ASKAR BERJALAN KAKI - 8
Setelah setahun bertugas di Kluang, suatu hari semua pegawai 23 orang telah diarahkan untuk hadir dalam satu mesyuarat penting yang di pengerusikan oleh pegawai memerintah( Lt kol Ahmad Zaki) sendiri.

Selepas taklimat dari pegawai risik tentang situasi semasa, pengerusi telah memaklumkan bahawa batalion (16 RAMD) ini akan berpindah ke Sabah pada bulan September 1990. Berita itu aku terima dengan perasaan yang sungguh gembira tetapi lain pula bagi pegawai berkahwin.

Mereka agak berbelah bahagi kerana ia melibatkan banyak perkara pentadbiran serta persekolahan anak-anak. Aku faham masalah mereka walaupun tidak dapat benar-benar menyelaminya.

Semua pergerakan adalah dengan kapal Nusa Berjuang yang di sewa khas. Namun demikian ada juga pergerakan dengan pesawat MAS yang melibatkan isteri mengandung dan elemen-elemen penting yang perlu sampai segera ke pasukan baru.

Sebanyak 4 pergerakan dengan kapal laut. Semua kenderaan, barang-barang persendirian serta anggota digerakkan menaiki kapal tersebut. Aku dipertanggungjawapkan untuk membuat pembahagian kabin serta penempatan anggota kawin dan bujang di dalam kapal.

Alhamdulillah aku berjaya menyiapkannya. Malah aku telah dilantik untuk menjadi ketua pergerakkan bagi pergerakan ketiga bersama 316 penumpang tentera yang lain. Aku terima perlantikan ini sebagai satu penghormatan.

Aku berjanji dengan diri aku sendiri untuk melakukannya yang terbaik. Pelik juga why me Walaupun aku faham bahawa tidak mungkin mereka memberi sesuatu tanggungjawap jika mereka tidak percaya, tapi ada ramai lagi pegawai lain yang lebih berpengalaman.

Sepanjang perjalanan selama hampir 3 hari aku sentiasa memberi peringatan serta taklimat terkini melalui pembesar suara kapal. Hubungan aku dengan Kapten kapal (Saiful) juga baik yang membolehkan aku di beri kebenaran untuk naik hingga ke atas kapal dan tempat-tempat larangan.

Pertukaran siang dan malam serta keindahan laut ciptaan Tuhan amat menyentap jiwaku. Paling cantik aku saksikan apabila matahari terbenam dan pergerakan ikan lumba-lumba yang sungguh mengasyikkan.

Perjalanan hampir 3 hari itu aku manfaatkan dengan menghayati suasana laut dan pergerakan burung serta perubahan cuaca. Pelayaran tersebut mengingatkan aku terhadap kapal mewah yang bernama Titanic. Kapal buatan British yang dikatakan tidak akan tenggelam itu rupanya telah terlanggar bungkah ais dan tenggelam pada pelayarannya yang pertama lagi. Tragedi itu berlaku pada 14 April 1912

Perjalanan yang agak lama bagi kami dari pelabuhan Pasir Gudang itu berakhir apabila kami menghampiri pelabuhan Kota Kinabalu. Pada minggu pertama selepas mendarat, aku masih terhoyong hayang kerana pening naik kapal selama 3 hari itu belum hilang. Tengok banggunan pun rasa bergerak banggunan tersebut.

Aku tidak lama di kem Lok Kawi kerana pada minggu kedua, kompeni aku telah di arahkan oleh pegawai memerintah untuk mengambil alih operasi Belasah di kawasan Kudat dan pulau Pulau di sekitarnya.

Ini ujian aku yang pertama. Walaupun aku di tumpangkan seorang ketua kompeni berpangkat kapten, namun aku yang bertanggungjawap terhadap semua urusan persiapan operasi. Ini adalah kompeni aku jadi akulah yang patut melakukannya.

Aku juga tertanya-tanya kenapa aku diberi kepercayaan untuk operasi yang pertama ini kerana ramai lagi pegawai dan kompeni yang telah sampai lebih awal boleh di atur gerakkan. Namun aku hargai kepercayaan yang di beri ini .

Operasi pertama dengan pesawat NURI dari Kudat (utara Sabah) ke pulau Balambangan dan pulau Bangi. Operasi ini juga menjadi sejarah buat platun aku kerana kami telah memindahkan lokasi kem tersebut ke lokasi baru di hujung pulau Balambangan atas arahan pihak Briged.

Setiap apa yang berlaku adalah sejarah dan aku memang suka mencipta banyak sejarah buat diriku dalam dairi hidupku. Sejarah adalah politik masa silam dan masa akan datang. Sebanyak 12 buah bot awam telah kami aturgerakkan. Kami hanya bagi minyak dan makanan.

