Seorang lelaki warga Nepal. Berusia awal 20-an, dah tiga tahun bekerja di Malaysia. Bekerja di sebuah kilang pembuatan. Kerjanya berat, kotor, panas dan berbahaya. Pada tahun pertama di sini, beliau dah tak bernasib baik. Beliau mengalami kemalangan di tempat kerja. Putus ibu jari tangan kanannya. Sejak kemalangan itu, majikannya pindahkan dia ke tempat kerja lebih mudah. Beliau ditugaskan mengawal pintu masuk. Sekadar duduk dan mencatat kenderaan keluar masuk. Bagus betul majikannya.
Tiga bulan lepas dia datang ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan Fomema untuk melanjutkan visa. Kalau aku report pasal ketiadaan ibu jarinya, memang sah dia akan dihantar balik. Jadi aku tanya majikannya, mereka masih mahu dia bekerja dikilangnya. Jadi aku tutup mata mengenai kecacatannya sebab ikut kata beliau, tiada langsung kerja di kampungnya. Apatah lagi dengan jarinya yang cacat. Pemeriksaan Fomemanya langsung tiada masalah. Pemeriksaan yang lain semuanya normal malah laporan x-raynya pun normal juga.
Selang beberapa lama, pihak Fomema menghantar surat kepada majikan. Beliau gagal pemeriksaan Fomema. X-ray dadanya diaudit oleh para panel di HQ. Dikatakan ada masalah. Jadi dia dikatakan gagal dan patut dihantar pulang. Untuk pemeriksaan Fomema di klinik aku, x-ray dihantar ke tempat lain. Klinik aku tiada mesin x-ray. Jadi aku tak pernah melihat atau membaca x-ray beliau. Aku hanya membaca laporan di dalam sistem sahaja.
Beliau dan majikannya tidak berpuas hati. Banyak bayaran dikeluarkan. Visa pun dah nak keluar. Wakil majikan kata menangis sakan dia bila diberitahu. Memandangkan aku tak melihat x-ray beliau, dan laporan pun hanya menyebut normal, aku tak tahu nak cakap macam mana. Lalu aku memulakan prosedur rayuan. Satu prosedur yang agak leceh. Banyak sangat paperwork. Nak kena klik kat Internet. Nak kena isi borang. Nak kena suruh majikan isi borang. Nak kena faks semua dokumen. Nak kena siapkan cepat. Prosedur rayuan bukan buat apa pun. Panel hanya menyemak semula gambar x-ray yang dihantar ke HQ. Tiada x-ray baru. Dan mungkin yang menyemak adalah orang yang sama. Seperti dijangka rayuannya ditolak.
Pihak Fomema cuba memberi pilihan lain. X-ray semula di hospital pakar dan dapatkan laporan x-ray daripada pakar. Dia pun membuatnya semula. Seperti dah dijangka, pakar x-ray pun tak jumpa sebarang kecacatan pada x-raynya. Rayuan kedua pun dilakukan. Dalam tempoh rayuan tersebut, beberapa kali beliau datang ke klinik. Mengalami kemurungan dan tidak mahu bekerja. Beliau juga masih enggan pulang ke kampungnya. Majikan ada bertanya, tiadakah ubat untuk menyembuhkan x-raynya Mereka suruh beri apa-apa ubat atau vitamin. Yang penting dia tak perlu dihantar pulang.
Aku dikhabarkan beliau dihantar pulang 2 minggu yang lepas. Aku tak tahu berapa banyak wang dihabiskan, aku tak tahu berapa banyak masa dihabiskan, pergi ke hospital, pergi ke imigresen, pergi ke pejabat Fomema.
Pagi ini aku diberitahu oleh wakil majikan, rayuan kali keduanya diluluskan. Hampir 3 bulan menunggu. Bermaksud beliau boleh bekerja lagi di sini. Masalahnya beliau dah balik kampung. Tak tahu boleh dihubungi lagi atau tidak. Jangan dah gantung diri sudahlah.
Dalam hidup ini, kita sepatutnya mempermudahkan urusan orang lain. Bila kita memudahkan urusan orang lain, insya Allah, Allah akan memudahkan segala urusan-urusan kita. Tetapi hal kecil sebegini, jadi begitu susah dan kompleks. Bukannya sakit berjangkit pun. Bukannya sakit berbahaya pun. Sekadar parut kecil di x-ray yang hanya dilihat oleh seorang pakar x-ray bermata bionik. Itu pun nak dirisaukannya. Ini bukannya setakat kisah seorang warga asing yang mahu mencari rezeki di sini. Ini kisah seorang manusia. Yang punya kehidupan dan masa depan. Jauh lagi perjalanan kehidupannya. Aku dah banyak kali terkilan dengan Fomema. Prosedur mereka terlalu rigid. Karenah birokrasinya terlalu banyak. Dan kuasa yang mereka pegang sangatlah besar. Doktor yang memeriksa dan mengambil sejarah pesakit pun tidak punya kuasa sepertinya. Dia sekadar membaca filem x-ray sahaja. Tetapi hidup dan mati pesakit di tangannya. Aku pernah tulis dalam report seorang warga Indonesia, bekerja buruh kasar dalam kebun kelapa sawit. Mata kanannya adalah mata batu. Kemalangan masa kecil. Walaupun aku luluskan tetapi Fomema straight gagalkan dia. Sejak itu aku dah tak report pasal itu semua. Kalau aku rasa masih boleh bekerja, walaupun tak cukup jarinya aku tetap luluskan. 224
Aku perhatikan banyak syarikat-syarikat proksi ditubuhkan untuk membawa masuk warga asing ini. Syarikat yang pelikpelik namanya. Alamat pun entah apa-apa. Lepas tu kerjanya tak sama dengan dalam borang. Patut kerja dalam kebun tetapi jual aiskrim. Patut kerja buat bangunan tetapi jual tudung. Patut kerja sebagai cleaner di Kuala Lumpur tetapi tebar roti canai di Johor. Malah aku pernah jumpa seorang pembantu rumah warga Filipina, datang dengan seksinya. Make up tebal. Kuku panjang berwarna-warni. Apa semua ini Aku pernah bertanya kepada diriku, patutkah aku menggagalkan mereka Tapi siapalah aku yang berhak menggagalkan mereka Sampai sekarang aku masih beranggapan, pemeriksaan Fomema bukan hanya untuk mencegah penyakit berjangkit. Pemeriksaan Fomema lebih kepada mengayakan beberapa syarikat kroni.