Agak lama Kharlissa berada di bahagian penjagaan badan wanita hingga naik bosan Norman dibuatnya. Kemudian barulah dia beralih ke bahagian barangan dapur. Norman berjalan lambat di belakang Kharlissa. Sesekali dia membelok ke arah lain tetapi kemudian tetap berada di belakangnya.
Kharlissa sedang membelek bungkusan spaghetti. Dia mengambil beberapa bungkus spaghetti dan sos karbonara segera. Dia turut mengambil roti, sayuran dan buah-buahan. Epal hijau dan strawberi tetap menjadi pilihan.
Norman terus mengekori diam-diam di belakangnya. Namun dia agak cuai dan terlanggar troli Kharlissa yang berhenti secara tiba-tiba di hadapan peti sejuk berisi minuman yogurt.
Ops! Sorry... seru Norman dengan wajah merah, rasa bersalah dan malu.
Kharlissa hanya memandangnya dengan sorot mata tajam. Kemudian mengangkat tangannya tanda memberi kemaafan dan terus berlalu pergi. Norman kebingungan. Dia terus bergerak di arah kaunter bayaran.
Lantaran asyik mengekori Kharlissa, dia tidak perasan barang-barang yang diambil. Dia hanya memasukkan barang tersebut ke dalam troli supaya kelihatan seperti pembeli lain. Juruwang di kaunter memandang pelik padanya, tidak dapat menahan senyum. Barang-barang yang dipilihnya semua barangan wanita. Dua kotak tuala wanita, tisu muka, losyen tangan dan badan untuk wanita serta pencuci muka yang juga untuk wanita. Norman tidak mengambil barang-barang dapur. Dia bukannya pandai memasak. Dia selalu makan di kedai.
Beli untuk isteri ke encik Juruwang bertanya ramah.
Haah! jawabnya selamba.
Suami mithali la encik ni ya
Seperti menyindir sahaja juruwang itu pada pendengaran Norman. Namun dia hanya mengangkat kening, sambil matanya mengawasi Kharlissa. Kharlissa sedang memandang ke arahnya. Dia berada di juruwang sebelah. Norman tidak berani memandang Kharlissa, bimbang wanita muda itu sedar dirinya sedang diekori. Norman keluar terlebih dahulu, terus menuju ke kereta. Dia parkir tidak jauh dari kereta Kharlissa.
Tidak lama kemudian Kharlissa keluar dari pasaraya, menolak troli hingga ke kereta. Dia membuka but kereta untuk memasukkan barang-barangnya yang agak banyak. Norman keluar dari kereta, mendekatinya dan terus menegur.
Maaf ya cik adik... pasal tadi tu!
Kharlissa menoleh, mengerut dahi. Eh, dia ni kenapa Sampai dua kali nak minta maaf.
Tak apa, balas Kharlissa akhirnya.
Dia tidak sangka lelaki itu rasa bersalah yang amat sangat. Padahal perkara tu kecil sahaja. Tanpa dipinta Norman membantu Kharlissa memasukkan barangbarangnya di dalam but kereta.
Eh, tak payahlah awak tolong masukkan. Saya boleh buat sendiri.
Norman hanya menjawab dengan senyuman. Dia terus berlalu pergi dan Kharlissa pula yang terpegun. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Macam-macamlah perangai lelaki ni! Rungut Kharlissa sambil masuk ke dalam kereta.
Agar tidak terlalu jelas perbuatan nakalnya untuk berkenalan dengan Kharlissa, Norman sengaja membiarkan wanita muda itu pulang dahulu. Dia singgah di kedai mamak, minum teh dan menikmati roti canai. Dia pulang lebih kurang sejam kemudian ke rumah Khairul Rasheed.
Hari itu hari minggu. Norman menelefon beberapa orang kawan-kawan supaya datang melepak di rumah Khairul Rasheed. Dia bosan duduk sendirian, mengadap televisyen. Malam itu ada perlawanan bola sepak antara Manchester United dan Arsenal. Lebih seronok tengok beramai-ramai dan boleh bersorak kuat-kuat!
Kau ni biar betul! Kay bagi kau duduk rumah dia Berapa lama tanya Hanif.
Entah. Aku tak tanya. Tapi dia suruh aku duduk sampai dia balik dari outstation.