Aku juga mengaturkan kelas mengaji Al-Quran serta fardu ain yang di kendalikan oleh aku dan anak buahku. Tahap pengetahuan serta kesedaran agama di kalangan penduduk di pulau ini sangat rendah.

Adalah menjadi kewajipan kepada kami untuk mengajar apa yang kami tahu sebagai satu tanggungjawap dakwah serta amal jariah. Tidak terlepas kita di Padang Mahsyar kelak jika kita biarkan mereka terus jahil di dalam perkara agama.

Penduduk seramai sekitar 200 orang di sini merupakan berbangsa Ubian dari Filipina. Mereka juga mengamalkan beberapa amalan kurafat, iaitu memasang lampu serta berjudi di atas kubur sambil makan dan minum.

Tapi lain pula amalan bangsa Murud di Tenom yang akan memakaikan simati dengan pakaian yang cantik sementara menanti keranda siap. Keranda tersebut kemudiannya akan di letakkan di atas bukit.agama mereka. Adalah Kristian.

Macam-macam kemungkaran boleh berlaku jika kita tidak berusaha menuntut ilmu. Ilmu itu memandu kita ke arah yang betul. Ia juga membolehkan kita membuat pilihan serta berfikir secara waras. Fikiran yang sihat akan menghasilkan hormon-hormon positif dalam badan kita. Fikiran itu pula adalah umpama belon, ia hanya berfungsi apabila ia di tiup.

Pada hari terakhir operasi kami di pulau Balambangan, seluruh penduduk kampung Sina telah meraikan perpisahan kami dengan mengadakan jamuan serta tarian daling-daling. Tarian tersebut dipersembahkan kepada kami sebagai tanda terima kasih di atas sumbangan kami yang jauh melebihi dari pada apa yang mereka jangkakan.

Pulau tersebut perlu di kawal sentiasa bagi mencegah pencerobohan lanun dan pendatang asing. Di samping itu juga keselamatan perairran perlu di pelihara bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman musuh.

Pada minggu-minggu terakhir aku melintas di bawah rumah mereka aku dengar suara-suara menbaca ayat-ayat yang kami ajar serta bacaan-bacaan di dalam solat. Terasa puas di hati ini kerana apa yang menjadi mainan bibir mereka adalah apa yang kami ajar selama ini.

Ramai yang menangis di atas perpisahan ini. Aku anggap ini adalah perkara biasa dan kami pasti akan kembali lagi. Pesawat udara datang mengambil kami untuk pergerakan balik ke kem di Kota Kinabalu.

Pada tahun berikutnya (1991) aku telah pulang ke semenanjung untuk menghadiri kursus akaun di LATEDA Port Dickson selama sebulan. Aku memohon cuti selepas itu. Pada mulanya tidak di luluskan, tetapi setelah aku menghantar utusan bahawa orang tuaku sedang sakit tenat, segera cuti aku diluluskan selama 2 minggu.

Aku tak pergi mana melainkan menjaga orang tua aku yang sedang terlantar di hospital Tanjung Karang. Pada hari ke lima, kami telah bermesyuarat adek beradek untuk membawa orang tuaku pulang ke rumah kerana keadaannya tidak ada perubahan. Malam itu giliran aku menjaga ayahku hingga 2 pagi.

Aku menatap wajah ayahku. Orang ini telah melalui pahit getir kehidupan dalam membesarkan 13 anaknya. Orang ini telah menjadi begitu kuat dan cekal di atas penderitaan demi penderitaan yang menimpanya.

Tambahan pula orang ini sanggup tidak berkahwin lagi selapas kematian ibuku ketika usiaku hampir 2 tahun, semata-mata untuk mengelakkan sebarang masalah lain dalam proses kami membesar. Orang ini adalah ayahku yang aku amat sayangi. Beliau kelihatan tersenyum, seolah-olah gembira dengan kesepakatan kami membawanya pulang.

Pada pagi Jumaat kami menbawa ayahku ke kampung dengan kenderaan ambulan. Setelah solat jumaat aku mendekati ayahku dan membacakan beberapa surah sambil berdoa, jika Allah ingin menyembuhkannya maka segerakanlah pulihkan kesihatannya dan jika Allah ingin mengambil nyawanya maka janganlah di seksa jasad ini.

Mungkin juga doa yang sama di panjatkan oleh adek beradekku yang lain. Pada lebih kurang jam l630 ayah aku telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas katil di mana beliau seharian berbaring, tidur dan bersolat selama ini.

Aku segera membacakan surah yassin serta memanjatkan doa agar Allah S.W.T merahmati roh ini dan memberikan taufik dan hidayah ke atasnya.

Pada malam tersebut ramai jemaah masjid telah hadir untuk membacakan tahlil untuk arwah ayahku. Salah saorang jemaah menegur aku agar tidak berdiri di kepala jenazah.

