Kami bagaimanapun dikunjungi tuah. Kemunculan misteri Tam dua minggu lepas menjadi penyelamat dan mempercepatkan objektif segala perancangan Dhiya. Ibu Dhiya memandang dari jauh dengan kesal, terpaksa melepaskan Dhiya yang kini semakin mandiri. Memberi restu diam dan mengulum bersalah kerana tidak dapat memenuhi keperluan.
Menghairankan bagaimana perkara yang bermula dari masalah membawa kami mampu berniaga sejauh Kampung Jawa. Malah dengan restu ibu bapa. Hal ini membuatkan masalah Dhiya menjadi perkara kecil kerana kini dia boleh berjalan bebas ke serata bandar tanpa kesal atau takut ditangkap.
Kedatangan kami ke Kampung Jawa pada mulanya dipandang dingin beberapa budak setinggan. Tetapi sebaik saja mereka mendengar kami dibawa masuk Tam, perlahanlahan mereka merestui dengan angguk dan senyuman. Yang aneh juga baik Dhiya, aku atau Lim tidak lagi bertemu Tam. Kata Cik Ani, Tam tinggal di tingkat atas kedainya. Dia sibuk dengan urusan sekolah dan jarang ada di rumah. Cuma turun apabila mahu makan. Bapanya pula tidak pernah dilihat sesiapa kerana kerjanya sebagai pemandu lori cuma pulang tengah malam. Kami walaupun tertanya-tanya tentang si misteri Tam mengambil keputusan tidak masuk campur urusan hidupnya. Kami telah berunding terus dengan empunya kedai. Nyata sekali dia memerlukan variasi kuih muih untuk perniagaannya yang laris.
Aku tidak dapat melupakan hari pertama aku menghantar kuih ke kedai Cik Ani. Betapa aku merasakan tuah datang mengucup dahiku dan memberikan hari seindah pelangi. Bukan kerana kelantangan pujian Cik Ani memuji lembutnya cucur udang dan kerangupan mengerutup luarnya. Juga tidak ada kena mengena dengan takjub dia melihat betapa pantas popiah nyonya terjual. Tetapi buat pertama kali dalam hidup, aku terpanah dengan pesona gemalai indah seorang perempuan.
Dhiya memanggilnya panahan cinta beruk. Aku tidak akan menafikan. Aku sedang senggang sambil kaki bergoyang menunggu wang hasil jualan kuihku daripada Cik Ani yang masih sibuk. Kemudian aku melihatnya. Budak itu.
Terjeda.
Aku masih ingat lagi rambut lebat ditocang panjang manis sekali. Bau melur putih kudus mengapung. Sambil memimpin tangan ibunya, budak itu berjalan lenggok seperti mahu menari. Dan itu sememangnya keistimewaan perempuan India. Mereka dilahirkan dengan gerak intuitif seorang penari. Maka tidak menghairankan jika filem-filem Hindi dan Tamil sinonim dengan tari dan lagu. Dan ketika ini, gambaran budak itu sungguh surreal sekali dengan salwar kameez kuning keemasan dan selendangnya beralun dihembus pawana seakan replay berulang-ulang cerita Hindi apabila heronya jatuh cinta pandang pertama.
Aku bingkas berdehem sambil membetulkan bajuku apabila dia lalu di hadapanku. Memberikan senyum paling manis bermadu. Wajah bujur sirihnya kaget berpaling ke arahku. Membuatkan dadaku berdebar kencang. Tanpa ku sangka dia membalas senyuman menampakkan gigi putih dan terlepas daripada pimpinan ibunya. Wajahnya keliru mengapa aku tiba-tiba tersenyum kepadanya. Bidadari nirwana. Aku harap mimpi realiti masih panjang.
Sherina! teriak ibu budak itu.
Pantas memutuskan segala mimpi indah. Aku kembali ke dunia nyata. Sherina mendapatkan ibunya. Sherina. Aku tak akan lupa. Puteri kayangan yang mungkin datang dari keturunan Mumtaz Mahal. Lembut santun tertibnya wajar digilai. Apabila dia pulang dengan tapau cucur ibuku, mahu saja aku memberitahu dia telah pergi dengan separuh hati ini. Esok petang aku akan menunggu lagi. Esok.
