepet melihat saya yang berdiri kaku, seperti ingin menatap lama-lama. Kemudian selepas saya hanya mendiamkan diri, kulit mukanya tiba-tiba merah. Dia menunduk ke lantai, malu.
Norsya tahu, yang dia mungkin akan dikenakan lagi. Hal ini kerana, Norsya merupakan antara pelajar tingkatan satu yang agak terkenal pada sesi orientasi itu kerana paras rupanya yang comel dan agak pendiam. Jadi, dia diusik oleh ramai orang ketika sesi orientasi. Norsya yang pemalu dipaksa menjerit sesuatu di depan dewan. Kemudian, seorang pelajar tingkatan lima, Farid menyuruh seorang pelajar tingkatan satu, Andang, untuk mengatakan sesuatu yang memalukan kepada Norsya.
Dan saya bukanlah orang pertama yang terpaksa pergi kepada Norsya dan meluahkan sesuatu yang dipaksa-paksa.
Norsya, nak jadi adik angkat aku kata saya kuat-kuat, seperti yang disuruh oleh Helmi. Mendengar kata-kata saya yang nyaring itu, seluruh dewan yang penuh dengan orang terdiam. Mereka semua memandang kami berdua dan mengeluarkan bunyibunyian yang menjengkelkan. Norsya masih memandang ke lantai, merapatkan dagunya ke dada, saling mengenggam keduadua belah tangannya dan mendiamkan diri.
Sewaktu Andang disuruh oleh Farid untuk pergi berjumpa Norsya, dan melamar Norsya menjadi teman lelakinya, Norsya hanya tersenyum paksa dan menggeleng kepala. Begitu juga dengan Aznil. Dia disuruh berjumpa dengan pelajar perempuan itu dan meminta untuk menjadi abang angkatnya. Juga dengan sebuah senyuman yang dipaksa-paksa, Norsya menggelengkan kepala. Norsya juga hampir menangis apabila Azriq mengejarnya dari belakang sambil menyanyikan lagu, apabila disuruh oleh seorang pelajar tingkatan lima, Udin.
Akan tetapi, satu kejutan yang sangat mengejutkan adalah apabila soalan yang saya lafazkan itu, yang benar-benar tidak saya maksudkan itu, dibalas dengan sebuah anggukan kepala. Norsya mengangguk kepalanya ke bawah dan ke atas berulangulang kali, sambil memejam matanya. Menahan malu. Melihatkan reaksi Norsya itu, keseluruh dewan menjadi riuh-rendah. Ada pelajar yang menghentak-hentak meja dengan tapak tangan. Ada juga yang menjerit-jerit tidak tentu hala, seperti dia yang paling gembira. Ada yang mengusik-ngusik nakal dan yang paling menyakitkan hati adalah apabila saya diejek-ejek seperti seorang abang yang setia kepada seorang adik iaitu Norsya.
Selepas dari kejadian itu, Norsya sering menghubungi saya. Medium yang Norsya gunakan untuk mengubungi saya adalah surat. Ya. Seperti pelajar asrama yang lain, yang mempunyai hubungan adik angkat abang angkat, atau adik angkat kakak angkat, medium yang paling mudah dan selesa untuk digunakan adalah surat, selain telefon bimbit.
Pada mulanya, saya agak kekok untuk menulis sesuatu kepada Norsya kerana saya sendiri tidak pernah mempunyai adik. Adik angkat atau adik kandung, saya tidak pernah ada. Jadi, pada mulanya, saya agak kekok. Selepas beberapa lama kami berinteraksi sebegitu, saya menjadi semakin mahir. Setiap pucuk surat yang saya karangkan, pasti akan diakhiri dengan;
PS: Jangan lupa SZAMI.
Ingat 24434.
Good luck.
Sayang adik.
Saya masih ingat tentang satu perasaan yang tidak menyenangkan apabila surat yang dikirimkan saya kepada Norsya, tidak dibalas dengan segera. Setiap kali surat yang diutuskan tidak dibalas, tidak kira dikirimkan kepada sesiapa, saya pasti akan merasa sedikit curiga. Entah kenapa, walaupun hanya terlewat sedikit dari kebiasaannya, saya pasti menyangka bahawa saya ada membuat salah kepada Norsya. Jadi, saya akan pergi berjumpa dengannya.