Beliau yang juga yang aku panggil pakcik Sharif meminta 10 keping sampul surat yang berisi duit kerana beliau hendak mengedarkan kepada jemaah yang lain bagi tujuan jemputan solat jenazah. Tanpa mengesyaki apa-apa aku telah menyerahkan sampul tersebut.

Pada jam 0630 keesokan harinya aku telah di maklumkan bahawa pakcik Sharif telah meninggal dunia. Segera aku menzirahi rumahnya dalam keadaan terperanjat campur pelik. Isterinya memaklumkan bahawa pagi itu selepas ambil air sembahyang arwah hendak ke surau dan membawa bersama sampul surat semalam.

Tapi tiba-tiba rasa badan tak sedap dan naik semula ke atas rumah. Arwah baring sebentar dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tak sangka boleh hampir serentak kematian dengan arwah ayahku. Ramai sungguh orang datang menziarahi arwah ayahku.

Pada tengahari jenazah telah selamat disemadikan oleh imam Syarigat yang juga bekas guru agamaku. Ayahku telah di semadikan bersebelahan kubur ibu aku yang telah meninggal 20 tahun lebih awal dari arwah ayah ku.

Setelah selesai kenduri tahlil, akupun pulang ke Sabah kerana cuti aku telah tamat. Aku terus diarahkan pergi operasi di sempadan Malaysia/ Indonesia sebaik sahaja mendarat di Kota Kinabalu. Begitulah rutin yang aku lalui sepanjang 5 tahun aku berada di Sabah.

Operasi di sempadan Malaysia/ Indonesia adalah operasi yang lain sikit kerana kami membuat kawalan keselamatan kepada tim dari jabatan Ukur untuk memasang batu sempadan. Satu seksyen dari Indonesia juga melaksanakan operasi bersama aku.

Suatu hari 2 buah pesawat allouette dari Indonesia telah membuat lawatan ke lokasi kami. Seramai 4 Mejar Jeneral, 3 Brigedier General dan 2 kolonel Indonesia telah menyertai rombongan tersebut. Yang menariknya, bukan seksyen dari Indonesia yang buat persiapan sajian tetapi jeneral itu yang datang melawat pula membawa makanan. Selepas lawatan singkat mereka terbang ke lokasi lain.

Setelah selesai operasi selama 2 bulan, tibalah masa untuk penggantian trup. Aku akan di ganti oleh kumpulan dari unit Renjar. Pagi itu kami telah bersiap untuk keluar. Sehingga petang kami tunggu pesawat udara (NURI), namun tidak juga muncul.

Pada petang tersebut aku telah dimarahi kerana gagal memberi grid kedudukan yang betul. Aku mempertahankan pendirian aku. Setelah di siasat, rupanya pihak Briged telah tersalah memberi tujukan peta.

Sepatutnya H tetapi pihak staf Briged telah beri I kepada TUDM. Memandangkan setiap 100 petak peta grid akan berulang, maka pesawat NURI telah mencari kami 100 petak peta ke hadapan. Ia adalah kecuaian staf Briged yang aku tidak dapat aku terima. Tak pasal-pasal aku kena marah dengan berbagai pihak.

Balik dari operasi Ukur, belum sempat membasuh pakaian aku telah dipanggil oleh pegawai risik untuk tugas seterusnya. Pada sebelah petang aku terpaksa mengambil alih operasi di Kudat. Tapi bagi aku tidak ada masalah kerana aku masih lagi bujang dan tidak perlu rehat panjang. Cuma keadaan ini tidak baik jika kerap berlaku.

Selepas tamat operasi, iaitu 2 hari sebelum mulanya Ramadhan, aku dikehendaki menggambil alih tugas leftenan Ghazali untuk projek Tentera Masuk Desa (TMD). Sebanyak 15 buah rumah orang kampung di Menumbuk Sabah perlu di siapkan atas bantuan kerajaan. Pada mulanya hanya 2 buah rumah boleh siap dalam satu minggu.

Setelah aku mengambil alih aku telah membuat kajian secara ofensif dan menggunakan semua tenaga kerja yang ada dan melakukannya secara serentak. Ini menyebabkan sebanyak 4 buah rumah mampu si siapkan dalam masa seminggu. Bak kata pepatah Inggeris plan your work and work on your planning.

Pendekatan aku amat berkesan dan semua anggota yang terlibat gembira. Aku juga turut turun padang untuk menyiapkan projek tersebut. Sebenarnya kita boleh menjimatkan banyak tenaga dan masa jika pandai menggerakkan sumber yang ada secara optima. Sikap juga memainkan peranan yang penting dalam melicinkan tugas kita.