Kau bawalah dua tiga orang kawan-kawan nanti.
Okey! Boleh je. Tapi tak apa ke diorang datang
Tak apa. Kay tak marah punya. Jangan buat semak dalam rumah dah la.
Okey, aku datang pukul tujuh karang. Tapi kau sediakan lah biskut ke, snek ke Baru best lepak, Hanif meminta tanpa rasa malu.
Beres. Kat rumah Kay semua ada. Mak bapa aje yang tak ada.
Mereka tergelak serentak. Norman menutup panggilan. Dia melunjur kaki di atas sofa empuk milik Khairul Rasheed. Sofa kulit warna hitam itu tampak masih berkilat dan terjaga rapi. Khairul Rasheed seorang lelaki yang pembersih. Rumahnya kemas. Susun atur perabot sesedap mata memandang. Walaupun dia jarang berada di rumah tetapi tiada habuk di atas kabinet ataupun di lantai.
Dasar mamat sempurna! bisik hati Norman.
MALAM ini Kharlissa mendapat ilham untuk melukis. Sudah agak lama dia meninggalkan kanvas lukisan. Dia mengambil keputusan untuk melukis selepas perutnya kenyang memamah spaghetti. Dia makan pada awal malam. Selepas itu dia tidak akan mengambil apa-apa makanan lagi selain daripada air kosong.
Dia baru sahaja hendak mencalit warna, apabila terdengar bunyi sorakan yang agak kuat. Suara gamat sekali datang dari arah rumah Khairul Rasheed. Kharlissa tersentak. Khairul Rasheed sudah balik dari outstation Masakan baru pergi dua hari lepas sudah balik. Katanya dia akan pergi selama sepuluh hari hingga ke dua minggu.
Kenapa bising sangat kat rumah dia
Hati Kharlissa tidak tenteram jadinya. Dia meletakkan berus ke sisi dan berjalan menghala ke ruang tamu. Dia mengintai dari celah-celah tingkap. Terlihat ruang tamu Khairul Rasheed terang-benderang, pintu hadapannya terbuka luas. Nampak beberapa pasang kasut di muka pintu. Mereka sedang menonton bola sepak. Sorakan perkataan gol terdengar makin jelas.
Hati Kharlissa dibaluti rasa hairan. Siapa yang berada di rumah itu semasa ketiadaan Khairul Rasheed. Agh! Kenapa aku prihatin sangat Biarkan saja... Khairul Rasheed hanya kawan. Buat apa aku sibuk-sibuk hal dia
Kharlissa kembali ke dalam bilik yang telah dijadikannya studio. Dia cuba untuk melukis tetapi mood sudah hilang. Mood baiknya telah dirosakkan oleh bunyi bising dan sorakan gamat yang berulang kali ke udara.
Huh! Lebih baik aku keluar. Tapi mahu ke mana Dia berfikir-fikir dalam. Langkah diatur ke arah meja kopi tempat dia meletakkan kunci kereta. Dia akan meronda sahaja keliling kota. Melihat lampu jalanan dan gelagat orang di luar sana.
Kharlissa keluar dari rumah dengan mengenakan pakaian paling ringkas. Jean dan t.shirt. Udara di luar terasa berbahang biarpun malam sudah pun melabuhkan tirai. Ketika Kharlissa keluar dari rumah, beberapa pasang mata lelaki di rumah Khairul Rasheed sempat melihatnya. Dalam menonton masih sempat memerhati wanita muda itu dari arah pintu yang dibiarkan terbuka luas.
Norman mengerut kening. Tidak sangka Kharlissa akan keluar malam itu. Apakah dia akan menuruti langkah Kharlissa Sedangkan tayangan bola sepak di televisyen lebih menambat minatnya. Agh! Biarkan sajalah dia keluar. Paling-paling tidak pun, dia keluar beli makanan, bisik hati Norman.
Kharlissa memandu menurut nalurinya sahaja. Dia tidak punya rancangan yang khusus. Malam masih muda. Orang masih ramai di pusat-pusat membeli belah dan restoran. Kharlissa teringat sesuatu. Jalan yang baru dilewati tidak jauh dari tempat dia pertama kali menemui Maxy.