Dia memandang ke bawah, seperti biasa. Saya memandang ke depan, seperti tidak peduli tentang Norsya yang berada di sebelah.
Kenapa abang nak jumpa tanya Norsya perlahan. Hanya kerana mendengar suaranya sahaja, saya sudahpun berdebar. Norsya jarang-jarang mengeluarkan suaranya. Dan kerana getar suaranya itu tersangat mahal, saya merasa bertuah kerana menjadi salah seorang yang diterima demi menghadam suaranya yang halus itu. Gembira, dan mendebarkan.
Dan apakah perkataan yang paling sesuai untuk saya lafazkan demi memberi alasan untuk berjumpa dengannya Adakah saya perlu jujur kepadanya, bahawa saya mahu berjumpa dengannya agak kerap hanya kerana mahu mendengar suaranya Adakah saya perlu jujur kepada Norsya dengan mengatakan bahawa saya hanya mahu melihat senyumannya pada setiap kali kami berjumpa Atau perlukah saya menjadi lebih berani dengan mengatakan bahawa saya ingin berjumpa dengannya di dalam kelas kosong itu hanya kerana mahu menghidu bau wangi pelembut pakaian yang masih melekat di pakaiannya
Melihat senyuman Norsya yang manis dari wajahnya yang putih pucat dan bibirnya yang merah halus, mengingatkan saya tentang satu peristiwa yang sangat menakutkan.
Saya pasti, di setiap asrama dan sekolah, para pelajar akan dimomokkan dengan cerita-cerita seram yang tersendiri. Begitu juga dengan asrama sekolah saya. Cerita seram yang selalu digunakan untuk menakut-nakutkan kami, akhirnya menjadi realiti.
Hari itu hari Sabtu. Esoknya, Ahad. Jadi, saya dan kawan-kawan bercadang untuk tidak masuk tidur terlalu awal. Jam pada waktu itu sudah pun melebihi pukul dua pagi. Saya dan rakan-rakan masih seronok bermain kad di atas katil saya. Katil saya berada di hujung dorm. Katil saya merupakan katil paling hujung di dalam dorm itu. Di kepala katil saya, ada tingkap yang boleh menampakkan keseluruhan keadaan di dataran kosong yang berada di antara dewan makan dan surau asrama.
Ketika kami sedang seronok bermain kad, salah seorang dari kami menyedari bahawa terdapat bunyi seperti ada seseorang sedang bermain-main. Seperti ada bunyi tapak kaki berlari-lari. Seperti ada bunyi anak kecil menyanyi-nyanyi. Dan bunyi serta suara itu datang dari arah dataran kosong yang berada di antara dewan makan dan surau asrama itu.
Kau gi tengok apa benda tu, kata seorang rakan, Amar, kepada saya setelah dia merasa terganggu dengan bunyi itu dan tidak dapat meneruskan permainan. Apabila saya membuka tingkap dan melihat di dataran itu, saya ternampak sesusuk tubuh manusia yang saya agak adalah seorang anak kecil berumur lingkungan lima tahun. Dari jauh saya melihat akan kanak-kanak itu, ruparupanya dia mengikat rambutnya menjadi tocang di kiri dan kanan kepalanya. Dia memakai baju dan skirt pendek paras lutut yang berwarna biru.
Selepas saya sampaikan ciri-ciri anak kecil itu kepada kawankawan yang lain, wajah mereka berubah.
Barbie doll!!! jerit seorang dari kami. Masing-masing melarikan diri ke katil yang lain dan menyelimut diri mereka sendiri. Saya pantas menutup tingkap yang terbuka. Dan saat ketaran tangan saya nyata terhasil apabila ingin menolak cermin tingkap itu, saya melihat anak kecil itu berhenti dari permainannya, dan dengan pandangan yang dingin, anak matanya tajam memandang saya.