Rumah tersebut dapat di siapkan 3 minggu lebih awal. Wakil dari Satu Divisyen Serawak telah datang untuk membuat pengesahan kerana progres projek rumah tersebut terlalu cepat.

Pada tahun ini (1992) merupakan tahun yang padat dengan aktiviti. Lawatan Menteri Pertahanan ke Dataran Keringat (Dato Sri Najib Bin Tun Razak) iaitu tempat merempuh halangan telah menyaksikan penglibatan secara total aku pada aturcara yang telah disusun.

Latihan Gonzales tempatan juga merupakan satu ujian ketahanan yang sangat mencabar buat diriku dan pasukan kami. Di samping itu aku terpaksa menjadi pegawai pengiring kepada satu kompeni tentera Australia. Sepanjang sebulan mereka berada di sini. Berbagai aktiviti sampingan perlu diatur untuk mereka.

Aku belajar banyak perkara dari mereka. Banyak aktiviti telah di rancang untuk kompeni tersebut termasuk mendaki gunung Kinabalu, berakit, Kenoing serta lawatan ke tempat perayaan Pesta Keamatan. Aku bersama mereka mendaki gunung Kinabalu selama 2 hari.

Dapat aku lihat sikap anggota apabila keletihan. Mereka juga tidak berapa kuat mental dan mudah bertengkar apabila keletihan. Ini tidak baik untuk pasukan tentera yang sentiasa di perlukan untuk bersiap sedia dan punya daya tahan yang tinggi.

Tahun ini juga pasukan aku telah menjalani latihan Gonzales lasak di mana kami perlu berjalan selama 6 ke 7 hari untuk menguji ketahanan mental dan untuk mengaplikasikan taktik dan segala prosedur yang telah di tetapkan.

Latihan Gonzales tempatan telah di perkenalkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Dato Ghazali bin Dato Mohd Seth. Latihan ini sebenarnya merupakan satu operasi untuk menghapuskan pengganas komunis yang terus bermaharajalela. Operasi yang bertopengkan latihan ini adalah unuk mengkaburi musuh dan sebagai satu tipu helah untuk memberi impak yang besar kepada mereka.

Ia diperkenalkan pada bulan April 1974 untuk menentang unit Penggempor Ke lima Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah bertapak di Sungai Siput, Perak.

Operasi perintis tersebut yang melibatkan 4 buah briged, iaitu 3 dari Angkatan Tentera dan sebuah dari Briged Polis Hutan. Hasil dari operasi berjaya menghindar, membunuh serta menjatuhkan moral musuh serta memusnahkan banyak jerangkap samar serta periuk api.

Kini setelah parti komunis meletakkan senjata, pada 2 disember 1989 di Haatyai, maka operasi ini telah bertukar menjadi latihan sahaja. Namun segala prosedur kami patuhi agar ia dapat memenuhi keperluan latihan dan keadaan sebenar.

Kami berjalan dari Banjaran Crocker ke Kota Kinabalu selama 6 hari melalui hutan dan ia amat menyeksakan. Tapi akhirnya kami puas kerana ia berjaya di laksanakan

Sebulan selepas latihan tersebut, aku telah menyertai satu kumpulan dalam latihan di Sri Aman Serawak. Aku menjadi kumpulan berkecuali dan tim penilai. Tahun itu juga aku menduduki peperiksaan kenaikan pangkat leftenan ke kapten. Semasa latihan berjalan, aku terpaksa keluar untuk menduduki peperiksaan.

Memandangkan tiada pergerakan keluar kecuali pesawat VIP kepunyaan Panglima Satu Divisyen, maka aku dibenarkan menumpang beliau.sebaik sahaja tiba di Kucing, aku diterbangkan kan dengan pesawat MAS ke subang dan terus ke Port Dickson.

Dalam kesibukan itu alhamdulillah aku masih mampu lulus. Selepas peperiksaan tersebut aku telah menghadiri kursus pegawai semboyan pasukan selama 3 bulan di Sungai Besi. Adalah masa berehat sikit sambil berkursus.

Selepas tamat kursus, iaitu pada tahun berikutnya (1993), aku telah di arahkan untuk membawa satu platun bagi operasi jarak jauh di Persiangan Sabah. Kami masuk dari Keningau dengan pesawat udara kerana tiada jalan darat ke sana.

Setelah turun di tanah lapang kami menginap di sebuah balai raya tinggal yang masih boleh di gunakan. Pada hari kedua kami menyusur sungai untuk meneruskan rondaan selama sebulan. Kami perlu bergerak setiap hari atau 2 hari sekali.

Jika tidak kami akan gagal sampai ke lokasi di mana helikopter akan mengambil kami. Musim hujan dan cuaca yang tidak menentu telah menyebabkan kami sering basah kuyup di dalam perjalanan.

