Seorang wanita berusia 40 tahun. Anak ada 4 orang. Yang kecil dah berusia 9 tahun. Dalam tempoh 9 tahun ini dia makan pil perancang keluarga. Bila makan pil perancang, periodnya jadi agak kelam-kabut. Jadi dia ke klinik kesihatan untuk rawatan. Dua minggu lepas dia menjalani pemeriksaan Pap Smear. Hari ini dia dipanggil untuk rawatan susulan. Balik daripada klinik kerajaan dia terus singgah di klinik aku.
Masam sahaja mukanya bila masuk ke bilik aku. Belum sempat aku tanya sakit apa dia terus minta MC dengan aku.
Doktor, saya nak MC 2 hari.
Belum sempat aku bertanya lanjut, dah bercucuran air matanya keluar. Suaminya hanya diam sahaja. Lalu dia hulurkan suratsurat yang diambil daripada klinik kesihatan tadi. Ada kad pesakit. Ada laporan Pap Smear. Ada slip ubat. Ada juga surat rujukan ke klinik pakar di Johor Bahru. Entah apa yang doktor klinik kerajaan dah kata kat dia, dia rasa sangat sedih. Takut pun ada. Sedih kerana ada kemungkinan kena kanser. Takut kerana ada kemungkinan kena kanser. Aku cuba tenangkan dia tetapi tak berjaya. Aku cuba cari data di Internet untuk menyenangkan hatinya tapi dia kata kat aku, Tak payah susah-susahlah doktor. Saya dah google dah.
Dalam fikirannya dia dah yakin, dia akan kena kanser pangkal rahim. Aku dah mati akal. Tak tahu nak cakap apa-apa. Semua cadangan aku dibangkangnya. Siapalah aku, aku hanya doktor cabuk sahaja. Aku bukannya doktor pakar pun. Kelulusan dan pengalaman aku tidak akan dapat meyakinkannya bahawa dia tidak menghidap kanser. Lagipun dia dah google. Dah banyak informasi dia dapat melalui Internet. Aku memang takkan menang berhujah dengannya. Sambil itu dia terus menangis. Aku dan suaminya hanya dapat melihat sahaja. Aku beri dia MC 2 hari. Pergilah cari doktor pakar yang lebih berpengalaman.
Sebenarnya tiada yang perlu ditakutkan. Ujian Pap Smearnya hanya dicatat Abnormal sahaja. Bahasa Inggerisnya Mildly Abnormal. Ada Atypical Squamous cells of Undetermined Significance dijumpai. ASC - US singkatannya. Sangat-sangat tipis peluang untuk dikatakan sel-sel kanser. Lagipun doktor dah buat pemeriksaan spekulum tadi. Serviks kelihatan normal. Doktor juga siap beri ubat lagi. Mungkin ada jangkitan kuman. Pada aku takda benda nak dirisaukan. Lepas beberapa bulan boleh ulang pemeriksaan yang sama. Tak pun buat ujian HPV. Lagi bagus ambil suntikan imunisasi. Tetapi dia tak nak dengar cakap aku dah. Dia nak pergi berubat di tempat lain. Dia sempat bertanya pasal ubat-ubat anti kanser dengan aku. Dia sempat bertanya pasal vitamin-vitamin anti kanser. Hebat kakak ni.
Banyak betul ilmu yang dah digoogle nya.
Pesakit #2:
Seorang wanita bangsa India datang bawa seorang bayi ke klinik aku. Usia bayinya baru 40 hari. Masa pendaftaran, wanita India itu mengaku itu anaknya. Bersama-samanya ada seorang wanita Indonesia. Selepas disoal siasat di dalam bilik kaca, wanita Indonesia itu mengaku itu bayinya. Dilahirkan di rumah. Tiada langsung pengenalan diri. Jadi kelahirannya tidak didaftarkan. Bayi itu batuk dah beberapa hari. Kahaknya banyak, suhunya naik 38.4 darjah. Nafasnya berbunyi, mukanya agak pucat. Pening kepala aku. Tak tahu nak buat apa.
Kalau ikutkan aku memang patut dihantar ke hospital. Nak beri ubat demam beratnya baru 4.5 kg. Nak beri nebulizer aku tak berani. Aku hanya dapat beri nasihat. Buat sponging. Buat chest percussion. Tukar susu. Selebihnya terpulanglah. Jumpa pakar kanak-kanak kalau mampu, ke hospital kerajaan kalau berani. Aku cuma mampu berdoa. Doktor bukannya Tuhan. Doktor bukannya polis. Doktor juga bukannya hakim. Walaupun undang-undang tetap undang-undang, tetapi manusia masih juga manusia. Ada hak untuk hidup dan mendapatkan rawatan.