SIDANG SERANGGA - 8
MENGAPA tuan hamba mengesyorkan supaya kumpulan kami, labah-labah baru 8 sekawan, mesti juga membuat rakaman-rakaman di Genting Highland Apakah rahsia-rahsia yang ada di sana

Lipas Putih tidak segera menjawab pertanyaan itu sebab dia sendiri belum mengetahui apakah halhal luar biasa yang ada di puncak bukit-bukit yang menjadi sempadan di antara Negeri Pahang dan Selangor itu. Tetapi apabila LP menerangkan sebabsebab mengapa puncak peranginan itu patut di intip maka LLB F atau (6) pun fahamlah kenapa tempat itu wajar diintip.

Hanya beberapa malam yang lalu, ketika beta merayau-rayau di sebuah restoran dekat Kompleks Pertama kerana hendak mencari remah-remah tumpahan sup ridip ikan yu (sharksfin), sejenis makanan mahal yang sangat baik dimakan oleh orang-orang tua, beta telah terdengar satu perbualan di antara tiga orang kaya. Beta ini, jangan awak tidak tahu, boleh faham banyak bahasa manusia dan bahasa segala jenis serangga. Ketiga-tiga orang bangsa asing itu ada menyebut nama seorang Melayu yang telah meminjam tiga ratus ribu ringgit daripada sebuah bank untuk memajukan perusahaannya, membuat papan-papan kayu lapis. Hari dia menerima cek dari Bank Maskati, hari itu jugalah dia menukar cek itu di bank kita untuk mendapatkan wang tunai sebanyak tiga ratus ribu ringgit, dan malam itu dia, Dollah namanya orang Melayu itu, telah naik ke Genting Highland kerana mahu berjudi di kasino. Dia harap boleh menang, tapi malangnya, dia sudah kalah teruk, habis semuanya wang tiga ratus ribu ringgit itu, demikian cerita LP kepada LLB 6.

Kalau begitulah mustahaknya kenalah hamba tuan berunding dengan rakan-rakan hamba tuan. Saya fikir Profesor Doktor Mentadak Mentadu akan menyokong syor tuan hamba itu, kata LLB 6.

Sudah tentu dia akan bersetuju, sebab keselamatan kita kaum serangga adalah bergantung banyak kaum manusia. Kiranya orang-orang yang rasuah semakin ramai, yang suka main judi dan lain-lain jenis maksiat bertambah ramai maka saudagar-saudagar akan menjual racun-racun serangga lancungan, baja-baja yang mengandungi lebih banyak pasir dari baja, untuk mendapat keuntungan yang lebih besar.

Manusia zaman ini, mujurnya bagi kita kaum serangga, semakin ramai yang menggunakan berbagai-bagai jenis kimia dan ubat-ubatan yang merbahaya, membuat alat-alat senjata yang amat merbahaya, yang pada akhirnya akan membunuh lebih ramai manusia, membinasakan harta benda mereka.

Sekarang pun cuaca dan hawa bandar raya Kuala Lumpur ini semakin banyak mengandungi habuk, abu, jelaga dan debu-debu yang mengandungi racun. Sebab itulah saya tinggal di dalam lubang di bawah tanah. Ada terowong kecil daripada sini untuk saya pergi ke Kelab Selangor bagi mencari remahremah makanan. Kami kaum lipas tidak keluar pada waktu siang hari, tetapi bila malam keluarlah kami ramai-ramai, kecil besar, tua muda, pergi mencari makanan.

Kelab itu pun wajib di intip juga, sebab di sana manusia mewah, orang-orang berpangkat tinggi, saudagar-saudagar besar, berpangkat dan berdarjat pergi makan dan minum sampai mabuk. Bila sudah mabuk mereka itu pun mencecehlah, buka rahsia, menaja daya upaya bagaimana boleh dapat banyak duit.

Orang-orang dari segala bangsa dan agama ada berhimpun di situ pada tiap-tiap malam. Beta yakin penuh bahawa rancangan nak menubuhkan pertubuhan segala serangga (PSS) akan berjaya. Tetapi, ingat ya, musuh-musuh kita ramai dan kerana itu penyelidikan mesti dibuat dengan teliti dan senantiasa waspada.

Baiklah tuan hamba, terima kasih banyak-banyak kerana memberikan petua dan pedoman yang amat berguna kepada kami lapan sekawan, ujar LLB 6 yang kagum kepada LP yang pada hematnya ialah guru atau mahaguru kepada Profesor Doktor Mentadak Mentadu. Dia segera pergi menemui LLB 7 dan 8 dan memberi arahan supaya memberhentikan pengintipan di bangunan mahkamah tinggi untuk merentang pula talian hikmat atau mikro angkabut, di Kelab Selangor, yang pada masa Inggeris berkuasa dulu, dalam zaman penjajahan, bergelar The Spotted Dog yang tidak terbuka kepada rakyat jelata yang hitam manis, yang kuning langsat - Melayu, Cina dan India yang dijajah oleh manusia kulit putih itu.