Entah apa bodohnya saya pada waktu itu, saya masih berada di katil sendiri dan menyelubung selimut seorang diri. Sedangkan kawankawan yang lain sudahpun berkongsi katil kerana ketakutan. Ada yang berkongsi dua orang di atas satu katil dan ada juga yang sanggup berhimpit-himpit seramai tiga orang. Saya Seorang diri, sekadar memeluk tubuh, sedang membayangkan sama ada itu mimpi, atau realiti.
Tidak lama kemudian, mungkin lima atau sepuluh minit, saya mendengar dari dalam dorm seperti ada langkah kaki yang berjalan di luar. Pegangan selimut makin saya eratkan. Badan saya makin mengecil, ditikuskan. Dan dalam keadaan yang gementar itu, bunyi tapak kaki itu tiba-tiba terhenti.
Eh. Ada kasut lah, bunyi suara halus itu seperti guruh, membuatkan kedua-dua bahu saya terangkat, terkejut. Air mata saya hampir mengalir. Peluh sudah lama mendahului. Tilam mungkin sudah lembab dengan air.
Nak kiralah, sambung suara kecil itu, dan sekali lagi membuatkan bahu saya tersentak, seperti terkena kejutan eletrik.
Satuuuu, bunyi suara itu, seperti berlagu-lagu.
Duaaaaaa. Tigaaaaaa. Limaaaaaaaaaaa, dan kemudian, keadaan menjadi sunyi seketika. Tidak lama. Mungkin sesaat dua.
Eh. Silap kiralah, sambung suara itu lagi. Suara seorang kanakkanak perempuan, yang tidak saya tahu siapa dan dari mana.
Nak kira balik lah. Satuuuuu,
Duaa. Tigaaaaaaa. Limaaaa, dan perkataan itu berulang-ulang dengan kerap. Sehingga debaran masih tidak kenal erti penamat, dan jantung sudah meletup dengan takut, tiba-tiba; Ohhh. Rupa-rupanya, yang lima ni, tak tidur lagi. Zuuuuuuuupppp!!!
Satu debaran yang sangat tidak didugakan, yang tidak pernah dirasai oleh saya sebelum ini, sudah pun saya alami. Pada waktu itu, setelah perkataan terakhir itu telah diucapkan suara misteri itu, tiba-tiba bunyi pintu dorm dikuak perlahan, kedengaran.
Krekkkkkkkk.
Dan dalam masa yang sama, bunyi katil yang bergoyang-goyang juga kedengaran perlahan di gegendang telinga. Mungkin rakanrakan yang ketakutan saling berpelukan atau saling merapatkan tubuh masing-masing, menyebabkan katil double-decker itu bergoyang-goyang dan menghasilkan bunyi yang mengilukan.
Lama. Lama saya berada di dalam selimut itu. Dengan penuh sabar dan pura-pura tenang, saya cuba-cuba untuk menahan sekiranya terperanjat, sekiranya terdapat rakan-rakan yang menjerit ketakutan. Saya menunggu, siapa yang akan diganggu makhluk kecil itu. Perasaan yang menakutkan itu, seperti belum lagi berakhir sekiranya tiada jeritan dari sesiapa. Lama. Lama saya berada di dalam selimut itu.
Dan kerana terlalu lama itu jugalah, debaran di dada menjadi makin berkurangan. Malah, udara yang berada di dalam selimut juga sudah habis ditelan paru-paru. Peluh sudah pun bertakung dan mengalir di setiap ruang kulit. Saya sudah tidak selesa. Peluh diseka berkali-kali, nafas dicungap semakin kuat kerana kelemasan. Jadi, selimut yang menyelubungi tubuh badan saya, saya tarik ke bawah.
Matanya bulat. Kulitnya putih pucat. Bibirnya merah halus. Pandangannya dingin. Tidak senyum, tidak juga masam. Tidak marah, tidak juga gembira. Biasa-biasa sahaja. Tapi, pandangannya dingin. Anak matanya yang kadang-kadang seperti sayu, dan kadang-kadang seperti tajam menikam anak mata saya, tidak berkelip-kelip. Tepat dan dalam, keras dan tegang. Anak kecil itu sedang duduk memeluk lutut di depan saya!