Setiap hari ada sahaja perkara menarik yang berlaku. Penduduk di sini berbangsa Murut. Mereka mempunyai budaya yang agak pelik kerana perempuan akan keluar bekerja sementara lelaki akan tinggal di rumah.

Taraf hidup penduduk di sini juga amat rendah. Namun kedaifan mereka seperti sudah sebati dan tidak nampak tanda-tanda kecewa dengan situasi demikian. Pemikiran mereka juga tidak berkembang kerana mereka tidak keluar dari persepsi biasa dan kepompong pemikiran yang sedia ada. Namun kami tidak ganggu aktiviti rutin mereka.

Ada satu lagu yang akan dimainkan oleh anak buahku apabila makanan telah siap untuk di jamah. Lagunya berbunyi dayang-dayang bawa pinggan kole, makaaan, makaan. Lagu itu akan di nyanyikan apabila nak makan secara beramai-ramai. Telatah-telatah sebegini amat menghiburkan dan boleh mengelakkan kita dari terlalu tertekan memikirkan operasi.

Satu kejadian yang amat mengejutkan telah berlaku pada platun aku. Salah saorang dari mereka aku tegur kerana suka keluar tanpa kebenaran. Dia (Prebet Roslan) yang perasan sebagai orang lama tidak puas hati dan mengacukan senjata betul-betul ke dada aku.

Entah kenapa aku tenang menghadapi situasi tersebut. Aku ambil 2 lagi kelopak yang berisi peluru dan serahkan padanya. Aku suruh dia tembak dan gunakan 2 lagi kelopak yang aku berikan.

Walaupun sedar tentang kemungkinan yang bakal berlaku, namun aku seperti mendapat kekuatan untuk menghadapi karektor- karektor seperti itu. Orang yang panas baran dan suka mengambil tindakan melulu biasanya adalah orang yang pengecut perlu di beri tindak balas dengan tenang dan bersahaja.

Dia akhirnya menangis dan memohon ampun. Dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Dia takut kerjayanya akan terjejas jika aku membuat laporan. Itulah manusia bila nak bertindak, tak fikir risikonya. Tindakan mendahului pemikirannya.

Namun aku hanya mengambil tindakan di medan iaitu pegawal tambahan sebagai pengajaran kepada yang lain. Ada kalanya kita perlu mengambil tindakan yang boleh memberi pengajaran kepadanya dan kepada orang lain. Hari ini beliau telahpun berpangkat staf sarjan.

Di kawasan ini ramai penduduk yang beragama kristian. Gereja yang dibina sangat cantik, walaupun penduduknya sangat daif. Banyak kematian di sini kerana jangkitan denggi berdarah. Memandangkan mereka berada jauh di pendalaman maka ramai yang tidak dapat diselamatkan. Sikap penduduk kampung yang tidak pandai menjaga kebersihan juga faktur berjangkitnya berbagai penyakit.

Di pendekkan cerita, operasi ini tamat setelah kami di keluarkan dengan pesawat udara. Setelah mencuba 3 kali barulah heli boleh masuk kerana kabus dan awan tebal.

Masa itu bulan puasa dan kami sampai pada jam 1730 di padang kawad Kem Lok kawi. Sampai di Wisma Perwira, terus aku buka puasa bersama pegawai-pegawai yang lain. Di Sabah puasa awal satu jam dari Semenanjung. Itu yang seronok bila talipon kampung sebelum pergi solat terawih, mereka baru nak buka puasa.

Dua minggu selepas hari raya kami menjalani ujian jalan laju sejauh 5 kilometer. Salah saorang daripada anak buah aku telah pengsan setelah tamat latihan. Dua jam selepas itu dia sudah tidak sedarkan diri. Kemudian beliau terus nazak dan meninggal dunia iaitu lebih kurang 4 jam selepas latihan jalan laju.

Segalanya berjalan lancar dan kami menghubungi keluarga arwah dan memaklumkan tentang kejadian tersebut. Keluarganya tidak dapat terima keadaan tersebut.

Apabila jenazah di terbangkan dari Kota Kinabalu keluarganya memarahi pegawai pengiring. Namun segalanya selesai apabila lembaga penyiasatan mendapati beliau mengalami jangkitan penyakit dan bukannya kecuaian pasukan.

Satu malam aku tidak boleh tidur, dan malam tersebut juga aku mengajar kelas malam (taktik) kepada anggota. Namun aku tidak mengesyaki apa-apa. Pada pagi tersebut seperti biasa aku ke pejabat.Pegawai staf briged telah memanggil aku untuk memberikan sedikit pandangan tentang konsep latihan malam yang aku sedang jalankan. Selepas bertemu dengan beliau aku terus merasa pening.

