Dia masih tidak percaya akan apa yang dilihatnya itu termuat naik di dalam CNN; malah berkali-kali dia melihat logo merah dihujung bingkai siaran itu. C-N-N; dieja berkali-kali kerana setiap kali ejaan itu, hadir keyakinan yang membukit sedikit demi sedikit. Kebiasaanya pada waktu-waktu sebegini, dia sudah berada di park seberang sana untuk melakukan Yoga. Sun Salutation itu adalah rentak meditasi yang tidak pernah ditinggalkan walau seteruk manapun tahap kesihatan dirinya. Kali ini dia tahu, segala bentuk meditasi pun tidak akan mampu membantu menenangkan dirinya.
Kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk. Ini kali pertama kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk; ini kali pertama.
Asalnya dia dan John ingin memulakan hari mereka dengan secangkir kopi yang unggul dan mewah aromanya. Malah kafe Red Cup itu terletak di bahagian bawah apartment sahaja. Dia menyikat rambut hitamnya sambil memakai blaus ringkas dengan jeans semalam; ah masih berbau segar. Sempat mendapatkan onion bagel di jalanan dan bertegur sapa dengan tuan rumah; Encik Ramirez. Dia tahu hari ini pasti berbeza. Selepas teman wanitanya dibunuh dalam tragedi ngeri itu, dia dan John mula mengetahui bahawa ada tahap-tahap kesakitan yang perlu manusia tempuhi untuk mendapatkan kemanisan cinta nan sejati.
Kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk. Ini kali pertama kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk; ini kali pertama.
Dia bukan calang-calang gadis; malah dia pernah mengejutkan rakyat Malaysia dengan kejayaannya mendapat biasiswa penuh yang ditaja oleh Ahli Lembaga Pengarah Harvard University itu sendiri untuk mendalami pengajian Ketamadunan Moden. Malah dia punya cukup bakat, minat dan usaha untuk menjadi salah seorang pemikir yang akan memnbantu dunia yang kian sakit. Dia tahu dia berbeza. Dia tahu latar belakangnya daripada sebuah perkampungan kecil di Terengganu tidak langsung melucut minat dan usahanya yang mendalam dalam memahami sejarah manusia, kemanusiaan dan ketuhanan.
Kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk. Ini kali pertama kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk; ini kali pertama.
Bapa saudaranya melarang; katanya di negara asing itu susah untuk mendapat jalan yang benar.
Siratulmustaqim.
Dia masih ingat cara menyebut perkataan Timur Tengah itu walaupun dia sudah tidak tahu mengeja. Tetapi gelumangannya dengan ilmu sejarah membuatkan dia kembali celik pada mana-mana bahasa penting di dunia. Dia nampak seperti gadis-gadis yang akan keluar berhibur di kelab-kelab malam sehingga mabuk, kecuali dia tidak langsung begitu.
Dia hanyalah seorang penagih yang menjadikan ilmu itu sebagai dadah terbaik buatnya. Semakin didalami, semakin meningkat ketagihannya. Lalu di dalam apartment yang penuh dengan bad bitches itu, dia tetap cekal membumi untuk mempelajari segala rahsia ketamadunan; untuk dicedok guna suatu hari nanti. Ah, mungkin dia akan menjadi ahli politik, atau menteri sebuah negara, malah mungkin diberi kesempatan untuk berucap di PBB nanti! Dia seorang gadis yang tidak suka membaca novel cinta murahan, menonton drama picisan atau bergaduhan di media sosial. Dia gadis yang tidak pernah ada penduanya.
Kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk. Ini kali pertama kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk; ini kali pertama.
Tetapi hari ini, pagi ini, onion bagelnya sudah mencium lantai kafe itu. Pelanggan-pelanggan yang ada menerkup mulut masing-masing, ada yang sudah mula menangis. Hatinya kini sudah tidak menagih ilmu yang selalunya diceduk dari buku. Hari ini dia tidak lagi menagih sejarah lalu. Saat babak-babak itu terpapar, dia menagih untuk menjadi manusia normal; yang tahu rasa sedih dan sebak, yang mahu dipeluk-peluk dan ditenangkan oleh insan tersayang. Kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk. Ini kali pertama kapucino yang tersudut dalam satu cangkir merah itu dibiar sejuk; ini kali pertama. Dan ini kali pertama dia terasa ingin sungguh pulang ke Malaysia dengan segera!
***
Dia tahu kita semua serupa. Dia tahu kita ini debu kosmik yang bertebar melata.