Badannya bergoyang-goyang ke kiri dan ke kanan. Anak matanya tetap terus memandang saya. Dan bibir yang merah halus itu langsung tidak bergerak. Wajahnya pucat. Ah. Wajahnya pucat, seperti tidak berdarah. Comel.
Anak kecil yang sedang memeluk lutut di depan saya ini sangat comel!
Comel. Tersangat comel, sehingga menimbulkan satu perasaan yang seram. Yang sangat, seram.
Saya pula, hanya kejang di atas katil itu. Kaku seluruh badan, termasuk rahang dan anak mata. Mata saya seperti dikunci olehnya dan hanya dibenarkan memandang wajahnya sahaja. Saya tidak mampu menggerakkan walau sedikit mata hitam. Di dalam gelap bilik itu, saya tidak tahu apa yang patut dilakukan. Akhirnya, saya tertidur sendiri kerana keletihan.
Dan esoknya, setelah pagi sudah bangkit dari ngeri, apabila disedarkan oleh rakan-rakan, saya dikatakan nampak ketakutan sehingga memeluk lutut dan meracau-racau serta menangis tidak henti-henti. Wajah anak kecil itu sering sahaja bermain-main di kotak minda saya.
Selepas dari kejadian itu, saya tidak lagi mahu membuka mata apabila sudah pun menutup mata ketika masuk tidur. Kerana apa yang saya risaukan, takut menjadi apa yang dibayangkan.
Tahun kedua berada di sekolah baru, memberikan saya terlampau banyak erti. Terlampau banyak definisi tentang sesuatu perkara yang dapat saya rungkaikan dari pengalaman yang terjadi. Sekiranya di tempat lama mempunyai pelajar dari bangsa Melayu sahaja, tetapi di sekolah ini punya pelbagai lagi bangsa yang lain iaitu Cina dan India. Dan perkara yang tidak diingini, sering sahaja berlaku.
Fasis berada di mana-mana. Kecuali syurga.
Di sebelah bangunan yang menempatkan kelas-kelas pelajar tingkatan dua, terdapat satu tanah lapang yang kosong. Tidak ada apa-apa.
Hampir setiap hari, saya berpeluang melihat penegak-penegak bangsa dan pejuang-pejuang agama berjihad dan bermati-matian menegakkan prinsip dan pegangan mereka. Hampir setiap hari, biasanya selepas waktu rehat, saya akan melihat ramai pelajar lelaki berkumpul di tanah lapang yang kosong itu. Di kawasan itu penuh dengan fasis. Ada yang bersawo matang, ada yang berkulit cerah dan ada juga yang sedikit gelap. Masing-masing merasakan diri mereka paling berhak dan paling berakal.
Dari tingkat dua, saya duduk di beranda dan menghayunhayunkan kaki ke sebelah luar. Sekiranya terdapat sesiapa yang menolak tubuh saya dari belakang, saya pasti akan terjatuh di atas sekumpulan pelajar yang sedang sunyi mendengar dua orang pelajar lelaki dari kaum yang berbeza, berbincang. Berbincang, berbual, bercakap, atau apa sahaja kata kerja lain yang mampu menggantikan ayat-ayat itu. Mudahnya, mereka sedang mengeluarkan setiap baris pantun dari lidah yang terjelir, setiap ekor haiwan dari jari masing-masing dan tidak kendur-kendur urat di leher mereka berdua.
Selepas beberapa minit, tolak menolak mula berlaku. Seorang pelajar Melayu menendang peha seorang pelajar India. Pelajar India tersebut hampir terjatuh, tetapi sempat mengimbangkan diri. Lalu dengan pantas, segerombolan manusia-manusia yang baru mahu mengenal dunia sedang meriah bertumbuk sesama sendiri, sedang enak menghayunkan kaki dan tidak henti-henti melayangkan kata-kata maki.