Kharlissa mencari jejak yang pernah dia tinggalkan. Lorong hitam yang menyimpan pelbagai cerita duka penghuni kota yang hidup melarat. Masih belum berubah suasana di situ. Hotel-hotel murah menjadi kunjungan lelaki hidung belang. Dan perempuan yang mencari makan dengan menjual tubuh ada di mana-mana.
Kharlissa berjalan perlahan. Matanya memerhati sekeliling. Masih ada yang tidur di tepi bangunan dengan beralaskan kotak-kotak terbuang. Dia terpandangkan seorang budak perempuan yang compang-camping pakaiannya sedang duduk di sisi ibunya di satu sudut yang kelam. Mungkin di situ tempat tidur mereka. Kharlissa dapat menghidu bau hancing dibawa angin lewat.
Ibu anak perempuan itu buta. Mereka sedang mengira hasil pendapatan meminta sedekah pada hari itu. Berapa kita dapat nak tanya ibunya.
Dapat sebelas ringgit mak, jawab si anak.
Hampir meleleh air mata Kharlissa menyaksikan drama sebabak itu. Dia merasa belas.
Dik, kau masih beruntung walaupun hidup melarat. Kau masih ada emak. Emak kau tidak meninggalkan kau macam aku. Emak kau seorang ibu yang gigih walaupun harus meminta sedekah semata-mata untuk sesuap nasi. Tapi emak aku meninggalkan aku seorang diri untuk mati!
Kharlissa mendekati budak perempuan dan ibunya. Dia menegur mesra, Dah makan dik
Belum, jawab budak perempuan itu sambil memandang tepat ke wajah Kharlissa.
Siapa tu tanya wanita cacat penglihatan itu.
Tak tahu mak, jawab anaknya, Tapi kakak ni cantik sangat.
Budak perempuan itu tidak lepas memandang aksi Kharlissa yang kini duduk bertinggung di hadapan mereka. Kharlissa tertawa lembut.
Adik ni bijak. Berapa umur adik
Sepuluh tahun.
Kasihan. Mesti dia tidak pernah bersekolah.
Sepatutnya pada umur enam tahun dia sudah pun berada di sekolah tadika, bukan meminta sedekah bersama ibunya. Kharlissa membuka beg tangan, mengeluarkan sejumlah duit. Agak tebal duit not lima puluh ringgit di tangannya. Duit itu lalu dihulur ke arah anak perempuan itu.
Ambillah! Kakak bagi adik. Ajak emak adik pergi makan.
Anak perempuan itu memandang Kharlissa, teragak-agak hendak mengambil wang yang dihulurkan. Dia takut hendak mengambil wang yang begitu banyak dari perempuan cantik itu.
Ambil! suruh Kharlissa sambil memasukkan wang itu ke dalam kole plastik emaknya.
Banyaknya duit ni kakak!
Simpan baik-baik duit tu, pesan Kharlissa.
Terima kasih, kak. Balas anak perempuan itu sambil tersenyum.
Mak! Kakak ni bagi kita duit. Banyak mak. Biar
Murni kira ya mak...
Yalah, jawab ibunya sambil tersenyum.
Kharlissa terus berpaling pergi. Air matanya luruh. Jari jemari Kharlissa pantas menyeka air jernih yang terbit dari kolam matanya. Namun ia tetap luruh jua.
Bertambah lebat.
Kharlissa tersedu-sedu menahan sebak di dada. Dia tidak sanggup melihat penderitaan mereka berdua. Dia berjanji pada diri sendiri akan datang lagi ke situ untuk memberikan sedikit kegembiraan pada kedua-dua beranak itu.
Tuhan! Aku banyak melakukan dosa. Mungkin dengan memberikan sedikit daripada kesenangan hidupku pada mereka, Engkau akan mengampunkan aku Tiba-tiba dia menyoal soalan itu kepada Tuhan.
Kharlissa bergerak pulang. Lega hatinya kala berada di hadapan rumah, bunyi bising sudah tiada lagi. Pintu rumah Khairul Rasheed bertutup rapat. Namun, ruang tamu kelihatan masih terang. Siapa yang berada di dalam rumah lelaki itu, dia tidak tahu.
Why should I care Soal hati Kharlissa sambil membuka pintu rumahnya sendiri.
ISHH! Perempuan ni nak pergi mana pula Rungut Norman. Dia sedang bersiap-siap hendak pergi kerja apabila terdengar pintu gril rumah Kharlissa menjerit kuat. Cepat dia bergerak ke ruang tamu dan mengintai dari celah tingkap.
