Ibnu Sina merupakan seorang genius dan polymath. Dia telah habis menghafaz Al-Quran pada umur 10 tahun. Walaupun ayahnya berfahaman Ismaili (sebuah cabang dalam mazhab Syiah), namun begitu, ayahnya menghantar Ibnu Sina untuk belajar fekah dari mazhab Hanafi . Setelah pelajaran agamanya tamat, ayahnya mengupah seorang guru untuk mengajar Ibnu Sina ilmu-ilmu lain. Ibnu Sina didedahkan dengan ilmu falsafah di mana dia membaca karya Porphyry yang merupakan murid kepada Plotinus. Namun begitu, kepintaran Ibnu Sina melangkaui gurunya dan akhirnya dia belajar sendiri karya-karya falsafah Aristotle, karya Matematik Euclid dan geometri Ptolemy. Selain membaca karya asal, dia juga turut membaca komentari-komentari terhadap karya ini yang banyak dibuat oleh pendeta Kristian atau Neoplatonis. Sedikit anekdot, sebuah kisah popular yang ingin aku selitkan di sini, Ibnu Sina membaca buku Metafizika karya Aristotle sebanyak 40 kali sehingga menghafalnya, namun dia akui tidak dapat memahami apa yang ingin disampaikan oleh Aristotle, sehinggalah pada satu hari di sebuah kedai buku, ditakdirkan pekedai tersebut menawarkan sebuah buku yang sedang dijual murah, iaitu komentar alFarabi terhadap Aristotle. Ibnu Sina sebelumnya pada mulanya enggan membeli tetapi akhirnya tergerak untuk membelinya. Selepas membaca buku al Farabi, barulah Ibnu Sina dapat memahami karya Aristotle.
Pada usia remaja, Ibnu Sina yang juga mahir dalam ilmu perubatan diupah untuk berkhidmat dengan seorang putera raja. Istana putera tersebut mempunyai perpustakaan yang mempunyai lambakan karya-karya yang bernilai, dan Ibnu Sina menggunakan peluang keemasan ini untuk mempelajari ilmu dari buku-buku yang terdapat dalam perpustakaan tersebut. Ibnu Sina menghasilkan komentari terhadap karya Aristotle dan juga menyumbangkan idea original dalam komentarinya. Dia juga membukukan pandangan falsafahnya dalam buku falsafah popularnya, iaitu As-Shifa (Penawar). Ibnu Sina selain itu juga mahir dalam bidang matematik. Dulu ilmu tidak dipisah-pisahkan jadi seorang ahli matematik secara amnya akan mahir juga ilmu falsafah, astronomi, dan lain-lain.
Karya Aristotle yang sampai kepada dunia Arab dan Parsi ketika itu dicerapkan dengan tema-tema Neoplatonis, atas usaha golongan Neoplatonis dan ahli falsafah dari agama Kristian dan kemudiannya Islam memasukkan unsur keagamaan dalam karya Aristotle, untuk menyatukan pandangan Plato dengan Aristotle. Ini menjadikan karya Aristotle pada masa Ibnu Sina seolah-olah lebih menjurus kepada ketuhanan walaupun Aristotle bukanlah seorang ahli falsafah yang fokus hanya mengenai perkara-perkara ini. (Plato lebih dikenali sebagai ahli falsafah Yunani yang membincangkan alam roh dan prinsip ketuhanan). Ada diantara karya yang dikatakan karya Aristotle juga bukanlah sebenarnya ditulis oleh Aristotle, tetapi komentari oleh pemikir Neoplatonis.
Tambahan pula, beberapa konsep Aristotle tidak diulaskan secara keseluruhan kerana terjemahan yang dilakukan ke atas karya-karya Aristotle tidak menyeluruh. Terjemahan Aristotle yang sampai kepada Ibnu Sina dan dunia Islam pada ketika itu memberi tafsiran yang terhad kepada konsep kewujudan yang Wajib (Arab : Wajib al-wujud/necessary) dan kewujudan yang Mungkin (Arab : mumkin al-wujud/contingent), dan juga kepada konsep asbab Aristotle . Perkara inovatif yang Ibnu Sina ketengahkan adalah mewujudkan satu lagi definisi kepada konsep kewujudan yang wajib (necessary existent) untuk memberi ruang agar Tuhan yang Esa yang tidak terikat kepada penghasilan makhluk. (Kerana kesan dari tafsiran terhad terhadap teori Aristotle pada waktu itu, Tuhan , walaupun sebuah entiti yang wujud secara wajib, seolah-olah terikat dengan kerja-Nya iaitu perlu menghasilkan makhluk dan alam setiap masa, maka merendahkan martabat Tuhan yang berkehendak dan berkeperluan).