Dari atas, dari tempat duduk itu, saya melihat beberapa orang guru sedang berjalan ke arah kumpulan pelajar yang sedang bergasak itu. Dan anehnya, setiap kali berlaku pergaduhan tidak kira pergaduhan yang melibatkan angka yang besar atau kecil, apabila terdapat guru yang datang tidak kira lelaki atau perempuan, seorang atau lebih, pasti para pelajar yang sedang sibuk menendang dan menumbuk setiap daging bernyawa itu akan hilang dan lenyap dalam sekelip mata. Sekelip mata.
Ada sesuatu yang menarik perhatian saya. Ada sesuatu yang membuatkan saya terus duduk dan terpaku di mana tempat saya meletakkan punggung. Semuanya kerana mahu melihat objek yang menarik perhatian saya itu dan ingin benar-benar memastikan apakah objek itu benar-benar seperti apa yang saya bayangkan.
Saya terus turun ke bawah. Ke tempat di mana pergaduhan telah berlaku sebentar tadi. Objek yang saya perhatikan dari tadi itu, saya capai dari atas tanah.
Di dalamnya ada lebih kurang dua ratus ringgit Malaysia. Tiada kad pengenalan atau apa-apa. Hanya ada wang ringgit dan seutas rantai tali.
Antara setiap pergaduhan yang tercetus, akan ada beberapa pihak yang memegang beberapa posisi. Selalunya tiga. Yang pertama ialah masalah. Merekalah yang akan mencetuskan masalah, di mana semua pergaduhan berpunca dari mereka.
Pihak yang kedua ialah pencari masalah. Mereka lebih teruk dari pihak yang pertama kerana pihak yang kedua ini hanya mahu mencari masalah. Mencari masalah dan menyelesaikannya dengan cara yang tidak rasional, yang tidak patut seperti pergaduhan yang tidak akan menimbulkan apa-apa penamat yang berkesan. Mereka mencari masalah, dan mencetuskan masalah.
Dan yang terakhir, pihak yang ketiga adalah seekor semut. Ketika kedua-dua pihak ini sedang asyik bertekak, bertumbuk, berbalah, bertengkar dan saling berbunuhan, semut akan duduk melihat kejadian itu semua dari jauh. Dan apabila kedua-dua pihak ini sudah pun bersurai, sudah pun beredar, semut akan datang di tengah-tengah gelanggang perlawanan yang kosong itu, lalu mencari sesuatu yang dapat memuaskan hatinya. Pihak yang paling bijak, adalah pihak yang ketiga. Tidak kalah, tidak menang, tetapi beruntung.
Dan saya, berada di pihak yang ketiga. Seekor semut. Kecil. Pandai. Dan jahat.
Saya sukakan pergaduhan. Kerana pada saya, pergaduhan adalah sesuatu yang melucukan. Jadi, saya akan berada di mana-mana pergaduhan yang melibatkan sesiapa pun, untuk mengeluarkan gelak ketawa. Akan tetapi sesuatu telahpun berlaku, menyebabkan pergaduhan menjadi di antara musuh di dalam kehidupan saya.
Peluh akan memercik-mercik dengan deras, dada akan berdegup dengan kencang dan mata akan tiba-tiba menjadi merah serta berair sekiranya saya melihat sebarang pergaduhan, selepas satu peristiwa ini.
Pada malam itu, ketika pelajar-pelajar asrama yang lain sedang bersiap untuk turun ke dewan - untuk belajar - saya pula sedang bersiap-siap untuk keluar ke bandar seperti yang sudah dirancang bersama pelajar-pelajar luar. Antara pelajar luar yang dimaksudkan itu ialah Faisal. Rakan sekelas saya. Dia merupakan rakan sekelas yang paling rapat dengan saya.
Setelah memastikan tiada sesiapa yang memerhatikan, saya memanjat tembok batu yang mengelilingi kawasan asrama dengan pantas. Berjalan sedikit selama beberapa minit ke arah belakang sekolah, saya terus berjumpa dengan rakan-rakan yang telah sedia menanti. Di belakang sekolah saya terdapat sebuah kawasan kampung yang kecil. Mereka menunggu saya di situ.