Tapi ternyata harapanku punah menjadi serdak puing-puing kaca. Kerana itu adalah kali terakhir aku melihatnya.
***
Hari kedua belas selepas tamatnya pembayaran balik duit modal kepada aku dan Lim. Inilah hari yang Dhiya tunggu setelah kerja keras berminggu-minggu.
Penghantaran kuih setiap hari ke kedai makan Cik Ani telah meyakinkan Dhiya bahawa Tuhan akan memberi sayapsayap kemenangan kepada yang mahu berusaha. Dhiya kini pulang di petang rembang dengan unjuran keuntungan di kepalanya. bahawa pada hari itu dia telah cukup wang membeli lima warna asas akrilik Rowney, berus-berus nylon, palet artis profesional dan kanvas putih terbaik.
Dhiya mengeluarkan senarai barang renyuk dibeleknya setiap hari dan mengira wang tersimpan di dalam tabungnya. Dhiya duduk mengapit lututnya, senyum dengan mata berbinar-binar melihat wang terkumpul. Dan akhirnya Dhiya menangis. Melimpahkan air mata semahu-mahunya.
Buat pertama kali dalam hidup, baru kini dia merasakan nikmatnya mempunyai kebolehan merancang hidup. Memegang kuasa membeli ke atas perkara-perkara yang dicinta. Dan perlahan-lahan tangis Dhiya reda dan menyimpan kembali wangnya. Sabarlah hati. Esok. Esok dia akan ke Jalan Bunga Raya. Malam yang membahagiakan. Maka tidak menghairankan jika pada malam itu, Dhiya tidur dengan mimpi berwarna pelangi. ***
Pagi Sabtu menyaksikannya. Indah sekali angin damai yang menerpa. Pagi keramat yang dinanti-nantikan Dhiya.
Kami menunggu Lim di kaki jambatan besar seperti biasa. Perempuan itu tidak boleh duduk diam seperti kucing mahu beranak. Matanya gelisah. Kakinya daripada tadi menguisnguis kasar pasir tidak berdosa . Aku
melihat getar jari Dhiya. Jelas sekali dia sudah tidak sabar.
Apa kata kita pergi dulu aku memujuk.
Tak apa. Aku boleh tunggu. Kita dah janji kan sumpah aku tidak percaya katanya. Anak matanya bergerak-gerak gelisah.
Tak pernah pula Lim lambat. Kita cari dia di rumah
Dan kau melihat terujanya perempuan itu. Pantas Dhiya menarik tanganku. Jom Adi! Cepat cari Lim!
Kami berlari. Akhir-akhir ini memang sering saja kami berlari. Kami percaya terus berlari akan membawa kami pergi jauh ke nirwana yang kami impikan. Dan berlari hingga sesak nafas kami.
Kami tiba di rumah kedai lama itu. Kami cuma mahu bertemu Lim yang akan membawa kami ke kedai syurga nirmala Uncle Chong dan warna-warna Rowney-nya. Mengharap dia menawar harga terbaik. Tetapi ya Tuhan. Sesungguhnya Tuhan itu kerjanya sentiasa menduga jiwa. Tersentapnya hati kami tidak dapat kau bayangkan. Bukan ini yang kami mahukan. Kami melihat Lim menangis sendu pada kali pertama.
Kelewatannya telah terjawab. Lim memangku bapanya dalam esak gelisah menunggu ambulans. Mulutnya mengumam perkataan yang tidak kami faham. Beberapa orang jiran mengelilinginya. Bapanya diserang sakit jantung dan tidak sedarkan diri. Wajahnya pucat sekali. Sejuk perutku. Aku pantas mendapatkan Lim memeluk bahunya. Tanpa di paksa-paksa aku
dan Dhiya turut bergenang. Kerana tiada tragedi yang lebih menyedihkan di dunia daripada sesuatu yang buruk menimpa ayah ibu. Tiada.
***
Dalam ribut, kami merasakan ambulans bergerak sangat perlahan. Bungkam membisu tidak dapat menutup kecamuk risau. Aku dan Dhiya malah mengikut Lim menaiki ambulan dan menghantar bapanya ke hospital. Seorang lelaki separuh umur yang disinggahi penyakit jantung cuma diiringi kami bertiga.
