Terima kasih Datuk. INSYA ALLAH, saya akan siasat hal ni. Kalau benar ada penyelewengan berlaku di Mokhza Construction, prosiding pendakwaan akan dilakukan. Balas Filman.
Mereka berbual-bual seketika sebelum Datuk Parish dan temannya beredar. Filman menarik nafas panjang. Jika diikutkan hatinya, dia juga ingin beredar dari situ. Tapi tentu tidak sopan jika dia pergi begitu sahaja sedangkan dia baharu sahaja sampai ke majlis ulangtahun syarikat milik Datuk Parish itu. Kalaulah Zikri turut serta, tentu dia tidak sebosan ini!
Seorang pelayan lelaki yang lewat di hadapannya segera digamit. Filman segera meminta si pelayan tersebut membawakannya segelas air masak. Entah kenapa setiap kali dia ke mana-mana, dia akan sentiasa menjaga apa sahaja yang masuk ke perutnya. Soal halal haram masih menjadi keutamaannya, apatah lagi di meja buffet tadi, matanya terpandang botol-botol wine yang tersusun di atas meja.
Beberapa minit kemudian, pelayan tadi muncul lalu memberikannya segelas sky juice buat menghilangkan hausnya. Namun belum sempat dia mahu menjamah minuman tersebut, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Kelibat seorang lelaki tua berpakaian kemeja ringkas, terhendap-hendap di suatu sudut yang agak tersorok kini memancing perhatiannya.
Filman mengerutkan dahinya. Gerak-geri lelaki itu agak mencurigakan. Mata lelaki itu menukas tajam ke suatu arah. Filman turut mengekori bebola mata lelaki itu. Namun apa yang dilihatnya hanyalah kelibat Datuk Parish dan Datuk Khairul yang sedang berbual-bual. Siapa yang sedang diperhatikan lelaki tua yang sudah beruban rambutnya itu Datuk Parish atau Datuk Kahirul
Dia segera membuka langkah ke arah lelaki tua tersebut. Namun bahunya tiba-tiba disentuh seseorang dari arah belakang. Filman segera menoleh. Melihat sekujur tubuh kini berdiri di hadapannya, wajah Filman lantas berubah. Hampir dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Wirda
Filman mengusung bagasinya keluar dari pintu lift. Dia agak terburu-buru sebenarnya. Sepanjang pagi tadi, dia asyik ke hulur ke hilir meronda bandar Kuching untuk mencari cenderamata buat Melia dan juga untuk Danira. Mujurlah penerbangannya dijadualkan pada pukul 3 petang. Mulanya dia berhajat mahu mencari-cari di sekitar hotel itu sahaja. Tapi puas membelek, tidak ada satu pun yang berkenan di hatinya. Lantas dia buat keputusan mahu ke bandar Kuching menyelongkar isi perut bandar itu.
Syukurlah setelah beberapa buah pusat beli belah diredah, akhirnya dia menemui teddy bear yang cukup comel untuk anak gadisnya. Untuk Danira pula dia jadi keliru mahu membeli apa.
Setelah agak lama memilih, akhirnya dia berkenan dengan seutas rantai berloketkan permata putih yang memiliki endapan kelopak sakura di dalamnya. Itupun atas cadangan jurujual di kedai tersebut yang tak sudah-sudah mengatakan loket itu adalah rekaan terbaru di kedai itu.Tanpa berfikir panjang, dia terus membayar harga rantai tersebut dengan senyuman puas.
Sesudah itu dia pulang ke bilik hotel untuk berkemas. Dia perasan jarum jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 1 tengahari. Bermakna dia masih ada sedikit masa sahaja untuk berkemas dan berkejar ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Dengan sebelah tangan menarik troli bagasi manakala sebelah yang lain pula mengepit teddy bear besar berwarna pink di lengannya, langkahnya menjadi perhatian ramai di sekitar ruang lobi. Namun Filman langsung tidak ambil peduli. Biarlah orang mengetawakannya melihat dia bertemankan teddy bear pink itu. Yang pasti teddy bear itu harus dijaga sebaik-baiknya kerana ia khas untuk anak kesayangannya.
******
Perjalanan singkat dari Kuching ke Kuala Lumpur itu entah kenapa dirasakan begitu lama. Matanya asyik menerjah ke luar tingkap kapal terbang. Tapi bukan awan putih di luar sana yang menjadi tumpuannya. Sebaliknya matanya memandang ke arah imej wajahnya sendiri yang terpantul pada permukaan jernih jendela itu.
Sesekali dengkuran lelaki di sebelahnya terdengar di telinga. Filman menoleh sebentar. Melihat lelaki itu memejamkan matanya, dia hanya mampu tersenyum. Bukan jauh mana pun perjalanan dari Kuching ke Kuala Lumpur, tapi lelaki itu masih mampu melelapkan mata. Penat agaknya! Fikir Filman.
Dia mencapai sehelai majalah, namun majalah itu hanya dibelek-belek begitu sahaja tanpa ada niat untuk membacanya. Tidak tahu kenapa, fikirannya asyik terkenangkan Wirda yang ditemuinya di majlis ulangtahun syarikat Datuk Parish malam semalam.
Apa Wirda buat kat sini Soalnya ingin tahu. Berulangkali dia menolak untuk menemui wanita itu, tapi alih-alih di tempat ini juga mereka dipertemukan. Wajah Wirda tidak jauh berubah. Malah lebih cantik dan bergaya dari dulu. Sesuai benar title Wirda sebagai pereka fesyen terkenal, kerana pakaian yang dikenakannya agak bergaya dan up to date.
bersambung
Bab akan datang:
Apa yang dilakukan Wirda dis itu