Talian mikro angkabut yang direntang di hadapan Kompleks Pertama itu terus merakamkan macammacam hal mengenai pemuda-pemuda yang rugged dan groovy. Ada yang merancang nak mencuri barang-barang di Metrojaya. Ada yang menunggu member-member mereka yang diharapkan ada membawa barang atau grass, dua dari beberapa istilah dadah.

Nama-nama wanita yang digelar Mary, Liza, Mounique, Ros Moon dan lain-lain senantiasa disebut-sebut mereka itu yang ada kalanya berbisikbisik antara satu dengan yang lain. Semuanya dapat dirakamkan. Tidak ada yang tidak diketahui oleh sistem komunikasi angkabut (labah-labah) yang hingga sekarang hanya diketahui dan digunakan oleh kaum serangga sahaja.

Yang paling lucu ialah yang dirakamkan oleh talian hikmat di depan Bangunan Mara, sebelah Kompleks Pertama. Pada peringkat awal DEB dimulakan, orang-orang atasanlah yang ramai diberikan permitpermit teksi. Tan Sri tan Sri pun ada. Teksi-teksi mereka itu dialibabakan, dimamakkan disewakan pada orang-orang bukan bumiputera, hanya purata, seratus ringgit saja sebulan. Dan mereka itulah, pada peringkat awalnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan membantu kaum bumiputera maka orang-orang atasanlah yang memonopoli permitpermit teksi, bas-bas mini, kayu-kayu balak dan lain-lain sumber kewangan. Hanya beberapa tahun kebelakangan sahaja dasar itu telah dikemaskinikan dan diubah amalannya dengan mengutamakan golongan bawahan dalam kaum bumiputera.

Berapa besarnya bahaya perbezaan taraf ekonomi antara golongan-golongan dalam masyarakat di negara Malaysia yang sangat kaya dengan berbagaibagai sumber penghidupan, sudah beberapa kali disebut oleh pakar-pakar sosioekonomi seperti Tan Sri Doktor Tan Chee Khoon, Doktor Chandra dan lain-lain.

Tetapi malangnya, malah menyedihkan, golongan bawahan yang telah dibantu untuk mendapatkan peluang-peluang menambah mata pencarian mereka, seperti memberi permit-permit teksi, bantuan menanam semula getah dan pokok buahbuahan, menanam padi dan sebagainya maka mereka itu pun cepat berubah gaya dan lagak hidupnya, jadi sombong dan bongkak, boros dan tamak haloba, suka berfoya-foya, gemar berjudi dan menduatigakan isteri mereka, membiarkan anakanak mereka menjadi sampah-sampah masyarakat.

Kenapa pula Encik Hussin mahu tukar permit teksi untuk bandar raya ini (cap bulat) kepada permit luar bandar, boleh jalan jauh-jauh (cap empat persegi), tanya seorang pegawai MARA yang bertugas di Bangunan Majlis Amanah Rakyat di sebelah Kompleks Pertama itu.

Bawak teksi dalam bandar raya ini, encik, payah nak dapat duit banyak, sebab teksi-teksi sudah ada terlampau banyak dan jalan-jalan raya selalu sangat sendat (jem). Kalau dapat cap empat persegi boleh jalan jauh, kata pemandu teksi yang bernama Hussin itu yang berangan-angan hendak mencari sewa di Lebuh Raya Timur-Barat, sebab dua trip sahaja sehari, dari Baling, Kedah, ke Kota Bharu, Kelantan, dia boleh dapat $200/- sehari, atau $1 000/- dalam masa lima hari dan dalam satu bulan, mengikut kira-kira congaknya, dia boleh dapat $6

000/-. . . .

Encik Hussin sudah mengira bahawa sesudah ditolak harga minyak, lesen, insurans, susutan harga teksinya, tayarnya dan lain-lain perbelanjaan maka dia boleh dapat untung bersih sebanyak $3 000/- sebulan. Dengan pendapatan sebanyak itu dia boleh punyai tiga isteri; seorang di Kota Bharu, seorang lagi di Pekan Keruh, Perak. Isteri tuanya (yang pertama) sudah tua dan ramai anaknya.

Tetapi, Encik Hussin, hutang awak atas teksi bandar raya ini (cap bulat) belum habis separuh pun dibayar. Untuk perjalanan jauh melalui Lebuh Raya Timur-Barat itu awak memerlukan sebuah kereta baru daripada jenis yang kuat dan kukuh dan mahal harganya. Di mana Encik Hussin nak cari duit buat modalnya kata pegawai MARA itu seperti yang telah dirakamkan oleh talian angkabut di depan bangunan ibu pejabat MARA itu.

Jawapan pemandu teksi bernama Hussin itu mudah benar.

Minta pinjam lagilah pada MARA. Encik takkanlah tidak boleh tolong saya, tuan. Ada ubi adalah batasnya, tuan, dan dia pun menyebutkan satu pantun Melayu bentuk baru:

Pisang emas diperam dalam teksi,

Masak sesisir di Kampung Jeli,

Hutang emas ada janji dan saksi; Hutang budi sama-sama kita joli.

Nampaknya awak nak suap saya, ujar pegawai MARA itu.