Perkataan kacang muncul kerana dengan memasukkan 10 sen ke dalam slot dan diputarkan, beberapa biji kacang akan jatuh ke ruangan bawah bekas. Permainan Game & Watch akan bermula secara automatik serentak dengan jatuhnya kacang tersebut.
Antara permainan Game & Watch yang kerap dipasang adalah seperti Donkey Kong, Mario dan Cowboy.
Sesetengah pemilik kedai akan meletakkan bangku kecil pada sebelah mesin game kacang untuk diduduki. Selain dapat memberi keselesaan pada kanak-kanak yang datang bermain, ianya secara tak langsung lebih menggalakkan mereka melaburkan duit untuk bermain. Setiap orang kanakkanak selalunya menyediakan berkeping-keping duit 10 sen untuk bermain. Setelah kehabisan duit ataupun tidak mahu meneruskan permainan, kacang di dalam ruangan bawah bekas tadi akan diambil untuk dimakan sepanjang perjalanan pulang. Terdapat sesetengah budak yang membiarkan sahaja kacang tersebut. Hanyalah dua kemungkinan perkara tersebut berlaku sama ada kacang masuk angin atau dia anak cikgu.