Keluar pula pagi ni Awal-awal begini nak pergi mana agaknya Semalam sudahlah aku terlepas daripada mengintip dia. Lewat juga dia balik semalam.
Mata Norman mengawasi Kharlissa yang mengenakan seluar panjang longgar, dipadankan dan blazer pendek separas pinggang warna hitam. Kemeja satin berwarna putih polos nampak harmoni dengan blazer tersebut. Dia membawa beg tangan hitam dan bersepatu tumit tinggi, bertumit halus.
Aduh! Aku nak pergi kerja ni! Karang aku pulak kena bambu dengan bos aku. Lantak kaulah perempuan! Mana kau nak pergi suka hatilah. Aku dah ikut pun engkau masa aku free. Sekarang aku tak free! Norman bercakap seorang.
Tetapi dia tetap tergocoh-gocoh seolah-olah mengejar Kharlissa. Pintu ditutup rakus dan dikunci. Dia berlari ke arah lif dengan briefcase terkepit di celah ketiak. Tali leher tidak sempat diikat. Pintu lif hampir tertutup tetapi dia menahan dengan tangannya.
Oh mak kau! Mujur sempat! Dia sengaja melatah untuk menarik perhatian Kharlissa.
Mata Kharlissa terbeliak. Dia terkejut melihat wajah Norman.
Awak Spontan soalan itu muncul dari bibirnya yang sempurna berlipstik merah terang.
Norman buat-buat terkejut. Dia membulatkan mata, tetapi tidak bersuara apa-apa.
Awak ke yang duduk kat rumah Khairul Rasheed
Haah! Dia outstation. Saya tolong jaga rumah dia. Kenapa Ada apa-apa yang tak kena ke
Oh! Awak dan kawan-kawan awaklah yang bersorak macam nak runtuh rumah malam tadi
Maaflah pasal tu ya Kawan-kawan saya tu tak makan saman, jawab Norman sambil tersengih.
Tak apalah! Sebab awak kawan Kay.
Awak kenal rapat dengan dia ke Sengaja dia bertanya, memancing jawapan menarik. Manalah tahu Kharlissa mahu mengaku bahawa Kay adalah kekasihnya. Boleh la. Kawan dan jiran.
Norman mengangguk.
Nak pergi kerja ke Norman bertanya pula.
Lif sudah pun berada di tingkat bawah. Mereka berjalan bersama menghala ke kawasan parkir.
Baru nak pergi interview. Saya dah mohon kerja melalui internet. Dipanggil interview.
Saya doakan awak berjaya.
Terima kasih.
Kharlissa berlalu masuk ke kereta. Norman juga menghilang ke dalam kereta dan memandu pergi.
Kharlissa sudah pasti arah tujuannya. Sudah beberapa kali dia lalu di kawasan tersebut. Hari ini dia mengambil keputusan untuk datang ke situ, memohon kerja. Ada walk in interview yang berlangsung hari itu.
Kharlissa berdiri di hadapan penyambut tetamu sambil memberitahu tujuan kedatangannya. Dia diminta mengisi borang. Semasa dia berpusing menuju ke arah sofa untuk mengisi borang permohonan, dia terlihat Dato Emmer berjalan masuk ke bangunan itu. Mereka berselisihan. Dato Emmer memandang ke arahnya, berhenti melangkah dan terus menegur.
Tak silapnya, you girlfriend Khairul Rasheed
Kharlissa tersenyum lebar. Dia pasti lelaki itu ingat kepadanya. Memang lelaki susah lupa pada wajah manis dan tubuhnya yang seksi.
Betul. Dato masih ingat paada I
Dah tentu I ingat. Kay tu tak pernah ada girlfriend. Dia terlalu sibuk dengan kerja sampai nak cari jodoh pun tak sempat.
Kharlissa tertawa manja. Tawa yang dibuat-buat.
Hei! You buat apa kat sini
Tu la! I nak cuba mohon jawatan kosong kat syarikat ni. Ada walk in interview hari ni. Mana tahu ada luck. I dah sebulan cari-cari kerja di banyak tempat tapi belum dapat juga.
