Pagi tadi seorang kawan sekerjanya datang ke klinik. Dia mengadu sakit kepala dan nak tengok tekanan darahnya. Ikut rekod aku, kali terakhir dia datang berjumpa dengan aku adalah pada 2012. Sambil berseloroh aku bertanya, Apa pasal tiba-tiba nak check tekanan darah ni Lalu dia bercerita pasal kawannya. Semalam dia pergi melawat kawannya di hospital besar. Kawannya dah 5 hari koma. Masalah tekanan darah tinggi. Ada pendarahan dalam otaknya.
Kebetulan, selang beberapa lama, isterinya pula datang ke klinik membawa anak bongsunya yang demam. Belum sempat aku bertanya lanjut, dia beritahu aku suaminya dah 5 hari koma di hospital besar. Menurutnya suaminya memang selalu mengadu sakit kepala tetapi jarang buat rawatan. Beliau sekadar makan apa-apa ubat yang ada. Selepas bangun tidur sakitnya hilang. Jadi isterinya pun buat tak kisah sahaja. Lagipun suaminya masih muda. Emak bapak mertuanya pun masih sihat. Dia langsung tak menjangka perkara begini akan terjadi.
Tengah hari di hari Jumaat yang lepas, beliau sedang memasak di dapur. Suaminya pula sedang mandi di bilik air di tingkat atas sedang bersiap untuk pergi sembahyang Jumaat. Tiba-tiba anak lelakinya datang kepadanya. Dia kata abah nak ubat sakit kepalanya. Tetapi dia tak tahu ubat yang mana. Lalu dia suruh anak perempuannya naik dan pergi bertanya kat abahnya. Tibatiba anak perempuannya berlari sambil memanggilnya. Dia pun berlari naik ke atas. Dia lihat suaminya sedang menggelupur di atas katil. Matanya dah ke atas. Mulutnya berbuih. Tangan dan kakinya kekejangan.
Dipendekkan cerita, ambulans sampai di rumahnya kira-kira setengah jam kemudian.
Doktor hospital mengesahkan tekanan darah suaminya sangat tinggi dan ada pendarahan di dalam otaknya. Beliau terus menjalani scan otak. Ada pendarahan yang teruk dalam otaknya. Beberapa doktor pakar berbincang dengannya. Keadaannya sangat kritikal. Pembedahan pun tidak dapat menjamin masa depannya. Doktor pakar sudah tidak memberi harapan kepadanya. Berlinang air mata isterinya bercerita dengan aku.
Kenyataannya, isterinya kini sedang sarat mengandung anak keempat. Bulan depan dijangka akan bersalin. Anak sulungnya di tingkatan satu. Manakala yang bongsu dalam darjah satu. Isterinya tak pernah bekerja. Menjadi suri rumah sepenuh masa. Masa depan mereka kelihatan malap. Bagaimana dengan kehidupan mereka sekeluarga di masa depan
Sebagai orang Islam, aku ingatkan kakak ini:
Jangan menyerah kak. Kita masih ada Allah. Pasti ada jalan.
Kepada sahabat-sahabat di luar sana. Beringatlah. Jagalah kesihatan. Terimalah kenyataan. Kalau perlu makan ubat, makanlah ubat. Kalau perlu kuruskan badan, kuruskanlah badan. Kalau perlu berpuasa selalu, berpuasalah selalu dan kalau belum ada apa-apa penyakit, belilah insurans nyawa juga kesihatan. Tak banyak pun sedikit. Betul. Kita ada Allah, tapi kenalah usaha untuk mencegah. Kenalah usaha untuk beringat. Jangan main tadah sahaja.
Peringatan untuk diri sendiri juga.