Faisal menghidupkan enjin motornya. Saya memakai helmet yang diberikan, lalu kami beramai-ramai bergerak menuju ke satu kawasan.
Pada waktu itu, terdapat beberapa kelab motor yang agak terkenal ditubuhkan. Kelab motor yang saya maksudkan, merupakan sebuah kelab yang tidak berdaftar, tidak rasmi. Mereka mencipta nama kelab mereka sendiri, mencipta logo sendiri, membuat sticker mereka sendiri untuk ditampal di topi keledar dan di motorsikal, serta menarik lebih ramai ahli-ahli yang mampu membuatkan kelab motor mereka lebih besar, lebih berkuasa, malah lebih ternama.
Saya, merupakan salah seorang dari ahli kelab motor itu walaupun tidak mempunyai motor. Jadi, pada hari itu, saya bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain telah pergi ke satu kawasan di mana ramai lagi ahli kelab motor yang saya anggotai telah berkumpul. Kami berkumpul ramai-ramai, bergelak ketawa, berbual, melihat aksi-aksi gila penunggang motorsikal yang berumur sekitar sepuluh hingga tiga puluh tahun mengangkat tayar depan motor mereka, melihat mereka berlumba, dan sebahagian dari mereka juga membawa seorang perempuan yang sentiasa dipeluk bahunya.
Perkara itu menyeronokkan. Sungguh. Perkara itu sangat menghiburkan jiwa saya. Mungkin masih muda. Masih tidak kenal maksud dunia. Masih belum khatam kamus cerita. Tapi saya suka. Dan malam itu bukanlah malam pertama buat saya, Faisal serta rakan-rakan yang lain berkumpul sebegitu. Pernah beberapa kali sebelum itu, kami berkumpul di tempat yang sama, dengan keadaan yang sama, dan perangai manusia yang juga sama.
Tapi masa merubah kita. Masa, merubah cerita. Merubah peristiwa. Dan merubah manusia.
Malam sudah lewat. Saya mahu pulang ke asrama. Jadi, beberapa orang rakan bersetuju untuk sama-sama menghantar saya pulang. Terdapat lebih kurang tujuh buah motor yang mengikut saya dan Faisal, dari belakang. Di atas motor itu kami masih sempat bergelak ketawa, berbual-bual dan saling bergurau.
Untuk pulang ke asrama, kami perlu melalui sebuah jalan yang agak sempit, dan gelap. Sekiranya bergerak secara mengiring, hanya dua motor sahaja yang boleh bergerak sebelah menyebelah. Yang lainnya perlu mengikut dari belakang. Itulah keadaan yang mampu saya terangkan tentang betapa sempitnya jalan yang kami lalui itu.
Apabila sudah sampai di jalan atau lorong yang saya maksudkan, Faisal pantas mengetuai motor-motor yang lain. Saya dan Faisal yang menaiki motor yang sama, yang ditunggang oleh Faisal, berada di barisan paling depan. Kami terpaksa bergerak di jalan itu secara sebaris sahaja kerana dari arah yang bertentangan, terdapat sekumpulan penunggang motorsikal yang juga mungkin secara kebetulan ingin melalui kawasan yang sama. Mulanya saya sangkakan begitu. Tapi realitinya, tidak. Semuanya bukan kebetulan.
Apabila mereka semakin hampir dengan kami, Faisal memperlahankan kenderaan. Dia memandang-mandang belakang. Apabila saya melihat Yusri - rakan yang berada di belakang, dia hanya membalas pandangan Faisal itu dengan satu anggukan kecil, dengan wajah yang tenang. Tenang, tetapi seperti ada sesuatu yang akan berlaku.
Saya tidak berapa sedar tentang apa yang berlaku. Cuma apa yang dapat saya ingatkan pada waktu itu adalah kami tiba-tiba terjatuh ke tepi jalan selepas motorsikal terakhir yang datang dari arah bertentangan itu benar-benar melepasi motorsikal yang dinaiki oleh saya dan Faisal.