Selain dari itu, Ibnu Sina juga berpegang dengan fahaman Aristotle bahawa roh dan badan adalah terpisah. Disini, Ibnu Sina memperkenalkan sebuah eksperimen fikiran (thought experiment) yang dikenali sebagai Manusia Terapung. Cuba kau bayangkan bahawa kau lahir didunia ini dalam satu keadaan dimana anggota badan kau terpisah dari setiap anggota yang lain, tiada yang bersentuhan. Mata kau diselaputi sejenis membran yang membuatkan kau tidak mampu melihat. Kau ada tangan dan jari tapi jari-jari kau tidak dapat menyentuh anggota badan yang lain. Persoalannya, adakah kau sebagai kau, sesuatu yang wujud Ibnu Sina mengatakan dalam keadaan ini, sekalipun kesemua panca indera rasa kau terhijab, kau akan dapat menyedari kewujudan diri kau sendiri, bahawa kau wujud. Dan ini adalah sebuah eksperimen fikiran yang menguatkan poin bahawa roh adalah sesuatu yang immaterial, dan hanya roh sahaja yang tinggal apabila badan mati. Poin ini amat penting dan disinilah aku akan memperkenalkan tokoh falsafah Islam seterusnya, kerana pegangan Ibnu Sina yang inilah antara yang diserang hebat oleh tokoh ini.
Dia seorang yang tidak asing bagi umat Islam di Malaysia, Abu Hamid Muhammad Ibnu Muhammad al Ghazali. Al Ghazali lahir di Tus,Iran, pada tahun 1058, 21 tahun selepas kematian Ibnu Sina. Al Ghazali amat mahir dalam fiqh dan ilmu kalam dan pada umur yang muda telah dilantik menjadi pensyarah sebuah kolej yang berprestij dan amat terkenal sekali, iaitu kolej Nizamiyya di Baghdad. Namun setelah beberapa tahun mengajar, al Ghazali mengalami krisis spiritual. Dia melihat bahawa alim ulama sepertinya sudah tersasar daripada landasan asal mereka. Al Ghazali menyerang para mutakallimun pada zaman nya kerana walaupun mereka arif dalam kalam dan fekah namun itu digunakan untuk berbahas dan berpidato sedangkan konsep asal Islam seperti hubungan personal antara Tuhan dan manusia diketepikan. Al Ghazali menulis dalam biografinya mengenai krisis ini sehingga pada satu masa dia menidakkan kesemua kepercayaannya . Dia tidak dapat percaya kepada apa yang dialami dengan panca indera, dan dia tidak dapat percaya kepada akal fikirannya sendiri, maka dia kehilangan sesuatu pautan kepercayaan kepada Allah. Namun begitu, seperti dalam tulisannya, dia amat bersyukur kerana Allah menyelamatkannya dari krisis ini dan kembalilah Al Ghazali dalam mempercayai Allah. Al Ghazali meninggalkan karier berprestijnya dan menjalani kehidupan sebagai seorang sufi selama 11 tahun, merantau di setiap pelosok Timur Tengah. Autobiografinya yang berjudul Munqidh ad-Dalal (Penyelamat dari Salah Fahaman) amat menarik (dan agak nipis juga) dan aku amat rekemen kau untuk baca sebagai pengenalan kepada idea-idea al-Ghazali. Magnum opus-nya iaitu Ihya Ulumuddin dihasilkan pada waktu dia membawa diri mengembara sebagai sufi.
Al Ghazali menghasilkan Maqasid al-Falasifa, sebuah karya yang menerangkan konsep fahaman ahli falsafah, semacam buku teks atau buku pengenalan terhadap idea-idea falsafah. Huraian al Ghazali amat baik sehinggakan, apabila hanya membaca karya ini, orang memikirkan bahawa al Ghazali juga mempunyai pendapat seperti dalam Maqasid (iaitu sama pegangan dengan Ibnu Sina dan al Farabi) . Maqasid diterjemah kepada bahasa Latin dan Hebrew setelah al Ghazali meninggal dunia dan mendapat sambutan yang lebih hebat di dunia Latin daripada dunia Arab. Namun kemudiannya, al Ghazali melancarkan sebuah karya monumental iaitu Tahafut al-Falasifah (Ketidaklogikan Para Ahli Falsafah) yang menyerang 20 idea-idea falsafah yang dia rasakan menyalahi agama Islam.
Oleh itu, mungkin agak pelik untuk memasukkan alGhazali dalam buku mengenai falsafah kerana alGhazali juga amat terkenal dengan bukunya yang menentang ahli falsafah, iaitu Tahafut . Al Ghazali dengan terang menentang beberapa fahaman-fahaman Ibnu Sina dan juga al Farabi. Buku ini antaranya menyerang pandangan Ibnu Sina yang mengatakan hanya roh boleh dan masih ada pada masa kematian,dan jasad akan hancur kerana ini menidakkan konsep kebangkitan semula jasad. Al Ghazali merasakan kebangkitan semula jasad adalah kepercayaan yang perlu ada pada diri seorang Muslim. Satu lagi serangan al Ghazali terhadap Ibnu Sina adalah berkaitan dengan fahaman Ibnu Sina mengenai alam yang bersifat kekal (baqa/eternal). Perbalahan dua tokoh gergasi dunia falsafah Islam ini juga merupakan pertembungan dua idealogi mengenai kewujudan alam, iaitu Teori Emanasi yang dipegang oleh golongan Neoplatonis, dan Teori Penghasilan Alam dari sesuatu yang tiada (Creatio ex nihilo) yang rata-rata dipengang oleh mutakallimun/agamawan ortodoks.