Bila aku ke rumah sakit tentera (RSAT), aku segera di masukkan ke wad kerana aku telah dijangkiti malaria. Jangkitan adalah ketika aku operasi Ronda Jarak Jauh dahulu. Sepuluh hari aku di sana dan tiga hari di hospital Queen Elizaberth. Keadaan memang teruk. Pada hari ke sebelas aku keluar hospital tetapi di arahkan masuk semula di RSAT oleh pegawai memerintah kerana ada lawatan serta sumbangan kuih raya.

Aku dapat tuntutan insuran sebanyak Rm 1100.00. Alhamdulillah. Sebaik sahaja keluar dari hospital aku tidak duduk diam sebab banyak lagi kerja aku yang terbengkalai. Salah satunya ialah hobi aku mengumpul Kodak filem terpakai.

Lebih 10 buah kedai mencuci filem akan memberikan aku bekas filem yang berwarna warni untuk aku bawa pulang jika aku tidak datang selama 2 hari mereka akan bising dan mengarahkan untuk aku ambil.

Setiap kali aku kutip, tidak kurang dari 500 biji sarong filem dari berbagai jenama. Ia bukan sahaja boleh dibuat rantai kunci, tetapi juga boleh di buat hiasan. Pada penghujung tahun 1994 aku telah mengumpul sebanyak lebih 25000 biji bekas filem tersebut.

Tiba-tiba aku kena bertukar ke Pasukan Udara Tentera Darat di Kluang. Tak tahu nak buat apa dengan benda yang sedemikian banyak. Dan akhirnya aku serahkan pada kompeni aku untuk di buat projek yang difikirkan sesuai.

Pada tahun 1994 aku telah dijanjikan dengan berbagai aktiviti tahunan yang menarik. Selepas sembuh dari demam malaria, aku telah di arahkan untuk operasi di Lahad Datu sebulan dan di Semporna sebulan.

Namun aku sudah lali dengan operasi kerana terlalu kerap terpilih. Walaupun adakalanya aku tidak begitu berpuas hati tetapi aku sentiasa bersangka baik. Makin banyak aku operasi, maka makin banyak yang aku pelajari.

Pada tahun ini sekali lagi kami terlibat dengan latihan Gonzales tapi kali ini bermula dari Daerah Kudat menghala ke Sikuati. Sebagai pegawai gerakan, aku sentiasa bersama pegwai memerintah aku untuk taklimat dan kerja-kerja yang seharusnya aku lakukan.

Latihan pada kali ini kami lakukan dengan persiapa rapi. Ada masa kami berlari dan ada ketikanya kami tidak berehat kerana hendak sampai awal di Check point. Syukur, kerana pada kali ini latihan tersebut berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang kecederaan.

Ketika platun aku menjalani operasi di pulau Tambisan iaitu di pulau yang telah mencatat 2 sejarah. Sejarah pertama ialah kisah tentera telah melakukan hubungan seks dengan seorang pendatang yang kemudiannya pendatang tersebut telah melaporkan kepada polis. Anggota tersebut telah diberhentikan dari perkidmatan dengan keji.

Kisah yang kedua di mana sahabat baik aku yang telah mendapat Pingat Gagah Berani (PGB). Beliau telah bertempur dengan lanun dan telah menyebabkan 2 lanun terbunuh dan yang lainnya cedera. beliau yang bernama kapten Suhaidi kini bertugas di 14 RAMD Kluang Johor.

Pada 11 Disember 1993, jam 1330 telah berlaku tragedi Kondominium Highland Tower di Hulu Selangor telah runtuh menyembah bumi dan menyebabkan banyak kematian yang menggerikan. RTM telah menyiarkan siaran langsung selama berhari-hari. Kami di pulau pun dapat menyaksikan tragedi yang menyayat hati itu. Semoga Allah melimpahi rahmat ke atas roh mereka.

Peristiwa 5 orang tentera British yang hilang di Gunung Kinabalu merupakan ujian mental yang sebenar buat kami anggota (Unit Combat Inteligent Skuad) UCIS. Pada 25 mac iaitu hari raya ke dua aku dan beberapa pegawai bujang telah bertandang ke rumah Rejimen Sarjan Mejar (RSM).

Belumpun sempat kami masuk, koperal bertugas telah menahan kami kerana pegawai memerintah hendak jumpa kami. Mesyuarat tergempar terus berjalan. Beliau memaklumkan bahawa seramai 5 orang tentera British yang mendaki gunung Kinabalu telah hilang.

Dan aku di kehendaki memimpin platun UCIS untuk operasi mencari dan menyelamat. Dalam masa 20 minit aku telah siap untuk bergerak. Setelah memberi taklimat, aku telah bergerak dari kem Lok Kawi ke kawasan kaki gunung Kinabalu. Kami diarahkan untuk mencari dari bawah.

