KITAB XX - 30 Langkah Memikat Lelaki - 8
Wahai gadis, bukanlah mahu memberikan kisah buruk akan hal perkahwinan. Bukan juga mahu mengatakan yang bercinta itu adalah satu hal yang baik. Hanya mahu menyatakan dengan perasaan cinta maka terlahirlah sifat kasih dan sayang.

Tentu sekali kamu mahu mengahwini lelaki yang juga mencintai kamu, bukan Justeru, amatlah disarankan kamu dan si dia jatuh cinta terlebih dahulu bagi memudahkan fasa perkenalan nanti.

Zaman kini bukan seperti sebelumnya. Jika dahulu, perkahwinan yang diaturkan oleh ibu bapa boleh diterima dengan senang hati, kini berlainan pula halnya. Si gadis yang terpaksa berkahwin dengan pilihan ibu bapa boleh menjadi tekanan jiwa.

Banyak juga kita mendengar kes seperti seorang isteri yang sanggup meninggalkan suaminya semata-mata untuk bersama teman lelakinya dahulu. Cinta yang terjalin sebelum perkahwinan yang diatur keluarga begitu kuat sehingga memaksa isteri tadi melakukan kesalahan besar. Nauzubillah...

Ada juga pendapat jumud yang mengatakan, jika seorang lelaki dan gadis bercinta, mudah untuk mereka terjerumus dalam lembah kemaksiatan.

Wahai gadis, sudah tentu kamu tidak bersetuju dengan pendapat ini. Sudah pasti kamu akan membangkang apa sahaja kata-kata yang seumpamanya. Benar, percintaan bukanlah satu-satunya penyebab terjadinya kemaksiatan. Cinta bukanlah satu hal yang hina sehingga ramai yang sanggup mengatakan begitu padanya.

Tidakkah mereka berfikir, dengan cinta membolehkan kita menikmati kehidupan yang manis Tidakkah mereka berfikir, kita semua lahir juga disebabkan adanya perasaan cinta

Cinta tidak salah, wahai gadis. Hanya mereka yang tidak tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk sahaja akan melakukan kemaksiatan yang ditegah dalam apa jua agama pun.