Adik akan merengek pada abang/kakak untuk turut serta bermain walaupun tidak mengerti apakah jenis permainan yang sedang dimainkan abang/kakak mereka. Perkara sebegini sangatlah mendatangkan rasa segan abang/kakak kepada kawan-kawan selain mendatangkan cakap-cakap belakang. Jika permintaan mereka ini tidak diendahkan, mereka akan menangis dan mengadu kepada ibu bapa dan mengakibatkan campur tangan ibu bapa pula.
Oleh kerana tidak mahu perkara seperti itu terjadi, satu kaedah penyelesaian telah direka bagi mengelakkan perkara seperti tadi berlaku dan dalam masa yang sama tidak mengganggu mood permainan yang sedang rancak. Penyelesaian tersebut ialah sistem pemain Ta Ya Pa Wau.
Ta Ya Pa Wau adalah ejaan huruf Jawi yang berbunyi Tipu. Ia dijadikan sebagai kod rahsia supaya tidak diketahui oleh adik tadi. Pemain ta ya pa wau akan bermain seperti pemain-pemain yang lain. Apa yang membezakannya adalah undang-undang permainan termasuk cara bermain tidak akan dikenakan kepada mereka. Contoh mudah adalah seperti berikut:
Di dalam permainan polis sentri, pemain ta ya pa wau bebas untuk menjadi pencuri atau polis dan tidak akan menentukan kemenangan atau kekalahan setiap permainan.
Di dalam permainan kejar-kejar, pemain ta ya pa wau tidak akan menjadi pengejar dan hanya perlu berlari daripada pengejar.
Pemain ta ya pa wau selalunya akan berasa dialah yang terhebat di dalam permainan tersebut kerana tidak dapat ditangkap atau dikejar. Walhal jikalah dia mengetahui kebenaran di sebalik semua itu, pasti dia berasa diri sangat tak guna.
Kanak-kanak yang pertama sekali memikirkan konsep pemain ta ya pa wau ini patutnya diberikan Hadiah Nobel kerana telah berjaya memungkinkan semua kanak-kanak kebebasan bermain selain memupuk hubungan harmoni dengan adik-adik dan mengelak campur tangan kuasa asing yakni ibu bapa.