MAT DAN MEL - 9
Pada malam itu aku telah menunaikan solat Maghribku di surau yang terletak pada bahagian bumbung Central Market. Ramai yang tidak tahu tentang kewujudan surau ini walau pun telah banyak kali mereka datang ke Central Market. Apa yang menariknya tentang surau ini adalah pemandangan Kuala Lumpur yang dapat dilihat dari sini. Cantik, terutamanya pada malam hari.

Ketika aku keluar untuk memakai kasut aku dapati Hamiza dan Melati sedang menunggu di luar sambil berbualbual. Mereka nampaknya baru sahaja menyelesaikan solat mereka sepertiku. Melati tersenyum sebaik sahaja dia nampak kelibatku berjalan ke arahnya. Aku lihat dia masih lagi memakai kasutnya.

Eh, saya nak tanya awaklah, Hamiza bersuara. Sebaik sahaja kami sudah sedia beredar dari kawasan surau, macam mana awak boleh buat rambut style awak tu

Aku menggaru kepalaku. Aku tak faham dengan soalan yang ditujukannya itu.

Alah, macam rambut baru bangun tidur.

Oh, itu.

Nampak cool.

Sebelum masuk tidur saya akan letak wax kat rambut. So, bila bangun tidur rambut dah set macam ni.

Hamiza mengetapkan bibirnya. Dia ingat aku bohong. Memang aku bohong bahagian aku letakkan wax kat rambut aku sebelum masuk tidur. Sebenarnya rambut aku jadi macam ni sebab aku suka pegang kepala aku. Bila tengah hari jer, rambut aku dah nampak berserabut. Tapi memang betul kata Hamiza, memang nampak cool.

Kami berjalan di dalam Central Market. Sempat juga kami melihat benda-benda yang terjual di sana. Tak ada yang menarik. Benda-benda yang dijual macam dulu juga - barangbarang kraf tangan yang kebanyakannya dibuat di Thailand, Indonesia atau India (yang pelancong luar negeri akan beli dan fikirkan mereka beli hasil kraf tangan Malaysia), barang-barang antik dan buku-buku terpakai.

Bila perut aku dah mula berkeroncong, aku terus ajak Hamiza dan Melati makan malam. Seperti yang telah dipersetujui sebelum ini, pada malam itu kami makan di McDonalds. Kalau ada Burger King di situ, aku lebih suka makan Burger King. Tapi tak kisah lah. Mana-mana pun boleh. KFC pun boleh juga sebenarnya, tapi malam ni aku takde mood langsung untuk makan ayam goreng.

Melati tanya, awak nak makan apa, Hamiza mengingatkan apabila aku terlupa untuk memandang ke arah Melati apabila dia sedang bercakap denganku tadi. Aku asyik memandang ke arah menu, aku tak tahu apa nak makan malam ni.

Hidangan nombor tiga, jawabku secara automatik walau pun dengan pantas aku terlupa apa sebenarnya yang aku pesan tadi.

Seorang gadis cina berjalan ke hadapan kaunter. Dia bekerja di sini. Dia cuba menarik perhatian Melati.

Melati berasa gembira apabila dia dapat bertemu dengan kawannya itu. Kawannya itu juga pekak, dan dia ada menggunakan alat bantuan pendengaran di telinganya. Jadi aku rasa dia masih boleh mendengar walau pun tidak sebaik orang lain yang mampu mendengar.

Melati memperkenalkan aku dan Hamiza kepada kawannya yang bernama Siew Ling itu. Kini aku terdiam apabila aku mendapati Hamiza, Melati dan Siew Ling galak berbual tanpa sepatah perkataan pun keluar daripada mulut mereka. Makanan yang kami bertiga pesan diletakkan di atas kaunter. Melati mengeluarkan dompetnya untuk membayar diikuti oleh Hamiza. Aku membawa dulang plastik penuh dengan makanan yang kami pesan ke tingkat atas.

Seperti biasa, Melati suka tengok cara aku makan, aku tak tahu kenapa. Mak selalu kata aku ni pelahap, kalau aku ada girlfriend nanti, mesti diorang tak suka. Nampaknya Mak salah.

[Awak kuat makan!]

Lapar lah, kataku membuat isyarat lapar, antara isyarat tangan paling awal yang aku pelajari.

[Awak boleh ambil french fries saya kalau awak nak...

Saya tak boleh habiskan.]

Aku tersenyum. Aku menerima pelawaannya.

Melati menyentuh lengan Hamiza untuk menarik perhatiannya. Dia ingin memberitahu sesuatu kepada Hamiza. Hamiza mengangguk lalu tersenyum.

[Saya ingin berbual dengan Siew Ling di bawah sebentar.]