Argumen Ibnu Sina adalah berkait rapat dengan prinsip kewujudan yang wajib dan, seperti ahli falsafah lain, yang dipengaruhi dengan teori emanasi Plotinus/Neoplatonis . Pandangan Ibnu Sina, kewujudan yang wajib (Necessary Being) akan sentiasa (pada setiap masa) menghasilkan atau mengemanasi alam dan segala yang di dalamnya, maka tiada jarak masa antara Tuhan dan alam yang dihasilkan. Al Ghazali, seperti Sunni ortodoks yang lain berpendapat bahawa kalau kita mempercayai sebegini, kita meletakkan bahawa alam juga turut wujud bersama-sama Allah; bahawa alam itu bersifat kekal, maka ini menyalahi sifat Allah sebagai satu-satunya yang kekal. Maka al Ghazali berpegang fahaman yang berlawanan, iaitu Allah itu wujud, kemudian pada satu titik dalam sebuah garis masa, alam diciptakan. Para ahli falsafah seperti Ibnu Sina pula menentang keras creatio ex nihilo kerana ,seperti tokoh Yunani sebelum mereka, berpegang bahawa sesuatu tidak dapat terhasil dari non-sesuatu. Al Ghazali dan para agamawan pula mengatakan kerana Tuhan itu Maha Kuasa, Dia mampu menghasilkan sesuatu dari non-sesuatu. Namun begitu, Ibnu Sina dan mereka yang berfahaman emanasi tidak menidakkan kekuasaan Tuhan. Ibnu Sina juga mempercayai bahwa Tuhan itu maha Kuasa, Maha Menguasai dan lain-lain sifatNya. Namun , bagi pandangan Ibnu Sina, alam walaupun bersifat kekal sama seperti Tuhan, derajatnya jauh lebih rendah daripada Tuhan kerana sifat alam yang Mungkin( mumkin/ contingent) manakala Tuhan bersifat Wajib Ada (Necessary), sesuatu yang bersifat Wajib adalah Qiyamuhu Binafsih ( Berdiri dengan sendiri) manakala sesuatu yang bersifat Mumkin, iaitu alam, walaupun kekal, tidak dapat berdiri dengan sendiri.
Kau mungkin pernah dengar sesetengah agamawan yang mengatakan ilmu falsafah itu haram atau patut dielakkan dan menggunakan bukti dari al Ghazali dan serangannya, namun aku berpendapat bahawa al Ghazali tidak menentang ilmu falsafah itu sendiri tetapi hanya sebahagian konsep-konsep falsafah. Malahan, dalam buku Tahafut itu al Ghazali mengaplikasikan logik sillogisme (iaitu sebahagian penting ilmu falsafah) untuk mematahkan argumen Ibnu Sina. Beberapa argumen falsafah Ibnu Sina turut diambil oleh para mutakallimun. Satu lagi yang aku ingin tekankan disini ialah tidak mustahil untuk mengagumi kedua tokoh ini walaupun pandangan mereka berlainan. Kedua-duanya adalah permata ulung dalam sejarah ilmu Islam dan amat sedih sekali bila dunia bukan Islam, karya-karya keduanya dihargai dan terjemahan yang berkualiti kedua-dua tokoh ini didapati dalam bahasa Barat seperti Perancis, Jerman dan Inggeris. Manakala dunia Islam hanya mampu meletakkan nama-nama ilmuwan Islam kepada kolej kediaman universiti mereka.
Tidak cukup ruangan buku ini untuk menceritakan mengenai impak Ibnu Sina, al Ghazali, dan juga Ibnu Rushdi (yang tidak aku sertakan dalam ini) kepada pemikiran agamawan dan ahli falsafah zaman pertengahan Kristian ataupun lebih dikenali sebagai para Skolastik. Kalau kau berpeluang membaca karya-karya mereka seperti Thomas Aquinas, Boethius, Henry of Ghent dan lain-lain, mereka sering kali memetik argumen dan kata-kata daripada ilmuwan-ilmuwan Islam, seperti Ibnu Sina dan juga Al Ghazali, tetapi terutama sekali Ibnu Rushd. Sehinggakan terdapat golongan yang dipanggil Latin Averroist ataupun pengikut Ibnu Rushd Latin dan kalau kau baca karya mereka, mereka akan menggelar Ibnu Rushdi sebagai The Commentator manakala Aristotle sebagai The Philosopher. Ini menunjukkan betapa tinggi pengaruh Ibnu Rushd sebagai seorang komentator kepada karya Aristotle.
Sumber Primer :
1. The Metaphysics of The Healing( Shifa) terjemahan karya Ibn Sina oleh Michael E. Marmura (2005)
2. Al-Ghazalis Path To Sufism: His Deliverance from Error (Munqidh ad-Dalal) karya Al Ghazali terjemahan R.J. McCarthy (2000)
Sumber Sekunder:
1. The Cambridge Companion to Arabic Philosophy diedit oleh Peter Adamson (2004)
2. Avicenna karya L.E. Goodman (1992)