Kharlissa merenung Dato Emmer, cuba meraih simpati lelaki itu. Dia pura-pura tidak tahu bahawa syarikat itu milik Dato Emmer. Sedangkan Maxy telah membekalkannya sejumlah maklumat.
Lah, tak payah nak interview bagai. Ikut I naik atas, arah Dato Emmer sambil tersenyum lebar.
Err... apa maksud Dato Kepura-puraan diteruskan.
Kharlissa sengaja memaniskan wajah dan bahasa tubuh memainkan peranan penting. Jari Kharlissa bermain-main dengan butang blousenya seperti tidak selesa. Padahal butang blouse itu sejak tadi memang terbuka memperlihatkan alur dada. Mata nakal lelaki itu memandang ke sana. Sekilas sahaja tetapi itu sudah cukup untuk menggetarkan perasaannya.
Syarikat ni I punya. Jom!
Kharlissa tersengih lebar. Dia terus mengikut Dato Emmer memasuki gawang lif. Tingkat demi tingkat mereka menaiki, akhirnya mereka tiba di tingkat 13. Pintu lif terbuka. Dato Emmer bergerak keluar. Kharlissa mengikut hingga ke bilik kerja lelaki itu. Biliknya sangat luas. Ada ruang untuk main golf. Hanya satu lubang sahaja. Gila dengan golf rupanya lelaki ini.
Okey, Kharlissa. Syarikat I memang perlukan setiausaha untuk pengurus bahagian kewangan dan pentadbiran. Tapi I juga perlukan seorang PA sebab PA I tu nak bersalin.
Kharlissa mengangguk, sambil menghulurkan clear holder yang sedang dipegangnya. Di muka hadapan clear holder tertera resume milik Kharlissa. Dato Emmer membacanya dengan teliti.
Dia menganggukkan kepalanya beberapa kali. Kelihatan dia amat yakin dengan latar belakang Kharlissa yang manis dan cemerlang. Kemudian dia melihat pula semua sijil-sijil persekolahan Kharlissa. Sijil-sijil itu adalah sijil yang benar miliknya. Kharlissa tidak berbohong tentang itu. Dia memiliki kemahiran dan kebijaksanaan yang luar biasa. Dia bukanlah Stupid Asian Girl seperti ejekan teman-teman bangsa mat salihnya.
Sebaliknya kebodohan itu milik mereka! Keangkuhan telah membuat mereka lupa bahawa mereka telah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan dirinya.
Excellent, impressive! kata Dato Emmer kala dia membaca Kharlissa boleh bertutur dalam pelbagai bahasa.
Tiba-tiba Dato Emmer bertutur dalam bahasa Sepanyol. Sengaja hendak menguji Kharlissa. Kharlissa tertawa kecil dan membalasnya dengan cepat.
Hmmm, tak perlulah I nak belek lagi sijil-sijil you ni Kharlissa. I yakin dengan kebolehan you. Bila you boleh mula kerja dan berapa gaji yang you harapkan dari syarikat
I boleh start bila-bila masa saja. Gaji terpulang pada Dato.
You start esok. Gaji kita bincang kemudian. I akan bagi surat tawaran nanti.
Kharlissa mengangguk, bangun dengan tertib dan menghulur tangan untuk bersalam.
Terima kasih Dato sebab beri peluang pada I.
Dato Emmer tersenyum. Tangan mereka bertaut. Kharlissa merasakan telapak tangan lelaki itu hangat dan lembut. Senyumannya mesra. Sanggupkah aku menghalakan muncung pistol ke wajahnya Fikir Kharlissa sambil menggoncang tangan Dato Emmer. Tangan itu segera dilepaskannya dan dia bergerak pergi.
Di hadapan meja tulis di rumah tengahari itu Kharlissa menulis dalam buku catatannya.
Misi pertama: mendekati Dato Emmer - berjaya.
Aku akan mendekati dia untuk mengenalinya lebih dekat. Untuk mengetahui siapa sebenarnya yang inginkan dia mati. Jika dia benar-benar layak untuk mati, aku akan melakukannya!
Kharlissa menggigit hujung pen. Berfikir.
Kemudian dia menconteng perkataan aku akan melakukannya. Betapa kejamnya perkataan itu. Kemudian dia turut menconteng seluruh ayat. Semuanya kejam!
Bentak Kharlissa sambil menutup diarinya dengan rakus.