Kini kami mengerti. Berbulan-bulan mengenali Lim, baru kini kami tahu bahawa Lim tanpa bapanya adalah anak sebatang kara. Betapa malang ibunya sendiri, seorang Baba Peranakan kaya telah meninggalkannya kerana tidak sanggup menjalani susah payah hidup peniaga kecil. Bapa Lim yang berkahwin lewat telah membesarkan Lim sebagai ayah juga ibu. Lelaki cekal yang tiada saudara mara itu menatang Lim tanpa pernah tumpah kasih sayang kerana Lim satu-satu hartanya.
Persoalan mengapa Lim dan ayahnya terbuang daripada kalangan saudara sendiri harus dijelaskan di dalam perspektif lebih besar. Sebelum ini aku pernah memberi bayangan bahawa Cina juga seperti Melayu. Mereka punya pecahan yang sepatutnya dikongsi dirai sebagai variasi kekayaan budaya. Tetapi malang sekali kerana mereka juga punya kelemahan seperti Melayu yang berselingkuh kerana perkara-perkara kecil. Daripada hal-hal parti, kepercayaan hingga ke akar umbi seperti daripada mana mereka datang.
Sejarah migrasi Baba Peranakan bermula jauh lebih awal daripada penduduk Cina lain di Tanah Melayu. Sudah setua kisah Puteri Hang Li Po kira-kira 600 tahun lalu. Mereka malah telah memberikan bangsa Melayu percikan budaya daripada kebaya kasa sulam nyonya hinggalah berjenis-jenis masakan seperti otak-otak, kudap-kudapan enak Pai Tee hingga harum asam laksa. Dan tidak dinafikan juga mereka banyak memakai peradaban Melayu. Waima pemakaian bahasa mereka begitu dekat dengan Melayu dan warga emasnya tidak dapat tidak pasti bangga memakai batik perkalungan.
Menjadi keturunan Peranakan adalah penghormatan terutamanya di negeri-negeri Selat seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Mereka sering dikaitkan dengan kuasa politik, kekayaan warisan dan pendidikan tinggi British. Mereka jelas menjadi sekutu dan sokongan kuat penjajah. Penghormatan yang diterima itu kemudiannya antara sebab menjadikan sebahagian dari mereka begitu sombong dan mengasingkan kumpulan mereka daripada suku-suku Cina lain yang tiba lewat di Tanah Melayu sekitar abad 1900 kerana mencari pekerjaan.
Namun begitu, penguasaan, kekayaan dan status elit yang menjadi kebanggaan suku Baba Peranakan beberapa ratus tahun lepas sama juga seperti harta lain di dunia yang tidak bersifat kekal abadi. Keruntuhan ekonomi Great Depression 1930-an, membawa kepada Perang Dunia Kedua hinggalah penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu telah banyak mengurangkan prestij suku Peranakan itu dan mereka kini tidak lagi semewah dulu.
Yang menyedihkan, akibat pengasingan mereka sendiri pada masa lampau, mereka tidak lagi diterima suku Cina lain dan tidak pula dipertimbangkan menjadi sebahagian daripada orang Melayu. Justeru itu tidaklah menghairankan jika kau melihat Baba Peranakan tidak menyertai keramaian tarian naga lewat sambutan Tahun
Baru Cina di Jalan Bunga Raya dan tidak sesekali pernah menyaksikan suku Hokkien pesisiran sungai menyertai majlis makan tahunan yang dianjurkan elit Peranakan.
Sejarah panjang beratus tahun ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada bapa Lim. Bapa Lim walaupun berketurunan Peranakan, bukan daripada kumpulan elit yang punya kekayaan warisan melimpah. Dia tidak akan diterima sepenuhnya sebagai baba, tidak juga sebagai suku Cina lain dan jauh sekali sebagai Melayu. Tiada saudara untuk mengadu dan kini jatuh sakit.
Aku melihat Dhiya menggengam tangan Lim, memberi harapan menggunung. Lim masih tidak dapat membuka mulut. Hari petaka. Laju ambulans terasa bagai bumi berputar perlahan. Air matanya berjujuran. Kami tiba di wad kecemasan Hospital Besar Melaka. Pintu gerbang kolonial hospital berwarna kusam seperti tidak mahu menyambut kami. Dan akhirnya ambulans itu berhenti.