Gunung kinabalu adalah gunung yang tertinggi di Asia Tenggara (4,101 meter) sejak 1976. Mereka telah hilang di Lows Gully yang terletek di bahagian timur gunung tersebut. Mereka telah melakukan pendakian sejak 25 Febuari 1994 tetapi telah sesat sejak 12 mac 1994 apabila memasuki kawasan Low Gully.

Selama 11 hari (mulai 25 Mac1994 hingga 6 april 1994) kami mencari kesan-kesan mereka. Namun sehingga hari yang ke tujuh mereka masih tidak di temui. Aku memohon Ration tambahan untuk operasi seterusnya. Satu perkara lucu telah berlaku. Platun belakang yang tidak bergerak tetapi hanya menghantar laporan seolah-olah mereka telah hampir dengan kami.

Tembelang mereka telah pecah kerana jangkaan mereka operasi ini akan selesai dalam 2-3 hari sahaja. Tapi bila dah masuk hari ke tujuh, mereka mengaku bahawa tidak bergerak. Apabila pesawat udara hendak membuang makanan aku menembak Verylight pistol agar lokasi sebenar kami dapat di cari di hutan rimba tersebut.

Tapi platun belakang telah menembak dahulu kerana tamak hendak makanan lebih awal. Kecewa lah kami di perlakukan sedemikian. Tapi sebaliknya pada Shortie kedua, aku terima catuan tambahan yang di bungkus oleh isteri beliau.

Ha..ha..! Aku terus menghubungi beliau melalui radio set dan mintak halal. Pada mulanya catuan di campak di atas air, tetapi nampaknya semuanya pecah teruk walaupun telah dibalut beberapa kali. Cubaan kedua ialah membuang ke lereng bukit. Selamatlah sikit makanan walaupun tidak semua yang boleh dimakan.

Aku menyambut ulang tahun yang ke 26 di dalam hutan. Tidak ada aktiviti menarik, melainkan tekanan demi tekan yang aku terima dari pegawai memerintah ( Lt Kol yahaya) agar aku bergerak pantas sedikit. Namun keadaan muka bumi dan tanah hutan yang sangat curam menyukarkan pergerakan kami. Tambahan pula cuaca hujan setiap hari telah memberatkan lagi pack kami

Pada hari kesebelas kami di maklumkan kesan SOS telah di lihat di lereng salah satu kawasan pergunungan, iaitu tidak jauh dari tempat kami. Semua rakyat British itu telah di keluarkan dengan pesawat udara secara Winching.

Mereka telah berjaya di kesan oleh juru terbang, Kapten Izhar Hassan yang menerbangkan helikopter jenis allouette 3 bersama 3 penyelamat British pada jam 10.10 5 April 1994 di ketinggian 2000 meter berhampiran sungai Penataran.

Dua mangsa, Lt kol Robert Neil (46 tahun) dan Prebet Lam Wai Ki (27 Tahun) telah berjaya di keluarkan dengan pesawat Nuri dan di terbangkan ke kampung Melakap Nahadang iaitu kira-kira 12 kilometer dari lokasi mereka di temui. Mereka kemudian di terbangkan ke Pusat Perubatan Sabah (SMC).

Tiga lagi mangsa iaitu Mejar Roland Forster (54 tahun), Prebet Cheng Wai Keung (24 tahun), dan Prebet Cheung Yie Keung (32 tahun) telah di keluarkan pada keesokan harinya kerana cuaca tidak mengizinkan.dengan keluarnya ke lima-lima warga British yang hilang itu maka tamatlah operasi menyelamat tersebut.

Seluruh anggota di dalam platun kami melahirkan rasa gembira dan lega kerana semuanya hampir beres. Kami mengambil keputusan untuk berehat petang tersebut dan bergerak ke kampung terdekat di mana kenderaan sedang menunggu. Pada keesokan harinya kami berlari untuk mengelakkan malam hari. Azam kami untuk sampai ke kem Lok Kawi sebelum jam 2000 dan keluar semula untuk makan KFC.

Kalau dalam hutan, seketul KFC di jual RM 150.00 seketul pun aku beli. Asyik makan ration askar aje selama 11 hari mana tahan. Kami sampai di kawasan perkampungan tepat jam 1730 petang.

Semua angota platun telah di arahkan balik ke kem pada malam itu juga dan selepas menukar pakaian, mandi dan solat, maka aku terus keluar untuk mencari KFC. Nasib baik aku sampai awal. Kalau tidak, makanya kami akan makan angin ajalah.

Pada ke esokan harinya iaitu pada 7 april 1994 telah terpampang wajah aku di dada surat khabar Sabah Time terhadap kejayaan operasi tersebut. Rasa puas pun ada membaca berita tersebut. Tapi peritnya perjalanan mencari dan menyelamat, Tuhan dan platun kami sahaja yang tahu. Suruh masuk bagi kali ke dua, taubat aku tak mahu.