Dia selayaknya menjadi seorang chef; bukan saintis. Kalau dilihatkan dari hasil tukangannya di atas pinggan, dia sudah layak menjadi chef terunggul di hotel-hotel mewah yang berbintang-bintang tarafnya. Ketika itu dia sedang menikmati Kuih Lapis hasil air tangannya; sedap kerana rasanya lemak dan kurang manis. Santan itu dibeli dari kedai India berhampiran; ah ini bukan seperti di Malaysia yang begitu mudah untuk membeli kelapa parut dimanamana. Tapi dia akan cuba walau terpaksa berjalan sehingga ke boulevard yang berpenghujungkan sebuah park, kerana makanan barat tidak pernah diraikan di dalam perutnya.
Dia tahu kita semua serupa. Dia tahu kita ini debu kosmik yang bertebar melata.
Gigitan pertamanya terhenti kerana riwayatnya hampir tertanggal saat CNN menggemparkan pembuluh darahnya. Jantungnya berdegup kencang; malah terasa hampir pecah. Kuih lapis itu dibiar tersisa di sudut pinggan, dia bingkas bangun dan terus melopong di hadapan televisyen pemberian kekasihnya, Brian.
Ah, bekas kekasih sebenarnya.
Apa yang dilihatnya itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Sebagai pelajar Sains yang cemerlang di Harvard, dia tahu itu adalah kitaran semulajadi. Sebagai agnostik dia tahu bahawa Tuhan tidak ada kena mengena dengan apa yang terjadi. Tetapi pengetahuan tentang Sains tidak akan dapat mengubati rasa runtum jiwa yang dihirishiris oleh kenyataan yang memedihkan. Dia mampu melihat Brian bersenggama dengan Clarissa di hadapan matanya dengan tenang, malah sempat menendang zakar lelaki itu. Tetapi apa yang dilihatnya pagi ini, tidak mampu untuk diluahkan dengan kata-kata dalam mana-mana bahasa sekalipun.
Dia tahu kita semua serupa. Dia tahu kita ini debu kosmik yang bertebar melata.
Fikirnya realiti itu kejam dan itulah sebenarbenarnya anarki yang berkeliaran disamping kita setiap hari. Di menghubungi kawannya; yang kini sudah berada di kafe , tempat onion bagel mencium lantai bumi. Dia cuba untuk kelihatan bersahaja tetapi dia tahu bahawa apa yang dilihatnya tidak mampu dicerna oleh mana-mana mata manusia. Bukan dia tidak pernah melihat paparan sebegini; malah kegemarannya menontong wayang membuatkan dia sepatutnya berlagak tenang dan bersahaja. Sepatutnya. Walau Kuih Lapisnya itu akan dibiar basi di udara Amerika Syarikat, dia sudah tidak kisah tentang apa yang berlaku di sekelilingnya. Dunianya terasa sunyi dan bergerak perlahanlahan.
Dia tahu kita semua serupa. Dia tahu kita ini debu kosmik yang bertebar melata.
Paparan CNN itu membawanya kepada babak-babak di mana arwah ibunya yang berbaju lusuh menghantarnya sehingga ke lapangan terbang; ibunya selalu berbaju lusuh. Sejak lelaki tak guna itu meninggalkan keluarganya, ibunya sudah tidak punya duit untuk bergaya; malah untuk makan sekalipun.
Kadangkala dia kesal dengan ilmu miliknya yang tidak mampu pun untuk menyuap butir-butir nasi ke dalam mulut ibu tua itu. Tetapi mereka berdua terus kekal bersamasama. Ibunya pandai sungguh memasak, malah jualan Kuih Lapis yang selalu dihantar ke kedai-kedai makan di kampung selalu sahaja habis. Masakan tidak, ibunya menggunakan santan yang berkualiti tinggi, dan hasil buatannya bagus sekali. Rasanya cukup lemak dan kurang manis; seperti Kuih Lapis yang ditinggalkan basi, dihirup udara Amerika Syarikat sebentar tadi.
Mak, bisiknya perlahan.
Malam itulah kali terakhir dia melihat ibunya dan baju lusuh ibunya biarpun berbau; dicium-cium sepuasnya. Rindu sungguh dia akan susuk tubuh dan bau ibunya. Bau wanita yang kekal dan cekal berjuang setelah lama ditinggalkan sang suami celaka. Habis lebam-lebam badan ibunya apabila ceti haram menuntut hutang lelaki itu dan ibu tuanya itulah yang selalu menjadi mangsa. Dan mak, dia tahu, mak akan damai di sana. Di sebelah Tuhan dan nabi-nabi yang selalu dipujanya. Dia hanya mahu menjadi pejuang seperti ibunya. Dia hanya mahu menjadi Srikandi seperti ibunya.
Dia tahu kita semua serupa. Dia tahu kita ini debu kosmik yang bertebar melata. Sejak munculnya Gempa Mega dan Tsunami Raya, Tinta Pujangga dan Mama Juwita sudah tidak menoleh ke belakang lagi.