Menunggu dan menunggu. Servis kerajaan dengan kelajuannya ya ampun. Kami kemudian menyedari Lim cuma membawa beberapa helai baju bapanya dan kad pengenalan. Dan apabila pegawai hospital mendaftarkan bapanya dan meminta duit deposit kemasukan ke wad, air muka Lim runtuh berderai. Tidak dapat digambarkan kekecewaan. Pengurusan hospital tidak meminta banyak. Mereka sememangnya menyediakan harga subsidi warganegara. Tetapi malang sekali Lim cuma budak sepuluh tahun yang tidak pernah meminta bapanya sakit dan memerlukan wang tunai.
Lim sudah seperti mahu rebah. Tetapi sudah lupakah dia bahawa kebaikan harus berlaku di atas kebaikan Lupakah Lim mereka pernah berkongsi wang untuk perjanjian
setia perniagaan Apatah lagi kini apabila salah seorang ditimpa malang
Aku sepatutnya telah dapat menduga. Tanpa ragu-ragu Dhiya meletakkan wang bercampur peluh lelahnya di telapak tangan Lim. Wang tebal berikat getah bercampur helaian merah, hijau dan biru. Lim memandang Dhiya berberkacakaca. Menggeleng-geleng kepalanya.
Tak boleh Dhiya. Ini duit kau. Untuk beli warna Rowney!
Betul. Ni duit aku. Dan aku pilih untuk bagi kau. Dhiya meletakkan wang itu semula ke tangan Lim.
Dan saranan Dhiya disambut esakan Lim. Hari ini giliran Lim mengucapkannya dengan kasih sayang lurus seorang sahabat;
Aku sayang kau Dhiya!
***
Lim sudah kembali bertenang. Terus menggenggam tangan bapanya. Wajah bapanya perlahan-lahan kembali merah dan dadanya berombak tetap menandakan keadaannya sudah stabil. Bagaimanapun, dia tetap memerlukan rawatan susulan.
Lim kemudian memandang wajahku dan Dhiya. Dia mengucapkan kata-kata yang mengejutkan.
Doakan bapa aku, Adi. Dhiya. Doakan aku. Minta pada Tuhan Allah.
Dhiya melihat Lim tenang. Baru aku sedar Dhiya sudah mengetahui sekian lama bahawa Lim dan bapanya adalah sekelompok kecil manusia agnostik. Kerana desakan lingkungan, mereka bukan sahaja telah keluar daripada suku Peranakan dan bercampur suku Cina lain mengharapkan diterima sebagai sebahagian komuniti mereka. Malah, Tuhan adalah tinggalan Zat yang mereka percaya wujud tetapi memilih tidak memegang apa-apa bentuk agama kepercayaan. Menganggap agama yang mereka kenal selama ini telah lama meninggalkan mereka. Betapa malang.
Dhiya telah mengetahuinya lama sejak hari pertama kami menjejakkan kaki ke rumah Lim. Pada hari kematian Ooi. Hari yang sama dia melihat tiada tanda sama ada salib yang memegang jasad Jesus atau tempat sembahyang merah berserta colok dan sembahan limau mandarin. ***
Hari telah tengah hari rembang dan kami harus pulang. Kami pergi ke hospital di luar pengetahuan ibu bapa kami lagi. Takut-takut jika mereka mencari. Dhiya mengucap selamat tinggal dengan sulaman kata semangat tidak putus kepada Lim. Lim kini lebih tenang.
Mungkin ada menyangka Dhiya akan meratap hiba kerana tiada lagi harapan membeli warna-warna Rowney. Bahawa dia akan berputus asa kerana setiap usahanya sentiasa diuji Tuhan. Tidak sesekali. Dhiya tidak akan kesal pemberian yang dibuat atas keluhuran budi dan semangat setiakawan. Semuanya telah berlaku di atas tangannya juga pilihannya.
Dhiya duduk diam di kerusi penumpang. Melihat baki wang di telapak tangannya. Wajahnya cekal.
Tinggal dua hari. Sebenarnya satu setengah hari kerana satu pagi mereka dihabiskan di hospital besar. Aku dan Dhiya pulang menaiki Town Bus buruk hijau dengan
bunyi berderik sepanjang jalan. Satu setengah hari sebelum pertandingan keramat. Dan di tangannya cuma ada duit modal harian.
Dhiya kini harus mula kembali dari kosong.