Aku mengangguk pantas. Melati berjalan ke tingkat bawah untuk menemui rakan yang sudah lama tidak ditemuinya. Aku terus makan french fries Melati sehingga habis. Aku melihat Hamiza menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mungkin hairan ke mana perginya segala-gala makanan yang aku makan. Mungkin dia ingat aku ada pelihara jin.

Mel tak pernah ceritakan kepada saya tentang ibunya, kataku kepada Hamiza.

Baguslah macam tu, jawabnya dengan penuh sinis. Dia kata awak pun tak pernah ceritakan kepadanya tentang keluarga awak.

Okay.., kataku. Bukan segala-galanya mengenai diriku mahu dikongsi dengan orang lain.

Oh, satu lagi... Saya dapat tahu awak ni banyak tukartukar girlfriend sebelum ini...

Girlfriend apa pula ni

Emmet, UM ni kecil. Macam-macam fasal awak yang saya tahu, tau!

Dah tu kenapa

My real concern is Mel. Faham tak

Aku tak tahu apa yang perlu aku jawab. Aku serba salah. Aku menggaru-garu kepalaku.

Saya betul-betul tak faham lah! Kataku dengan suara sedikit terganggu.

Saya tak tahu apa yang telah awak lakukan kepada budak-budak perempuan yang lain tapi saya tak nak awak lakukan perkara yang sama kepada Mel nanti.

Saya nak cakap satu benda kepada awak, tapi kalau saya tersilap cakap nanti, saya nak minta maaf awal-awal, kataku dengan serius. Aku berhenti sebentar untuk menarik nafasku dalam-dalam.

Memang apa yang awak dengar fasal saya tu betul. Tapi lain kali kalau awak nak tahu apa-apa tentang saya, tanya dengan saya dulu. Satu lagi, saya anggap Mel ini istimewa. Mel tak macam yang lain.

Hamiza terus memandang ke arahku. Aku rasa dia macam tak percaya dengan apa yang aku katakan. Mungkin dia fikir aku tidak ikhlas.

Banyak yang awak tak tahu tentang Mel... Aku mengangguk lemah dengan akur.

Kalau boleh, saya mahu tahu segala-galanya tentang dirinya.

Kehidupannya dengan kehidupan kita, lain Emmet.

Apa maksud awak

Tak ada apa-apa, Hamiza cepat-cepat menjawab dengan nada serba salah. Memang sahlah ada sesuatu yang mahu disembunyikan daripadaku tentang Melati. Aku tak tahu apa yang ingin disembunyikannya, tapi aku pasti jika aku bersabar, lambat -laun semua tentang Melati yang ingin dirahsiakan dari ku akan aku ketahui juga.

Bagaimana keadaan Mel ketika ibu awak mengambilnya tinggal bersama awak ketika dia berusia tujuh tahun dahulu

Dia seperti kanak-kanak lain.

Tapi dia berbeza dengan kanak-kanak lain! Getusku dengan tegas. Aku mengharapkan jawapan yang pasti daripadanya.

Dia langsung tidak dapat berkomunikasi dengan orang lain kecuali dengan ibunya, sambut Hamiza akhirnya. Hubungan dia dengan ibunya agak istimewa. Kadangkala ibunya tidak perlu bersuara, tapi Mel tahu apa yang dimahukan ibunya. Mereka hidup di dalam dunia mereka sendiri. Tapi masalahnya, sebelum ini dia tidak pernah diajar isyarat tangan supaya dia dapat berbual dengan orang lain. Jadi, bila Mel dijaga kami, dia perlu belajar segala-galanya dari mula. Memang dari awal lagi mak saya dah boleh dapat agak susah untuk menjaga Mel, tapi dia anggap ini semua sebagai satu cabaran. Mel banyak memberontak. Dia rindukan kepada ibunya yang berada di kampung. Lama-kelamaan, dia akhirnya belajar untuk menggunakan bahasa isyarat. Dia cerdik. Cepat dia dapat tangkap apa yang diajarkan kepadanya.

Ibunya... Adakah orangnya secantik Mel

Ya. Mel mewarisi kecantikan ibunya.

Mel memang cantik orangnya, kataku tanpa segan silu.

Saya tak mahu awak kecewakan dia, Emmet, kata

Hamiza dengan tiba-tiba.

Aku tak tahu bagaimana untuk menjawab kata-kata Hamiza ini. Sedar tak sedar, tiba-tiba perbualan kami menjadi serius.

Tiba-tiba Melati naik semula ke tingkat dua membawa bersamanya Siew Ling. Wajahnya nampak ceria. Dia terus duduk di sebelahku. Perbualan di antara aku dengan Hamiza berhenti di situ juga. Aku terus memandang ke arah Hamiza.

Wajahnya kelat.