Mungkin kerana Faisal membawa motorsikal sebelum itu agak perlahan, jadi kesan dari jatuhan itu tidaklah berapa menyakitkan. Kami terjatuh, menyebabkan rakan-rakan di belakang turut berhenti. Saya tergelak besar selepas kami jatuh kerana memikirkan kejadian itu seperti sebuah kejadian yang melucukan.
Saya terkekeh-kekeh ketawa sambil menepuk-nepuk tubuh Faisal yang sedang terbaring di sebelah. Dan apabila saya memandang Faisal yang masih terbaring itu, dibantu dengan cahaya motorsikal dari kawan-kawan, barulah saya menyedari bahawa tubuh badan Faisal berlumuran dengan darah.
Darah yang membasahi bahagian depan badan Faisal itu berpunca dari lehernya. Lehernya terbit satu luka yang besar dan panjang. Darah tidak henti-henti mengalir walaupun Faisal sedang bergelut dengan kesakitan sambil memegang erat-erat lehernya. Saya kaku terdiam dan tidak mampu berkata apa-apa.
Beberapa orang rakan yang berada paling belakang segera mengejar sekumpulan penunggang motorsikal yang bertembung dengan kami sebelum itu. Usaha mereka seperti sia-sia kerana penunggang motorsikal yang ramai itu sudahpun jauh melarikan diri. Sedang saya, masih terduduk di situ dan melihat Faisal, tanpa akal untuk berbuat apa-apa.
Yusri mengangkat motorsikal Faisal. Dengan pantas dia mengangkat Faisal yang masih terbaring di atas tanah. Saya memapah Faisal dan meletakkan dirinya di antara saya dan Yusri. Yusri menunggang motorsikal Faisal. Di atas motor itu, terdapat tiga orang lelaki yang sedang tergesa-gesa ingin ke jalan besar, seterusnya menuju ke hospital. Di depan, Yusri. Di tengah, Faisal. Dan di belakang, saya.
Air mata mula mengalir di pipi bercampur dengan darah yang melekat di baju. Ia mengalir dengan tenang. Dengan tenang, tanpa ada esakan kuat di dada mahupun di jiwa. Saya memeluk Faisal erat-erat supaya dia tidak terjatuh kerana Yusri memandu motorsikal agak laju. Yusri tidak henti-henti menjerit, menyuruh saya memegang Faisal kuat-kuat, tidak henti-henti meninggikan suara meminta supaya Faisal bersabar.
Nak sampai dah, ulang Yusri berkali-kali.
Badan Faisal yang sedang saya peluk itu, panas. Panas, dan basah. Saya tidak tahu apa yang sedang mengalir di tubuhnya itu. Saya tidak pasti sama ada air yang sedang melekat di bajunya itu adalah peluh ataupun darah. Semuanya sudah sebati dan tidak dapat saya pastikan lagi.
Kocakan dada Faisal makin meninggi. Semakin kuat ombakan di dadanya bergoncang, makin keras saya memeluk tubuhnya. Dan di dalam pelukan yang erat itu, tiba-tiba Faisal berhenti bergerak.
Faisal berhenti bergerak. Berhenti berkocak. Berhenti berombak. Berhenti bergoyang. Faisal berhenti dari nafasnya yang panjang. Faisal berhenti segalanya, dan tubuhnya kaku, tenang.
Faisal, berhenti bernyawa, di dalam pelukan saya.
Yusri memperlahankan motor. Dia berhenti membebel. Tidak lagi menjerit, tidak lagi meninggi suara dan tidak lagi berkata apa-apa. Dia berhenti di tepi jalan, turun dari motor dan menangis tidak henti-henti. Dia memeluk Faisal kuat-kuat, sebelum lututnya longgar dan terjelopok di tepi jalan.
Saya, masih di atas motor. Masih memeluk Faisal. Masih berada di belakangnya, seperti waktu pertama kami bergerak dari asrama pada awalnya. Kami berada dalam keadaan yang sama. Berada dalam posisi yang sama seperti waktu dia menjemput saya di belakang sekolah sebelum itu. Cuma bezanya; Faisal sudah tiada.