Gunung Kinabalu seperti sudah sebati dengan diriku. Kali pertama aku mendaki dengan seluruh anggota batalion seramai lebih 500 orang. Aku diarahkan oleh penolong pegawai memerintah untuk menganjurkan ekspedisi mendaki gunung Kinabalu pada tahun 1993.

Buat kali ketiga aku mendapat tugasan yang begitu berat. Kali pertama ialah ketika aku mengetuai pergerakan dengan kapal laut dan kali kedua apabil aku terlibat pada operasi pertama.

Sebenarnya aku dengan mudah boleh menolak arahan tersebut kerana bukan tahap aku hendak mengendalikan ekspedisi sebesar itu. Apa lagi aku berpangkat leftenan pada ketika itu.

Namun aku bukan spesis seperti itu. Kesilapan mungkin akan berlaku tetapi jika kita bersungguh-sungguh menjaya sesuatu amanah maka kemungkinan untuk kita membuat silap boleh di kurangkan. Aku sendiri merupakan peminat di dalam aktiviti pendakian dan sukan lasak

Aku terus membuat perancangan rapi, siang dan malam serta tinjauan ke tempat permulaan. Aku juga telah mendapat jaminan atau persetujuan untuk mendapat beberapa pengecualian dari pihak pengurusan taman Kinabalu (Kinabalu Park).

Akhirnya kami dikecualikan dari membayar upah Guide dan bayaran kemasukan. Ini tentunya merupakan satu berita gembira buat peserta kerana dapat menjimatkan sehingga RM 20.00.

Sehari sebelum pendakian kami, saorang warga switzeland telah mati di pertengahan jalan kerana kekurangan oksigen. Namun ia tidak menjadi halangan buat kami untuk meneruskan ekspedisi ini.

Aku masih belum boleh tersenyum kerana terlalu banyak elemen serta faktor yang perlu diambil kira bagi membolehkan segalanya berjalan lancar. Pada hari ekspedisi semua anggota telah bersedia kerana mereka bermalam sehari lebih awal.

Semua peserta bersemangat untuk menamatkan pendakian tanpa sebarang kecederaan. Majlis penutup dan penyampaian hadiah di laksanakan oleh Timbalan Panglima 5 Briged dari kem Lok Kawi Sabah.

Dalam perjalanan pulang telah berlaku tanah runtuh yang telah menutup laluan pulang kami. Kami terpaksa menggunakan laluan alternatif, tapi malangnya laluan tersebut juga tertutup. Kami terpaksa bermalam di Tambunan iaitu di balai raya sehingga esoknya sebelum jalan di buka untuk laluan.

Pada tahun terakhir aku di Sabah iaitu aktiviti terbesar yang melibatkan diri aku adalah perarakan panji-panji sempena lawatan Kolonel Yang Dipertua Sultan Kedah ke pasukan aku. Lawatan ini merupakan sejarah besar buat pasukan kami kerana baginda merupakan orang yang paling penting dalam Kor RAMD.

Perarakan panji-panji merupakan satu perbarisan yang memerlukan latihan yang sungguh rapi. Kami turun ke padang kawad pagi dan petang untuk menghasilkan kawad yang terbaik. Tapi ada satu peristiwa yang tidak ramai yang menyedarinya, iaitu kenderaan istiadat telah mati.

Ia telah menyebabkan kami menjadi panik kerana Tuanku akan membuat pemeriksaan menggunakan kenderaan tersebut. Tapi nak dijadikan cerita, kereta istiadat tersebut tiba-tiba hidup dan boleh digerakkan apabila siren polis pengiring kedengaran. Fuhh! Lega.

Pada hari sebenar kami telah berjaya menunjukkan satu perbarisan yang sungguh bermutu tinggi dan mendapat pujian tuanku. Berbagai acara lain di adakan untuk tuanku dan permaisuri yang menyaksikan penglibatan total kami di dalam semua aktiviti.

Demikianlah sebahagian dari peristiwa penting yang berlaku di dalam lipatan sejarah hidup aku di Negeri Di bawah Bayu. Sebenarnya terlalu banyak lagi cerita dan kejadian yang berlaku tetapi tidak aku sempat merekodkan kerana tidak pernah terfikir oleh diriku bahawa suatu hari nanti aku akan menulis seperti ini.

Teringat aku kata-kata Mark Twain (1835-1910) Mereka yang mempunyai idea yang baru sering kali dikatakan mempunyai personaliti dan perwatakan yang pelik dan aneh sehinggalah idea itu berjaya dilaksanakan.

Orang yang besar selamanya mencipta. Sementara saorang pencipta adalah saorang yang berjiwa besar. Apa yang pasti dunia ini tidak menjanjikan kejayaan tetapi dunia ini menyediakan banyak peluang untuk berjaya.