AYAH EDY PUNYA CERITA - 8
Ibu bapa dan guru yang berbahagia, tahukah anda apakah yang dimaksud dengan gejala on and off Iaitu anak yang jika di rumah cenderung aktif tetapi jika di sekolah berubah menjadi pasif. Atau sebaliknya, jika di rumah dia menjadi anak yang duduk manis dan pendiam tetapi jika di sekolah dia menjadi anak yang aktif dan dinamis. Itulah salah satu contoh gejala on and off.

Contoh lain, jika salah seorang dari ibu bapa tiada di rumah, si anak menjadi aktif dan kreatif. Namun, jika tiba-tiba salah seorang dari ibu bapanya pulang ke rumah, mereka segera berubah menjadi pasif dan tidak kreatif lagi. Ini juga termasuk gejala on and off.

Jadi, gejala on and off terjadi jika dalam satu persekitaran atau keadaan, anak kita aktif tetapi di persekitaran atau keadaan lain tiba-tiba berubah menjadi pasif atau acuh tak acuh. Sebahagian ibu bapa secara umum menyebut anaknya sebagai jaguh kampung.

Sesungguhnya perilaku anak yang sihat adalah on and on, ertinya di manapun dia berada selalu dalam keadaan sama seperti handphone yang kita miliki. Jika handphone yang kita gunakan tiba-tiba mati tanpa sebab padahal baterinya masih penuh, biasanya ada sesuatu yang tidak kena di dalamnya. Begitu juga dengan anak kita. Jika tiba-tiba sahaja perilakunya berubah tidak seperti biasa, pasti ada yang tidak selesai dengan orang-orang di sekitarnya dalam memperlakukan dirinya sehingga dia menunjukkan tindak balas dengan cara meng-off-kan dirinya sendiri. Hal ini banyak saya temui pada keluarga yang ibu bapanya memiliki perilaku berbeza secara ekstrem. Misalnya ayahnya keras tetapi ibunya lembut; ibunya perfeksionis sementara ayahnya cenderung fleksibel. Boleh juga keluarganya ok tetapi guru-guru di sekolahnya sering memarahi, menghukum atau mengucapkan kata-kata yang merendahkan harga diri si anak.

Ibu bapa dan guru yang berbahagia, perilaku off anak ini sesungguhnya sangat mempengaruhi perkembangan dirinya, khususnya berhubung dengan aspek kecerdasan dan perilaku. Anak yang sering mengalami gejala off akan terganggu proses perkembangan potensi berfikir kreatif dan berfikir logiknya. Jika hal ini tidak segera diatasi, kelak anak yang dibesarkan dalam keadaan sebegitu menjadi generasi yang pasif, bodoh dan tidak kritis terhadap permasalahan.

Itu disebabkan oleh software kecerdasan yang seharusnya berkembang ketika dia sedang dalam keadaan on menjadi tumpul kerana sering berada dalam keadaan off. Perilaku anak yang sering cenderung off ini kelak akan menyebabkan dia menjadi orang yang rendah diri, tidak punya rasa percaya diri, mudah terganggu dan sikap buruk lain.

Gejala on and off inilah yang dikesan menjadi sumber utama munculnya sikap yang bermasalah bagi anak-anak di rumah ataupun di sekolah.

Wahai ibu bapa dan guru yang saya cintai di manapun anda berada, mari kita bersama-sama perbaiki sikap kita dalam mendidik dan mengajar anak-anak kita. Mari perbaiki juga pola asuhan kita di rumah agar anak kita selalu dalam posisi on and on. Agar kelak mereka boleh menjadi generasi kritis, kreatif, dan peduli akan nasib bangsanya.

Sering kali kita tidak sedar bahawa yang terjadi kepada anak kita sesungguhnya bersumber dari kita sendiri.